Catatan Popular

Ahad, 16 November 2014

KUNCI MENGENAL ALLAH BAB 1 (BAHAGIAN 8) : MENJADI SEORANG SUFI…



Setiap yang dilahirkan oleh manusia sama ada fikiran dan tindakannya adalah berpunca dari hati. Kalau baik hati, maka baiklah seluruh perbuatan dan pertuturan. Begitulah sebaliknya kalau hati jahat, maka jahatlah seluruh anggota badan.

Kedatangan Rasulullah SAW untuk memperbaiki akhlak manusia mendapat kejayaan kerana baginda berjaya mendidik hati manusia.

 Sebab itu, kalau kita mahu berjaya dalam melahirkan peribadi yang baik sama ada pada diri atau dalam masyarakat kita, maka pendidikan hati hendaklah difikirkan dahulu.

Tetapi bukan semua manusia faham dan nampak bagaimana dan apa kesan hati kepada perlakuan manusia. Sebab itu manusia masih gagal membina hidup aman damai kerana gagal memahami bagaimana untuk mendidik hati supaya menjadi baik. Manusia juga gagal untuk mengubat penyakit hati yang telah merosakkan seluruh perbuatan zahir seseorang.

Oleh kerana itu manusia cukup sensitif dengan penyakit zahir tetapi tidak ambil pusing dengan penyakit batin. Penyakit bati yang dimaksudkan ini bukanlah penyakit jantung atau barah tetapi adalah penyakit mazmumah seperti riak, angkuh, dengki, ego, tamak, pemarah dan lain-lain lagi. Tidak ada alat x-ray yang dapat mengesan penyakit mazmumah kecuali ilmu tasawuf dan didikan dari seorang guru sufi.

Sebab itu kepentingan ilmu tasawuf dan pendidikan sufi  amat penting sekali demi menjamin kebahagiaan hidup manusia. Jadi, orang yang bercita-cita dan berazam untuk membersihkan hatinya dengan mengikut panduan ilmu dan didikan guru tasawuf, sebenarnya sedang menempuh jalan tasawuf.

Sekarang kita paparkan beberapa kisah ahli sufi yang jika kita ingin mengikut jejak ahli sufi maka ikutilah mereka. Kalau hendak menjadi seorang sufi jadilah seperti Nabi Musa yang memakai pakaian yang sederhana tetapi berani berhadapan dengan Firaun yang memakai pakaian maharaja. Atau jadilah seperti Nabi Sulaiman yang menjadi raja besar dengan segala kemewahan dan kekuasaan tetapi makanan hariannya cuma roti kering.

Satu ketika Nabi Sulaiman sedang melayang di atas tikar terbang diiringi oleh pengawalnya dari kaum jin. Datang peringatan dalam hatinya.  Jika dalam hatinya ada sebutir debu dari rasa takbur nescaya dia akan dibenamkan ke dasar bumi sedalam tingginya dia terbang di udara. Malah pernah Nabi Sulaiman berkata: “Satu kalimah Subhanallah lebih berharga bagiku dari segala dunia dan isinya.”

 Menjadi orang sufi ertinya sanggup memikul tugas besar seperti Nabi Yusuf yang telah menjadi menteri Perbendaharaan. Baginda menyimpan makanan yang cukup selama tujuh tahun untuk berdepan dengan musim kemarau. Bukanlah dipanggil orang sufi jika menjadi masalah kepada masyarakat dan hidup dengan meminta belas kasihan dari orang ramai.

Seorang sufi bukanlah orang yang memutuskan nafsunya seperti seorang sami Buddha tetapi dia sanggup mengawalnya seperti Nabi Yusuf ketika berhadapan dengan godaan Zulaikha. Seorang sufi juga mesti sanggup menahan rasa sakit sepertimana Nabi Ayub, menahan penderitaan walaupun hanya tinggal hati dan lidahnya sahaja yang masih tidak dijangkit penyakit.

Apabila ditanya orang mengapa baginda tidak berdoa meminta sihat sedangkan baginda seorang Nabi yang makbul doanya. Lantas baginda berkata: “Aku malu untuk berdoa  pada Allah kerana aku baru ditimpa sakit selama dua tahun sedangkan Allah memberi aku sihat selama enam puluh tahun.”

Seorang sufi bukanlah orang yang lari daripada kemungkaran masyarakatnya tetapi dia adalah orang yag berjuang menegakkan makruf di tengah banjir kemungkaran. Kalaupun mereka lari, adalah dengan niat untuk membina kekuatan sebagai persediaan untuk kembali ke tengah gelanggang perjuangan. Seorang sufi adalah orang yang sanggup menurut jejak Nabi Ibrahim.

Baginda sanggup dibakar kerana meruntuhkan berhala pujaan Namrud dan rakyatnya. Jadilah pemimpin yang mempunyai jiwa sufi seperti Nabi Zulkifli yang tahan berhadapan dengan karenah pengikutnya. Atau milikilah kehebatan seperti Nabi Isa  A.S. yang sanggup berbantalkan lengan ketika tidur di malam hari.

 Itulah hidup sufi yang dituntut oleh Allah pada kita untuk dimiliki. Syukur berhadapan dengan nikmat, sabar berhadapan dengan ujian, berani berhadapan dengan kezaliman, tawadhuk bila berhadapan dengan kebenaran dan dalam apa juga keadaan sekalipun hati tetap sama dan tenang tanpa cacat atau berubah.
Menjadi seorang sufi bukanlah mengalah pada semua  suasana dalam berhadapan dengan kekufuran, tetapi sufi sebenar sanggup berperang seperti peribadi Nabi Muhammad SAW yang ada kalanya berbicara dengan pedang apabila kata-kata gagal menahan serangan fizikal orang-orang Musyrikin.

Seorang sufi juga bukan orang yang lari daripada harta ketika diperlukan untuk mengendalikannya tetapi menjadi seperti Abdul Rahman bin Auf yang bertindak sebagai “bank” kepada masyarakat Islam. Namun jangan sampai ditawan oleh dunia seperti Tsa’labah. Seorang sufi juga adalah orang yang licin mengintip musuh seperti Abu Huzaifah ataupun mempunyai kepakaran strategi peperangan seperi Salman Al Farisi yang menjadi “master-mind” dalam Peperangan Khandak.

Nah, itulah peribadi contoh jika kita hendak mengikut jalan-jalan sufi. Bukan seperti sangkaan orang sekarang yang meletakkan hidup sufi sebagai hidup yang hina.  Pada sangkaan setengah orang, sufi menjadikan seseorang lepas bebas dari masyarakat sekelilingnya. Bila disebut sufi orang akan membayangkan seorang yang berjanggut dengan pakaian yang  buruk duduk tersepuk di mihrab-mihrab masjid menggetil tasbih.

Makanannya disedekahkan orang, sementara dia duduk sendirian mencari Tuhannya dalam ‘khalwat’ dan zikirnya. Bukan itu cara hidup sufi, kerana bukan seperti itu hidup para Rasul, Nabi dan para sahabat zaman dahulu!

Bukan itu yang dinamakan sufi. Kerana bukan itu cara hidup tokoh-tokoh sufi yang telah kita paparkan tadi. Walaupun tangan orang sufi selalu menggetil tasbih tetapi tangan itu juga sanggup memegang cangkul untuk bertani, tangan itu sanggup memegang pena untuk memerangi kebatilan dan ada masanya tangan itu juga sanggup memikul senjata memerangi kekufuran.

 Semudah memetik biji-biji tasbih di dalam zikirnya, maka semudah itu jugalah ia mentadbir dunia ayang diamanahkan padanya. Kerana apa? Kerana hati yang berpaut pada Allah boleh mengendalikan apa sahaja dengan mudah dan berjaya

Rasulullah SAW sebelum berjaya menegakkan Islam telah melalui banyak ujian dan segala ujian itu sebenarnya menyuburkan jiwa sufi baginda. Rasulullah diuji menggembala kambing sebelum berjaya memimpin manusia. Rasulullah tetap sujud ketika dilonggokkan dengan perut unta yang busuk sebelum berjaya meruntuhkan berhala-berhala di sekeliling Kaabah.

Bermula dari dua buah gua iaitu gua Hira’ dan gua Thur maka bangkitlah satu kekuatan Islam yang menguasai dua pertiga dunia. Mana pejuang-pejuang sufi seperti peribadi mereka itu kini? Mana lambang pusat latihan kerohanian (gua-gua) yang tegak di zaman moden kini? Mana sekolah-sekolah latihan sufi yang sanggup mencabar sistem pendidikan sekular (penyambung lidah penjajah)? InsyaAllah, semuanya mula kelihatan mercup tumbuh sekarang.

Sesungguhnya kita memerlukan jiwa sufi yang dapat menggunakan kemodenan zaman ini untuk Islam. Orang-orang sufi mesti bangun menggunakan jentera-jentera moden, komputer, alat-alat elektronik dan segala gajet teknologi yang “sophisticated” untuk memperjuangkan Islam.

Pertahankanlah peribadi sufi yang kukuh pendirian, hidup berdisiplin dan boleh berada dalam kemewahan sedangkan hati sedikit pun tidak terpaut dengannya. Boleh menanggung derita tetapi jiwanya tidak keluh kesah. Maka jika kita mahu jadi orang sufi jadilah seperti mereka itu.

Tiada ulasan: