Catatan Popular

Selasa, 2 Oktober 2012

NASIHAT 23 : SIRI 2 TINGGALKAN EMPAT (4) PERKARA (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)

PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

NASIHAT KE 23:TINGGALKAN 4 PERKARA(2)

Perkara Kedua:

Sewajarnya anda merasa takut bila engkau bertindak selaku penasihat dan pemberi ingat kepada orang lain,kerana tugasan ini banyak cabaran dan gugaannya kecuali anda sendiri telah menghayati dan mengamalkan apa yang anda nasihatkan.Oleh itu layaklah  anda member nasihat kepada orang lain.Renungkanlah apa yang pernah diutarakan oleh seseorang kepada Nabi Isa a.s.
يا ابن مريم عظ نفسك فان اتعظت فعظ الناس والا فاستح من ربك
Mafhumnya:”Wahai putera Maryam ! Nasihatilah dirimu,dan apabila engkau telah mengamalkan dengan isi kandungan nasihatmu,barulah engkau layak member nasihat kepada orang lain.Jikalau tidak maka hendaklah engkau malu kepada Tuhanmu.”
Sebaliknya bila anda berada dalam situasi yang menyebabkan anda wajib member nasihat hendaklah anda menjauhi dua perkara berikut:
1.       Elakkanlah menggunakan bahasa yang sukar difahami seperti anda menggunakan ibarat-ibarat dan isyarat-isyarat ahli sufi dan bunga bahasa mereka yang indah kerana Allah SWT membenci orang yang memaksakan dirinya.Pemaksaan diri melampaui batas dan mencerminkan batin yang rosak dan hati yang lupa.
Makna tazkirah itu adalah memperingatkan oleh seorang hamba Allah tentang seksaan Allah diakhirat kelak bagi penderhakaNya dan dia juga mengukur tentang peribadatannya kepada Allah dan dia juga memikirkan tentang usianya yang telah dilaluinya dan telah disia-siakan tanpa manfaat.Dia juga merancang tentang masa depannya yang penuh dugaan yang bakal direntasinya dengan membimbangi keselamatan imannya ketika berdepan dengan kemelut dugaan.Adakah dia mampu beristiqamah dalam keimanan sehingga keakhir hayatnya dan dia juga turut merasa cemas untuk berdepan dengan sakaratul mautnya dan kegerunannya untuk berdepan dengan malaikat maut yang akan mencabut nyawanya.Apakah dia berupaya menjawab persoalan-persoalan bertubi-tubi malaikat mungkar dan nakir tentang amalannya didunia dahulu ketika dia berada di alam kubur.
Begitu juag dia merasa sedih dengan keadaannya yang belum menentu lagi diakhirat nanti dan bagaimana situasi dirinya ketika berdiri dihadapan mahkamah Allah kelak.Adakah dia termasuk dikalangan orang selamat ketika menyeberangi titian sirat al-mustaqim adakah dia akan jatuh terjunam dalam api neraka Allah.Wal ‘iyazubillah min zalik! Demikianlah pemikiran dan ahwal al-qalb yang selalu berpusar dalam hatinya.Dan ia sentiasa gelisah dan resah mengenainya.Pukulan yang bertubi-tubi itu dinamakan tazkirah atau peringatan.
Sebagai seorang yang insaf dan sedar hendaklah dia memberitahu kepada orang lain mengenai hal ini dan mengajak mereka berfikir untuk menghitung diri dan menginsafi kelemahan diri.Peringatan-peringatan itu mudah-mudahan mampu menggoncangkan kealpaan mereka,sehingga mereka pun turut menyesali diri dan berusaha menyempurnakan dan memperbaiki kelemahan dan kealpaan diri.Mereka juga turut kesal dengan masa yang telah disia-siakan dan kesempatan yang telah dibiarkan berlalu.Usaha seperti ini dinamakan nasihat.
Keadaan penasihat itu seperti anda menyaksikan rumah yang sedang ditenggelami banjir lantas anda menyuruh penghuninya segera berpindah menyelamatkan diri.Adakah patut anda menggunakan isyarat dan bahasa yang sukar difahami oleh penghuni rumah yang hampir musnah itu? Adalah tidak wajar anda menggunakan kaedah seperti itu.
2.       Elakkan memberi nasihat untuk mengharapkan orang ramai berhimpun disekelilingmu dan menyanjung kehebatanmu dalam memberi nasihat sehingga mereka berkata;”Alangkah bagusnya majlis ini!”.Jika demikian niat dan tujuanmu bermakna anda cenderung kepada keduniaan dan hati anda telah lalai.Bahkan sepatutnya anda menasihat agar mereka mengutamakan akhirat daripada dunia serta meninggalkan maksiat.Serulah mereka agar mengerjakan taat kepada Allah dan kikis sifat tamak kepada dunia.Bimbinglah mereka dengan sifat zuhud serta ajaklah mereka menghindari sifat bakhil.Pupuklah semangat kemurahan jiwa dan kedermawanan.Suburkanlah semangat kewaspadaan terhadap tipudaya dunia dan lazimilah diri dengan ketaqwaan.
Dalam menasihati manusia, hendaklah memupuk semangat cintakan akhirat dan membenci sifat kerakusan terhadap dunia.Ajarkanlah mereka ilmu yang sahih tentang beribadah kepada Allah.Tunjukkan kepada mereka jalan kezuhudan kerana kebanyakan manusia sering dan mudah terpesong daripada landasan hukum syarak serta mudah mengerjakan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah serta cenderung kepada akhlak mazmumah atau tercela.Suburkanlah kegerunan dan kebimbangan mereka kepada kemurkaan Allah serta bimbang terjatuh kedalam jurang kebinasaan.Mudah-mudahan hati mereka mengingati Allah dan menjauhi maksiat.Inilah nasihat yang sahih.Sesiapa yang tidak memenuhi ciri-ciri penasihat seperti yang dijelaskan tadi ia merupakan suatu bala yang membahayakan orang lain.

Tiada ulasan: