Catatan Popular

Selasa, 22 September 2015

KITAB TUAN TABAL @ TO’ TAKBAI: JALA’UL QULUB BI ZIKRILLAH (SIRI 8)



oleh Shaikh Abdusshamad bin Wan Muhammad Shalih bin Wan Abdul Lathif al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tuan Tabal @ To’ Takbai (Penyebar Thariqat Ahmadiyyah Pertama di Nusantara)



 
Fashal (فصل) ini pada menyatakan mengesakan af’al Allah

Hai saudaraku! Sucikan olehmu akan hatimu daripada syirik khafi(1) dengan Allah dan hiasi olehmu akan dia dengan mengesakan af’al Allah supaya lepas engkau di dalam dua negeri daripada azab Allah. Janganlah engkau sangkakan segala perbuatan itu daripada makhluk Allah kerana sekalian perbuatan itu daripada Allah [pada haqiqatnya]. Maka janganlah engkau mengit’tirodkan af’al Allah supaya jangan terbakar engkau dengan api i’tirod kepada Allah kerana Ia yang menggerakkan sekalian alam ini dan mendirikan dia dan [D]ialah yang mentadbirkan bagi sekalian alam, dan yang melakukan sekalian kelakuan alam ini dan sekalian makhluq ini seperti alat بيدي Allah. Maka pada tiap-tiap ketika engkau sebutkan Allah dan bangsakan olehmu akan sekalian perbuatan itu bagi Allah supaya adalah engkau daripada ahlillah. Maka tiada kuasa engkau hendak menyakiti makhluq Allah kerana malu engkau daripada Allah. Dan tiada sakit hatimu daripada perbuatan seseorang kerana sakit hati engkau serta Allah. Kerana [D]ialah yang berbuat segala perbuatan [se]seorang dan takutlah engkau daripada memecahkan hati orang mu’min kerana jadi engkau meruntuhkan ka’bah Allah. Maka lari olehmu daripada makhluq kepada khaliq dan engkau jauhkan daripada bercampur pada segala pekerjaan makhluq dan lepaslah [buanglah] engkau daripada keinginan dan pemarah dan jadi engkau hamba yang suci bagi Allah dan tiada kamu kasih dan benci melainkan kerana Allah dan sampailah engkau kepada khalwat(2) serta Allah.

________________________________________

Notakaki:-

(1) Syirik khafi seperti menurut Syaikh Muhammad Nafis didalam kitabnya Duraratun Nafisah syarah bagi kitab ad-Durrun Nafis: Adapun segala yang menegahkan sampai ia orang yang salik itu berjalan kepada Allah Ta’ala itupun amat banyak juga dan setengah daripadanya itu SYIRIK KHAFI. Artinya syirik yang tersembunyi didalam hati iaiitu membangsakan ia segala perbuatan yang terbit ia daripada makhluq Allah itu kepada makhluq itu juga tiada kepada Allah Ta’ala. Karena pada haqiqatnya yakni yang sebenarnya, segala perbuatan ini sekaliannya terbit ia daripada Allah Ta’ala itu juga. Dan adalah segala makhluq ini seolah-olah alat perkakas perbuatan Allah itu juga. Umpamanya itu dengan tiada disertakan seperti umpama qalam pada tangan orang yang menyurat sebarang kehendak tangan orang yang menyurat itu ……

(2) Menurut ahli tasawwuf, khalwat terbahagi kepada 2 jenis, iaitu yang umum dan yang khusus. Khalwat yang umum iaitu bila seseorang mukmin itu melapangkan masa untuk berzikir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya. Khalwat yang khusus iaitu bertujuan untuk sampai ke darjat ehsan (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebutkan ان تعبد الله كأنك تراه ، فإن لم تكن تراه فإنه يراك Ehsan itu engkau ubudiyyah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya seandainya engkau tidak melihatNya sesungguhnya Dia melihat engkau).

Khalwat yang khusus terbahagi kepada 2 tahap. Pertama bagi salik, khalwat dilakukan dengan tubuh badan dan hati sekali. Kedua bagi golongan ariffin, khalwat dilakukan dengan hati sahaja walaupun tubuh badan mereka bercampur gaul dengan orang ramai namun hati mereka semata-mata dengan Allah sahaja. Khalwat jenis ini yang dimaksudkan dengan istilah “al-Khalwat fil Jawlah”. Khalwat inilah yang dimaksudkan oleh Shaikh al-Jurjani (w 816H) bila beliau mendefinasikan khalwat sebagai “bisikan sirr beserta Allah semata-mata” (at-Ta’rifaat, hlm. 136).

Asy-Syaikh al-‘Allamah Muhammad bin Abdullah al-Khani, seorang khalifah kepada Syaikh Khalid al-Baghdadi رضي الله عنهم menyebut didalam kitabnya al-Bahjatus Saniah, halaman 83-84 (cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiah) maksudnya: “kalimah ketujuh : Khilwah dar Anjuman -` Khalwat itu dalam istilah Sufiyyah dikenali sebagai suatu tempat di mana ahli suluk berasingan untuk beribadat dan "anjuman" bermakna "perkumpulan manusia".

Maka makna yang dikehendaki dengannya di sisi mereka adalah bahwa hendaklah hal keadaan hati salik itu hadir berserta dengan al-Haq, dengan hadhir yang "ghaib" dari makhluq sedangkan keadaannnya bergaulan dengan manusia maka pada makna ini jadilah makna kalimah "khalwat dar anjuman" ini dengan makna muraqobah.

(Kemudian ketahuilah) bahwa khalwat itu dua bahagian:

(Yang pertama) - Khalwat dzohir iaitu salik bersunyian dalam sebuah rumah (tempat) yang sunyi dari manusia. Dan dia duduk dalamnya supaya hasil baginya menilik-nilik ke alam malakut dan syuhud pada 'alam jabarut, kerana sesungguhnya pancaindera dzohir itu apabila terhalang maka terbuka pancaindera bathin untuk memerhatikan tanda-tanda alam malakut dan mukasyafah rahsia-rahsia alam jabarut.

(Yang kedua) - Khalwat secara bathin di mana bathinnya sentiasa musyahdah rahsia-rahsia al-Haq dan dzhohirnya (jasadnya) berada di lingkungan manusia dan bergaul dengan mereka sekira-sekira tidak menyibukkan pergaulan dzohir itu dari musyahadahnya yang bathin, maka jadilah ketika itu bathinnya terpisah dari pergaulan dzohirnya. Dan inilah khalwat yang haqiqi sebagaimana yang disebut oleh Allah Ta'ala yang mafhumnya: "Lelaki yang jual beli dan perniagaannya tidak melalaikannya dari dzikrullah".

Dan khalwat inilah yang khusus bagi thoriqah Naqsyabandiyyah kerana pemuka-pemukanya tidak berkhalwat dengan khalwat dzohir dan sesungguhnya khalwat mereka khalwat bathin di sisi perhimpunan manusia sebagaimana kata-kata Khawajah Bahauddin Naqshbandi قدس الله سره; "Thoriqah kami adalah al-suhbah dan kebaikan itu adalah dalam berhimpun".

Sesungguhnya mereka memilih khalwat cara ini kerna mengikuti sunnah Nabi صلى الله عليه وسلمkerna Nabi صلى الله عليه وسلمmemilih berhimpun daripada khalwat dan baginda صلى الله عليه وسلم bersabda : "Seorang mukmin yang mencampuri manusia dan sabar atas kesakitan dari mereka adalah terlebih baik dari mukmin yang tiada mencampuri manusia".

Dan berkata Syeikh Abu Sa'id al-Kharraz قدس الله سره :"Bukanlah orang kamil itu seorang yang timbul darinya beberapa karamah, sesungguhnya orang kamil itu ialah orang yang duduk berserta makhluq, menjual dan membeli dengan mereka, berkahwin dan bercampur manusia sedangkan mereka tiada lalai dari Allah walaupun sedetik". (tammat petikan)

Tiada ulasan: