Catatan Popular

Isnin, 7 November 2011

RISALAH AL QUSYAIRI BAB 9: HARAPAN (RAJA')

Rasullah saw mengkahabarkan bahawa malaikat Jibril as mengatakan: Allah SWT berfirman‘Wahai hamba-Ku, selama engkau menyembah-Ku, berharap akan bertemu dengan-Ku, dan tidak menyekutukan Aku, nescaya Aku akan mengampuni apa pun dosa yang engkau telah lakukan. Bahkan sekalipun engkau datang membawa keburukan dan dosa sebesar bumi, Aku akan menerimamu dengan pengampunan yang besar. Aku akan mengampunimu, dan tidak mempedulikan berapa banyak dosa yang telah engkau lakukan.
Anas bin Malik mengkhabarkan bahawa Rasulullah saw menegaskan, “Allah SWT akan befirman pada hari kebangkitan,“Keluarlah dari neraka, wahai kamu yang dalam hatinya masih terdapat iman walaupun sebesar biji gandum.” Kemudian Dia akan memerintahkan, “Aku bersumpah demi keagungan-Ku terhadap manusia yang beriman kepada-Ku hatta sesaat sahaja di siang hari ataupun malam, tidak akan sama dengan perlakuan-Ku terhadap orang yang tidak pernah beriman kepada-Ku.”
Hati menjadi hidup oleh harapan; harapan melenyapkan beban hati.
Harapan adalah sifat yang terpuji, tetapi angan-angan adalah suatu kelemahan pada diri manusia.
Ibn Khubaiq menjelaskan: “Ada 3 macam harapan: Ada manusia yang melakukan amal baik; harapannya adalah bahawa amal perbuatannya itu akan diterima oleh Tuhan. Ada lagi orang yang melakukan amal buruk, kemudian bertaubat; harapannya adalah beroleh keampunan. Akhirnya ada orang yang tertipu-tipu sendiri, yang harus melakukan dosa, sambil berkata, “Aku berharap untuk beroleh pengampunan.” Bagi orang yang tahu bahawa dirinya melakukan amal buruk, takut selayaknya lebih berkuasa atas dirinya daripada harap.
Dikatakan, “Harapan adalah mengandaikan kemurahan dari Yang Maha Pemurah, dan Maha Menyintai.”
Harapan adalah melihat kegemilangan Ilahi dengan mata keindahan.
Abu Ali Ar-Ridzbari berpendapat, “Takut dan harap adalah seperti kedua belah sayap burung. Manakala keduanya seimbang, si burung akan seimbang dan terbangnya akan sempurna. Tapi manakala salah satunya kurang, maka hal ini akan menjadikan si burung kehilangan kemampuannya untuk terbang. Apabila takut dan harap keduanya tidak ada, maka si burung akan terlempar ke jurang kematiannya.
Ahmad bin Ashim Al-Antaki ditanya, “Apakah tanda adanya harapan pada seorang hamba?” Dia menjawab, “Tandanya adalah manakala ia menerima anugerah, dia terilham untuk bersyukur, penuh harap akan penuhnya rahmat Allah SWT di dunia ini dan penuhnya pengampunan-Nya di akhirat.”
Abu Utsman Al-Maghribi menyatakan, “Barangsiapa mendorong dirinya untuk berharap sahaja, maka dia akan terjerumus ke dalam kemalasan, dan barangsiapa yang mendorong dirinya kepada takut sahaja, maka dia akan terjerumus kepada berputus asa. Yang patut adalah, ada waktu berharap, dan ada waktu untuk takut; keduanya mempunyai tempatnya sendiri.”
Yahya bin Muadz menegaskan, “Harapan yang kutaruh kepada-Mu bilamana aku berbuat dosa hampir-hampir lebih besar daripada harapanku kepada-Mu bila aku berbuat baik. Ini disebabkan apabila aku melakukan amal baik, aku mendapati diriku mengandaikan pada ketulusanku dalam melakukannya. Tapi bagaimana aku dapat menjaga amalku dari kekurangan sedangkan aku adalah makhluk yang bersifat penuh kekurangan? Sebaliknya, bilamana aku melakukan dosa, aku mendapati diriku mengandaikan ampunan-Mu. Bagaimana Engkau tidak akan mengampuni dosa-dosaku, sedangkan Engkau adalah Dzat Yang Maha Pemurah?”
Yahya bin Muadz menyatakan, “Wahai Tuhanku, anugerah paling manis dalam hatiku adalah harapan terhadap-Mu. Kata-kata paling indah yang keluar dari lidahku, adalah pujian terhadap-Mu. Saat yang ku anggap paling beharga adalah saat ketika aku akan berjumpa dengan-Mu.”
Rasulullah saw datang menemui sahabatnya melalui pintu Bani Syaibah. Beliau mendapati mereka sedang tertawa-tawa. Beliau berkata, “Apakah kamu tawakan? Seandainya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit tertawa, dan banyak menangis. Beliau lalu meninggalkan mereka, kemudian kembali lagi dan berkata, “Jibril as muncul di hadapanku setelah aku meninggalkan kamu tadi. Dia menyampaikan firman Allah ini:
نَبِّئۡ عِبَادِىٓ أَنِّىٓ أَنَا ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Beritahukanlah kepada hamba-hambaKu, bahawa sesungguhnya Aku Maha Pengampun dan Maha Penyayang. ( Al-Hijr :49)
Diriwayatkan oleh Aisyah, bahawa Rasulullah saw telah berkata, “Allah SWT tertawa ketika hamba-hamba-Nya ditimpa putus asa, sedangkan rahmat-Nya dekat dengan mereka.” Aisyah bertanya, “Demi ayah dan ibuku wahai Rasulullah, apakah Tuhan kita benar-benar tertawa?” Beliau menjawab, “Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, Dia benar-benar tertawa.” Aisyah mengatakan, “Dia tidak akan menjauhkan kita dari kebaikan, sekiranya Dia tertawa.”
Dikatakan, ada seorang Majusi yang meminta kepada Ibrahim as agar diizinkan menginap di rumahnya. Ibrahim berkata kepadanya, “Kalau kamu masuk Islam, aku mahu menjadikanmu sebagai tamuku.” Orang Majusi itu menjawab, “Jika aku memeluk Islam, bagaimana mungkin engkau akan berbuat kebajikan kepadaku?” Allah SWT berfirman kepada Ibrahim,“Wahai Ibrahim, engkau hanya mahu memberinya makan jika dia mahu mengubah agamanya. Jika engkau menerimanya satu malam, bagaimana hal itu akan menyusahkanmu?” Mendengar itu, Ibrahim lalu mengejar orang Majusi itu dan mengundangnya menjadi tamunya. Ketika orang Majusi itu bertanya kepadanya mengapa dia berubah fikiran, Ibrahim pun menyatakan kepadanya apa yang didengarnya dari Tuhannya. Orang Majusi itu bertanya, “Beginikah caranya Dia memperlakukan aku? Berikanlah Islam kepadaku.” Lalu dia masuk Islam.
Abu Bakr bin Isykib menuturkan, “Aku bermimpi bertemu dengan Syeikh Abu Sahl As-Sa’luki. Keadaannya sangat berbahagia tidak terkatakan. Aku bertanya, “Wahai Syeikh, bagaimana syeikh dapat mencapai hal ini?” Beliau mengatakan kepadaku, “Dengan berbaik sangka ku kepada Tuhanku.”
Ketika Malik bin Dinar terlihat dalam sebuah mimpi, dia ditanya, “Apakah yang telah diperbuat Allah terhadap dirimu?” Dia menjawab, “Aku datang ke hadapan Tuhanku SWT dengan membawa banyak dosa, tetapi baik sangka-ku terhadapNya menghapus semua dosaku itu.”
Rasulullah saw bersabda, “Allah SWT berfirman: ‘Aku adalah sebagaimana yang disangka oleh hamba-Ku, dan Aku ada bersamanya bilamana ia mengingat-Ku. Jika dia mengingat-Ku dalam hatinya, maka Aku akan mengingatnya dalam Diri-Ku. Jika dia mengingat-Ku di tengah kumpulan orang banyak, maka Aku akan mengingatnya di tengah kumpulan yang lebih baik dari itu. Jika dia datang kepada-Ku sejarak satu jengkal, Aku akan mendatanginya sejarak satu hasta. Jika dia melangkah kepada-Ku satu hasta, Aku akan melangkah kepadanya dua hasta. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”
Diceritakan bahawa pada suatu ketika Ibn Mubarak sedang bertempur melawan salah seorang tentera kafir. Ketika tiba waktunya bagi orang kafir itu untuk bersembahyang, dia meminta waktu kepada Ibn Mubarak. Yang disebut akhirnya ia pun membiarkannya melakukan sembahyangnya. Ketika tentera kafir itu sedang bersujud ke matahari, Ibn Mubarak merasakan keinginan untuk menikamnya dengan pedangnya. Namun tiba-tiba dia mendengar sebuah suara di angkasa yang berseru,
ۥ‌ۚDan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Al-Isra': 34)
Mengapa kau tidak melaksanakan niatmu? Ibn Mubarak mengatakan kepadanya tentang suara yang didengarnya. Si penyembah berhala berseru, “Betapa sempurnanya Tuhan yang memarahi teman-Nya demi membela musuh-Nya!” Lalu dia pun masuk Islam dan menjadi seorang Muslim yang sangat baik.
Dikatakan: “Allah menjadikan manusia melakukan dosa ketika Dia menamakan Diri-Nya Yang Maha Pengampun.” Dikatakan, “Seandainya Allah mengatakan, ‘Aku tidak akan mengampuni dosa,’ nescaya tidak seorang Muslim pun yang akan pernah berbuat dosa.
Ibrahim bin Adham berkata, “Pada suatu ketika aku menunggu waktu luang dan tenangnya orang di sekitar Kaabah. Saat itu adalah malam yang gelap-gelita dan hujan turun dengan lebatnya. Akhirnya tempat itu pun sepi, dan aku pun mulai melakukan tawaf sambil berdoa, “Ya Allah, lindungilah aku dari dosa, lindungilah aku dari dosa!” Lalu aku mendengar suara yang mengatakan, “Wahai Ibn Adham , engkau meminta kepada-Ku untuk melindungimu dari dosa sebagaimana doa orang-orang lain. Tetapi jika Aku jadikan kamu semua tanpa dosa, lantas kepada siapa aku harus bersikap Maha Pengasih?”
Ketika Abul Abbas bin Syuraih menderita sakit yang akhirnya membawanya mati, dia bermimpi bahawa Hari Kebangkitan telah tiba Allah Yang Maha Kuasa bertanya, “Dimanakah para ulama itu?”
Semua ulama’ termasuk diriku maju kedepan. Allah SWT bertanya, “Apakah yang telah kamu lakukan dengan ilmu yang telah kamu pelajari?” Kami semua menjawab, “Wahai Tuhan, kami telah berbuat lalai dan kami telah berbuat jahat.” Maka Allah pun mengulangi lagi pertanyaan-Nya seolah-olah dia tidak menyukai jawapan yang telah kami berikan dan mengkehendaki jawapan yang lain. Maka aku pun maju ke depan dan menjawab, “Mengenal diriku, maka catatan amalku tidaklah mengandungi dosa menyekutukan sesuatu dengan-Mu, dan Engkau telah berjanji bahawa Engkau akan mengampuni segala dosa selain itu.” Allah SWT berfirman, “Pergilah kamu semua. Aku telah mengampunimu.” Abul Abbas meninggal dunia tiga malam setelah bermimpi.
Pada suatu ketika, adalah seorang pemabuk, yang mengumpulkan sekelompok teman-teman pemabuknya. Dia membrikan wang empat dirham kepada salah seorang budaknya dan menyuruhnya pergi membeli buah-buahan. Si budak pergi, dan di tengah jalan dia melewati majlis Manshur bin Ammar, ketika itu Manshur sedang merayu meminta kepada orang banyak untuk memberikan sedekah kepada beberapa orang pengemis, dengan mengatakan, “Barangsiapa yang memberikan empat dirham, aku akan panjatkan empat doa untuknya.”
Si budak memberikan wang empat dirham yang dibawanya kepada Manshur, yang lalu bertanya kepadanya, “Doa apa yang kau inginkan dariku?” Si budak itu menjawab, “Aku ingin bebas dari tuanku.” Manshur mendoakan hal itu, lalu bertanya lagi, “Apa lagi?” “Aku ingin agar Allah memberiku ganti wang 4 dirham itu.” Manshur mendoakan, dan bertanya “Apa lagi?” Aku ingin agar Allah menyedarkan tuanku supaya bertaubat.” “Apa lagi?” Aku ingin agar Allah mengampuni dosaku, dosa tuanku, dosamu, dan dosa semua orang yang ada di rumah tuanku itu.” Manshur mendoakan hal itu. Si budak lalu pulang ke rumah tuannya. Ketika tuannya bertanya kepadanya kenapa dia lambat pulang, dia menceritakan apa yang telah dilakukannya dengan wang empat dirham tersebut. Tuannya bertanya, “Dan doa apa sajakah yang engkau minta?”
Si budak menjawab, “Saya minta didoakan agar dibebaskan dari perbudakan.”
Tuannya berkata, “Engkau aku bebaskan. Apa permintaanmu yag kedua?”
Si budak menjawab, “ Agar Allah memberiku ganti wang empat dirham itu”
Tuannya berkata, “Ini, kuberi kamu 4000 dirham. Lalu apa permintaanmu yang ketiga?”
Si budak menjawab, “Agar Allah menyedarkan tuan supaya bertaubat.”
“Aku bertaubat kepada Allah. Apa permintaan mu yang keempat?”
Si budak menjawab, “Agar Allah mengampunimu, aku, orang-orang yang ada di rumah ini, dan juga Manshur.”
“Ini adalah permintaan yang berada di luar kemampuanku untuk memenuhinya.”
Malam itu ketika tidur, tuan itu tadi terdengar satu suara yang mengatakan, “ Engkau telah melakukan apa yang berada dalam batas kemampuanmu. Apakah engkau mengira bahawa Aku tidak akan melakukan apa yang berada di dalam batas kemampuan-Ku? Ku ampuni dosamu, dosa budakmu, dosa Manshur, dan dosa semua orang yang berkumpul di dalam rumahmu.”
Dikatakan bahawa Rabah Al-Qaysi telah mengerjakan haji beberapa kali. Suatu ketika dia berdiri si bawah talang air dan berdoa, “Wahai Tuhanku, aku telah menghadiahkan sejumlah sekian dan sekian dari ibadah hajiku kepada Rasulullah saw, sepuluh ibadah haji bagi sepuluh orang sahabatnya, dua ibadah haji untuk kedua orang tuaku, dan sisanya untuk semua kaum Muslimin.” Dia menghadiahkan semua ibadah hajinya tanpa menyisakan satu pun untuk dirinya sendiri. Kemudian dia mendengar suara ghaib yang mengatakan, “Inilah orang yang menunjukkan kemurahan hatinya kepada Kami! Aku ampuni dosamu, dosa kedua orang tuamu, dan dosa semua orang yang memeluk Islam.
[Diceritakan oleh Abdul Wahhab bin Abdul Majid Al-Tsaqafi mengenai mimpinya tentang seorang pemuda fasik] “Aku adalah orang fasik yang kau kuburkan siang tadi. Tuhanku telah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku disebabkan hinaan orang-orang kepadaku.”
Dikatakan bahawa Allah mewahyukan kepada Daud as, “Katakakanlah kepada manusia bahawa Aku menciptakan mereka bukan suapaya Aku memperoleh manfaat dari mereka, tapi Ku-ciptakan mereka supaya mereka memperoleh keuntungan dari-Ku.”

Tiada ulasan: