Catatan Popular

Ahad, 22 September 2013

SEJERNIH-JERNIH MAKRIFAT TOK KENALI : BAGAIMANA CARA PERCAYA KEPADA RUKUN IMAN



NUKILAN HJ SAARI MOHD YUSOF (PEWARIS KETIGA ILMU MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN)



Apakah maksud percaya kepada Allah.

Percaya kepada Allah itu, biarlah sampai kepada tahap tidak dikeranakan dengan suatu kerna. Tidak disebabkan dengan suatu sebab dan tidak disabitkan dengan suatu sabit.

Percaya kepada Allah itu, hendaklah tidak dengan beralasan. Kerana Allah itu, adalah Allah. Yang nyata Allah, yang ghaib Allah, yang zahir Allah, yang batin Allah, yang awal Allah dan yang akhir pun Allah. Segala-galanya Allah, kenapa masih tak terlihat Allah.

Tidak ada ruang untuk wujud (ada), ujud (menjadikan) dan maujud (dijadikan) sifat makhuk. Tidak ada ruang diantara awal dan akhir itu, ditengah-tengahnya adanya kita.

Percayalah bahawasanya Allah itu, terang yang wajahNya lebih terang dari cahaya matahari. Dekat mata putih dengan mata hitam, lebih dekat lagi Allah. Nyatanya ibu bapa kita, sesungguhnya Allah itu lebih nyata dari kedua ibu bapa kita. Kenapa tak terlihat.

Mengenal, melihat, memandang atau menatap wajah Allah itu, hendaklah dengan nyata senyata-nyatanya. Tanpa terselindung oleh sesuatu. Allah bukan sesuatu tetapi zahir pada tiap sesuatu.

Allah tidak ada hijab, tidak ada dinding dan tidak ada tabir, yang boleh menghalang kita dari menilik, menatap, memandang atau melihatNya. Sebab yang menjadi terhijabnya kita dari tertilik Allah itu, adalah kerana kita masih mengadakan “sifat keakuan”.

Percaya kepada Allah itu, hendaklah sampai sehingga kepada tahap tidak ada dalil. Kerana segala-galanya itu, adalah wujudnya Allah. La Maujud Bilhaqki Illalah.

Apakah maksud atau beriman kepada Al-Quran.

Maksud beriman kepada Al-Quran itu, adalah hendaklah kita mendahului Allah berbanding diri kita. Quran itu adalah kalam Allah. Kalam Allah itu, adalah perkataan Allah. Bermaknanya di sini, hendaklah kita mendahului kata-kata atau ketetapan Allah, berbanding kata kita atau ketetapan akal kita. Bilamana kita beriman kepada Al-Quran, bermakna kita dikehendaki mendahului ketetapan Allah, berbanding ketetapan ketetapan yang kita tetapkan.

Apa yang terjadi atas kita itu, hendaklah kita tahu yang bahawasanya ketetapan kata Allah itu, telah mendahului kejadian apa yang berlaku. Sebelum kita rugi dalam perniagaan, sebelum kita putus kasih, sebelum bercerai atau sebelum kita mati itu, sesungguhnya Allah sudah merugikan kita sebelum kita rugi. Sebelum kita putus tunang, putus kasih atau bercerai itu, sesungguhnya kita telah diputus atau telah diceraikan oleh Allah mendahului putus atau bercerainya kita. Sebelum kita lahir atau sebelum kita mati, ketetapan Allah itu, telah mendahului kita. Sebenarnya sebelum kita lahir, Allah dan lahirkan kita dalam ilmuNya.

Sebelum kita mati, sesungguhnya kita itu telah dimatikan Allah, dalam ilmuNya. Sebelum kita masuk syurga atau neraka itu, sesungguhnya Allah sudah terlebih dahulu memasukkan kita kedalam syurga atau neraka.

Kata-kata Allah itu, sesungguhnya telah medahulu kata-kata, niat atau kehendak kita. Maka redha dan ikhlaslah dalam menerima segala cubaan atau musibah yang berlaku. Beriman kepada Al-Quraan itu, adalah mendahulu kata-kata Allah berbanding kata-kata kita. Mendahului ketetapan Allah sebelumnya, berbanding apa yang berlaku.

Mana sebenar-benar Al-Quraan?

Yang kita sebut itu suara atau bunyi suara yang keluarnya dari bibir mulut. Yang kita baca itu, adalah berupa suratan atau berupa tulisan (dari dakwat) yang tertulis diatas yang berupa kertas.

Sedangkan Al-Quraan itu, adalah kalam Allah, bahasa Allah, kata-kata Allah, ucapan Allah dan suara Allah. Yang tidak berhuruf, tidak bersuara, tidak berjirim dan tidak berjisim.

Adapun yang kita baca itu, adalah berupa kertas yang bertulilsan dengan dakwat. Dibakar hangus, direndam basah, ditanam dalam, digantung tinggi dan ditembak tembus. Sedangkan kata-kata Allah itu adalah berupa bahasa percakapan Allah yang tidak sama dengan suara bibir mulut kita.

Jika Quran itu, bukan seperti suara bibir, bukan seperti tulisan atas kertas, dimanakah kata-kata Allah yang bernama Quran?

Yang kita sebut itu, suara yang keluarnya dari anggota bibir, adapun kata-kata Allah itu, tidak sebagaimana suara bibir. Yang kita baca itu, adalah kertas, sedangkan kata-kata Allah itu, tidak seperti kertas. Manakah yang dikatakan sebenar-benar Al-Quran (sebenar-benar kata-kata Allah). Atau dalam bahasa mudah, Al-Quran itu, adalah percakapan Alah. Adapun percakapan Allah itu, bukan sebagai petuturan bibir mulut, dimana Al-Quran?

Al-Quran atau kata-kata Allah itu, adalah “KUN”, dari perkataan kun itulah, makanya terjadinya sekalian Alam.

Oleh itu, sekalian Alam inilah “KUN” Allah, kata-kata Allah atau Al-Quran.

Apakah maksud beriman kepada Rasul.

Rasul itu ertinya pesuruh manakala pesuruh itu pula, adalah orang yang kena suruh. Adapun maksud beriman kepada Rasul itu, adalah mendahului kena suruh daripada yang menyuruh.

Maknanya di sini bahawa sebelum kita melakukan sesuatu, sebenarnya kita telah melakukan sesuatu mengikut kehendak yang menyuruh, yang menyuruh itu, seungguhnya telah mendahului sebelum segala sesuatu sampai kepada yang kena suruh.

Kita kena percaya dan penuh yakin bahawa sebelum segalanya sesuatu itu berlaku atau terjadi, sesungguhnya perlakuan dan kejadian itu, sesungguhnya telah pun berlaku dan telahpun siap terjadi sebelumnya.

Setelah kita yakin dan penuh percaya kepada rasul (beriman kepada Rasul), maka hendaklah kita taat, patuh dan mengikut serta mematuhi apa sahaja yang telah dahulu ditetapkan sebelumnya. Ingatlah bahawsanya kita ini, orang yang kena suruh (pesuruh), kita ini kuli dan kita ini hanyalah hamba sahaya yang fakir, yang hanya menurut sahaja apa perintah atau kehendak yang telah ditetapkan.

Jika diberi sakit, maka sakitlah kita, jika diberi miskin, maka miskinlah kita, jika diberi musibah, maka azablah kita dan jika diberi mati, maka matilah kita. selaku yang kena suruh, hendaklah kita patuh kepada apa yang ditetapkan atas kita.

Bilamana kita percaya kepada pesuruh (yang kena suruh), kita tidak boleh lagi mengeluh atau merungut dari apa yang telah ditetap dan yang telah ditakdirkan oleh Allah atas kita.

Apakah maksud percaya kepada Malaikat

Untuk mengenal malaikat, hendaklah terlebih dahulu kita tahu akan tugas-tugasnya. Setelah kita kenal dan tahu akan tugasnya, barulah kita boleh kenal dan tahu siapa itu Malikat sebenarnya. Seumpama tugas bagi pasukan bomba. Pasukan bomba adalah dengan tugas-tugas pemadam api. Pasukan polis pula menangkap pencuri dan pasukan ambulan pula menyelamat orang sakit dan sebagainya. Dengan mengenal tugas, maka kita akan kenal tuannya.

Begitu juga Malaikat. Bilamana kita kenal tugas malaikat, maka sudah tentu kita akan kenal siapa tuannya.

Tugas Malaikat Jibrail itu, adalah menurunkan wahyu. Malaikat Jibrail itu, jika dikiaskan kepada diri kita, ianya adalah merupakan “akal, fikiran atau otak”. Yang tugas menanggug pemikiran atau menerima tugasan memikir sebagaimana tugas Jibrail yang menurun wahyu. Jibrail itu, jika dikiaskan pada diri kita adalah “akal”.

Malaikat Izrafil itu, tugasnya meniup serunai sanggkala. Serunai Malaikat Izrafil itu, jika dikiaskan kepada diri kita, ianya adalah berupa (serunai), anggota “mulut” yang mengeluar suara dari kedua bibir mulut.

Malaikat Mikail pula tugasnya menurunkan hujan. Malaikat Mikail, jika dikiaskan kepada diri kita, ianya adalah berupa (hujan) “mata” yang menurunkan air mata.

Manakala Malaikat Izrail pula, tugasnya adalah menarik nyawa. Malaikat Izrail, jika dikiaskan kepada diri kita, ianya adalah berupa (naik turun nafas) “hidung” yang menurun dan menaikkan nafas.

Dari itu, kenallah kita akan siapa itu kiasan kepada para Malaikat. Segalanya ada tafsirannya pada diri kita.

Apakah maksud percaya kepada Qada dan Qadar

Percaya kepada kada dan kadar itu, adalah percaya kepada untung baik dan untung buruk. Segalanyanya baik dan buruk itu, sesungguhnya adalah datangnya dari Allah Taala.

Bilamana sesuatu itu datangnya daripada Allah Taala, maka segalanya itu akan kelihatan baik dan akan jadi segala-galanya cantik.

Jika kereta kita kena langgar, kehilangan wang, kehilangan nyawa anak isteri sekalipun, kita kena percaya bahawa tiada suatu gerak sekalipun sebesar zarah, melainkan datangnya gerak itu biar sebesar zarah sekalipun, itu sesungguhnya adalah datangnya dari kehendak dan keizinan Allah Taala.

Terimalah samaada baik atau buruk, kerana baik dan buruk itu, sesungguhnya adalah datangnya dari anuggerah dan kurniaan Allah. Bilamana datangnya dari kurniaan atau anugerah Allah, segalanya akan menjadi nikmat.
.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Firman Allah:

"Begitu berusaha insan untuk menjadikan insan jua sebagai tuhan yang nyata, lalu menghidupkan kefahamannya agar seluruh insan mempercayai, bahawa di dalam seluruh insan terkandung cahaya Muhamad, begitu besar kuasa Muhamad sehingga mampu menghadirkan cahayanya terhadap seluruh insan, bukankah itu cara mereka untuk menyingkir kekuasaan Ku.
Sedangkan Muhamad itu tidak akan hidup tanpa kekuasaan Ku, bagaimana mungkin ia mampu memberi cahayanya kepada seluruh insan, bahkan dunia semakin gelap kerana mengikut kefahamannya, jihad pembunuhan masih jua berterusan, yang mana seruannya itu masih hidup hingga kini tanpa kesudahannya, apakah ini yang diperkatakan ia memberi cahayanya pada setiap insan.
Bukankah segalanya Daku jua yang maha memiliki segala cahaya yang mana cahaya itu terkandung di sebalik kebaikan terhadap insan yang berbuat baik, cahaya itu adalah roh yang menyampul jiwa untuk mendamaikan jiwa dengan tenang."
- MrDn -

Tanpa Nama berkata...

Harap jangan penulis fitnahkan Allah aza wajalla. An-nisa; 4:79, "yang baik dari Allah, yang buruk dari insan sendiri". MrDn

Tanpa Nama berkata...

Firman Allah:

"Kiranya Muhamad itu mampu memberi cahayanya, kenapakah ia tidak mampu memberi cahayanya kepada bapa saudaranya iaitu yang bernama Abu Jahal, bukankah ia hampir dengan Muhamad, namun Muhamad tidak mampu untuk membentuknya, percayalah segalanya Daku jua yang memiliki cahaya kekuasaan, dan memberi cahaya kebaikan pada insan yang berbuat baik.
Lalu cahaya menyampul jiwa maka menjadi roh cahaya yang menenangkan jiwa di dalamnya lalu di satu masa Daku akan memanggilnya dengan “WAHAI JIWA-JIWA YANG TENANG DATANGLAH KEPADA KU”. Di waktu kematian jasad Ku yang nyata padanya, adakah Muhamad yang memanggil, bukankah Daku jua yang memanggilnya, kerana Daku yang maha berkuasa segala-galanya.
Usahlah menjadikan insan sebagai tuhan lalu berusaha untuk menghidup jajahannya, agar mendudukkan ia berkuasa, lalu tidak ubah seperti Firaun jua, yang mengaku menjadi tuhan, berbeza pula dengan Muhamad, umatnya mempertuhankannya seperti tuhan. Ini adalah syirik."
MrDn