Ahli suffah merupakan satu kumpulan sahabat
Rasulullah s.a.w yang daripada mereka dikatakan bermulanya aliran sufi atau
tasauf. Mereka dikenali sebagai golongan miskin yang menumpang tinggal di
beranda masjid Rasulullah s.a.w di kota Madinah. Perbelanjaan mereka ditanggung
oleh orang ramai. Mereka terdiri daripada golongan yang tidak memiliki apa-apa,
lemah dan tiada kemahiran dalam urusan kehidupan harian. Walaupun keadaan ahli
suffah yang demikian kaum Muslimin tidak menganggapkan mereka sebagai beban.
Kaum Muslimin yang berkemampuan dengan ikhlas hati memberi bantuan kepada
golongan yang lemah itu.
Apabila perkembangan Islam telah pesat ternyata
peranan ahli suffah sangat penting. Tindakan Rasulullah s.a.w menyediakan
tempat di beranda masjid baginda s.a.w untuk satu puak yang menjadi ahli masjid
merupakan satu tindakan yang sangat berhikmah. Ahli suffah yang juga ahli
masjid Rasulullah s.a.w merupakan kumpulan yang paling hampir dengan baginda
s.a.w. Mereka yang mula-mula mendengar pengajaran Rasulullah s.a.w. Mereka
sentiasa hadir di dalam majlis baginda s.a.w. Mereka mempelajari al-Quran
secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Peranan mereka adalah umpama
kutubkhanah yang menyimpan segala macam pengajaran Nabi Muhammad s.a.w. Mereka
hanya menceburi satu bidang sahaja dalam kehidupan ini, iaitulah bidang ilmu
Rasulullah s.a.w. Dari kalangan mereka terdapat orang-orang yang sangat
mendalam pengetahuan mereka tentang agama Islam. ‘Khazanah ilmu agama' itulah
yang memainkan peranan penting sebagai mubaligh yang menyampaikan ajaran Islam
kepada kaum Muslimin yang tidak sempat hadir di dalam majlis Rasulullah s.a.w
dan juga kepada mereka yang baharu memeluk agama Islam. Ahli suffah, ahli
masjid Nabi s.a.w atau ahli sufi pada zaman Rasulullah s.a.w merupakan golongan
yang bekerja di dalam bidang ilmu sepanjang masa. Mereka merupakan gedung ilmu
dan juga penyebar ilmu. Al-Quran memberikan perhatian istimewa kepada ahli
suffah, ahli masjid Nabi s.a.w, ahli sufi atau ahli ilmu itu. Allah s.w.t
memperakui kepentingan sumbangan mereka kepada perkembangan agama-Nya.
Untuk orang-orang faqir yang telah terikat pada
jalan Allah, yang tidak sanggup lagi berusaha pada bumi, disangka oleh
orang-orang yang tidak tahu bahawa mereka adalah puak yang berada, dari sangat
mereka menahan diri. Engkau dapat mengenal mereka daripada tanda mereka. Mereka
tidak meminta-minta kepada manusia dengan memaksa-maksa. Maka apa pun harta
yang kamu belanjakan sesungguhnya Allah amat Tahu. ( Ayat 273 : Surah
al-Baqarah )
Dan tidaklah (patut) orang-orang yang beriman itu
turut (ke medan perang) semuanya. Tetapi alangkah baiknya keluar dari tiap-tiap
golongan itu, di antara mereka satu kelompok; supaya mereka memberi ancaman
kepada kaum mereka apabila mereka kembali kepada kaum mereka, supaya mereka
berhati-hati. ( Ayat 122 : Surah at-Taubah )
Ahli suffah atau ahli sufi pada zaman Rasulullah
s.a.w merupakan orang yang tidak memiliki apa-apa dan tidak berkehendakkan
apa-apa kecuali Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Mereka dikenali sebagai faqir yang
terikat pada jalan Allah s.w.t. Jalan Allah s.w.t bukan semata-mata berperang
mengangkat senjata. Memelihara al-Quran dan al-Hadis juga merupakan jihad yang
besar. Perkembangan Islam yang pesat memerlukan tenaga yang khusus dalam bidang
tersebut. Urusan memelihara ilmu agama sangat penting. Jika tenaga khusus itu
disalurkan kepada bidang pekerjaan harian maka urusan pemeliharaan ilmu agama
akan terjejas, sedangkan ianya sangatlah penting bagi perkembangan agama.
Al-Quran menganjurkan agar sebahagian daripada umat Islam tidak keluar
berperang. Jihad bagi golongan yang dibenarkan tidak keluar ke medan perang itu
adalah memperdalamkan dan mengembangkan ilmu agama. Tuhan telah memberikan
garisan pembahagian tugas dalam pembangunan masyarakat dan perkembangan agama.
Berperang mengangkat senjata dan berjuang mengembangkan ilmu agama sama-sama
mendapat penghargaan dari Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud: "Manusia yang paling hampir dengan darjat Kenabian adalah ahli
ilmu. Ahli ilmu menunjukkan kepada manusia apa yang dibawa oleh Rasul. Ahli
jihad pula berjuang dengan pedang mereka membawa apa yang dibawa oleh
Rasul". Baginda s.a.w juga bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat
tinta ulama ditimbang dengan darah syuhada".
Ahli sufi pada zaman Rasulullah s.a.w merupakan
orang-orang yang menyediakan diri mereka semata-mata untuk Allah s.w.t dan
Rasul-Nya. Mereka berfungsi sebagai penyimpan ilmu al-Quran dan Hadis dan juga
segala jenis ilmu agama. Mereka memancarkan ilmu-ilmu tersebut ke seluruh
pelusuk muka bumi. Inilah dasar yang perlu diperhatikan dalam memperkaitkan
ahli suffah dengan ahli sufi yang datang kemudian.
Jihad yang paling besar adalah jihad mengangkat
senjata dan orang yang mati kerananya memperolehi syahid. Pekerjaan yang begitu
besar dan mulia dikecualikan daripada ahli ilmu sepenuh masa, apa lagi
pekerjaan yang berhubung dengan urusan mengisi perut. Pada zaman Rasulullah
s.a.w, puak yang bekerja khusus dalam bidang ilmu agama itu ditanggung oleh
pemerintah, iaitu Rasulullah s.a.w sendiri.
Oleh kerana ahli ilmu itu tidak melibatkan diri
dalam urusan mencari rezeki, maka mereka tidak dapat mengecapi kemewahan dan
kesenangan. Mereka hidup di dalam kefaqiran. Mereka faqir pada pandangan dunia
tetapi kaya dengan ilmu Tuhan dan Rasul-Nya. Lidah dan pena mereka adalah
pedang jihad mereka. Ilmu yang mereka pelajari dan sebarkan itulah darah syahid
mereka. Rasulullah s.a.w memperakui bahawa golongan demikian sebagai kumpulan
yang paling hampir dengan darjat kenabian. Ilmu mereka adalah percikan ilmu
nabi-nabi. Rohani mereka adalah cermin jernih yang menerima pancaran cahaya
kenabian. Golongan seperti ini akan dihantarkan Tuhan dari masa ke masa pada
setiap zaman. Tugas mereka adalah memperbaiki kerosakan yang berlaku pada ilmu
agama, terutamanya dalam perkara akidah.
Kerajaan Islam yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w
bermula di Madinah. Semakin besar kerajaan Islam semakin besar dan berat tugas
yang dipikul oleh Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w dibantu oleh empat orang
‘Menteri Kanan'. Mereka adalah Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Siapa pula
‘kakitangan kerajaan' yang membantu Rasulullah s.a.w dan ‘Menteri-menteri'
baginda s.a.w? Mereka adalah ahli suffah yang bekerja sepenuh masa untuk
Rasulullah s.a.w. Kebanyakan daripada masa baginda s.a.w dihabiskan di dalam
masjid. Pengajaran, perancangan, strategi, polisi, wawasan dan lain-lain keluar
daripada Rasulullah s.a.w dan disebarkan oleh ahli suffah. Mereka menyampaikan
berita yang Rasulullah s.a.w mahu sampaikan kepada kaum Muslimin. Ahli suffah
yang bergerak mempastikan latihan ketenteraan berjalan dengan teratur sebagai
persiapan mempertahankan agama dan negara Islam. Ahli suffah yang mengatur
pembuatan senjata-senjata perang seperti baju besi dan pedang. Ahli suffah juga
menggerakkan kaum Muslimin mempersiapkan unta dan kuda mereka supaya apabila
diperlukan semuanya berada dalam keadaan siap sedia. kehadiran ahli suffah,
ahli masjid Nabi s.a.w atau ahli sufi itulah yang memudahkan Rasulullah s.a.w
mentadbir negara Islam dari dalam masjid baginda s.a.w. Ketika bilangan tentera
Islam masih sedikit, ahli suffah ikut serta berperang. Jadi, ahli suffah adalah
satu kumpulan yang sangat aktif bekerja untuk Allah s.w.t dan Rasul-Nya tanpa
gaji. Apa yang Rasulullah s.a.w berikan itulah bahagian mereka bagi menyara
kehidupan mereka. Mereka reda dengan yang demikian. Mereka lebih suka nama
mereka tidak dikenali kerana mereka tidak mencari nama dan kebesaran. Apa yang
mereka cari hanyalah keredaan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan