Catatan Popular

Sabtu, 25 Jun 2016

TASAWWUF MODEN FASAL 5 PENDAPAT NABI MUHAMMAD SAW (DARI BAB 1 BERBAGAI PENDAPAT TENTANG BAHAGIA)



TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)


Sekarang marilah kita selidik bagaimana pendapat Nabi Muhammad s.a.w., dari hal bahagia, setelah kita lihat beberapa pendapat Falsafah Timur dan Barat.

Dari Aisyah r.a., bahawa pada suatu hari dia bertanya kepada Rasulullah saw:

"Ya Rasulullah, dengan apakah kelebihan setengah manusia dari yang setengahnya?".

Rasulullah saw menjawab: "Dengan akal".

Kata Aisyah pula" "Dan di akhirat?".

"Dengan akal juga". Kata baginda.

"Bukankah seorang manusia lebih dari manusia yang lain dari hal pahala lantaran amal ibadatnya?". Kata Aisyah pula.

"Hai Aisyah, bukankah amal ibadat yang mereka kerjakan itu hanya menurut kadar akalnya? Sekadar ketinggian darjat akalnya, sebegitulah ibadah mereka dan menurut amal itu pula pahala yang diberikan kepada mereka".

Sabda Rasulullah pula:

"Allah telah membagi akal kepada tiga bagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga bagiannya, sempurnalah akalnya, kalau kekurangan walau sebagian, tidaklah ia terhitung orang yang berakal.

Orang bertanya: "Ya Rasulullah, manakah bagian yang tiga macam itu?".

Kata baginda: "Pertama baik makrifatnya dengan Allah, kedua baik taatnya bagi Allah, baik pula sabarnya atau ketentuan Allah".

Berkata setengah Hukama:

"Tiap-tiap sesuatu di dalam alam ini ada batas perjalanannya. Tetapi akal tidak terbatas, adapun manusia bertingkat-tingkat di dalam darjat akalnya, laksana darjat wangi dari tiap-tiap bunga.

Dari sabda Nabi itu, dapat kita ambil kesimpulan bahawa darjat bahagia manusia itu menurut darjat akalnya, kerana akallah yang dapat membezakan antara baik dengan buruk, akal yang dapat mengagak-agihkan segala pekerjaan, akal yang menyelidik hakikat dan kejadian segala sesuatu yang dituju dalam perjalanan hidup dunia ini. Bertambah sempurna, bertambah indah dan murni akal itu, bertambah pulalah tinggi darjat bahagia yang kita capai, sebab itu menurut kehendak hadis tadi kepada kesempurnaan akallah kesempurnaan bahagia.

Akal manusia bertingkat, kehendak manusia berbeza-beza menurut tingkat akal masing-masing. Setengah manusia sangat cinta kepada kehormatan dan kemuliaan, sehingga simpang perjalanan dan segala ikhtiar dipergunakannya untuk sampai ke situ. Ia mahu berkorban, mahu menempuh kesusahan dan kesakitan asal ia boleh encapai kemuliaan dan kehormatan. Pada hal setengah golongan tidak peduli semua itu. Buat dia, asal dapat mencapai hidup, tak mengganggu orang lain, cukuplah. Apa guna menghabiskan tenaga untuk mencapai kemuliaan dan kehormatan yang bagaikan mimpi itu.

Harta benda dunia, sebagian besar manusia berusaha mencari, bersusah payah, menghabiskan tenaga, tidak peduli hujan-panas, haus lapar, kadang-kadang berhilang-hilang negeri, meninggalkan kampung, anak isteri dan handai taulan. Padahal ada pula golongan yang tidak peduli akan harta benda itu, asal hatinya tenteram di dalam khalwat mengingat Tuhannya, sebagaimana kebiasaan ahli-ahli zuhud dan sufi yang masyhur, asal lekat pakaian untuk penutup aurat, dapat sesuap pagi dan petang, cukuplah. Dia juga ignin kekayaan, tetapi kakayaan jiwa. Dia ingin juga kemuliaan, tetapi kemuliaan yang lebih kekal dari harta.

Ada orang lupa siang, lupa malam, lupa kampung dan lupa negeri hanya untuk mencari pangkat, mencari tepuk kuduk (sanjungan), mencari pujian, mencari beberapa keping emas, perak dan tembaga yang akan dideretkan di atas dadanya, yang tergadai, teragun harta benda pusaka nenek moyangnya. Padahal ada pula golongan yang tidak lekat di hatinya segala perhiasan yang tak kekal itu, kerana dipandangnya bahawa segala barang-barang perhiasan dada itu, tak lebih harganya dengan permainan kuda-kuda dan puput anak-anak.

Ada orang yang di mana-mana ingin menonjolkan diri seperti 'ayam putih', di gelanggang. Ingin, terus di muka saja hendaknya, jangan sampai ketinggalan. Padahal ada pula orang yang benci pada segala yang ramai, berniat hendak memisahkan dirinya ke tempat sunyi, supaya tidak bergaul dengan manusia yang ramai ini, yang diikat oleh beberapa kewajipan, yang memenatkan diri. Di tempat sunyi dia bebas mengingat Rabbul Izzati semata-mata.

Segala perbezaan dan perubahan tingkatan pandangan hidup manusia itu, timbul kerana perbezaan tingkatan pendapat akal. Berlainan pendapat kerana berlainan pengetahuan, pendidikan dan berbeza pula bumi tempat tegak. Jika akal itu telah tinggi kerana tinggi pengetahuan (ilmu) dipatrikan oleh ketinggian pengalaman, bertambahlah tinggi darjat orang yang mempunyainya. Kerana sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam alam ini, hakikatnya sama saja, yang berubah adalah pendapat orang yang menyelidikinya. Maka kepandaian manusia menyelidiki itulah yang menjadi pangkal bahagia atau celakanya.

Bertambah luas akal, bertambah luaslah hidup, bertambah datanglah bahagia. Bertambah sempit akal, bertambah sempit pula hidup, bertambah datanglah celaka.

Oleh agama perjalanan bahagia itu telah diberi berakhir. Puncaknya yang penghabisan ialah kenal pada Tuhan, baik makrifat kepadaNya, baik taat kepadaNya dan sabar atas musibahNya. Tidak ada lagi hidup di ata itu!

Disinilah timbul kehairanan kita melihat orang yang setiap hari menyisir rambutnya, tetapi tak pernah menyisir otaknya, berusaha membusungkan dadanya, tetapi tidak membusungkan hatinya. Digosoknya sepatunya tetapi tidak digosoknya akalnya sehingga ia tak pernah bertemu dengan bahagia, hanya mendengar dari orang ke orang, dari mulut ke mulut. Ia duduk dekat orang yang bahagia, tetapi dia jauh dari bahagia. Ada lurah yang dalam membatas mereka, padahal mereka duduk berdekatan.

Kita hairan melihat manusia, yang takut rugi dengan hartanya, tetapi mudah beroleh kerugian, yang lebih besar, iaitu murka Tuhannya. Ia ubati dengan segala cara anaknya yang jatuh sakit, iaitu sakit badan, tetpi tidak dicarkannya ubat jika anaknya mendapat sakit batin, iaitu sakit akal.

Kalau akal ini telah dilepaskan dari segala kungkungannya, hanya dihadapkan kepada Zat Yang Menguasainya saja, kalau telah datang zaman itu, akan datang pulalah perubahan yang besar di dalam peripenghidupan manusia. Terlepaslah manusia daripada ancaman sesama anak Adam, tidak ada lagi tempat takut melainkan Yang Maha Esa jua adanya.

Segalanya barang yang ada di atas dunia ini sama saja harganya, tidak erlebih berkurang. Hanya emas sama dengan tembaga, harga tanah sama dengan rumah batu, harga segulung kertas koran sama dengan harga segulung wang kertas di dalam peti, yang berubah bukan barang itu melainkan penghargaan manusia atasnya. Misalnya yang dekat di hadapan kita sangat cukup. Seorang yang tidak mengerti bahasa Inggeris, buat dia tidak lebih harganya daripada kertas pembungkus gula. Tetapi harga Rp1,000 (satu ringgit) itu, bagi yang mengerti bahasa Inggeris tadi dirasa mahal. Pergilah ke pasar loak (barang terpakai) tuan akan berjumpa dengan karangan filosof dijual dengan timbangan kilogram.

Rokok, walaupun bagaimana mahal, wangi dan menerbitkan nafsu bagi perokok, bagi yang tidak merokok, tidaklah berharga sedikit pun.

Peulis buku ini tidak menghargakan buah-pala yang banyak berserak di bawah batangnya di dalam kebun di dusunnya. Tetapi seketika dia di Makkah sebelum perang, jika ada orang yang hendak menjual kepadanya sepuluh sen sebiji, maulah dia rasanya membeli, kerana sangat ingin. Kemudian bila telah pulang ke kampung, buah pala yang berserakkan di bawah batangnya itu, menengok saja pun dia tak mahu lagi.

Jadi sampai sekarang belum juga dapat orang menentukan, bilakah masanya orang merasa bahagia. Orang rindu akan sesuatu sebelum ada padanya, tetapi bila telah ada, hilanglah kerinduannya, sebab segala isi dunia ini indahnya sebelum ada di tangan. Rockeveller seorang yang sangat kaya, sebelum kaya sangat rindu hendak beroleh bahagia dengan kaya. Wangnya yang berbilion sebanyak aliran minyak tanah Socony itu tidak ada harga lagi baginya, yang lebih dirinduinya dan lebih dicintainya serta ia berasa bahagia jika diperolehnya, ialah jika uurnya yang 97 tahun (1973) dicukupkan Allah seratus tahun, menunggu tiga tahun lagi. Tetapi tahun 1973 itu dia mati juga, tak dapat ditebusnya kekurangan yang 3 tahun itu dengan wang berbilion itu!

Di negara Surakarta Hadhiningrat ada seorang perempuan tua, Mbok Suro namanya, sudah satu setengah abad usianya (150 tahun), dan hidupnya sangat miskin. Sudah berkali-kali dilihatnya raja diangkat dan raja mati, dan kerana miskinnya sudah kerapkali dia bosan hidup. Akan lebih berbagagialah dia kiranya, kalau dia lekas mati, namun mati tidak juga datang. Kalau nasib itu boleh menurut kehendak kita, apalah salahnya diberikannya kelebihan usianya itu kepada Rockefeler barang tiga tahun saja, tentu kalau boleh, mahu agakya Rockefeller mengganti kerugian umur itu dengan separuh kekayaannya.

Sebab itu sekali-kali tidaklah bernama bahagia dan nikmatnya jika hati dan khayal kita hanya kita perhubungkan dengan isi alam yang lahir ini, yang harganya hanya menurut keinginan kita. Jangan terlalu diperintah oleh khayal, oleh angan-angan, oleh fantasi, kerana itu jugalah yang memalingkan kita dari bahagia yang sebenarnya tujuan hidup, yang mulanya tangis akhirnya tertawa, dan mulanya pahit akhirnya manis.

Ramai manusia yang diperdayakan oleh cahaya samar ketika dia dalam gelap, perasaannya didahulukannya daripda pertimbangannya. Dia datang kepada cahaya yang baru itu, sampai di sana yang dicarinya tak ada sama sekali. Akan kembali ke tempat asalnya, jalan telah lebh gelap dari dahulu, lantaran ia tak sabar menunggu cahaya yang sejati.

Memang, sebab-sebab buat mencapai bahagia amat banyak, tetapi kita manusia mencari juga yang lain. Dia ada dalam tangan kita, tetapi kita cari yang ada di tangan orang lain kerana yang di tangan orang itu kelihatan lebh indah.

Sekarang mengertilah kita, bahawa segala sesuatu di dalam alam ini baik dan buruknya bukanlah pada zat sesuatu itu, tetapi pada penghargaan kehendak kita atasnya, menurut tinggi rendahnya akal kita. Apalah gunanya pena emas bagi orang yang tak pandai menulis? Aplah harga Quran bagi seorang atheis (tidak beragama). Apalah harga intan bagi orang gila? Sebabitulah kita manusia disuruh membersihkan akal budi, supaya dengan akal budi kita mencapai bahagia yang sejati.

Tiada ulasan: