Catatan Popular

Isnin, 26 Mac 2018

KITAB AL- HIKAM ATHAILLAH SYARAH TOK FAKIR AN NASIRIN KE 35 : REDHA ATAU TIDAK KEPADA NAFSU PUNCA MAKSIAT ATAU TAAT


Menurut Kalam Hikmah ke 35 Al Aribillah Syeikh Ahmad Ibnu athaillah As kanadary:

“INDUK SEGALA MAKSIAT, SYAHWAT DAN KELALAIAN ADALAH REDA TERHADAP NAFSU DAN SUMBER SEGALA TAAT, TERPELIHARA DIRI (DARI SYAHWAT) DAN BANGUN (PADA TAAT) ADALAH TIDAK REDA KEPADA NAFSU.

BERSAHABAT DENGAN ORANG JAHIL YANG TIDAK MENURUT HAWA NAFSU  LEBIH BAIK DARIPADA BERSAHABAT DENGAN ORANG ALIM YANG TUNDUK KEPADA NAFSU. ILMU APAKAH YANG DAPAT DIPANGGIL BAGI ORANG ALIM YANG DITAWAN OLEH NAFSUNYA, SEBALIKNYA KEJAHILAN APAKAH YANG DAPAT DISEBUTKAN BAGI SESEORANG YANG SUDAH DAPAT MENGEKANG NAFSUNYA.”
                                                                               
Hikmat ini pula akan menghuraikan nafsu, yang biasa dipanggil hawa nafsu. Terdapat perbezaan antara sifat iblis dengan hawa nafsu. Sifat iblis adalah pendatang haram sementara hawa nafsu adalah tuan rumah yang mengizinkan pendatang haram tinggal di rumahnya. Tidak mungkin ada sifat yang menyalahi ubudiyah jika tidak ada hawa nafsu. Malaikat tidak mempunyai hawa nafsu, sebab itu mereka sentiasa taat dan menjalankan tugas mereka dengan sempurna, malah mereka tidak tahu berbuat derhaka kepada Allah s.w.t. Matahari tidak ada hawa nafsu, sebab itu ia tidak menyimpang dari orbitnya. Manusia mempunyai hawa nafsu sebab itu manusia boleh berbuat tidak taat dan boleh lari dari jalan lurus yang dibentangkan kepada mereka.

Iblis dan kuncu-kuncunya iaitu syaitan bertindak memberi saranan dan cadangan tetapi tidak berkuasa menggerakkan mana-mana anggota manusia supaya  melakukan sesuatu yang dia ingini. Tetapi, jika hawa nafsu menerima saranan dan cadangan iblis itu maka hawa nafsu berkuasa memaksa anggota tubuh badannya supaya berbuat sebagaimana yang disarankan oleh iblis itu. Iblis menyalurkan sifat-sifat, dan hawa nafsulah yang menerima serta memakai sifat-sifat tersebut. Satu perkara yang ketara adalah saranan atau idea yang disampaikan oleh iblis dan syaitan kepada hawa nafsu itu dirasai oleh hawa nafsu bahawa saranan itu datang dari dirinya sendiri, bukan disalurkan kepadanya dari sumber lain. Hawa nafsu akan mempertahankan pendapat iblis dan syaitan yang diterimanya itu seperti dia mempertahankan pendapatnya sendiri bahkan dia mendabik dada mengakui bahawa pendapat tersebut adalah pendapatnya sendiri. Karl Marx yang menyebarkan fahaman tidak bertuhan tidak mengatakan fahaman itu sebagai rencana iblis tetapi dia mengakui bahawa dialah yang menemui fahaman tersebut. Peter yang menyebarkan fahaman Tuhan tiga dalam satu tidak mengatakan iblis yang mengajarnya tetapi mengatakan dia menerima wahyu dari Tuhan. Begitulah kebodohan dan kesombongan hawa nafsu yang tidak sedar dirinya ditunggangi oleh iblis dan syaitan. Apabila dia menerima cadangan dari iblis dan syaitan dia derhaka kepada Tuhan dan melakukan syirik terhadap-Nya.

Hawa nafsu bukan setakat mampu menerima rangsangan dari iblis dan syaitan malah dia sendiri berupaya merangsang dirinya sendiri tanpa dirangsang oleh iblis dan syaitan. Rangsangan yang muncul dari hawa nafsu sendiri mengarah kepada melakukan maksiat, memenuhi tuntutan syahwat dan asyik dengan perkara yang melalaikan. Apabila iblis dan syaitan memberi rangsangan yang sesuai dengan sifat nafsu itu sendiri mudahlah dia melakukan maksiat dan kemunkaran. Dia tidak berasa sedih bila berbuat kejahatan dan tidak berasa rugi bila hanyut di dalam lautan kelalaian. Apa yang penting baginya ialah memenuhi apa yang dia ingini tanpa menghiraukan akibatnya.

Seseorang yang diistilahkan sebagai jahil tetapi tidak menurut hawa nafsu, tidak ada padanya sifat megah, sombong, takbur dan bodoh. Dia boleh tunduk kepada kebenaran jika kebenaran dibentangkan kepadanya. Dia boleh juga menyampaikan kebenaran yang diketahuinya kepada orang lain. Jadi, kebodohan apakah yang boleh dikatakan kepada orang seperti ini yang bersedia menerima dan menyampaikan kebenaran. Orang yang diistilahkan sebagai alim pula, bagaimana boleh dikatakan alim jika dia menurut hawa nafsunya, memakai sifat bodoh dan sombong, menolak kebenaran jika datang dari orang lain atau tidak secucuk dengan kehendak nafsunya. Orang alim yang menurut hawa nafsu tidak mengajak manusia menyembah Allah s.w.t sebaliknya mengajak mereka menyembah ilmunya. Manusia lain menjadi alat baginya untuk menaikkan ego dirinya sendiri. Oleh yang demikian adalah lebih baik jika bersahabat dengan orang jahil yang tidak tunduk kepada hawa nafsunya. Kejahilan tidak menghalangnya untuk mengenali kebenaran dan dia juga mampu memberi sokongan ke arah kebenaran.

Sifat iblis adalah hijab diluar hati dan hawa nafsu adalah hijab di dalam hati. Jika hijab diluar disingkapkan dengan tenaga kebenaran, maka hijab di dalam ini juga perlu disingkapkan dengan tenaga kebenaran. Nafsu mesti ditundukkan kepada kebenaran. Pekerjaan ini bukanlah mudah kerana nafsu kita adalah diri kita sendiri. Tidak ada beza pada hakikatnya diantara nafsu, hati dengan diri. Memerangi hawa nafsu bererti memerangi diri sendiri. Di dalam diri sendiri itu berkumpul kemahuan, cita-cita, ilmu pengetahuan dan lain-lain. Apabila mahu berperang dengan diri sendiri tidak boleh meminta pertolongan kepada diri sendiri. Ilmu tidak berdaya menentang hawa nafsu kerana ilmu adalah alatnya dan alat akan patuh kepada tuannya. Perbahasan ilmu yang berlarutan akan menambahkan kekeliruan dan akan meneguhkan nafsu. Makrifat juga tidak boleh digunakan untuk melawan hawa nafsu kerana jika makrifat digunakan ia akan menarik ke dalam ilmu, maka terjadilah yang serupa. Oleh itu jangan meminta tolong kepada ilmu  dan jangan meminta bantuan makrifat untuk melawan nafsu tetapi larilah kepada Allah s.w.t. Menjeritlah sekuat-kuat hati, pintalah pertolongan-Nya. Istiqamah atau tetap di dalam ubudiyah, menunaikan kewajipan sambil terus berserah diri kepada-Nya, itulah kekuatan yang dapat menumpaskan hawa nafsu. Jangan sekali-kali menuntut kekeramatan kerana ia juga menjadi alat hawa nafsu. Tetaplah di dalam ubudiyah, tidak berubah keyakinan terhadap Allah s.w.t, kekuasan-Nya, kebijaksanaan-Nya dan ketuhanan-Nya baik ketika sihat atau sakit, senang atau susah, kaya atau miskin, suka atau duka. Apabila wujud sifat reda kepada ketentuan Allah s.w.t, itu tandanya hawa nafsu sudah tunduk kepada kebenaran.

Tiada ulasan: