Catatan Popular

Selasa, 8 November 2011

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 32: FIRASAT (FIRASAH)


Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. (Al-Hijr: 75)
Dikatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda” adalah “orang-orang yang mempunyai firasat.”
Diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Rasulullah saw memperingatkan, “Waspadalah terhadap firasat seorang beriman, sebab dia melihat dengan cahaya Allah SWT.”
Firasat sesuai dengan kekuatan iman: barangsiapa yang mempunyai iman yang kuat, maka firasatnya juga kuat.
Abu Sai’id Al-Kharraz berpendapat, “Seseorang yang melihat dengan cahaya firasat beerti melihat dengan cahaya Allah; inti pengetahuannya datang dari Allah, tidak bercampur dengan kealpaan ataupun kelalaian. Sungguh, ketentuan Allah mengalir melalui lidah si hamba.” Dengan perkataan, “dia melihat dengan cahaya Allah”, maksudnya adalah “dengan cahaya yang dianugerahkan Allah kepadanya.” Al-Wasiti menyatakan, “Firasat terdiri dari cahaya yang cemerlang dalam hati, yang membuat si ahli makrifat mampu membawa rahsia-rahsia dari satu alam ghaib ke alam ghaib lainnya, sedemikian rupa hingga dia dapat melihat hal-hal dengan cara di mana Allah memperlihatkannya kepadanya, hingga dia dapat berbicara tentang bahagian penciptaan yang paling dalam.”
Diriwayatkan bahawa Abul Hassan Ad-Dailami menuturkan, “Aku pergi ke Antakia kerana mendengar tentang seorang kulit hitam yang berbicara tentang hal-hal ghaib. Aku tinggal di sana sampai dia turun dari gunung Lukam. Dia membawa barang-barang halal yang dijualnya. Aku lapar kerana sudah dua hari tidak makan. Maka aku lalu bertanya kepadanya, “Berapa harganya ini?” Ku buat dia percaya bahawa aku akan membeli dagangannya. Dia berkata kepadaku, “Duduklah di situ, jika barang-barang ini sudah terjual aku akan memberimu wang yang dengannya engkau dapat membeli makanan.’ Maka aku lalu meninggalkan dia dan pergi ke pedagang lain untuk membuatnya mengira bahawa aku sedang menawar dagangannya. Kemudian aku kembali kepadanya dan berkata, “Jika engkau bermaksud untuk menjual barang ini, maka katakanlah kepadaku berapa harganya.” Dia menjawab, “Engkau sudah dua hari kelaparan. Duduklah. Jika barang ini telah terjual, aku akan memberimu wang untuk membeli sesuatu.” Maka aku pun duduk, dan ketika barangnya telah terjual, dia memberiku wang dan pergi. Aku mengikutinya dan dia berpaling kepadaku serta berkata,
“Jika engkau memerlukan sesuatu, mintalah kepada Allah. Tapi jika hawa nafsumu memperoleh sesuatu yang bukan keperluanmu, maka engkau tidak akan diberi [oleh-Nya].”
Al-Kattani menyatakan, “Firasat ertinya menyatakan kepastian dan melihat yang ghaib. Ia adalah salah satu tahap iman.” Dikatakan bahawa Asy-Syafi’i dan Muhammad bin Hassan sedang berada di Masjidil Haram ketika seseorang masuk ke masjid. Muhammad bin Al-Hassan berkata, “Aku punya firasat bahawa dia adalah seorang tukang kayu,” dan Asy-Syafi’i berkata, “Aku punya firasat bahawa dia adalah seorang tukang besi.” Ketika mereka bertanya kepada orang itu, dia menjawab, “Dahulu, aku pernah menjadi tukang besi, sekarang aku adalah tukang kayu.”
Yang memiliki anugerah yang lebih besar lagi dari ini (iaitu firasat) adalah para ahli makrifat. Allah SWT berfirman,
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادً۬ا لِّى مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَـٰكِن كُونُواْ رَبَّـٰنِيِّـۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُونَ 
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah. Tetapi (sepatutnya dia berkata): Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (Ali-Imran: 79)
Yakni para ulama dan orang-orang bijak yang akhlaknya dibentuk menurut sifat-sifat Allah dalam ketaatan dan pengamalan.
Dalam satu riwayat disebutkan, “Abul Qasim sedang menderita sakit. Dia adalah seorang besar di kalangan syeikh di Nisyapur. Maka Abul Hasan Al-Busyanji dan Al-Hasan Al-Hadad pun pergi menjenguknya. Di tengah jalan mereka membeli sebutir epal dengan berhutang.Ketika mereka telah sampai ke rumah Abul Qasim, yang disebut kemudian ini bertanya, “Kegelapan apa gerangan yang meliputi engkau berdua ini?” Mereka lalu pergi keluar dan saling bertanya, kesalahan apa yang telah mereka lakukan. Mereka berifkir dan kemudian menyimpulkan, barangkali kesalahan itu adalah bahawa mereka belum membayar harga epal itu. Mereka pun lalu pergi kepada si penjual buah, membayar epal itu dan kembali ke rumah Abul Qasim. Ketika Abul Qasim melihat mereka, dia berkata, “Aneh sekali. Orang dapat keluar dari kegelapan begitu cepat. Ceritakanlah kepadaku apa yang telah engkau lakukan.” Ketika mereka telah menceritakan apa yang telah terjadi, Abul Qasim membenarkan, “Ya, masing-masing dari kamu berdua mengharapkan yang lain membayar epal itu, tapi malu memintanya. Jadi pembelian epal itu tidak tunai. Alasan pembelian epal itu adalah diriku, dan hanya aku saja yang melihat kegelapan itu padamu berdua.” Abul Qasim ini juga yang biasa pergi ke pasar setiap hari untuk berjualan. Apabila dia telah memperoleh keuntungan yang cukup baginya – antara seperenam hingga setengah dirham – maka dia akan pulang dan kembali ke kesibukannya yang utama, iaitu solat dan mengawasi hatinya.”
Al-Husain bin Manshur berpendapat, “Apabila Allah berkehendak untuk menaklukkan sebuah hati, maka Dia akan mengamanatkan rahsia-rahsia kepadanya yang kemudian difahaminya dan dimaklumkannya.”
Diceritakan bahawa Zakariya Asy-Syakhtani ada hubungan dengan seorang wanita sebelum dia bertaubat ke jalan sufi. Suatu ketika, setelah dia menjadi salah seorang murid terkemuka Abu Utsman Al-Hiri, dia berdiri di depan gurunya itu sambil berfikir tentang si wanita itu. Abu Utsman mengangkat dan memandangnya sambil bertanya: “Apakah engkau tidak merasa malu?”
Syeikh Abu Abdurrahman As-Sulami mengabarkan bahawa dia mendengar dauknya Abu Amr bin Nujaid berkata, “Syah Al-Kirmani memiliki firasat yang sangat tajam dan tidak pernah keliru. Beliau mengatakan, “Firasat akan selalu benar bagi orang yang merendahkan padangannya dari penglihatan yang haram, menahan dirinya dari keinginan hawa nafsu, membiasakan wujud batinnya dengan muraqabah diri yang terus-menerus, dan menyesuaikan wujud lahirnya dengan sunnah, dan membiasakan diri makan makanan yang halal sahaja.”
Abu Hasan An-Nuri ditanya, “Dari mana datangnya firasat manusia yang memilikinya?” Dia menjawab, “Dari firman Allah ini,

Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanKu) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (Al-Hijr: 29) Ahmad bin ‘Ashim Al-Antaki mengajarkan, “Jika engkau berkawan dengan orang-orang yang tulus, maka berlaku tuluslah terhadap mereka, sebab mereka adalah mata-mata hati. Mereka masuk ke dalam hatimu dan meninggalkannya tanpa engkau sedari.” Abu Jaafar Al-Haddad berpendapat, “Firasat adalah kilasan pertama intuisi yang datang kepadamu, tidak disertai fikiran yang berlawanan. Jika suatu fikiran yang berlawanan datang menentangnya, maka ketahuilah bahawa [fikiran yang pertama] hanyalah fikiran sesat dan igauan fikiran semata-mata.”
Diceritakan bahawa Abu Abdullah Ar-Razi An-Nisaburi mengabarkan, “Ibn Al-Anbari menjahitkan sepotong jubah kapas untukku. Kulihat Asy-Syibli memakai sebuah serban yang sangat serasi dengan jubahku. Diam-diam aku menginginkan agar aku dapat memiliki jubah dan serban itu bersama-sama. Ketika Asy-Syibli meninggalkan kumpulan pengajiannya, dia berpaling kepadaku. Aku pun mengikutinya, sebab sudah menjadi kebiasaannya untuk berpaling kepadaku jika dia ingin agar aku mengikutnya. Ketika dia masuk ke rumahnya, aku mengikutnya. Disuruhnya aku melucutkan jubahku, yang kemudian dilipatnya. Setelah itu dilemparkan serbannya ke atasnya. Disuruhnya orang menyalakan api, lalu dibakarnya jubah dan serban itu.”
Abul Abbas bin Masruq menuturkan, “Ketika aku pergi menjenguk salah seorang sahabat kami yang sudah tua, kulihat dia tinggal di kawasan yang dhaif. Aku bertanya kepada driku sendiri, “Bagaimana orang tua ini mencari penghidupan?” Si orang tua itu lali berkata kepadaku, “Wahai Abul Abbas, campakkanlah gagasan keduaniaan itu. Allah memiliki kebaikan-kebaikan yang tersembunyi.”
Az-Zabidi mengabarkan, “Aku sedang berada di dalam sebuah masjid di Baghdad bersama sekelompok sufi; sudah berhari-hari kami tidak menerima sesuatu apa pun. Aku datang kepada Al-Khawwas untuk meminta sesuatu. Ketika pandangannya jatuh kepadaku, dia bertanya, “Keperluan yang membawamu ke sini ini diketahui oleh Allah atau tidak?” Aku menjawab, “Tentu saja Dia mengetahuinya.” Maka Al-khawwas pun memerintahkan, “Kalau begitu, jagalah ketenanganmu dan jangan perlihatkan keperluanmu kepada sesama makhluk.” Aku pun pergi, dan tidak lama kemudian kami diberi makanan yang melebihi keperluan kami.”
Dikatakan, “Abu Abdullah At-Turughandi, yang terkanal pada zamannya, pergi ke Thus. Ketika dia sampai di Kharw, dia menyuruh temannya, “Belilah sedikit roti.” Temannya itu pun membeli roti secukupnya untuk mereka berdua, tetapi Abu Abdullah berkata kepadanya, “Belilah lebih banyak lagi.” Temannya dengan sengaja membeli roti lagi cukup untuk sepuluh orang, seolah-olah dengan sengaja dia menganggap ucapan Abu Abdullah itu hanya kata-kata kosong. Ketika mereka sampai ke atas gunung, mereka bertemu dengan sekelompok orang yang telah diikat oleh penyamun. Kerana sudah agak lama mereka tidak menjamah makanan, mereka pun meminta makanan kepada mereka berdua. Abu Abdullah berkata, “Bentangkanlah safrah untuk mereka.”
Saya berada bersama Syeikh Imam Abu Ali ketika orang-orang yang hadir mulai berbicara tentang bagaimana Syeikh Abu Abdurrahman As-Sulami bangkit dari duduknya ketika acara sama’ (berdoa dengan muzik) seperti ahli sufi biasa yang hadir. Syeikh abu Ali berkata, “Seorang dengan kedudukan seperti dia takkan begitu! Tentu lebih elok baginya jka dia duduk tenang saja.” Kemudian beliau memerintahkan kepadaku: “Pergilah kepada As-Sulami. Engkau akan menemukannya sedang duduk di perpustakaannya. Di atas buku-buku [yang ada di situ] ada sebuah buku empat persegi kecil yang bewarna merah berisi puisi-puisi karya Al-Husain bin Mansur. Ambillah buku itu tanpa berkata apa pun kepadanya dan bawalah kepadaku. “
Waktu itu siang hari. Ketika saya pergi kepada As-Sulami, dia sedang berada di perpustakaannya, dan buku yang disebutkan Abu Ali ada di tempat yang beliau sebutkan. Ketika saya duduk, Syeikh Abu Abdurrahman As-Sulami mulai berbicara, “Suatu ketika ada seseorang yang mencela salah seorang ulama kerana perilakunya di dalam sama’. Orang yang sama ini pada suatu hari terlihat sendirian di rumahnya, menari berputar-putar seperti halnya orang yang sedang mengalami kebingungan.
Ketika seseorang bertanya kepadanya mengapa dia berlaku begitu, dia menjawab, “Aku menemui sebuah masalah yang membingungkan. Tiba-tiba penyelesaiannya diungkapkan kepadaku. Aku begitu gembira sehingga aku tidak dapat menguasai diriku dan mulai menari berputar-putar.” Mereka berkata tentang orang ini, “Seperti dengan kedudukan seperti dia bertindak seperti sufi biasa!” Ketika saya melihat apa yang diperintahkan oleh Syeikh Abu Ali kepada saya dan semuanya dalam keadaan seperti yang beliau gambarkan, maka saya menyedari apa yang dikatakan oleh Syeikh Abu Abdulrahman. Saya bingung dan bertanya dalam hati, “Apa yang harus kulakukan, dalam keadaan tersepit di antara mereka begini?” Saya berfikir-fikir dan memutuskan bahawa tidak ada cara lain selain kejujuran. Saya berkata: “Syeikh Abu Ali menggambarkan sebuah buku tertentu kepada saya dan menyuruh saya mengambilnya tanpa meminta izin kepada anda. Saya takut kepada anda [ dan tidak ingin menipu anda], tapi juga tidak mahu menentang beliau. Menurut anda, apa yang harus saya lakukan?” As-Sulami mengambil jilid keenam dari buku karangan Al-Husain di mana juga ada sebuah bab karangan dia sendiri yang diberi judul As-Sayhurfi Naqd Ad-Duhur dan berkata, “Bawalah ini kepadanya dan katakana, “Saya melihat buku ini, dan saya menyalin beberapa baris darinya ke dalam buku saya.” Maka saya pun pergi.
Al-Hasan Al-Haddad menuturkan, “Aku sedang berada bersama Abul Qasim Al-Munadi dan sekelompok sufi yang sedang menjadi tetamunya ketika dia menyuruhku pergi keluar dan mencarikan makanan untuk mereka. Aku merasa senang menerima tugas darinya untuk mencarikan makanan untuk para sufi itu, meskipun dia tahu aku adalah seorang yang sangat miskin. Aku membawa sebuah bakul besar dan pergi keluar. Di pertengahan jalan menuju ke Sayyar, aku berjumpa dengan seorang syeikh yang berpakaian sangat bagus. Aku mengucapkan salam kepadanya dan berkata, “Ada sekelompok sufi yang sedang berkumpul dekat sini. Mungkin anda punya sesuatu untuk diberikan kepada mereka?” Syeikh itu lalu menyuruh pelayannya membawa keluar persedian makanannya dan memberikan kepadaku sejumlah roti, daging dan anggur. Ketika aku kembali ke rumah Abul Qasim Al-Munadi, dia berseru kepadaku dari dalam rumahnya, “Kembalikan makanan itu ke tempat dari mana engkau memperolehnya.” Aku kembali dan meminta maaf kepada syeikh yang memberi makanan itu dan berkata, “Saya tidak dapat menemukan sufi-sufi itu. Mungkin mereka sudah pergi.”
Ku kembalikan makanan itu kepadanya dan aku terus pergi ke pasar. Aku berhasil memperoleh sedikit makanan, yang segera ku bawa ke rumah Abul Qasim. Dia menyuruhku masuk ke dalam. Ketika aku menceritakan kepadanya semua yang telah terjadi, dia berkata, “Ya, itulah Ibnu Sayyar, seorang pecinta dunia yang dekat dengan penguasa. Kalau engkau mencari makanan untuk para sufi, carilah seperti ini, bukan seperti itu tadi.”
Abul Husain Al-Qarafi melaporkan, “Aku mengunjungi Abul Khair At-Tinati, dan ketika aku hendak berpisah dengannya, dia menghantarku sampai ke pintu masjid dan berkata, “Wahai Abul Husain, aku tahu engkau tidak membawa bekal, maka bawalah dua butir epal ini.” Kuterima epal itu, kumasukkan ke dalam sakuku, lalu aku berangkat. Tiga hari lamanya aku tidak memperoleh makanan, kerana itu ku ambil satu epal dan kumakan. Kemudian aku berfikir-fikir mahu memakan epal yang kedua, dan kudapati kedua epal itu masih berada di dalam saku bajuku. Aku terus memakan epal-epal itu, dan kedua epal it uterus muncul dalam sakuku sampai aku tiba di pintu gerbang kota Mosul. Aku berkata dalam hati, “Kedua epal ini telah merosakkan tawakkalku kepada Allah, kerana keduanya menjadi semacam bekal bagiku.” Maka untuk terakhir kalinya ku ambil kedua epal itu dan melihat sekitarku (untuk melihat apa yang harus ke lakukan dengan keduanya]. Kulihat seorang fakir memakai jubah sedang meratap, “Aduhai, seandainya aku punya epal.” Maka kuberikan kedua epal itu kepadanya. Ketika aku memikir-mikirkan masalah epal itu, terlintas dalam fikiranku bahawa Syeikh Abul Khair mungkin telah mengirim epal itu kepada orang ini, dan aku hanya menjadi perantara kebaikannya itu. Kucari orang fakir itu, tapi dia sudah lenyap.”
Abu Umar bin Alwan menuturkan, “Ada seorang pemuda di kalangan sahabat Al-Junaid yang mampu membaca fikiran orang. Al-Junaid lalu bertanya kepada pemuda itu, “Benarkah apa yang dikatakan orang tentang dirimu?” Pemuda itu lalu menyuruh Al-Junaid, “Berfikirlah tentang sesuatu.” Al-Junaid menjawab, “Aku telah melakukannya.” Pemuda itu berkata, “Anda memikirkan ‘anu’.” Al-Junaid berkata, “Bukan.” Pemuda itu meminta Al-Junaid mengulangi fikirannya dua kali lagi, dan setiap kali Al-Junaid mengatakan bahawa tekaan si pemuda salah. Si pemuda lalu berkata, “Aneh sekali, anda seorang yang jujur, dan saya juga yakin akan hati saya.” Al-Junaid mengakui, “Kamu memang benar ketika tiga kali kamu mengatakan apa yang sedang kufikirkan, tetapi aku ingin menguji apakah hatimu akan berubah atau tidak.”
Diriwayatkan tentang Anas bin Malik ra bahawa dia mengabarkan, “Aku datang kepada Utsman bin Affan ra setelah melihat seorang wanita di jalan. Aku telah menatap lama-lama pada wajahnya yang sangat cantk. Utsman berkata, “Salah seorang di antara kamu telah datang kepadaku hari ini dengan bekas-bekas zina di matanya.” Aku bertanya kepadanya, “Apakah mungkin ada wahyu setelah Rasulullah saw wafat?” Dia berkata, “Tidak, tapi ada kemampuan menilai , kearifan dan firasat yang benar.”
Abu Sa’id Al-Kharraz mengatakan, “Aku masuk ke Masjidil Haram di mana aku melihat seorang sufi yang memakai dua jubah, sedang mengemis kepada orang banyak. Aku berkata dalam hati, “Orang seperti ini merupakan beban bagi orang banyak.
” Sufi itu melihat kepadaku dan berkata, ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya (Al-Baqarah:235)
Setelah aku minta maaf kepadanya di dalam hati, dia berkata,Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan) dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan. (Ash-Shura: 25)
Muhammad bin Daud menuturkan,“Suatu ketika kami sedang berada bersama Al-Jurairi, dia bertanya, “Adakah di antaramu orang yang Allah SWT akan memberitahu kepadanya apabila Dia bermaksud memunculkan kejadian besar di sebuah negeri, sebelum kejadian itu terjadi?” Kami menjawab, “Tidak.” Dia berkata, “Menangislah kerana hati yang belum pernah mengalami sesuatu dari Allah SWT.”
Ibrahim Al-Khawwas mengabarkan, “Aku pergi ke padang pasir, di mana aku mengalami banyak cubaan. Ketika aku berhasil menyeberanginya dan sampai di Makkah, aku agak merasa bangga [bahawa aku dapat sampai dengan selamat]. Seorang wanita tua berseru kepadaku, “Wahai Ibrahim, aku ada bersamamu ketika engkau di padang pasir, tetapi aku tidak berbicara kepadamu kerana takut kalau-kalau aku mengganggu keadaan batinmu. Sekarang, campakkanlah fikiran-fikiranmu yang buruk itu.”
Dikhabarkan bahawa meskipun al-Farghani biasa pergi setiap tahun untuk menunaikan ibadah haji, dia melewati Nisyapur tanpa menjenguk Abu Utsman Al-Hiri. Dia menjelaskan, “Suatu ketika aku pergi menjenguknya dan memberi salam kepadanya, tetapi dia tidak membalas salamku. Aku bertanya kepadanya, “Seorang Muslim datang menemui seorang Muslim lainnya dan mengucapkan salam tanpa memperoleh balasan?” Abu Utsman menjawab, “[Bagaimana pendapatmu tentang] orang yang melakukan ibadah haji, meninggalkan ibunya dan tidak memperlakukannya dengan penuh hormat?” Mendengarkan ucapan itu, aku kembali ke Farghana dan tinggal di sana menemani ibuku sampai dia meninggal. Kemudian aku pergi kepada Abu Utsman, dan ketika aku masuk ke rumahnya, dia menerimaku dan menyuruhku duduk.” Setelah itu, Al-Farghani tinggal bersamanya terus-menerus. Dia meminta agar ditugaskan merawat kuda Abu Utsman, yang menjadi pekerjaannya sampai Abu Utsman wafat.
Muhammad bin Al-husain Al-Bistami mengabarkan, “Ketika aku pergi menjenguk Abu Utsman Al-Maghribi, aku berkata dalam hati, “Barangkali dia ingin kalau aku membawa ole-ole untuknya.” [Ketika aku sampai dirumahnya], Abu Utsman berkata, “Orang-orang tidak cukup merasa puas bahawa aku menerima pemberian mereka. Mereka ingin agar aku minta diberi.”
Salah seorang sufi menuturkan, “Aku sedang berada di Baghdad. Terfikir olehku bahawa Al-Murta’isy akan datang kepadaku dengan membawa wang 15 dirham hingga aku dapat membeli bekas makanan, tali dan sandal untuk kugunakan pergi ke padang pasir. Kemdian, kudengar pintu diketuk orang. Aku membukanya, dan kulihat Al-Murta’isy ada di situ, membawa sebuah pundit-pundi kain. Dia memerintahkan, “Ambillah ini.” Aku berkata, “Wahai Syeikh, saya tidak menginginkannya.” Dia bertanya, “Jadi, mengapa engkau mengganggu aku? Berapa wang yang kau inginkan?” Aku menjawab, “15 dirham”. Dia berkata, “Inilah wang itu, 15 dirham.”
Salah seorang sufi mengatakan bahawa firman Allah,
Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayat petunjuk) dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat). (Al-Anaam: 122)
bermakna, “Orang yang akalnya telah mati dan kemudian Allah memberinya hidup baru dengan cahaya firasat dan yang kepadanya Allah memberi cahaya pengungkapan dan kesaksian, tidaklah sama dengan orang yang berjalan dalam keadaan lalai di tengah-tengah manusia yang lalai pula.”
Dikatakan, “Jika firasat seseorang bagus, beerti dia telah naik ke tahap syahadah (‘menyaksikan’).
Abul Abbas bin Masruq mengabarkan, “Seorang tua yang biasa berbicara tentang tasawwuf secara menawan datang kepada kami. Dia berbicara dengan menyenangkan dan pendapat-pendapatnya juga istimewa. Dalam salah satu pembicaraannya, dia menyuruh kami, “Katakanlah kepadaku apa yang ada dalam fikiran kamu.” Fikiranku mengatakan bahawa dia adalah yahudi. Fikiran itu seakan-akan merupakan peringatan yang mendesak, maka aku pun mengungkapkannya kepada Al-Jurairi. Ungkapanku itu membuat perasaannya tertekan, tetapi aku menegaskan, “Aku tidak punya pilihan lain keuali mengatakan kepada orang ini.”. Maka aku pun berkata kepadanya, “Engkau menyuruh kamu mengatakan kepadamu apa pun yang ada dalam fikiran kamu. Fikiranku mengatakan bahwa engkau adalah seorang yahudi.” Sesaat dia menundukkan kepalanya, lalu mengangkatnya, dan mengaku, “Engkau benar, tapi aku sekarang bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya.” Kemudian dia menjelaskan, “Aku telah menempuh jalan semua gama, dan aku berkata dalam hati, “Jika orang-orang ini [yakni kaum Muslimin] mempunyai kebenaran, maka kebenaran itu pasti ada pada sufi-sufi ini.” Maka aku lalu bergaul dengan kamu untuk menguji kamu.” Dia kemudian menjada Muslim yang sangat baik.”
Diriwayatkan bahawa dahulu As-Sari suka mendorong Al-Junaid agar berceramah kepada orang banyak. Al-Junaid mengakui, “Aku merasa takut berbicara di depan orang banyak, kerana ragu apakah aku patut melakukannya. Pada suatu malam Jumaat aku bermimpi bertemu dengan Nabi saw. Beliau memerintahkan kepadaku: “Berkhutbahlah kepada orang banyak.” Aku terbangun lalu pergi ke rumah As-Sari sebelum dia bangun, dan mengetuk pintu. Dia bertanya, “Engkau tidak percaya kepadaku, hingga Nabi sendiri yang mengatakan kepadamu?” Pagi itu Al-Junaid duduk di depan orang ramai di masjid, dan tersebarlah khabar bahawa Al-Junaid sedang berceramah. Salah seorang pemuda Kristian yang menyamar datang kepada Junaid dan bertanya, “Katakanlah kepadaku wahai syeikh, apa makna perkataan Rasulullah: ‘Waspadalah terhadap firasat orang mukmin kerana dia melihatd engan cahaya Allah?” Al-Junaid menundukkan kepalanya, kemudian mengangkatnya dan berkata, “Masuklah ke dalam Islam. Saat keislamanmu telah tiba.” Si pemuda Kristian itu pun masuk Islam.

Tiada ulasan: