Catatan Popular

Sabtu, 13 Oktober 2012

TAREKAT AGUNG NAQSYABANDIYAH 4: LATAIF DAN PENYUCIANNYA

LATAIF adalah kata jamak bagi Latifah yang bererti kehalusan. Allah adalah bersifat Al-Latif iaitu Yang Maha Halus dan Dia telah mengurniakan KehalusanNya kepada sekelian Nur Muhammadiyah. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadikan manusia dengan mengurniakannya sepuluh Lataif yang halus. Ianya boleh disifatkan sebagai anggota dalaman Ruhani bagi manusia atau pancaindera bagi Ruhani. Ianya diibaratkan sebagai juzuk-juzuk bagi diri Ruhani sepertimana otak, jantung, limpa, hati, paru-paru dan anggota dalaman bagi jasad tubuh badan Jasmani.
Konsep seperti ini juga terdapat dalam sistem kepercayaan sesetengah kaum seperti Hindu dan China namun dalam perkembangan Tasawwuf Islam, segala ilmu pengetahuan adalah bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah, manakala penghasilan Ma’rifat mereka adalah menerusi Muraqabah dan Musyahadah.
Seterusnya Para Masyaikh memperkembangkan ilmu tersebut menerusi pengamatan mereka yang dalam serta tahap Keruhanian yang tinggi. Mungkin ada yang mendakwa mereka mengambilnya dari falsafah Yunani ataupun Hindu atau China namun tiada bukti yang jelas tentang tersebut cuma dakwaan yang meleset. Para Masyaikh Naqshbandiyah memperolehi pengetahuan tentang Lataif adalah menerusi pengkajian mereka yang mendalam terhadap AlQuran dan Al-Hadits serta As-Sunnah dan mengamalkan Syari’at dengan teguh dan mewarisi ilmu pengetahuan dari Guru-Guru mereka dengan pertalian yang kukuh menerusi Silsilah yang benar.
Perkembangan Tariqat dalam diri seseorang itu secara umumnya melibatkan kesedaran dalam turutan yang tertentu pada latifah-latifah yang menjadi pusat perhentian dalam pemerhatian perjalanan Ruhani dan ianya terdapat dalam diri setiap manusia, amnya bagi sekelian Ummat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Setiap Latifah itu dikaitkan dengan NabiNabi yang tertentu atau warna-warna yang tertentu atau anggota tubuh badan yang tertentu atau alam-alam yang tertentu atau Ma’rifatMa’rifat yang tertentu dan ianya berbeza di antara satu Tariqat dengan Tariqat yang lain. Perbezaan ini menunjukkan betapa luasnya Ilmu Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tugas Para Masyaikh adalah untuk menghidupkan kesemua latifahlatifah tersebut pada diri Murid agar latifahlatifahnya dapat sentiasa berzikir Kehadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Menghidupkan kesemua latifah-latifah ini dengan Zikirullah adalah merupakan kegiatan sekelian Para Sufi.
Setelah melalui proses ini, seseorang Salik itu dikatakan sebagai telah mencapai tingkat kesempurnaan Insan dan menjadi manusia yang sempurna. Seseorang yang menjalani Tariqat Tasawwuf adalah wajib menyucikan kesemua Lataifnya dengan ilmu dan zikir kerana kesemua latifah adalah bersifat Nur dan sesuatu yang bersifat Nur hanya boleh disucikan dengan sesuatu yang bersifat Nur juga. Ilmu Syari’at, Ilmu Tariqat, Ilmu Ma’rifat dan Ilmu Haqiqat juga adalah bersifat Nur kerana ianya bersumberkan dari Al-Quran dan As-Sunnah dan kedua-duanya bersifat Nur. Zikir juga akan menghasilkan Nur, jesteru gabungan ilmu dan zikir dalam diri seseorang itulah yang akan menyucikan dan menghidupkan kesemua Lataif dalam dirinya. Para Masyaikh dari Silsilah yang bebeza telah menyelami Lautan Ilmu Kekuasaan Allah di dalam Bahrul Qudrah dan telah meneroka tentang rahsia Lataif ini. Meskipun pengetahuan mereka tentang Lataif adalah berbeza namun ianya merujuk kepada maksud yang satu iaitu kembali kepada Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Guruku yang mulia Hadhrat Khwajah Khwajahgan Qutub Dauran Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul ‘Ali telah mengurniakanku dengan kesemua Sepuluh Latifah dan beliau menyatakan kepadaku bahawa lima dari Latifah tersebut adalah dari Alam Amar manakala lima Latifah lagi adalah dari Alam Khalaq. Alam Amar dan Alam Khalaq adalah alam yang berada dalam lingkungan Daerah Imkan. Untuk memahami Tariqat Naqshbandiyah Mujaddidiyah ini, amat penting untuk kita memahami tentang Sepuluh Latifah Insan. Semoga Allah memberikan kita Taufiq dan Hidayah.

SEPULUH LATIFAH INSAN
KETAHUILAH bahawa di sisi Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih dan sekelian para pengikutnya telah tsabit bahawa pada setiap insan terhimpun Sepuluh Latifah. Begitulah juga seperti yang telah dikatakan oleh Guruku Hadhrat Khwajah Khawajahgan Maulana Khan Muhammad Sahib Mudda Zilluhul ‘Ali kepadaku bahawa lima Latifah adalah dari Alam Amar dan lima Latifah lagi adalah dari Alam Khalaq.
Alam Amar dan Alam Khalaq adalah alam yang berada dalam lingkungan Daerah Imkan.
Lima Latifah Alam Amar itu adalah:  Qalb Ruh Sirr Khafi Akhfa
Lima Latifah Alam Khalaq itu adalah: Nafs Angin Api Air Tanah
Ruhaniah setiap insan telah diciptakan dengan Bayangan Sifat-Sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ianya berasal dari Alam Amar. Santapan Ruhaniah adalah cahaya Nur Allah yang dapat diperolehi dari Alam Amar menerusi Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mana kedudukannya di Alam Keruhanian adalah seumpama Matahari di dalam sistem cakrawala.
Ada dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam diibaratkan sebagai cahaya yang terang dan sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai suatu sumber keberkatan yang sempurna lagi terpilih. Kesemua Para Nabi dan Rasul menerima limpahan keberkatan dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Sewaktu Allah Subhanahu Wa Ta’ala menciptakan rupa bentuk jasmani bagi insan, dikurniakannya juga lima Lataif Alam Amar di beberapa kedudukan pada badan manusia dan mengurniakannya takluk keasyikan. Adapun bagi Alam Amar, kedudukan Latifah Qalb itu terletak pada tetek kiri pada anggaran dua jari di bawah puting dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Kedudukan Latifah Ruh adalah di bawah tetek kanan pada anggaran dua jari di bawah puting.
Kedudukan Latifah Sirr adalah pada tetek kiri pada anggaran dua jari ke arah dada. Kedudukan Latifah Khafi adalah pada tetek kanan pada anggaran dua jari ke arah dada dan kedudukan Latifah Akhfa adalah pada tengahtengah dada. Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan takluk keasyikan pada Lataif Alam Amar ini di tubuh badan manusia. Takluk Alam Amar ini akan mencapai peningkatan Ruhani setelah disucikan sehinggalah kita dapat mengenali diri kita dan asal usul kita yang merupakan cahaya Nur yang tersembunyi dalam tubuh jasmani yang gelap dan zulmat ini. Adapun bagi Alam Khalaq, kedudukan Latifah Nafs itu adalah di antara kedua-dua kening yang mewakili otak dan akal manusia.
Ia juga merujuk kepada nafsu seseorang. Seterusnya adalah Latifah Qalibiyah yang terdiri dari empat anasir iaitu Tanah, Air, Api dan Angin. Ia ada pada seluruh bahagian tubuh badan jasmani manusia. Sepertimana Alam Amar, Alam Khalaq juga perlu disucikan kerana dengan menyucikannya akan membawa seseorang itu kepada peningkatan Ruhaniah, pengenalan diri dan asal-usul hakikat kejadian diri. Ruhaniah Para Masyaikh adalah suci dan sentiasa hidup di sisi Allah sepertimana hidupnya Para Syuhada di sisi Allah kerana mereka kesemuanya berjuang di Jalan Allah demi menegakkan Kalimah Allah setinggi-tingginya. Mereka adalah orang yang berjaya mencapai hakikat kehidupan yang kekal di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

1. QALB

TITIK kedudukannya pada tubuh badan jasmani adalah pada anggaran dua jari di bawah tetek kiri dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Latifah Qalb juga disebut Latifah Adami adalah dari takluk Alam Malakut yakni Alam Para Malaikat dan ianya merupakan pusat ‘Arash Mu’alla Allah Ta’ala di dalam diri Insan. Latifah Qalb adalah suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang dikurniakan Allah dengan Latifah Qalb ialah pendengaran dan ianya merupakan

Tajalli Sifat Allah As-Sami’ iaitu Yang Maha Mendengar. Mendengar merupakan suatu sifat utama Para Malaikat kerana mereka dijadikan oleh Allah Ta’ala untuk mendengar segala perintahNya dan taat. Seseorang Salik perlu menggunakan sifat pendengarannya untuk mendengar seruan Agama Islam dan mengamalkan Syari’at Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum memiliki sifat Sami’na Wa Ata’na iaitu mendengar dalam ertikata yang sebenar yang mana apabila mereka mendengar sebarang perintah dari Allah Ta’ala dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mereka akan terus mentaatinya.
Alam Malakut adalah wilayah Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam dan merupakan tingkatan langit pertama di atas ‘Arash. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam terlimpah pada Latifah Qalb Hadhrat Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan terlimpah kepada sekelian orang yang beriman. Cahayanya adalah dari langit yang pertama dan warna Nurnya adalah kekuningan. Seseorang Salik yang telah sempurna penyucian Latifah Qalbnya menerusi Tasfiyatul Qalb maka akan terhasillah padanya Kashful Qulub yakni pandangan mata hatinya celik dan memperolehi Basirah serta Kashaf iaitu melihat perkara-perkara yang Ghaib menerusi mata hati.

2. RUH

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada anggaran dua jari di bawah tetek kanan. Latifah Ruh juga disebut sebagai Latifah Ibrahimi adalah bertakluk dengan Alam Jabarut yakni Alam Para Ruh atau dikenali juga sebagai Alam Arwah. Sepertimana Latifah Qalb, Latifah Ruh ini juga merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang dikurniakan dengan Latifah Ruh ialah melihat dan ianya juga merupakan Tajalli dari
Sifat Allah Al-Basir Yang Maha Melihat dan AsSyahid Yang Maha Menyaksi. Melihat dan menyaksikan adalah sifat-sifat yang Allah Ta’ala kurniakan kepada Ruh ketika berada di Alam Amar. Seluruh Para Ruh bersaksi bahawa Allah Ta’ala adalah Rabb, Tuhan Yang Maha Pemelihara. Melihat, memerhati dan menyaksi adalah suatu sifat utama bagi Ruh.
Sifat ini ada pada diri zahir iaitu melihat dengan kedua biji mata zahir dan sifat ini juga ada pada diri batin iaitu menerusi pandangan mata hati iaitu Basirah. Seseorang Salik perlu melihat tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala dan memerhatikan perjalanan Tariqatnya agar sentiasa selari dengan petunjuk Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, banyak mengucapkan Selawat dan membaca Al-Quran. Alam Jabarut adalah wilayah Hadhrat Nabi Ibrahim dan Hadhrat Nabi Nuh ‘Alaihimassalam. Latifah Ruh merupakan tingkatan langit kedua di atas ‘Arash. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Ibrahim dan Hadhrat Nabi Nuh ‘Alaihimassalam terlimpah pada Latifah Ruh Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Cahayanya adalah dari langit yang kedua dan warnanya adalah kemerahan. Seseorang Salik yang telah sempurna penyucian Latifah Ruhnya akan terhasillah Kashful Qubur yakni terbukanya pandangan ghaib tentang alam kehidupan sesudah mati di dalam kubur. Dia juga akan dapat berhubungan dengan Ruh-Ruh Para Masyaikh yang telah meninggal dunia dan mengambil limpahan keruhanian dari mereka dengan menziarahi maqam-maqam yang menjadi tempat pengkebumian mereka.

3. SIRR

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tetek kiri dengan anggaran dua jari ke arah tengah dada. Latifah Sirr juga disebut sebagai Latifah Musawi adalah dari taklukan Alam Lahut yakni Alam Bayangan Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang Allah Ta’ala kurniakan dengan Latifah Sirr adalah menyentuh. Latifah Sirr adalah suatu alam di mana tersimpannya segala rahsiarahsia tentang Bayangan Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan seharusnya menjadi rahsia bagi seseorang Salik.

Latifah Sirr merupakan tahap di mana seseorang Salik itu akan mengalami perbualan dengan Hadhrat Zat Yang Maha Suci di dalam hatinya di mana dia akan berinteraksi dengan limpahan cahaya dari Hadhrat Zat dan akan mendengar suara-suara Ketuhanan di dalam dirinya. Alam Lahut adalah wilayah Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam yang telah dapat berkata-kata dengan Allah dan telah mendengar suaraNya. Alam Lahut merupakan tingkatan langit yang ketiga di atas ‘Arash.
Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam terlimpah pada Latifah Sirr Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Cahayanya adalah dari langit yang ketiga dan warna Nurnya adalah keputihan. Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf-Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih seseorang Salik akan mengalami Jazbah pada tahap ini iaitu penarikan dan penyatuan dengan Cahaya Allah Ta’ala. Apabila dia mengalami Jazbah untuk menuju kepada Rahmat Allah maka dia digelar Majzub. Dan menurut beliau, ini merupakan tahap Sukr yakni Ruhaniah seseorang itu akan mabuk dalam melihat kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

4. KHAFI

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tetek kanan dengan anggaran dua jari ke arah tengah dada dan Latifah Khafi ini juga disebut sebagai Latifah ‘Isawi adalah bertakluk dengan Alam Bahut yakni Alam Sifat-Sifat Allah Ta’ala. Ia juga merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar yang berada di atas ‘Arash Mu’alla. Allah Ta’ala mengurniakan sifat menghidu beserta dengan Latifah Khafi dan ianya menampilkan bunyi yang tersembunyi pada Perkataan-Perkataan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Apabila sesuatu perkataan itu tertulis terdapat bunyi yang dikaitkan dengannya namun bunyi tersebut tidak akan didengari melainkan apabila perkataan itu disebutkan. Maka itulah bunyi adalah tersembunyi dan terkandung didalam huruf-huruf pada perkataan tersebut. Ia hanya menantikan masa untuk terzahir apabila bunyi huruf-huruf perkataan itu disebutkan. Seseorang Salik akan memperolehi pengetahuan dan ilham dengan sentiasa membaca Al-Quran dan Asma Al- Husna. Salik juga akan menghidu wangi-wangian ketika berada dalam kehadiran Hadhrat Zat.
Kerana itulah menjadi Sunnah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk memakai wangi-wangian. Adapun pada tubuh badan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sentiasa terbit keringat yang harum kerana Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sentiasa berada dalam kehadiran Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada setiap masa dan keadaan. Di Alam Bahut ini terdapatnya rahsia-rahsia yang tersembunyi tentang Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan ia merupakan wilayah Hadhrat ‘Isa ‘Alaihissalam.
Alam Bahut ini berada pada tingkatan langit yang keempat di atas ‘Arash dan cahaya Nur serta keberkatan daripada Hadhrat Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam yang berada pada langit keempat itu terlimpah pada Latifah Khafi Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan cahaya kehitaman. Seseorang Salik perlu meninggalkan Sifat Basyariyat iaitu sifat-sifat kemanusiawian. Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih bahawa seseorang yang telah mencapai Latifah Khafi, dia akan mengalami Hairat Sughra yakni ketakjuban yang kecil kerana dapat merasai Kehadiran Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

5. AKHFA

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tengah dada di antara Latifah Sir dan Latifah Khafi dan ianya bertakluk dengan Alam Hahut yakni Alam Zat Allah Ta’ala. Latifah Akhfa juga disebut sebagai Latifah Muhammadi. Alam Hahut berada pada tingkatan yang kelima di atas ‘Arash pada Alam Amar. Pada Latifah Akhfa tersembunyinya rahsia-rahsia yang lebih dalam tentang Hakikat Zat Ketuhanan Allah Ta’ala. Alam ini adalah suatu alam yang sunyi di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Seseorang Salik akan merasai kehadiran Hadhrat Zat ketika melakukan sunyi diri dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kerana itulah Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sering bersunyi diri dengan melakukan Khalwat Saghirah di Gua Hira’. Alam Hahut merupakan wilayah Hadhrat Baginda Nabi Besar Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan berada pada tingkatan langit yang kelima di atas ‘Arash. Cahaya Nur serta limpahan keberkatan dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di Alam Hahut itu terlimpah pada Latifah Akhfanya dengan cahaya kehijauan.
Menurut Para Masyaikh Naqshbandiyah, hati Ruhaniah seseorang itu adalah biasan dari hati Ruhaniah Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang disebut Haqiqat Muhammadiyah. Hati Ruhaniah ini menampilkan Bahrul Qudrah yakni Lautan Kekuasaan Allah Ta’ala yang merupakan sumber kejadian awal sekelian makhluk. Barangsiapa yang dapat mencapai ilmu pengetahuan tentang hati, akan mampu mencapai kefahaman tentang kebenaran Haqiqat Kenabian, Nur Muhammad dan Haqiqat Muhammadiyah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Limpahan cahaya Nur Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berada di dalam lautan kekuasaan Bahrul Qudrah itu.
Setiap alam yang berada di Alam Amar merupakan suatu alam yang lengkap dengan membawa ciri-ciri yang tertentu. Ada sebilangan Masyaikh yang mengaitkan latifah-latifah Alam Amar ini dengan bunyi dan sunyi yang mana mereka menyatakan bahawa Latifah Qalb, Ruh, Sir dan Khafi adalah berada pada tingkatan zikir bunyi manakala Latifah Akhfa pula berada pada tingkatan zikir sunyi. Sunyi bererti menjauhkan diri dari sebarang bentuk bunyi yang bersifat zahir kemudian menjadikan hatinya sentiasa bersunyian dengan
Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Akhfa merupakan maqam Fana sehingga seseorang Salik itu mencapai erti sunyi yang hakiki di mana bunyi sekelian makhluk juga telah terlenyap. Apabila telah terlenyapnya segala bunyi yang tinggal hanyalah sunyi dan sunyi merupakan suatu bunyi yang tidak diketahui. Lenyapnya bunyi makhluk tidak bermakna lenyapnya bunyi dari Hadhrat Zat Yang Maha Suci bahkan akan tetap terus kedengaran bunyi-bunyian yang bertasbih memuji kesucian ZatNya. Kesemua bunyi-bunyi ini adalah bersumber dari Hadhrat Zat Yang Maha Suci dan mengambil tempat di dalam lautan kekuasaan Bahrul QudrahNya.
Ada Para Masyaikh yang menyatakan bahawa, “Sunyi adalah bunyi dari Hadhrat Zat.” Apabila seseorang Salik maju atas jalan Tariqat sehingga dia mencapai Fana, Murshid akan melimpahkan ilmu yang berkaitan dengan alamalam di Alam Amar tersebut ke dalam hati Muridnya. Antara maksud yang utama adalah untuk sampai ke pusat perhentian Alam Hahut di Latifah Akhfa ini kerana ianya merupakan tempat persinggahan terakhir bagi Alam Amar dan merupakan tempat yang tertinggi bagi lautan
kekuasaan Allah Ta’ala di mana Allah Ta’ala mulamula menjadikan Nur Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kelima-lima maqam bagi Lataif yang berada di dalam dada tersebut merupakan pusat perhentian dan ianya bagi menyatakan suatu perjalanan menuju kepada penyatuan dengan Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerusi cahaya Kenabian Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kerana Hadhrat Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah satu-satunya manusia yang telah benar-benar mencapai Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kemuliaan ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala kurniakan ketika peristiwa Mi’raj iaitu perjalanan menaiki tingkatantingkatan langit menuju Kehadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

6. NAFS

KEDUDUKANNYA ialah pada otak dan titiknya ada di bahagian dahi di antara dua kening. Takluknya adalah dengan Alam Khalaq yakni alam ciptaan yang berada di bawah ‘Arash. Ia adalah tempat penzahiran ‘Aqal manusia yang bersifat halus pada otak yang berada di dalam tempurung kepala.

Perkataan Nafs lazimnya merujuk kepada diri seseorang atau jiwa pada tahap yang rendah atau keakuan diri seseorang. Sifat semulajadinya terdiri dari sifat-sifat kemanusiawian dan kehaiwanan. Perkataan Nafs juga merujuk kepada perkataan Nafas yang bererti pernafasan dan perkara ini merupakan suatu intipati dalam perkerjaan zikir kerana ia merupakan sumber tenaga dan menjadi asas sebilangan besar Tariqat. Sebilangan Para Sufi berpendapat perkataan Nafs ini merujuk kepada peringkat kejiwaan yang merangkumi seluruh minda, emosi dan keinginan dalam diri seseorang. Menurut Hadhrat Syeikh Shahabuddin AsSuhrawardi Rahmatullah ‘alaih, Nafs ada dua pengertian: Iaitu zat dan hakikat bagi sesuatu benda. 2. Nafs Natiqah Suatu kehalusan dalam Ruhaniah manusia yang disebut Jiwa dan ianya bercahaya serta dikurniakan sifat keakuan. Dengan cahayanya tubuh badan menjadi tempat yang terdedah kepada berbagai jenis kejahatan dan kebaikan. Nafs Syaik
Mengenali Nafs dengan segala sifatnya adalah sukar kerana ia bersifat seperti seekor sumpah-sumpah yang boleh bertukar rupa pada sebilangan keadaan dengan warna yang berbeza. Mencapai Ma’rifat tentang Nafs dengan segenap ilmu pengetahuan mengenai sekelian sifatnya adalah di luar kemampuan sebarang makhluk. Adalah sukar untuk mencapai Ma’rifat tentang Nafs sepertimana sukarnya mencapai Ma’rifat tentang Tuhan. Nafs diciptakan dengan unsur keakuan diri dan ia mudah dipengaruhi Syaitan kerana adanya persamaan sifat angkuh dan bongkak dalam diri Syaitan dengan sifat keakuan yang ada pada Nafs. Tujuan Syaitan menghasut Nafs melakukan kejahatan adalah untuk mengotorkan Qalb kerana apabila Nafs seseorang itu dikotori, Qalbnya juga akan turut dikotori.
Hubungan Nafs dengan Qalb adalah dengan kelajuan cahaya dan kedua-duanya ibarat cermin yang memantulkan cahaya masingmasing antara satu sama lain. Latifah Nafs adalah tempat perjalanan Ruhaniah melalui tingkatan nafsu-nafsu. Ada sebilangan Masyaikh yang meletakkan tiga tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah dan Mutmainnah. Ada sebilangan Masyaikh yang meletakkan lima tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah, Mutmainnah, Radhiyah dan Mardhiyah. Ada juga Para Masyaikh yang menetapkan tujuh tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah, Mulhammah, Mutmainnah, Radhiyah, Mardhiyah dan Kamiliyah.
Penyucian Latifah Nafs ini dinamakan sebagai Tazkiyatun Nafs di mana Para Masyaikh meletakkan berbagai ujian bagi menguji tahap nafsu Para Murid. Ujian-ujian tersebut berupa Mujahadah Nafs bagi menundukkan kakuan diri dan keinginan hawa nafsu. Sebagaimana yang dinyatakan bahawa terdapat tujuh tingkatan Nafs yang perlu dilalui oleh setiap Salik seperti berikut:
 1. Nafsu Ammarah Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap kehaiwanan iaitu pada kedudukan yang rendah, tidak mengenali hakikat diri dan tidak mengenal hakikat Tuhan, boleh menjadi lebih buas dari binatang dan sentiasa mengingkari perintahperintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tahap nafsu ini berada pada tingkatan yang rendah dan perlu disucikan dengan Taubat dan Istighfar untuk menuju pada tingkatan yang lebih tinggi supaya dimuliakan oleh para Malaikat. Apabila nafsu Ammarah ini dapat dikuasai sepenuhnya, peribadi manusia itu akan menjadi lebih baik dari Para Malaikat setelah dia menjalani latihan penyucian diri di bawah asuhan seorang Murshid yang sempurna. Nafsu Ammarah sentiasa mengajak diri mengingkari Allah dan Rasul, menurut ajakan Syaitan, bergelumang dengan dosa-dosa besar dan maksiat, bertabiat dan bertingkah laku buruk, bernafsu seperti haiwan yang buas. Sentiasa memuaskan kehendak hawa nafsu dan bersikap mementingkan diri sendiri. Pada tingkatan
 2. Nafsu Lawammah ini keakuan seseorang itu berada pada tahap mula menyedari keingkaran dan sifat buruk yang ada pada dirinya dan berasa menyesal apabila melakukan perbuatan yang buruk dan tidak baik. Dia mula untuk berasa bersalah kerana menurut keakuan dirinya semata-mata dan lebih mementingkan diri sendiri. Dia akan melakukan Taubat dan Istighfar tetapi akan kembali kepada perlakuan dosa dan maksiat kepada Allah dan Rasul. Kesedarannya baru terbit tetapi tidak kukuh. Dia perlu menjalani latihan untuk menerbitkan rasa kesedaran dan insaf pada setiap masa serta menyerahkan dirinya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana jika tidak, dia akan kembali terjerumus ke dalam kancah keburukan.
 3. Nafsu Mulhammah Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap yang lebih kerap menyesali dirinya kerana mengingkari hukum dan perintah Allah dan Rasul, kesedaran untuk insaf semakin bertambah tetapi masih belum mampu meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat. Dia belum menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah kerana keakuan dirinya belum Fana atau dimatikan. Walaubagaimanapun keinginan untuk kembali sepenuhnya kepada Allah terasa amat dekat. Dia akan diilhamkan dengan amalan kebaikan yang dapat mendekatan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dengan latihan keruhanian dan asuhan Murshid dia akan berjaya mematikan keakuannya. Kerana itu amat penting bagi Murid untuk mendapat bimbingan Murshid kerana seseorang itu tidak akan mampu mencapai penyucian Nafsu Mulhammah ini dengan bersendirian melainkan melalui seorang Murshid secara zahir dan batin. Dia perlu berzikir dengan kalimah Ismu Zat iaitu Allah Allah sebanyak-banyaknya di dalam hati sehingga terbit ketenangan.
4. Nafsu Mutmainnah Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berjaya mencapai Fana. Dia berjaya mematikan keakuan dirinya dan menyerahkan dirinya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Apabila keakuan dimatikan maka akan lahirlah Bayi Maknawi dari diri insan. Insan bersifat pelupa dan apabila keakuan insan itu dimatikan maka akan lahirlah daripada dirinya, dirinya yang sebenar yang diertikan oleh Hadhrat Syeikh Abdul Qadir Jailani sebagai Tiflul Ma’ani. Pada tahap ini keimanan seseorang itu menjadi semakin teguh dan kukuh. Dia perlu mendawamkan zikir kalimah Ismu Zat pada setiap latifah sehingga sempurna Sepuluh Lataif dan kekal dalam Syuhud. Ruhnya berjaya mencapai ketenangan pada Nafsu Mutmainnah dengan berkat limpahan dan asuhan Murshid.
5. Nafsu Radhiyah Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu telah diserahkan sepenuhnya kepada Allah dan dia redha dengan apa jua yang datang dari Allah. Tidak mementingkan apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku. Dia menumpukan kesedarannya pada Kehadiran Zat Yang Suci pada setiap masa. Dia hanya menjadikan Allah sebagai maksud dan sentiasa menuntut keredhaan Allah. Dia sentiasa merasakan dirinya lemah di hadapan Allah dan sentiasa bergantung penuh kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dia mengetepikan segala kepentingan Dunia dan Akhirat demi Allah Ta’ala semata-mata. Pada tingkatan
6. Nafsu Mardhiyah ini keakuan seseorang itu telah tenggelam dalam lautan Syuhud. Dia menyaksikan Kebesaran Allah dengan cahaya Musyahadah dan mencapai ‘Irfan. Dia berenang di lautan Makrifat mengenali hakikat diri dan hakikat Tuhannya. Ruhnya telah aman damai di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan jiwanya menjadi lembut terhadap sesama makhluk dan zahirlah akhlak yang baik serta mulia dari dirinya. Pada tingkatan ini
7. Nafsu Kamiliyah keakuan diri seseorang itu telah mencapai penyucian yang sempurna dan berjaya menjadi insan yang sempurna dengan menuruti segala Sunnah Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mana merupakan insan yang paling sempurna. Zahir mereka bersama manusia di dalam khalayak ramai dan menghadiri majlis mereka namun batin mereka sentiasa dalam keadaan berjagajaga memerhatikan limpahan faidhz dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Zikir mereka pada tingkatan ini adalah sentiasa bermuraqabah. Penyerahan mereka sempurna dan Allah menzahirkan Tanda-Tanda KekuasaanNya menerusi hamba tersebut. Dia menyerah kepada segala ketentuan Taqdir dan melaksanakan kewajibannya sebagai hamba dengan sebaikbaiknya. Ini merupakan tingkatan Para Nabi dan Rasul ‘Alaihimussolatu Wassalam dan inilah merupakan tingkatan Para Sahabat Ridhwanullah ‘Alaihim Ajma’in dan tingkatan sekelian Wali Qutub.
Hadhrat Syeikh Shahabuddin AsSuhrawardi Rahmatullah ‘alaih telah menyatakan bahawa terdapat sepuluh sifat buruk yang ada pada Nafs dan ianya adalah berasal dari unsurunsur seperti panas, sejuk, lembab dan kering seperti berikut: 1. Hawa 2. Nifaq 3. Riya 4. Mengaku Tuhan 5. Bangga Diri 6. Tamak 7. Haloba 8. Banyak Ketawa 9. Malas 10. Lalai
Dari sepuluh sifat yang buruk ini terbit berbagai lagi sifat-sifat yang buruk seperti hasad dengki, iri hati, bersangka buruk, putus asa dan sebagainya. Ada sebilangan Masyaikh yang menganggap Nafs dan Qalb adalah sama kerana pada penghujungnya mereka mendapati Nafs Mutmainnah adalah jiwa yang tenang serta menganggap jiwa letaknya pada hati. Mereka menganggap tiada perbezaan antara keduaduanya.
Sebenarnya Qalb dan Nafs adalah dua perkara yang berbeza tetapi memiliki tanggungjawab yang sama iaitu untuk disucikan dari segala sesuatu selain Allah dan menumpukan ingatan terhadapNya serta menggunakan kemampuan Qalb dan Nafs untuk Ma’rifat Allah Ta’ala dan seterusnya sentiasa menghadapkannya kepada Wajah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Keduaduanya merupakan dua pusat perhentian utama yang mewakili Alam Amar dan Alam Khalaq.
Qalb adalah pusat perhentian bagi Alam Amar dan Nafs adalah pusat perhentian bagi Alam Khalaq. Seseorang Salik yang telah sempurna menempuh Alam Amar bermakna dia telah berjaya menempuh Daerah Wilayah Sughra yakni daerah kewalian kecil dan merupakan Alam Bayangan Sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih, apabila seseorang Salik telah sempurna menempuh Daerah Wilayah Sughra maka bermulalah Fana yang sebenarnya dan Salik akan terus menuju kepada Daerah Wilayah Kubra yakni daerah kewalian yang besar. Daerah Wilayah Kubra ini berada dalam Bayangan Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu dalam menuruti Sunnah
Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ianya merupakan daerah kewalian Para Nabi dan terdapat tiga setengah daerah di dalamnya iaitu Daerah Ula, Daerah Tsaniah, Daerah Tsalisah dan setengah Daerah Qaus. Setelah Salik sempurna menjelajah daerahdaerah ini pada Latifah Nafsnya dia akan meneruskan perjalanan Ruhaniahnya merentasi Daerah ‘Ulya iaitu daerah Para Malaikat yang tinggi kedudukannya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Seterusnya Salik hendaklah menyucikan Latifah Qalibiyahnya iaitu anasir yang empat terdiri dari Tanah, Air, Api dan Angin. Pada tingkatan ini seseorang Salik tidak lagi memerlukan sebarang asbab luaran untuk mencapai KehadiranZat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

7. ANGIN

KEDUDUKANNYA adalah pada seluruh jasad tubuh badan manusia. Angin sifatnya halus dan tidak kelihatan. Angin yang besar dapat mengubah keadaan sesuatu tempat dan ia boleh bergerak ke mana-mana. Unsur Angin terdapat pada diri

manusia secara zahirnya dapat kita perhatikan menerusi pernafasan keluar dan masuknya udara melalui hidung dan mulut. Udara Oksigen yang dihirup masuk ke dalam paru-paru akan diagihagihkan ke setiap bahagian tubuh badan. Angin juga dapat kita rasakan melalui dubur ketika telah sempurnanya penghadaman. Sifat Angin pada manusia adalah halus kerana ia menampilkan keinginan hawa nafsu yang tidak terbatas dan kecenderungannya menuruti hawa nafsu. Adakalanya ia dizahirkan menerusi kesedihan dan dukacita dan adakalanya terzahir menerusi keinginannya untuk berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat sepertimana angin yang bertiup dari suatu tempat ke suatu tempat.

8. API

KEDUDUKANNYA adalah pada seluruh jasad tubuh badan. Api merupakan suatu unsur yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala gunakan untuk menjadikan Syaitan dan Syaitan adalah dari golongan Jin dan mereka adalah dari Api. Unsur Api juga Allah Subhanahu Wa Ta’ala kurniakan kepada manusia dan ini dapat dilihat

pada ciri-ciri zahirnya iaitu pembakaran makanan di dalam perut bagi menghasilkan penghadaman, panas badan dan demam. Unsur Api yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala kurniakan adalah bersifat halus dan ada terkandung sifat-sifat kesyaitanan dan Jin dalam diri manusia seperti kemarahan, bangga diri, bongkak dan takabbur.

9. AIR

KEDUDUKANNYA adalah pada seluruh jasad tubuh badan.
Jasad sekelian manusia adalah dari Air dan ciri-ciri air itu ada pada manusia seperti air mata, air liur, air hingus, air peluh, air mani, air najis dan darah. Air sifatnya mengalir dan begitulah sifatnya dalam masyarakat, bergerak ke sana dan ke mari seperti air. Ada sifat air yang jernih dan ada yang sifatnya seperti susu. Manusia juga mudah menuruti hawa nafsu yang jahat dan ada yang boleh menerima perubahan dan mengubah masyarakat. Ia juga bersifat pelupa dan cenderung kepada tidur.

10. TANAH

KEDUDUKANNYA adalah pada seluruh jasad tubuh badan. Jasad jasmani Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam telah dijadikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala daripada tanah. Begitulah juga kepada sekelian anak cucu Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam kesemuanya kembali dikebumikan ke dalam tanah. Adapun sifat-sifat Tanah itu ada dalam diri manusia seperti kerendahan hati dan merendahkan diri, kehormatan, ringkas dan mudah terbentuk. Terdapat berbaga jenis sifat tanah iaitu ada yang subur apabila menerima air hujan serta menumbuhkan rumput, ada tanah yang keras dan menakungkan air untuk manafaat makhluk yang lain dan ada jenis tanah yang keras tidak menakungkan air serta tidak menumbuhkan rumput. Begitulah diibaratkan kepada orang yang menerima limpahan ilmu dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ada yang mendapat manafaat darinya dan ada yang memanafaatkannya kepada orang lain dan ada yang tidak memanafaatkannya untuk dirinya mahupun kepada orang lain. Sifat Tanah adalah mudah dibentukkan kepada sebarang bentuk, bijaksana, berperingkat, kejahilan, kejahatan, kegelapan dan kelemahan.


5. TUJUH LANGKAH PENYUCIAN

PENYUCIAN kesemua Sepuluh Lataif Insan ini di lakukan dalam 7 langkah atau peringkat.

Peringkat pertama penyucian Latifah Qalb.
Peringkat kedua penyucian Latifah Ruh.
Peringkat ketiga penyucian Latifah Sirr.
 Peringkat keempat penyucian Latifah Khafi.
Peringkat kelima penyucian Latifah Akhfa.
 Peringkat keenam penyucian Latifah Nafs.
 Peringkat ketujuh adalah penyucian Latifah Qalibiyah iaitu Empat Anasir merangkumi Angin, Api, Air dan Tanah.
Penyucian Latifah pertama hingga keenam adalah berzikir pada kedudukan masing-masing seperti yang telah dijelaskan, manakala penyucian Latifah yang ketujuh iaitu Latifah Qalibiyah dengan berzikir pada setiap zarah, jisim dan rambut pada seluruh bahagian tubuh badan kita yang merangkumi kesemua Sepuluh Latifah.

Tiada ulasan: