Mau'izhatul Mu'minin min Ihya' Ulumiddin [Al-Iman Al-Ghazzaliy]
Kitab Kitab Ilmu Pengetahuan Bab: Keutamaan Ilmu Pengetahuan
Di dalam al-Quran al-Karim terdapat banyak sekali ayat-ayat yang menunjukkan kepada keutamaannya ilmu pengetahuan itu. Di antaranya ialah:
Kitab
Kitab Ilmu Pengetahuan Bab: Keutamaan
belajar
Kitab
Kitab Ilmu Pengetahuan Bab: Keutamaan
mengajar
Kitab
Kitab Ilmu Pengetahuan Bab: Ilmu
yang fardhu ‘ain
Kitab Ilmu Pengetahuan mengandungi 4 bahagian seperti di
bawah. Klik pada tajuk-tajuk berikut:
Kitab Kitab Ilmu Pengetahuan Bab: Keutamaan Ilmu Pengetahuan
Di dalam al-Quran al-Karim terdapat banyak sekali ayat-ayat yang menunjukkan kepada keutamaannya ilmu pengetahuan itu. Di antaranya ialah:
“Allah
telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia jua, begitu pula para
Malaikat dan para ahli ilmu pengetahuan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan
yang berdiri di atas keadilan.” (ali-Imran: 18)
Perhatikanlah
pada ayat yang tersebut di atas itu, bagaimana Allah s.w.t. telah memulakan
penyaksian itu dengan diriNya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan
sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Itu saja sudah cukup untuk
membuktikan, betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihannya.
Allah
berfirman pula:
“Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan
kamu, dan begitu pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa
darjat.” (al-Mujadalah: 11)
“Katakanlah:
Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada
berilmu pengetahuan.” (az-Zumar: 9)
“Hanyasanya
orang yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu, ialah
orang-orang yang berilmu pengetahuan.” (Fatir: 28)
“Andaikata
mereka mengembalikannya (berita itu) kepada Rasul dan kepada orang-orang yang
memegang urusan pemerintahan di antara mereka, tentulah halnya telah dimengerti
oleh orang-orang yang menelitinya dalam golongan mereka itu” (an-Nisa’:
83).
Jadi
hukum mengenai perkara-perkara yang berlaku itu harus dikembalikan kepada
kebijaksanaan orang-orang yang berilmu pengetahuan, kerana martabat mereka
ditingkatkan dengan martabat para Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah
s.w.t.
Adapun
Hadis-hadis yang berkenaan dengan keutamaan ilmu pengetahuan ada banyak juga,
seperti:
“Siapa yang dikehendaki baik oleh Allah s.w.t., maka Allah akan
meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkanNya
petunjuk di dalamnya”
“Para ulama
itu adalah warisan para Nabi”.
Tentulah
tiada martabat yang lebih tinggi dari martabat kenabian, dan tiada kemuliaan
yang lebih utama dari kemuliaan mewarisi martabat itu.
Rasulullah
s.a.w. bersabda:
“Apabila
datang kepadaku satu hari, sedang pada hari itu aku tiada bertambah ilmu
pengetahuan untuk mendekatkan diriku kepada Allah azzawajalia, maka tiada akan
diberkati bagiku terbitnya matahari hari itu.”
Sabda
Rasulullah s.a.w. dalam menentukan kelebihan ilmu pengetahuan atas segala rupa
ibadat dan penyaksian, katanya:
“Keutamaan
seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadatnya, laksana
keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan sahabatku.”
Cubalah
perhatikan, betapa itmu pengetahuan itu dipersamakan seiring dengan darjat
kenabian, dan betapa pula direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi dari
ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadat itu cukup mengetahui dengan
ibadat yang ia lakukan itu sehari-harian, kerana kiranya ibadat itu
ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ianya tidak boleh dinamakan ibadat.
Rasulullah
s.a.w. bersabda lagi:
“Kelebihan seorang alim atas seorang ‘abid, laksana kelebihan
bulan purnama ke atas seluruh bintang-gemintang.”
Di
antara wasiat Luqman al-Hakim terhadap anaknya ialah;
Wahai anakku! Pergaulilah para alim-ulama dan rapatilah mereka
dengan kedua lututmu, sebab Allah s.w.t. menghidupkan hati dengan nur (cahaya)
hikmat, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit.
Kitab
Kitab Ilmu Pengetahuan Bab: Keutamaan
belajar
Adapun ayat-ayat al-Quran yang berhubung
dengan keutamaan belajar itu, di antaranya ialah:
“Mengapa tidak ada
sekelompok pun dari setiap golongan mereka itu yang berangkat untuk menambah
ilmu pengetahuan agama.” (at-Taubah: 122)
“Maka
tanyakanlah para ahli ilmu pengetahuan, kiranya kamu tiada mengerti.” (an-Nahl:
43)
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa
menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah s.w.t. akan
melorongkan baginya jalan ke syurga.”
“Andaikata
anda berangkat untuk mempelajari suatu bab dari ilmu pemgetahuan, adalah lebih
utama dari anda bersembahyang seratus rakaat.”
“Menuntut
ilmu adalah wajib di atas setiap orang Muslim.”
Abu Darda’ berkata:
“Kiranya saya dapat mempelajari suatu
masalah, itu adalah lebih saya cinta daripada saya bangun beribadat sepanjang
malam.”
“Orang alim dan orang yang menuntut ilmu
itu, adalah dua orang yang berkongsi dalam kebaikan. Sementara orang-orang
selain keduanya adalah sesia belaka. Tiada bangun sama sekali.
Iman Syafi’i.r.a. berkata pula:
“Menuntut ilmu itu lebih utama dari
sembahyang sunnat.”
Berkata Fatah al-Maushili rahimahullah:
“Bukankah si pesakit itu bila tidak
diberikan makan atau minum ubat, ia akan mati!”
Orang ramai menjawab: “Benar katamu!”
Dia berkata pula: “Demikian pulalah sifatnya hati,
kiranya ia tidak diberikan hikmat dan ilmu pengetahuan selama tiga hari
saja, akan matilah ia.”
Sungguh
tepat sekali ucapan Fatah al-Maushili itu, kerana makanan hati ialah ilmu
pengetahuan dan hikmat, dan dengan kedua benda itulah ia boleh hidup,
sebagaimana tubuh badan itu hidup dengan makanan. Seorang yang tiada mempunyai
ilmu pengetahuan, hatinya menjadi sakit dan kematiannya sudah pasti. Akan
tetapi ia tidak akan merasakan yang demikian itu, kerana kecintaannya kepada
dunia dan kesibukannya tentang dunia itu akan melenyapkan perasaannya. Kita
berlindung dengan Allah pada hari di mana segala tabir akan tersingkap.
Sesungguhnya manusia itu sedang nyenyak dalam tidurnya, nanti ia bila mati akan
tersedar.
Berkata
Ibnu Mas’ud r.a.:
“Hendaklah
kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ianya terangkat, dan terangkatnya ilmu
pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan
sebagai orang yang sudah pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya
dengan belajar.”
Kitab
Kitab Ilmu Pengetahuan Bab: Keutamaan
mengajar
Ayat-ayat
al-Quran mengenai keutamaan mengajar ini, ialah di antaranya firman Allah
Ta’ala:
“Hendaklah
mereka memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila telah kembali kepada
mereka nanti, moga-moga mereka berhati-hati.” (at-Taubah: 122)
Maksudnya
ialah memperingatkan mereka itu dengan pelajaran dan petunjuk yang diperolehinya.
“Dan di waktu Tuhan mengambil janji
orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu sekalian
menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu, dan jangan sampai
kamu menyembunyikannya.” (ali-Imran: 187)
Maksudnya
ialah mewajibkan orang yang berilmu itu menyebarkan ilmunya dengan mengajar.
“Ada sebahagian dari
mereka itu yang menyembunyikan kebenaran, sedangkan mereka itu mengetahui
(hukumnya).” (al-Baqarah: 146)
Maksudnya
menghukumkan salah atau haram orang yang menyembunyikan ilmu pengetahuanya,
sebagaimana dihukumkan haram pula orang yang menyembunyikan penyaksiannya.
Firman
Allah Ta’ala:
“Barangsiapa
menyembunyikannya (penyaksian), maka berdosalah hatinya.”
(al-Baqarah: 283)
“Siapakah orang yang lebih baik ucapannya
daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan.”
(Fushshilat: 32)
Allah
berfirman lagi:
“Serulah
ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik.” (an-Nahl:
125)
“Dan dia mengajarkan kepada mereka
(kandungan) kitab dan kebijaksanaan.” (al-Baqarah: 151)
Adapun
Hadis-hadis yang menunjukkan tentang keutamaan mengajar, umpamanya pesanan
baginda Rasulullah s.a.w. ketika mengirim Mu’az ke Yaman, bunyinya:
“Andaikata
Allah s.w.t memberikan hidayat kepada seorang dari hasil usahamu, adalah lebih
baik bagimu dari dunia dan seisinya.”
Sabda
Rasulullah s.a.w.
“Sesiapa yang
mengetahui sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, niscaya di Hari Kiamat nanti, ia
akan dikekang oleh Allah s.w.t. dengan tali kekang dari api neraka.”
“Sesungguhnya Allah s.w.t. dan para MalaikatNya, begitu juga
penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan
yang di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan
kepada orang ramai.”
“Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah
amalannya melainkan dalam tiga perkara: iaitu sedekah jariah (yang berterusan),
ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang saleh yang mendoakan baginya.”
“Orang yang menunjuk ke jalan kebaikan sama saperti mengerjakan
baginya.”
Ada satu sabda
lagi berbunyi: “Moga-moga
Allah mencucurkan rahmatNya ke atas Khalifah-khalifahku.” Baginda
lalu ditanya: “Siapakah
mereka khalifah-khalifahmu?” Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “mereka itu adalah orang-orang yang
menghidupkan sunnatku serta mengajarkannya kepada hamba-hamba Allah.”
Dari
atsar pula, apa yang diriwayatkan dari Mua’z, katanya:
“Pelajarilah
ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah adalah tanda takut
kepadaNya, menuntutnya adalah ibadat, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah
jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah,
memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan dalam masa kesepian
dan teman dalam masa kesunyian. Dialah petunjuk jalan kepada agama, dan
pendorong kesabaran dalam masa kepayahan dan kesempatan.”
Allah
mengangkat setengah-setengah kamu karena ilmu pengetahuannya, maka dijadikannya
pemimpin, penghulu dan penunjuk jalan kebaikan yang diikut oleh orang ramai.
Orang yang berilmu pengetahuan itu juga menjadi model utama dalam amalan
kebajikan, dicontohi segala jejak-langkahnya, dan dituruti segala kelakuannya.
Dengan
ilmu pengetahuan seorang hamba itu akan sampai ke peringkat orang-orang yang
terpuji ketaatannya dan tertinggi kedudukannya. Memikirkan perihal ilmu pengetahuan
setanding pahalanya dengan berpuasa, dan menelaahnya setanding pahalanya dengan
bangun beribadat di tengah malam. Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati
Allah Azzawajalla, memperhambakan diri kepadaNya, MengEsakanNya dan
membesarkanNya. Dengan ilmu pengetahuan juga manusia boleh mencapai darjat
kewajiban kewarakan, dan dengannya pula manusia menyambung silaturrahim. Dengan
ilmu pengetahuan juga, ia akan mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu
pengetahuan itu adalah diumpamakan sebagai pembimbing, manakala amalan pula
menjadi pengikutnya, dan berbahagialah orang yang menerima ilham dari ilmu
pengetahuan, dan celakalah orang yang terhalang dari ilmu pengetahuan.
Berkata
al-Hassan r.a.:
“Kalaulah
tidak kerana para ulama, niscayalah manusia sekaliannya sama seperti binatang.”
Maksudnya
dengan adanya para ulama yang mengajar manusia terkeluarlah mereka dari
peringkat-peringkat kebinatangan dan memasuki peringkat kemanusiaan.
Kitab
Kitab Ilmu Pengetahuan Bab: Ilmu
yang fardhu ‘ain
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Menuntut ilmu itu adalah wajib atas setiap Muslim.”
Termasuk
ilmu yang dikatakan fardhu ‘ain itu, ialah ilmu pengetahuan yang bakal
mengenalkan asas tauhid (MengEsakan Allah) yang dengannya pula dapat diketahui
Zat Allah Ta’ala dan sifat-sifatNya.
Termasuk
fardhu ‘ain juga ilmu pengetahuan yang dengannya dapat dituntut cara-cara
beribadat, dibedakan antara yang halal dan yang haram, dan mana satu yang
dilarang oleh agama, dan mana yang pula yang dibolehkan dalam urusan agama, dan
mana pula yang dibolehkan dalam urusan hidup sehari-hari.
Termasuk juga ilmu yang fardhu ‘ ain ialah ilmu yang
mengenalkan hal-ehwal hati, mengenai sifat-sifatnya yang terpuji, seperti
bersabar, bersyukur, bermurah hati, berakhlak tinggi, bergaul baik, berkata
benar dan iklas. Begitu juga dengan sifat-sifatnya yang terkeji, seperti
balas-dendam, dengki, menipu, meninggi diri, riya’, marah berseteru, membenci
dan kikir. Maka mengetahui apa-apa yang harus dilakukan dari sifat-sifat yang
pertama dan apa-apa yang harus ditinggalkan dari sifat-sifat yang kedua itu
adalah fardhu ‘ain. Seperti mana hukumnya membersihkan hal-hal mengenai kepercayaan,
ibadat atau mu’amalat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan