SYARAH VERSI TO’ FAKIR AN NASIRIN
Sebagai manusia yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus sebab musabab tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada sebab. Mereka sentiasa melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau mencabut keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat. Jika sesuatu sebab berjaya mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya sebagai kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut dan Allah s.w.t juga yang mengeluarkan akibatnya. Allah s.w.t berfirman:
NO 2
KEINGINAN KAMU UNTUK BERTAJRID PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN KAMU DALAM
SUASANA ASBAB ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR, SEBALIKNYA KEINGINAN KAMU UNTUK
BERASBAB PADAHAL ALLAH TELAH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA TAJRID BERERTI TURUN
DARI SEMANGAT DAN TINGKAT YANG TINGGI.
Hikmat ini menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung
kepada amal adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini. Dunia ini
dinamakan alam asbab. Apabila perjalanan hidup keduniaan dipandang melalui mata
ilmu atau mata akal akan dapat disaksikan kerapian susunan sistem sebab musabab
yang mempengaruhi segala kejadian. Tiap sesuatu berlaku menurut sebab yang
menyebabkan ia berlaku. Hubungan sebab dengan akibat sangat erat. Mata akal
melihat dengan jelas keberkesanan sebab dalam menentukan akibat. Kerapian
sistem sebab musabab ini membolehkan manusia mengambil manfaat daripada anasir
dan kejadian alam. Manusia dapat menentukan anasir yang boleh memudaratkan
kesihatan lalu menjauhkannya dan manusia juga boleh menentukan anasir yang
boleh menjadi ubat lalu menggunakannya. Manusia boleh membuat ramalan cuaca,
pasang surut air laut, angin, ombak, letupan gunung berapi dan lain-lain kerana
sistem yang mengawal perjalanan anasir alam berada dalam suasana yang sangat
rapi dan sempurna, membentuk hubungan sebab dan akibat yang padu.
Allah s.w.t mengadakan sistem sebab musabab yang rapi adalah untuk
kemudahan manusia menyusun kehidupan mereka di dunia ini. Kekuatan akal dan
pancaindera manusia mampu mentadbir kehidupan yang dikaitkan dengan perjalanan
sebab musabab. Hasil daripada pemerhatian dan kajian akal itulah lahir
berbagai-bagai jenis ilmu tentang alam dan kehidupan, seperti ilmu sains,
astronomi, kedoktoran, teknologi maklumat dan sebagainya. Semua jenis ilmu itu
dibentuk berdasarkan perjalanan hukum sebab-akibat.
Kerapian sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan hukum
sebab-akibat. Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam mendapatkan hasil
(akibat). Manusia yang melihat kepada keberkesanan sebab dalam menentukan
akibat serta bersandar dengannya dinamakan ahli asbab.
Sistem sebab musabab atau perjalanan hukum sebab-akibat sering membuat
manusia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t. Mereka melakukan sesuatu dengan
penuh keyakinan bahawa akibat akan lahir daripada sebab, seolah-olah Allah
s.w.t tidak ikut campur dalam urusan mereka. Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya
‘mempertuhankan’ sesuatu kekuatan sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-Nya.
Allah s.w.t tidak suka jika hamba-Nya sampai kepada tahap mempersekutukan
diri-Nya dan kekuasaan-Nya dengan anasir alam dan hukum sebab-akibat
ciptaan-Nya. Dia yang meletakkan keberkesanan kepada anasir alam berkuasa
membuat anasir alam itu lemah semula. Dia yang meletakkan kerapian pada hukum
sebab-akibat berkuasa merombak hukum tersebut. Dia mengutuskan rasul-rasul dan
nabi-nabi membawa mukjizat yang merombak hukum sebab-akibat bagi mengembalikan
pandangan manusia kepada-Nya, agar waham sebab musabab tidak menghijab
ketuhanan-Nya. Kelahiran Nabi Isa a.s, terbelahnya laut dipukul oleh tongkat
Nabi Musa a.s, kehilangan kuasa membakar yang ada pada api tatkala Nabi Ibrahim
a.s masuk ke dalamnya, keluarnya air yang jernih dari jari-jari Nabi Muhammad
s.a.w dan banyak lagi yang didatangkan oleh Allah s.w.t, merombak keberkesanan
hukum sebab-akibat bagi menyedarkan manusia tentang hakikat bahawa kekuasaan
Allah s.w.t yang menerajui perjalanan alam maya dan hukum sebab-akibat. Alam
dan hukum yang ada padanya seharusnya membuat manusia mengenal Tuhan, bukan
menutup pandangan kepada Tuhan. Sebahagian daripada manusia diselamatkan Allah
s.w.t daripada waham sebab musabab.
Sebagai manusia yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus sebab musabab tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada sebab. Mereka sentiasa melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau mencabut keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat. Jika sesuatu sebab berjaya mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya sebagai kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut dan Allah s.w.t juga yang mengeluarkan akibatnya. Allah s.w.t berfirman:
Segala yang ada di langit
dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi;
Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
( Ayat 1 & 2 :
Surah al-Hadiid )
Maka Kami (Allah)
berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih
itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah
menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu
tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya. ( Ayat 73 : Surah
al-Baqarah )
Orang yang melihat kepada
kekuasaan Allah s.w.t menerajui hukum sebab-akibat tidak meletakkan
keberkesanan kepada hukum tersebut. Pergantungannya kepada Allah s.w.t, tidak
kepada amal yang menjadi sebab. Orang yang seperti ini dipanggil ahli tajrid.
Ahli tajrid, seperti juga ahli
asbab, melakukan sesuatu menurut peraturan sebab-akibat. Ahli tajrid juga makan
dan minum Ahli tajrid memanaskan badan dan memasak dengan menggunakan api juga.
Ahli tajrid juga melakukan sesuatu pekerjaan yang berhubung dengan rezekinya.
Tidak ada perbezaan di antara amal ahli tajrid dengan amal ahli asbab.
Perbezaannya terletak di dalam diri iaitu hati. Ahli asbab melihat kepada
kekuatan hukum alam. Ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t pada
hukum alam itu. Walaupun ahli asbab mengakui kekuasaan Allah s.w.t tetapi
penghayatan dan kekuatannya pada hati tidak sekuat ahli tajrid.
Dalam melakukan kebaikan ahli asbab perlu melakukan mujahadah. Mereka perlu
memaksa diri mereka berbuat baik dan perlu menjaga kebaikan itu agar tidak
menjadi rosak. Ahli asbab perlu memperingatkan dirinya supaya berbuat ikhlas
dan perlu melindungi keikhlasannya agar tidak dirosakkan oleh riak (berbuat
baik untuk diperlihatkan kepada orang lain agar dia dikatakan orang baik), takbur
(sombong dan membesar diri, merasakan diri sendiri lebih baik, lebih tinggi,
lebih kuat dan lebih cerdik daripada orang lain) dan sama’ah (membawa perhatian
orang lain kepada kebaikan yang telah dibuatnya dengan cara bercerita
mengenainya, agar orang memperakui bahawa dia adalah orang baik). Jadi, ahli
asbab perlu memelihara kebaikan sebelum melakukannya dan juga selepas
melakukannya. Suasana hati ahli tajrid berbeza daripada apa yang dialami oleh
ahli asbab. Jika ahli asbab memperingatkan dirinya supaya ikhlas, ahli tajrid
tidak melihat kepada ikhlas kerana mereka tidak bersandar kepada amal kebaikan
yang mereka lakukan. Apa juga kebaikan yang keluar daripada mereka diserahkan
kepada Allah s.w.t yang mengurniakan kebaikan tersebut. Ahli tajrid tidak perlu
menentukan perbuatannya ikhlas atau tidak ikhlas. Melihat keihklasan pada
perbuatan sama dengan melihat diri sendiri yang ikhlas. Apabila seseorang
merasakan dirinya sudah ikhlas, padanya masih tersembunyi keegoan diri yang
membawa kepada riak, ujub (merasakan diri sendiri sudah baik) dan sama’ah.
Apabila tangan kanan berbuat ikhlas dalam keadaan tangan kiri tidak menyedari
perbuatan itu baharulah tangan kanan itu benar-benar ikhlas. Orang yang ikhlas
berbuat kebaikan dengan melupakan kebaikan itu. Ikhlas sama seperti harta
benda. Jika seorang miskin diberi harta oleh jutawan, orang miskin itu malu
mendabik dada kepada jutawan itu dengan mengatakan yang dia sudah kaya. Orang
tajrid yang diberi ikhlas oleh Allah s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada
Allah s.w.t. Jika harta orang miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang
tajrid adalah hak Allah s.w.t. Jadi, orang asbab bergembira kerana melakukan
perbuatan dengan ikhlas, orang tajrid pula melihat Allah s.w.t yang mentadbir
sekalian urusan. Ahli asbab dibawa kepada syukur, ahli tajrid berada dalam
penyerahan.
Kebaikan yang dilakukan oleh ahli asbab merupakan teguran agar mereka ingat
kepada Allah s.w.t yang memimpin mereka kepada kebaikan. Kebaikan yang
dilakukan oleh ahli tajrid merupakan kurniaan Allah s.w.t kepada kumpulan
manusia yang tidak memandang kepada diri mereka dan kepentingannya. Ahli asbab
melihat kepada keberkesanan hukum sebab-akibat. Ahli tajrid pula melihat kepada
keberkesanan kekuasaan dan ketentuan Allah s.w.t. Dari kalangan ahli tajrid,
Allah s.w.t memilih sebahagiannya dan meletakkan kekuatan hukum pada mereka.
Kumpulan ini bukan sekadar tidak melihat kepada keberkesanan hukum
sebab-akibat, malah mereka berkekuatan menguasai hukum sebab-akibat itu. Mereka
adalah nabi-nabi dan wali-wali pilihan. Nabi-nabi dianugerahkan mukjizat dan
wali-wali dianugerahkan kekeramatan. Mukjizat dan kekeramatan merombak
keberkesanan hukum sebab-akibat.
Di dalam kumpulan wali-wali pilihan yang dikurniakan kekuatan mengawal
hukum sebab-akibat itu terdapatlah orang-orang seperti Syeikh Abdul Kadir
al-Jailani, Abu Hasan as-Sazili, Rabiatul Adawiah, Ibrahim Adham dan lain-lain.
Cerita tentang kekeramatan mereka sering diperdengarkan. Orang yang cenderung
kepada tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan aulia Allah s.w.t tersebut
sebagai contoh, dan yang mudah memikat perhatian adalah bahagian kekeramatan.
Kekeramatan biasanya dikaitkan dengan perilaku kehidupan yang zuhud dan
bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Timbul anggapan bahawa jika mahu
memperolehi kekeramatan seperti mereka mestilah hidup sebagaimana mereka. Orang
yang berada pada peringkat permulaan bertarekat cenderung untuk memilih jalan
bertajrid iaitu membuang segala ikhtiar dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah
s.w.t. Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri,
anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya. Semua harta disedekahkan kerana dia
melihat Saidina Abu Bakar as-Siddik telah berbuat demikian. Ibrahim bin Adham
telah meninggalkan takhta kerajaan, isteri, anak, rakyat dan negerinya lalu
tinggal di dalam gua. Biasanya orang yang bertindak demikian tidak dapat
bertahan lama. Kesudahannya dia mungkin meninggalkan kumpulan tarekatnya dan
kembali kepada kehidupan duniawi. Ada juga yang kembali kepada kehidupan yang
lebih buruk daripada keadaannya sebelum bertarekat dahulu kerana dia mahu
menebus kembali apa yang telah ditinggalkannya dahulu untuk bertarekat. Keadaan
yang demikian berlaku akibat bertajrid secara melulu. Orang yang baharu masuk
ke dalam bidang latihan kerohanian sudah mahu beramal seperti aulia Allah s.w.t
yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampak semua yang
dimilikinya secara tergesa-gesa membuatnya berhadapan dengan cabaran dan dugaan
yang boleh menggoncangkan imannya dan mungkin juga membuatnya berputus-asa. Apa
yang harus dilakukan bukanlah meniru kehidupan aulia Allah s.w.t yang telah
mencapai makam yang tinggi secara melulu. Seseorang haruslah melihat kepada
dirinya dan mengenalpasti kedudukannya, kemampuanya dan daya-tahannya. Ketika
masih di dalam makam asbab seseorang haruslah bertindak sesuai dengan hukum
sebab-akibat. Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya dan harus pula
berusaha menjauhkan dirinya daripada bahaya atau kemusnahan.
Ahli asbab perlu berbuat demikian kerana dia masih lagi terikat dengan
sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih lagi melihat bahawa tindakan makhluk memberi
kesan kepada dirinya. Oleh yang demikian adalah wajar sekiranya dia mengadakan
juga tindakan yang menurut pandangannya akan mendatangkan kesejahteraan kepada
dirinya dan orang lain. Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang pada kedudukan
sebagai ahli asbab ialah apabila urusannya dan tindakannya yang menurut
kesesuaian hukum sebab-akibat tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipan terhadap
tuntutan agama. Dia tetap berasa rengan untuk berbakti kepada Allah s.w.t,
tidak gelojoh dengan nikmat duniawi dan tidak berasa iri hati terhadap orang
lain. Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum asbab maka jiwanya akan maju
dan berkembang dengan baik tanpa menghadapi kegoncangan yang besar yang boleh
menyebabkan dia berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Rohaninya akan menjadi
kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam m akam tajrid secara selamat.
Akhirnya dia mampu untuk bertajrid sepenuhnya.
Ada pula orang yang dipaksa oleh takdir supaya bertajrid. Orang ini asalnya
adalah ahli asbab yang berjalan menurut hukum sebab-akibat sebagaimana orang
ramai. Kemungkinannya kehidupan seperti itu tidak menambahkan kematangan
rohaninya. Perubahan jalan perlu baginya supaya dia boleh maju dalam bidang
kerohanian. Oleh itu takdir bertindak memaksanya untuk terjun ke dalam lautan
tajrid. Dia akan mengalami keadaan di mana hukum sebab-akibat tidak lagi
membantunya untuk menyelesaikan masalahnya. Sekiranya dia seorang raja, takdir
mencabut kerajaannya. Sekiranya dia seorang hartawan, takdir menghapuskan
hartanya. Sekiranya dia seorang yang cantik, takdir menghilangkan kecantikannya
itu. Takdir memisahkannya daripada apa yang dimiliki dan dikasihinya. Pada peringkat
permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian, sebagai ahli asbab, dia
berikhtiar menurut hukum sebab-akibat untuk mempertahankan apa yang dimiliki
dan dikasihinya. Jika dia tidak terdaya untuk menolong dirinya dia akan meminta
pertolongan orang lain. Setelah puas dia berikhtiar termasuklah bantuan orang
lain namun, tangan takdir tetap juga merombak sistem sebab-akibat yang terjadi
ke atas dirinya. Apabila dia sendiri dengan dibantu oleh orang lain tidak mampu
mengatasi arus takdir maka dia tidak ada pilihan kecuali berserah kepada
takdir. Dalam keadaan begitu dia akan lari kepada Allah s.w.t dan merayu agar
Allah s.w.t menolongnya. Pada peringkat ini seseorang itu akan kuat beribadat
dan menumpukan sepenuh hatinya kepada Tuhan. Dia benar-benar berharap Tuhan
akan menolongnya mengembalikan apa yang pernah dimilikinya dan dikasihinya.
Tetapi, pertolongan tidak juga sampai kepadanya sehinggalah dia benar-benar
terpisah dari apa yang dimiliki dan dikasihinya itu. Luputlah harapannya untuk
memperolehinya kembali. Redalah dia dengan perpisahan itu. Dia tidak lagi
merayu kepada Tuhan sebaliknya dia menyerahkan segala urusannya kepada Tuhan.
Dia menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi ikhtiar, pilihan
dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang
bertajrid. Apabila seseorang hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t
sendiri akan menguruskan kehidupannya. Allah s.w.t menggambarkan suasana tajrid
dengan firman-Nya:
Dan (ingatlah) berapa
banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi
rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
( Ayat 60 : Surah
al-‘Ankabut )
Makhluk Allah s.w.t seperti
burung, ikan, kuman dan sebagainya tidak memiliki tempat simpanan makanan.
Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Allah s.w.t. Jaminan
Allah s.w.t itu meliputi juga bangsa manusia. Tanda Allah s.w.t meletakkan
seseorang hamba-Nya di dalam makam tajrid ialah Allah s.w.t memudahkan baginya
rezeki yang datang dari arah yang tidak diduganya. Jiwanya tetap tenteram sekalipun terjadi
kekurangan pada rezeki atau ketika menerima bala ujian.
Sekiranya ahli tajrid sengaja memindahkan dirinya kepada makam asbab maka
ini bermakna dia melepaskan jaminan Allah s.w.t lalu bersandar kepada makhluk .
Ini menunjukkan akan kejahilannya tentang rahmat dan kekuasaan Allah s.w.t.
Tindakan yang jahil itu boleh menyebabkan berkurangan atau hilang terus
keberkatan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Misalnya, seorang ahli tajrid
yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan kecuali membimbing orang ramai kepada
jalan Allah s.w.t, walaupun tidak mempunyai sebarang pekerjaan namun, rezeki
datang kepadanya dari berbagai-bagai arah dan tidak pernah putus tanpa dia
meminta-minta atau mengharap-harap. Pengajaran yang disampaikan kepada
murid-muridnya sangat berkesan sekali. Keberkatannya amat ketara seperti makbul
doa dan ucapannya biasanya menjadi kenyataan. Andainya dia meninggalkan suasana
bertajrid lalu berasbab kerana tidak puas hati dengan rezeki yang diterimanya
maka keberkatannya akan terjejas. Pengajarannya, doanya dan ucapannya tidak
seberkesan dahulu lagi. Ilham yang datang kepadanya tersekat-sekat dan
kefasihan lidahnya tidak selancar biasa.
Seseorang hamba haruslah menerima dan reda dengan kedudukan yang Allah
s.w.t kurniakan kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t dengan yakin bahawa
Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Allah s.w.t tahu apa yang patut bagi
setiap makhluk-Nya. Allah s.w.t sangat bijak mengatur urusan hamba-hamba-Nya.
Keinginan kepada pertukaran makam merupakan tipu daya yang sangat halus. Di
dalamnya tersembunyi rangsangan nafsu yang sukar disedari. Nafsu di sini
merangkumi kehendak, cita-cita dan angan-angan. Orang yang baharu terbuka pintu
hatinya setelah lama hidup di dalam kelalaian, akan mudah tergerak untuk
meninggalkan suasana asbab dan masuk ke dalam suasana tajrid. Orang yang telah
lama berada dalam suasana tajrid, apabila kesedaran dirinya kembali sepenuhnya,
ikut kembali kepadanya adalah keinginan, cita-cita dan angan-angan. Nafsu
mencuba untuk bangkit semula menguasai dirinya. Orang asbab perlulah menyedari
bahawa keinginannya untuk berpindah kepada makam tajrid itu mungkin secara
halus digerakkan oleh ego diri yang tertanam jauh dalam jiwanya. Orang tajrid
pula perlu sedar keinginannya untuk kembali kepada asbab itu mungkin didorong
oleh nafsu rendah yang masih belum berpisah dari hatinya. Ulama tasauf
mengatakan seseorang mungkin dapat mencapai semua makam nafsu, tetapi nafsu peringkat
pertama tidak kunjung padam. Oleh yang demikian perjuangan atau mujahadah
mengawasi nafsu sentiasa berjalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan