Kehidupan
ini mempunyai seribu satu erti dan makna. Dalamnya ada mengandungi pelbagai
pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya. Kehidupan ini
tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil-lewa dan tidak sesusah
yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung kepada dirinya
semata-mata.
Hidup ini
suatu lapangan, tempat di mana Allah s.w.t. menyempurnakan kehambaan para
hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya. Hidup ini
suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran,
kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan
kepadaNya.
Manusia yang
leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya,
secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan
kehidupan itu sendiri. Ini kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu
diri, kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa
menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai
hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah
Allah s.w.t. yang Maha Pencinta.
Seseorang
yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak
menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan
kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan
yang sementara ini. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat. Apa yang
didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati. Di mana nilai
sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?
Bagi seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya, pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna. Kebendaan dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan jiwanya. Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri kepada Allah s.w.t. dengan menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.
Bertolak
daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh
kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan hukum-hakamNya,
merupakan penzahiran "interaksi" Tuhannya kepadanya. Seseorang hamba
yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam segenap
tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah
(interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.
Bermula
dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum Allah s.w.t. dalam kehidupannya,
maka penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba
mula bersinar dalam hatinya. Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan
pandangan zauqi (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati
bahawasanya, syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan
dan mentadbirnya dan seluruh alam ini.
Bertolak
daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada
Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhuk,
istiqomah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat
ketentuan Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya.
Apabila dia
ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah
peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan
melahirkan sifat "sabar" terhadap ketentuanNya yang menimpanya
tersebut. Dia juga menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah s.w.t. dengan
mengembalikan ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya
kepada Allah s.w.t. yang mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka
semata-mata untuk menagih keredhaan dan bantuanNya.
Seseorang
hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk
menzahirkan kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu
kepada Allah s.w.t. akan masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.
Adapun
seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah s.w.t. dalam rangka untuk
menzahirkan kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan
hakikat diri yang "lemah" dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam
menghadapi ketetapanNya, sedangkan orang yang merungut di hadapan Allah s.w.t.
mengenai ketentuanNya ke atasnya bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas
hatinya terhadap ketentuanNya yang tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu
dirinya.
Mengadu
dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada Allah s.w.t. tidak mengandungi
unsur mempertikaikan ketentuan Allah s.w.t., tetapi sekadar memohon rahmat dan
bantuan Allah s.w.t. agar dia mampu menghadapi ketentuanNya dengan bantuanNya.
Adapun orang yang merungut kepada Allah s.w.t. membawa maksud mempertikaikan
ketentuan Allah s.w.t. dan terkadang boleh membawa kepada menyalahkan Allah
s.w.t., seolah-olah dia lebih pandai dari Allah s.w.t.. Berbeza antara
menzahirkan rasa lemah dengan menzahirkan kepandaian diri di hadapan Allah
s.w.t..
Oleh kerana
itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli yang menghayati makna kehambaan ini
mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan Allah s.w.t. dengan berdoa (dalam
hizb al-kabir):
"Wahai
Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke
atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku
dalam setiap ketentuanMu ke atasku"
Nilai
kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Saidina Rasulullah s.a.w. dalam doa
Baginda s.a.w. ketika di Thaif dengan berdoa:
"Wahai
Tuhanku, aku mengadu kepadaMu akan lemahnya diriku…".
Nilai-nilai
mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri
dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam
diri seseorang hamba kepada Tuhannya.
Oleh yang
demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan
rasa memerlukannya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri
kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.
Adapun
takkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada
kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan
menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang
didapatinya kepada Allah s.w.t., bukan menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha
dirinya sendiri.
Inilah nilai
kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa berasa
menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa semua
kebaikan adalah daripada Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Pemurah.
Dengan rasa
syukur tersebut, maka Allah s.w.t. menganugerahkan makrifatuLlah (mengenal
Allah s.w.t.) kepadanya, dan menganungerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia
muamalah Allah s.w.t. dalam segenap kehidupannya. Inilah kelebihan daripada
sifat syukur yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. yang berfirman dengan maksud:
"jika kamu bersyukur, Aku akan tambah buatmu akan nikmat"… Penambahan
nikmat yang agung adalah, kefahaman tentang hakikat diri, hakikat kehidupan dan
hakikat ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya seharian.
Hidup ini
ialah tempat bemualamah secara beradab. Bagaimana seseorang ingin beradab dalam
bermuamalah dengan Allah s.w.t. melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak
mengenal hakikat dirinya sebagai hamba Allah s.w.t. yang perlu beradab kepadaNya,
tidak mengenali hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada
Allah s.w.t. dalam berinteraksi kepadaNya dan tidak mengenali Allah s.w.t.,
Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya?
Dalam hidup
ini terkandung risalah-risalah Allah s.w.t. dalam segenap detik dalam kehidupan
kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya dengan adab
kehambaan kepadaNya. Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama bagi kerohanian
seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya. Setelah seseorang mencapai istiqomah
dalam sabar dan syukur dalam segenap kehidpannya terhadap setiap ketentuanNya
dengan bantuan Allah s.w.t., maka dia akan dianugerahkan rasa redha kepada
Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya.
Pada darjat
"redha" inilah, seseorang manusia tidak lagi merasai beza antara
ketentuan dengan ketentuan, tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya
sentiasa fokus kepada mencari keredhaan Allah s.w.t. di sebalik setiap
ketentuanNya, dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada
Allah s.w.t.. Sesungguhnya, redha kepada Allah s.w.t. ini merupakan darjat yang
teragung yang dicapai oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan
meredhai Allah s.w.t. melainkan setelahmana Allah s.w.t. meredhainya dan
berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.
Kehidupan
ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya.
Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap makna kehambaan
dirinya dalam kehidupannya, makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya dan
makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam kehidupannya selaku hambaNya. Tanpa
makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia. Hidup tanpa
"makna", yang tinggal hanyalah "makan". Makan, minum, tidur
dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya yang semakin
menuju kesudahan. Akhirnya, dia di sisi Allah s.w.t. bagaikan binatang, bahkan
lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak menghargai nilai
kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna yang mulia.
Masalah
kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah
kerana gagal menanggung ketentuan Allah s.w.t., tetapi masalah-masalah tersebut
kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya" lalu
membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana
yang sepatutnya. Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang
merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam
kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu
kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dan menderita dalam rangka untuk
mencari kebahagiaan menurut persepsinya.
Kebahagiaan
bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada
Allah s.w.t.. Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh
Baginda s.a.w. yang mulia. Hidup ini bukan tempat setiap orang cari apa yang
dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal
dirinya diciptakan. Kalau mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna
yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkahmu dalam mencarinya adalah suatu
penderitaan. Akhirnya, yang kamu himpunkan hanyalah penderitaan demi
penderitaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan