Catatan Popular

Selasa, 2 Oktober 2012

NASIHAT 23 : SIRI 3 TINGGALKAN EMPAT (4) PERKARA (IMAM AL GHAZALI AYYUH AL-WALAD)

PETIKAN KITAB AYYUH AL WALAD (WAHAI ANAKKU)

Karya Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh

NASIHAT KE 23:TINGGALKAN 4 PERKARA(3)
Perkara Ketiga:
Usahlah anda bergaul dengan kaum pemerintah yang zalim dan lalai serta janganlah anda mengkagumi kemegahan hidup mereka dan duduk dalam majlis bersama mereka kerana ia merupakan penyakit yang amat kronik.Seandainya anda dipaksa atau terpaksa berada bersama mereka janganlah anda memuji dan menyanjung mereka.Ini disebabkan Allah amat benci apabila orang yang zalim dan fasiq dipuji dan disanjung.Apabila seseorang itu mendoakan umara` yang zalim itu panjang umur bermakna ia telah rela maksiat berleluasa di muka bumi Allah SWT.
Perkara Keempat:
Janganlah anda menerima sebarang pemberian para umara` yang zalim itu dan usaha sekali-kali menerima hadiah daripada mereka walaupun anda mengetahui bahawa hadiah dan pemberian itu dari sumber yang halal sekalipun.Lantaran sifat tamak dan ghairahmu untuk menerima hadiah dan habuan daripada mereka akan merosakkan agama dan akhlakmu dan akan lahir sifat berpura-pura dirimu kerana meraikan kedurjanaan mereka.Anda seolah-olah menyetujui kezaliman mereka.Ia merupakan antara perkara yang merosakkan agama.Apabila anda menerima pemberian mereka bermakna anda telah mencintai mereka.

Justeru itu sesiapa yang menyukai seseorang yang zalim itu bermakna dia akan mengharapkan supaya sianu itu panjang umur dan kekuasaannya terus kekal dan anda mendapat habuan daripadanya.Ini bermakna anda menghendaki kerosakan dan kezaliman terus berleluasa diatas bumi Allah ke atas makhluk-makhlukNya yang lemah.Inilah kerosakan yang tiada tandingannya lagi.Anak-anakku! Janganlah engkau terpedaya dengan godaan syaitan yang menyatakan ,”Bahawa yang lebih baik dan yang lebih utama bahawa anda ambil sahaja wang dinar dan dirham daripada mereka lalu anda bahagikan kepada fakir miskin.Kalau tidak nanti pemerintah yang zalim akan membelanjakannya wang itu untuk berbuat kefasikan dan kezaliman.Jadi lebih baik anda mengambil wang itu lalu disedekahkan atau bahagikan kepada orang-orang yang lemah.” Janganlah anda tertipu dengan perkataan seperti itu kerana sebenarnya syaitan telah banyak menjerumuskan orang dengan helah atau tipu muslihat seperti ini.

Dan hal ini telah kami jelaskan dengan terperinci didalam kitab kami `Ihya` ‘Ulum al’Din.Wajarlah anda merujuk kedalamnya.(Persoalan ini dibahaskan dalam kitab al-Halal wa al-Haram Jilid ke2 kitab tersebut).

Tiada ulasan: