Sheikhna
Sidi Yusuf al-Hasani pernah meriwayatkan satu kisah yang mengisahkan satu
hubungan cinta yang amat mendalam seorang hamba terhadap Tuhannya, iaitu
seorang hamba yang amat memahami keadaannya dihadapan Tuhannya. Namanya tidak
dikenali, dan beliau juga merupakan seorang hamba yang telah dibeli oleh
tuannya di suatu negeri.Seperti kebiasaan, negeri tersebut akan mengalami musim
kemarau pada tiap-tiap tahun. Akan tetapi, pada tahun itu, musim kemarau yang
berlaku amatlah teruk sehinggakan penduduk di negeri itu melakukan solat
Istisqaq(meminta hujan) hampir setiap hari. Melihat tiada perubahan, dan
penduduk negeri semakin menjalani kehidupan mereka dalam kesukaran, mereka
akhirnya menjemput Imam al-Haramain, iaitu Imam 'Abdullah ibn Mubarak, seorang
'ulama yang cukup terkenal dalam bidang hadith serta fiqh, yang juga merupakan
guru kepada Imam al-Ghazali, pengarang kitab Ihya 'Ulumuddin yang terkenal.
Kebiasaannya,
apabila Imam 'Abdullah ibn Mubarak melakukan solat Istisqaq di tempat-tempat
lain, dengan rahmat Allah, Allah akan menurunkan hujan pada tempat yang
ditunaikan solat tersebut. Akan tetapi, apabila beliau dan jemaahnya selesai
melakukan solat Istisqaq di negeri tersebut, kelihatan bahawa tiada tanda-tanda
hujan akan turun sebaliknya kemarau tetap sahaja membakar kulit-kulit mereka.
Kehairanan
dengan kejadian sebegitu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak tidak dapat melelapkan
matanya sebaliknya mengambil keputusan untuk melihat keadaan penduduk negeri
tersebut pada waktu malam. Setelah beliau berjalan-jalan di sekitar kawasan
itu, beliau terdengar suara seorang lelaki sedang bermunajat kepada Allah
s.w.t. di tengah-tengah padang. Melihat keadaan itu, beliau cuba mendekati
lelaki tersebut, dan beliau mendengar doa lelaki tersebut yang berkata,
"Wahai Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap diriku, aku meminta
agar Engkau merunkan hujan kepada negeri ini".
Setelah
sahaja lelaki tersebut selesai berdoa dan beredar dari padang itu, dengan
rahmat Allah, hujan terus turun selebat-lebatnya dan perkara ini menjadikan
Imam 'Abdullah ibn Mubarak ingin mengenali lelaki tersebut. Pada keesokan hari,
Imam 'Abdullah ibn Mubarak mencari siapakah gerangan lelaki tersebut, dan
bertanya kepada setiap rumah di negeri tersebut. Akhirnya, beliau berjaya
mendapat tahu bahawa lelaki tersebut merupakan seorang hamba kepada fulan yang
amat kaya raya di negeri tersebut.
Beliau
dengan penuh semangat, pergi ke rumah si fulan yang amat kaya lalu bertanya,
"Wahai tuan, bolehkah aku bertemu dengan hamba milikmu yang keadaannya
sekian dan sekian?". Si Fulan tersebut menjawab, "Lelaki pemalas itu?
Aku tidak pernah bertemu dengan hamba yang amat pemalas sepertinya. Aku telah
menghantarnya ke pasar untuk dijual".Mendengar penjelasan fulan tersebut,
beliau bergegas ke pasar untuk mencari dimanakah tempat hamba tersebut dijual.
Setelah sekian lama mencari dimanakah hamba tersebut dijual, akhirnya selang
beberapa hari beliau berjaya mendapat hamba tersebut yang sedang sedang
dilelong. Lalu, beliau pun bertanya kepada si pelelong hamba, "Aku ingin
membeli hamba tersebut, berapakah harganya?". Mendengar pertanyaan Imam
'Abdullah ibn Mubarak, pelelong hamba tersebut ketawa lalu berkata,
"Engkau mahu membeli hamba ini yang amat terkenal dengan sifat malas? Aku
telah menjualnya untuk sekian waktu yang lama, sampai sekarang tiada orang yang
ingin membelinya. Aku rela untuk berikan kepada kamu percuma sahaja, menyimpannya bagiku
hanya menjadi beban sahaja". Akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak
serius ingin membeli hamba tersebut, lalu bertanya, "Bagitahu kepadaku,
berapa yang engkau mahu jual hamba tersebut? Aku mempunyai wang untuk membayar
hamba itu". Melihat keseriusan beliau, lalu pelelong hamba tersebut
menjualnya sebanyak 20 dinar sahaja, akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak
membayar sebanyak dua kali ganda harganya iaitu dengan 40 dinar, dan membawa
pulang hamba tersebut ke rumahnya.
Setelah sampai di rumah Imam 'Abdullah ibn Mubarak, hamba yang baru
dibelinya tadi terus disuruh membersihkan diri dan diberi pakaian yang baru
untuknya. Selain itu, beliau juga melayan hamba tersebut sebagai tetamunya
dengan penuh istimewa, sedangkan dia hanya seorang hamba.
Akhirnya, 1001 satu persoalan bermain di fikiran hamba itu, setelah 3 hari
dilayan sebagai seorang tetamu kerana kehadiran dia di rumah Imam 'Abdullah ibn
Mubarak adalah sebagai seorang hamba. Lalu dia pun bertanya kepada tuan barunya
itu, "Wahai tuan, aku dibeli olehmu untuk berkhidmat kepada tuan. Tetapi,
kenapa setelah tiga hari aku berada disini, engkau tidak mengarahkan aku satu
suruhan pun sebagai seorang tuan, sebaliknya menyediakan aku keselesaan
sedangkan aku hamba".
Mendengar pertanyaan hamba itu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak pun menjelaskan,
"Aku sebenarnya tidak ingin menjadikanmu hamba. Sebaliknya aku hanya ingin
bertanya kepadamu satu soalan. Sesungguhnya aku berada di padang ketika engkau
berdoa kepada Allah, "Wahai Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap
diriku, aku meminta agar Engkau merunkan hujan kepada negeri ini". Dan aku
hairan, bagaimana engkau boleh berdoa sedemikian sedangkan engkau tidak
mengetahui bagaimana cinta Allah kepadamu".
Hamba
tersebut pun berkata, "Wahai tuan, engkau adalah Imam 'Abdullah ibn
Mubarak yang terkenal seluruh Haramain dan sekitarnya. Bagaimana aku ingin menjelaskan
kepadamu sedangkan engkau imam kami, mustahil engkau tidak mengerti hal
ini". Beliau pun tetap menyuruh hambanya itu menjawab persoalannya, lalu
hamba tersebut menjelaskan, "Wahai tuan, kita ini adalah haadith(yang
baharu) dan juga makhluqnya. Bagaimana kita boleh mengatakan cinta kita
kepadaNya, sedangkan cinta kita itu adalah sebahagian daripada yang baharu,
sedangkan cintaNya pula adalah qaadim(yang kekal sedia ada). Adalah tidak
beradab apabila kita mendahulukan cinta kita kepadaNya, sedangkan cintaNya
terhadap kita adalah terlebih awal sebelum kita diciptakan".
Mendengar
penjelasan hambanya tersebut sambil menitiskan air mata, beliau berkata,
"Wahai hambaku, sekarang aku bebaskan kamu daripada menjadi hamba".
Lalu, hamba tersebut meminta izin daripada Imam 'Abdullah ibn Mubarak untuk
solat dua rakaat di dalam biliknya. Imam 'Abdullah ibn Mubarak pula tidak
berganjak dari tempatnya, dan terdengar suara hambanya tadi berdua dalam sujud
yang kedua, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah membukakan rahsia
antaraMu dan aku terhadap tuanku ini. Maka, aku memohon kepadaMu wahai Tuhanku,
Engkau cabutkanlah nyawaku dan agar rahsiaku tetap tersimpan denganMu".
Apabila Imam 'Abdullah ibn Mubarak masuk ke dalam bilik hamba tersebut, beliau
mendapati bahawa lelaki tersebut telahpun wafat dalam keadaan sujudnya tadi dan
beliau memaqamkan lelaki tersebut sebagai seorang yang amat mulia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan