SYARAH VERSI TO’ FAKIR
AN NASIRIN
KEKUATAN SEMANGAT
(AZAM, CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA MEMECAHKAN BENTENG TAKDIR.
Kalam Hikmat yang pertama menyentuh
tentang hakikat amal yang membawa kepada pengertian tentang amal zahir dan amal
batin. Ia mengajak kita memerhatikan amal batin (suasana hati) berhubung dengan
amal zahir yang kita lakukan. Sebagai manusia biasa hati kita cenderung untuk
menaruh harapan dan meletakkan pergantungan kepada keberkesanan amal zahir. Hikmat kedua
memperjelaskan mengenainya dengan membuka pandangan kita kepada suasana asbab
dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi kerana seseorang itu melihat kepada
keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat. Apabila terlepas daripada waham
sebab musabab baharulah seseorang itu masuk kepada suasana tajrid.
Hikmat ke tiga
ini pula mengajak kita merenung kepada kekuatan benteng takdir yang memagar
segala sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli tajrid, kita dapati ahli
tajrid melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan keberkesanan kepada
sesuatu sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini bermakna semua
kejadian dan segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di dalam pentadbiran
Allah s.w.t. Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap makhluk-Nya.
Urusan ketuhanan yang menguasai, mengatur dan mengurus atau suasana pentadbiran
Allah s.w.t itu dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak dikuasai, diatur
dan diurus oleh Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang tidak termasuk di
dalam takdir.
Manusia
terhijab daripada memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab. Kedirian
seseorang menjadi alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab pandangan
hati daripada melihat kepada takdir. Keinginan, cita-cita, angan-angan,
semangat, akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada melihat kepada
kekuasaan, aturan dan urusan Tuhan. Hijab kedirian itu jika disimpulkan ia
boleh dilihat sebagai hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang melahirkan
keinginan, cita-cita, angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera nafsu,
menimbang, merancang dan mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang dicetuskan
oleh nafsu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak kepada
kebaikan itu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang buruk, akal itu juga yang
bergerak kepada keburukan. Dalam banyak perkara akal tunduk kepada arahan
nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu. Oleh sebab itulah di dalam menundukkan
nafsu tidak boleh meminta pertolongan akal.
Dalam proses
memperolehi penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t terlebih dahulu
akal dan nafsu perlu ditundukkan kepada kekuatan takdir. Akal mesti mengakui
kelemahannya di dalam membuka simpulan takdir. Nafsu mesti menerima hakikat
kelemahan akal dalam perkara tersebut dan ikut tunduk bersama-samanya. Bila
nafsu dan akal sudah tunduk baharulah hati boleh beriman dengan sebenarnya
kepada takdir.
Beriman kepada takdir seharusnya melahirkan penyerahan
secara berpengetahuan bukan menyerah kepada kejahilan. Orang yang jahil tentang
hukum dan perjalanan takdir tidak dapat berserah diri dengan sebenarnya kepada
Allah s.w.t kerana disebalik kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan akal
untuk menimbulkan keraguan terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan
hakikat takdir itu masih terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia
masih melihat bahawa makhluk boleh mendatangkan kesan kepada kehidupannya.
Tindakan orang lain dan kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang
demikian menyebabkan dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri kepada
Tuhan. Sekiranya dia memahami tentang hukum
dan peraturan Tuhan dalam perkara takdir tentu dia dapat bertahan dengan iman.
Hadis menceritakan tentang takdir:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai
Rasulullah, apakah iman?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah,
malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga
engkau beriman dengan Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah
dari Allah s.w.t”. { Maksud Hadis }
Pandangan kita sering keliru dalam
memandang kepada takdir yang berlaku. Kita dikelirukan oleh istilah-istilah
yang biasa kita dengar Kita cenderung untuk merasakan seolah-olah Allah s.w.t
hanya menentukan yang asas sahaja sementara yang halus-halus ditentukan-Nya kemudian
iaitu seolah-olah Dia Melihat dan Mengkaji perkara yang berbangkit baharulah
Dia membuat keputusan. Kita merasakan apabila kita berjuang dengan semangat
yang gigih untuk mengubah perkara dasar yang telah Allah s.w.t tetapkan dan Dia
Melihat kegigihan kita itu dan bersimpati dengan kita lalu Dia pun membuat
ketentuan baharu supaya terlaksana takdir baharu yang sesuai dengan perjuangan
kita. Kita merasakan kehendak dan tadbir kita berada di hadapan sementara
Kehendak dan Tadbir Allah s.w.t mengikut di belakang. Anggapan dan perasaan yang demikian
boleh membawa kepada kesesatan dan kederhakaan yang besar kerana kita
meletakkan diri kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada taraf
hamba yang menurut telunjuk kita. Bagi menjauhkan diri daripada kesesatan dan
kederhakaan yang besar itu kita perlu sangat memahami soal sunnatullah atau
ketentuan Allah s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut ketentuan dan
pentadbiran Allah s.w.t. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Ilmu Allah
s.w.t meliputi yang awal dan yang akhir, yang azali dan yang abadi. Apa yang
dizahirkan dan apa yang terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan
di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di
dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya yang
demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Ayat
22 : Surah al-Hadiid)
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang
menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu; - ( Ayat 1 : Surah
al-Mulk )
Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta
memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 3 : Surah al-A’laa)
Dan Kami jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana
sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara
yang telah ditetapkan. ( Ayat 12 :
Surah al-Qamar )
Segala perkara, tidak kira apa
istilah yang digunakan, adalah termasuk dalam ketentuan Allah s.w.t. Apa yang
kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar, doa, kekeramatan, mukjizat dan
lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t. Pagar takdir mengelilingi
segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang mampu menembusi benteng
takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan ikhtiar melainkan perjuangan
dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir. Tidak berdoa orang yang
berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir untuknya yang sesuai dengan
ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang didoakan juga tidak lari daripada
sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku kekeramatan dan mukjizat
melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir yang tidak menyimpang
daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu nafas atau berdenyut
satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan urusan Allah s.w.t
pada azali.
Kami datang dari Allah
dan kepada Allah kami kembali.
Segala perkara
datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan ketentuan tanpa
campurtangan sesiapa pun. Segala perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah yang
mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapa pun mampu menyekat
urusan-Nya.
Apabila sudah
difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir
yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi berasa
bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan berserah diri sama-sama berada di dalam pagar
takdir. Jika seseorang menyedari makamnya sama ada asbab atau tajrid maka dia
hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Ahli asbab perlu berusaha dengan
gigih menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa juga hasil yang muncul dari
usahanya diterimanya dengan senang hati kerana dia tahu hasil itu juga adalah
takdir yang ditadbir oleh Allah s.w.t. Jika hasilnya baik dia akan bersyukur
kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari Allah s.w.t. Jika tidak ada
ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia mendapat kebaikan. Jika hasil
yang buruk pula sampai kepadanya dia akan bersabar kerana dia tahu apa yang
datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada usaha
dan ikhtiarnya. Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan seleranya datang
kepadanya tetapi usaha baik yang dilakukannya tetap diberi pahala dan
keberkatan oleh Allah s.w.t sekiranya dia bersabar dan rela dengan apa juga
takdir yang sampai kepadanya itu.
Ahli tajrid pula hendaklah reda
dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan jaminan Allah s.w.t. Dia
tidak harus merungut jika terjadi kekurangan pada rezekinya atau kesusahan
menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir yang sesuai dengan apa yang
Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya adalah juga ketentuan Allah
s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka ia juga masih lagi di dalam
pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Begitu juga jika terjadi
keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus melihat itu sebagai takdir
yang menjadi bahagiannya.
Persoalan takdir berkait rapat
dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan daripada yang banyak kepada
yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang. Setelah ditanam benih yang
kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan beberapa banyak buah
kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk menumbuhkan pokok-pokok
kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang yang bermula dari satu
biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang sejuta tidak ada bezanya
dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama itu bukan sahaja
berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah ia mampu mengeluarkan
semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya boleh mengeluarkan kacang,
tidak benda lain.
Kajian akal boleh memperakui bahawa
semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat kacang. Zat kacang pada benih
pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta malah ia adalah zat
yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah ‘bergerak’ pada semua
kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang, tidak menjadi benda lain.
Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal pertumbuhan kacang namun,
zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana kacang. Ia tidak berupa dan
tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah dengan mana-mana
kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat kacang ini dinamakan
“Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang mentadbir dan mengawal
seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga kesudahan, sampai ke hari
kiamat. Hakikat Kacang
inilah suasana pentadbiran Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian
kacang. Apa sahaja yang dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali
menjadi kacang.
Suasana
pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan manusia
pula dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t telah
menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada
pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan
untuk melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan
tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat
Manusia.
Pada Hakikat
Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya
dengan segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan
“Hakikat Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat
Wali” pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau hakikat itu
menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan segala maklumat
yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah menjalankan urusan
Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t.
Dan katakan: “
Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. ( Ayat 85 : Surah Al-Israa’ )
Pentadbiran
Allah s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya
yang berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak
azali lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala sesuatu
dikawal oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh meminta menjadi
kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta
menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh Allah s.w.t.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan