BAGI para ahli Tasauf/Tariqat ada cara tersendiri di
dalam mengenal Tuhan. Mereka sama meletakkan dasar-dasar teori pengenalan Tuhan
yang tidak bersifat rasional. Berbeda dengan dasar-dasar teori pengenalan Tuhan
yang berlaku bagi kalangan ahli Theology Islam (Ilmu Tauhid) dan juga berbeda
dengan yang berlaku bagi kalangan ahli syariat (Ilmu Fiqeh).
Bagi ahli Fiqah cara yang dipergunakan dalam
mengenal Tuhan ialah dengan jalan
keterangan dari dalil-dalil Naqli (Al-Quran dan Hadis). Di dalam memperkuat
kepercayaan maka Al-Quran tidak dipergunakan sebagai alasan-alasan logika atau
dengan penyelidikan akal fikiran seperti yang
terjadi di dalam falsafah. Berbeza dengan Ahli Kalam
(Tauhid), di dalam cara mengenal Tuhan banyak mempergunakan jalan penyelidikan
akal fikiran. Dengan dasar ini maka mengetahui siapa Tuhan, meskipun belum
tentu mereka dapat menyaksikan Tuhan. Termasuk dalam golongan yang memakai cara
ini ialah kaum "Failasof".
Lain halnya dengan ahli Tasauf/Tariqat, mereka dapat
mengenal Tuhan melalui dasar-dasar teori perasaan hati lantaran Ilham yang
dilimpahkan Allah ke dalam jiwa manusia sebagai bentuk wujud pemberian
rahmat-Nya. Hal ini lazimnya dapat dicapai oleh manusia ketika ia telah dapat
sampai ke jinjang diri peribadinya dilepaskan dari segala macam bentuk godaan
hawa nafsu lampau dengan memusatnya fikiran ingat kepada Zat Yang Maha Kuasa.
Keadaan yang demikian ini mengakibatkan segala macam
rahsia di balik hijab cahaya Allah dan Nabi-Nya dapat tersingkap oleh dirinya
dan diketahui secara jelas pada penglihatan mata hati. Sebagaimana orang yang
melihat air jernih yang berada di dalam gelas yang jernih pula, sehingga segala
sesuatu yang ada di balik gelas yang jernih itu dapat dilihat dengan
terang-benderang.
Huraian di atas memberikan penegasan bahawa kerana
adanya perbezaan dasar-dasar pengenalan Tuhan yang berlainan di antara ahli
Fiqeh dan ahli Tauhid dengan ahli Tasauf/Tariqat, maka selayaknya sering
menimbulkan perbezaan di dalam cara menyelidiki Tuhan dengan segala akibatnya
(daripada sesuatu perbuatan).
Akhir-akhir ini perbezaan tersebut mulai terungkap
lagi di sana sini. Ada sementara orang yang berbicara manis soal Tasauf/Tariqat
dengan penuh kelicikan menggunakan gaya "ahli pemberi fatwa agama",
sering menyampaikan pendapat, baik pada lisan atau pun tulisan yang menganggap
Ulama' ahli Tasauf/Tariqat dengan terang-terangan menyesatkan ummat terutama
bagi para jamaahnya.
Perlu diketahui bahawa biasanya orang yang suka
menggelabah jalan fikirannya sebagaimana anggapan negetif terhadap Ulama'
Tasauf/ Tariqat itu adalah akibat adanya kekurangan pengertian terhadap
masalahnya. Sedangkan faktor-faktor yang mendorong timbulnya fikiran semacam
itu antara lain adalah sebagai berikut :
A. Adanya pendangkalan pengertian tentang Islam,
seringkali hal ini menyebabkan Islam hanya dilihat dari satu dimensi tidak
secara keseluruhan dan bulat.
B. Adanya ilmu-ilmu yang diperoleh tidak pada Guru
Mursyid atau Syeikh, melainkan diambilkan dari hasil membaca buku-buku dengan
upaya sendiri. Akibatnya jalan fikiran benyak dipengaruhi oleh hawa nafsu.
C. Mereka cenderung mengambil dasar-dasar fikiran di
dalam mengungkap Islam justeru bersumber dari dasar-dasar fikiran kaum
"rasionalis matrialisme", yakni fahaman yang beranggapan segala
sesuatu dalam hidup harus dapat dipecahkan secara rasional dan dapat dilihat
oleh pancaindera. Dasar teori "rasionalis matrialisme" inilah yang
sering dipergunakan landasan berfikir kaum orientalis di dalam membahas tentang
hal ke Timuran yakni tentang Islam dari berbagai aspeknya.
D. Mereka mudah mengeluarkan fatwa "Mari
kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadis", tetapi mereka sendiri banyak
menyimpang dari tuntutan yang semestinya tercantum di dalam Al-Quran dan
Al-Hadis itu sendiri.
E. Adanya faktor alat-alat pelengkapan yang sangat
dirasa kurang sekali, untuk keperluan mengadakan pembongkaran dan penelitian
terhadap konstruksi bahasa Islam (Bahasa Arab). Seperti tidak menguasai Ilmu
Lughat dengan Qawaidnya, Ilmu Hadis dengan Musthalahnya, Ilmu Balaghah, Badi',
Bayan dan Ma'aninya, dan lain-lain. Akibat yang ditimbulkan oleh kekurangan ini
ialah
mereka sering mengalami kesulitan di dalam memahami
dan membahas kalam Al-Quran yang banyak berbentuk fasekh, baligh dan bahkan
banyak yang majaz.
Faktor-faktor di atas itulah di antara penyebab
mereka mudah tergelincir dalam kekeliruan yang tiada dirasa. Oleh kerana itu
tidak mustahil mereka dengan mudah tanpa ambil pusing terus cepat-cepat
melontarkan anggapan bahawa para ahli Tasauf/Tariqat adalah sebagai orang yang
hanya akan
mengajak ummat atau jamaah untuk menjadi sesat dan
bahkan dapat berakibat syirik dan kafir. Na'uzubillah himin zalik!
Padahal dengan penjelasan tentang dasar hukum dan
tujuan Tasauf/Tariqat Mu'tabarah di muka tadi, adalah jelas sentiasa sesuai dan
berdiri tegak di atas tuntunan dan petunjuk langsung baik dari Al-Quran maupun
Al-Hadis.
Sebelum kita
huraikan lebih jauh, elok rasanya diterangkan dulu secara umum pengertian ulama
menurut bidang ilmu yang lapan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan