Catatan Popular

Sabtu, 4 Ogos 2012

SYARAH HIKAM ATA’ILLAH NO 5 VERSI KIYAI (TANDA-TANDA TERTUTUP MATAHATI)

VERSI DR KH MUHIBUDDIN WALY


JANGAN BUTA MATAHATI ANDA

Menurut Kalam Hikmah ke 23 , Imam Ibnu Athaillah Askandary 

“Kegiatan anda pada menghasilkan sesuatu yang telah terjamin untuk anda, di samping itu anda meninggalkan sesuatu di mana anda telah dituntut (diperintahkan pada mengerjakannya) adalah menunjukkan atas (telah) butanya (tertutup) matahati anda”.

Dari keterangan ini dapat kita fahami bahawa apabila mata kita melihat segala sesuatu yang mungkin dilihat, maka matahati kita melihat segala sesuatu yang tidak mungkin dilihat oleh penglihatan mata kepala sendiri. Inilah perbezaan diantara Al-Basirah dan Al-Basor.
Kalam Hikmah ini memberikan pengertian kepada kita agar kita jangan begitu mementingkan diri dalam mencari rezeki yang dijamin oleh Allah SWT.
Kita boleh berusaha, bahkan seterusnya berusaha mencari rezki yang halal, tetapi kita dianjurkan agar jangan sampai lupa diri, sehingga sluruh perhatian kita, kita tumpahkan untuk hidup duniawi ini sahaja.
Kerana apabila seluruh kekuatan kita, perhatian dan perasaan kita semuanya untuk ini,maka pasti akan mengakibatkan kurang kesungguhan kita dalam melaksanakan kewajipan-kewajipan kita terhadap ajaran agama.
Betapa tidak. Allah SWT dengan kurniaanNya dan kebaikanNyatelah menjamin rezeki hamba-hambaNya. Kerana itu Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezkinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezki kepadanya dan kepadamu dan dia Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
[Al-Ankabut:60]
Dan firmanNya lagi yang bermaksud:

Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan Bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. kami tidak meminta rezki kepadamu, kamilah yang memberi rezki kepadamu. dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.
[Thoha:132]
Dua maksud ayat Al-Quran ini memberikan pengertian kepada kita bahawa dalam masalah rezeki, kita tidak boleh susah. Sebab ada dalam jaminan Allah SWT, asal sahaja kita berusaha sesuai dengan ketentuan-ketentuan dari tingkatan-tingkatan keadaan kita.
Apabila masalah rezeki sudah terang persoalannya, maka imbalan daripad itu ialah Allah SWT menuntut kita untuk melaksanakanamal ibadah berupa kewajipan-kewajipan kita terhadap Allah SWT dan mengerjakan amal-amal kebajikan lain-lain seperti yang telah digariskan oleh ajaran-ajaran agama kita.
Dengan amal ibadah kita dapat sampai kepada kebahagian di akhirat yang kekal baqa’. Dan dengan amal ibadah pula dapat kita berbakti kepada Allah SWT.
Berfirman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
[Adz-zariyat:56]
Kemudian dalam surah yang sama Allah melanjutkan firmanNya yang bermaksud:

Aku tidak menghendaki rezki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. Sesungguhnya Allah dialah Maha pemberi rezki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kokoh.
[Adz-zaariyat 57:58]
Dari ayat-ayat ini jelaslah bagi kita, bahawa Allah tidak meminta kepada kita sesuatu seperti yang kita perlukan di dalam hidup dan kehidupan kita.
Tetapi Allah SWT menjadikan kita manusia pada khususnya dengan hikmah supaya kita berterima kasih kepadaNya, dengan jalan beribadah, secara tegas mematuhi segala perintah-perintahNya dan menjauhi segala larangan-laranganNya.
Perlu kita ketahui tanda-tanda orang yang tenggelam dalam berusaha pada apa yang telah dijamin oleh Allah, tanda-tanda ialah:
1- Timbul penyesalan, apabila sesuatu yang telah diberikan oleh Tuhan dicabut kembali olehNya, apakah dengan jalan hilang dicuri orang, dibinasakan dengan datangnya kebanjiran, atau musnah ditelan api dan seumpamanya.
2- Tidak ada taqwa dalam hati dan tindak-tanduk pada menghasilkan rezeki yang dicari. Pendeknya asal wang mask, haram dan halal ditelan semuanya.
3- Lalai dari kewajipan yang menjadi hak kita yang tak dapat tidak pada sebabnya ada rezeki itu. Dengan kata lain dapat dikatakan bahawa masanya asyik ia dengan perusahaannya atau pekerjaannya sehingga lupa sembahyang dan puasa dan sebagainya.
Kemudian tanda-tanda bagi hamba-hamba Allah yang tidak pusing dan tidak tengglam dalam pekerjaannya, tetapi biasa sahaja, sehingga meskipun ia berusaha namun ada batas-batasnya; maka tanda-tandanya ialah 3 pula:
1- Redha pada apa yang terjadi. Apabila ia mendapat untung besar, maka ia bersyukur kepada Allah SWT dan apabila ia mendapat cubaan dari Tuhan sehingga ia jatuh rugi misalnya, maka ia bersabar dan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT.
2- Senantiasa Taqwa kepada Allah dalam usaha mncari rezeki yang halal.
3- Senantiasa memelihara cara-cara yang baik, tindak-tanduk yang bagus, tidak memfitnah orang, tidak sentiment dan sakit hati, tidak aniaya kepada orang lain (dan sebagainya) di dalam pekerjaannya dalam berusaha demi mencari rezeki yang halal.

Maka dengan ini semua, teranglah bagi kita siapakah orang-orangnyayang dalam usaha-usahanya dalam menghasilkan rezeki, ia diredhai oleh Allah atau sebaliknya.
Kalam hikmah di atas dalam pengertiannya menyuruh kita supaya kita tetap memelihara hati kita, agar selalu mendapat limpahan-limpahan petunjuk dan tuntutan Allah dalam seluruh persoalan hidup yang kita hadapi.
Kerana itu meskipun kita di dalam hidup ini berusaha mengatasi hidup dan kehidupan dengan mencapai rezeki yang halal, maka janganlah kita lupa pada Allah dengan persoalan yang kita hadapi dengan jalan mematuhi ajaran-ajaran agamaNya.
Dan apabila sebaliknya, maka ini adalah dalil, bahawa hati kita telah buta dan tertutup, sehingga kebenaran dan keadilan dalam arti yang luas, gelap dan tidak kelihatan.
Akhirnya kebahagian yang kekal abadi yang menjadi cita-cita para hambaNya yang soleh akan sirna dan lenyap sama sekali.

Tiada ulasan: