Catatan Popular

Isnin, 26 Mac 2018

HIKAM ATHAILLAH SYARAH USTAZ BESTARI KE 35 : AKAR PUNCA KEPATUHAN DAN KEINGKARAN


Menurut Kalam Hikmah ke 35 Al - Arifbillah Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah As kandary:

Mafhumnya : Asal usul setiap maksiat atau keengkaran, setiap keinginan syahwat dan setiap kelalaian ialah redha atau berpuas hati dengan runtunan nafsu.Sementara itu asal usul setiap kepatuhan,pengendalian keinginan nafsu dan kesedaran batin adalah lantaran ketidakrelaan anda terhadap runtunan nafsu.

Justeru itu seandainya anda bertemankan seseorang yang jahil yang tidak redha dengan runtunan nafsunya adalah lebih baik daripada anda bertemankan  seorang yang ‘alim tetapi  yang tunduk kepada keinginan nafsunya. Sehubungan ini manakah ilmu yang boleh memberi manfaat kepada seseorang yang ‘alim tetapi masih redha dengan nafsunya. Demikian juga apakah jenis kejahilan yang boleh merosakkan orang yang jahil, tetapi dia tidak redha dengan runtunan nafsunya.

       Maksiat atau keengkaran menurut istilah syara’ ialah;
Ertinya : Pelanggaran terhadap perintah Allah yang wajib dilaksanakan.
       Syahwat pula ialah :
Bermaksud: Melepaskan keinginan beserta nafsu di dalam mengejar sesuatu yang dirasakan enak dan lazat.
       Al-Ghaflah atau kelalaian ialah :
bererti : Mengabaikan dari melaksanakan hak-hak yang wajib dan sunat akibat daripada digoda oleh hawa nafsu.

       Tiga tanda bahawa seseorang itu telah ditimpa oleh penyakit redha dan cenderung mengikut runtunan nafsu yang mengaibkan itu;
1.     Keegoan atau keakuan yang menyebabkan seseorang itu sentiasa menyangka dirinya benar.
2.     Mementingkan diri lebih daripada menyayangi agama dan masyarakat.
3.     Selalu memaafkan diri walaupun telah bergelumang dengan kemaksiatan tanpa merasa kesal,jauh sekali daripada usaha untuk bertaubat.
       Kepatuhan atau ketaatan ialah :
Maknanya:  Mengakuri dan merelai segala perintah Allah yang meliputi perkara-perkara wajib dan sunat.
       Al-’Iffah pula ialah :
Ertinya : Sentiasa memelihara diri daripada sifat-sifat yang merendahkan mertabat serta daripada sifat-sifat yang hina dan tercela atau meninggikan hemah daripada semua syahwat
       Al-Yaqazah ialah  :
Ertinya : Memasuki pekarangan hadirat Allah dan sentiasa berkesedaran untuk mencapai keredhaanNya.
       Al-Quran mengemukakan garis panduan untuk mengenalpasti siapakah yang berjaya mengendalikan nafsu ? dan siapa pula yang kecundang menghadapinya ?

Antara firman Allah SWT yang sejajar dalam hal ini ialah ;
 1.Maksudnya: Adapun orang yang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya untuk dihisab,serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu,maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya ( di akhirat kelak ).(Surah al-Nazi’at ayat 40-41).

Mafhumnya : Dengan yang demikian,bagaimana fikiranmu ( wahai Muhammad ) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan yang dipatuhinya,dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya bahawa dia tetap kufur engkar,dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya,serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya ? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah pertunjuk kepadanya  selain daripada Allah ? Oleh itu ,mengapakah kamu wahai orang-orang yang engkar tidak mahu beringat dan insaf ? ( Surah al-Jathiah aya 23 )

Mafhumnya : Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku;sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan,kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku.Sesungguhnya Tuhanku amat pengampun,lagi amat mengasihani.” ( Surah Yusuf ayat 53 ).

Mafhumnya : Dan aku bersumpah  dengan nafsu lawwamah ( bahawa kamu akan dibangkitkan semula selepas mati ) Surah al-Qiyamah ayat 2.

       Orang yang wajar kita mengikat tali persahabatan dengannya perlu memiliki kreiteria berikut ; *Sentiasa menginsafi diri dan bertaubat*Tidak bersifat sombong dan membesarkan diri*Berjuang dan bermujahadah untuk mencari kebenaran dengan kaedah yang betul dan sahih.
       Ammar bin Yasir r.a. menyatakan hakikat keimanan akan terkumpul ke atas diri seseorang,antaranya;*Menginsafi diri*Mengucapkan salam kepada orang yang dikenal atau tidak dikenal sekalipun*Membelanjakan harta pada jalan Allah.
Apabila seseorang memiliki pergaulan yang sedemikian,iaitu menurut kod etika atau akhlak di atas ,hasilnya ialah ;*Pergaulannya membawa rahmat*Tenteramlah jiwanya dari sebarang gangguan duniawi*Selamatlah kehidupannya di dunia dan akhirat.

       Sahl bin Abdullah rh memperingatkan kita dalam soal pergaulan dan persahabatan, katanya ; Maksudnya : Hindarilah diri anda dari bergaul dengan tiga golonan manusia,iaitu;
1.     Orang yang mengerti tentang agama tetapi mencampuradukkan hak dan batil
2.     Orang yang mengamalkan tasawuf tetapi jahil dalam ilmu-ilmu keagamaan
3.     Golongan penguasa yang lalai daripada menunaikan hak keagamaan dan kemasyarakatan.

       Abul Abbas Basyruq rh ketika menjelaskan intisari sebenar ilmu dan amal dengan katanya ;
Maksudnya : Cukuplah bahawa takut akan kemurkaan Allah itu sebagai ilmu pengetahuan yang hakiki dan cukuplah sifat lalai dan tertipu yang menyingkirkan kita dari jalan Allah itu sebagai kejahilan.
       Syair berikut menjelaskan hakikat persahabatan ;
Maksudnya : Janganlah anda bertanya seseorang itu tentang dirinya tetapi tanyalah sahabatnya,lantaran seorang teman itu sentiasa mengikut gelagat temannya.Apabila anda berada ditengah sekelompok manusia,bersahabatlah dengan orang yang terbaik daripada kelompok itu,dan janganlah anda memilih teman dari kalangan yang tidak baik dari kelompok itu,maka anda akan menempuh kebinasaan bersama dengan orang-orang yang binasa.


Tiada ulasan: