Catatan Popular

Jumaat, 13 Oktober 2017

HIKAM ATHAILLAH KE 32 SYARAH SYEIKH BESTARI : KENALI KELEMAHAN DIRI DAN POTENSI YANG TERSEMBUNYI



SYARAH SYEIKH BESTARI

Menurut Kalam Hikmah ke 32 Al-Arifbillah Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah As kandary:

Mafhumnya :

“Perhitungan anda ke atas apa yang tersembunyi di dalam diri anda berupa keaiban dan kelemahan adalah lebih baik daripada mengukur potensi yang tersirat didalamnya”
 

          Aib menurut ulama sufi seperti Junayd al-Baghdadi ialah :
Maksudnya : Sesuatu yang akan membawa kekurangan diakibatkan oleh maksiat yang dikerjakan,atau diakibatkan oleh laku perbuatan,akhlak dan budi pekerti yang menyeleweng dan yang melanggar hak Allah dan hak hamba-hambaNya.

          Menurut To` Pulau Manis aib yang tersembunyi itu adalah segala penyakit hati lantaran sukarnya melihat apa yang berlaku didalamnya serta payah pula untuk mengubati penyakitnya yang kronik itu.Antara penyakit hati itu adalah riya`,’ujub,berburuk sangka dengan Allah,hasad dan seumpamanya.

          Langkah efektif untuk menghapuskan segala aib itu ialah dengan menyucikan segala sifat mazmumah ( yang tercela ) nscaya dengan itu terbongkar segala hijab perkara ghaib daripada asrar Allah.Antara yang disarankan oleh kaum sufi ialah mempertahankan sifat istiqamah dan jangan menuntut sifat karamah.Junayd al-Baghdadi menyatakan :

Maksudnya : Tuntutlah istiqamah,jangan mencari karamah,lantaran nafsunya menghambatmu untuk mencari kemuliaan,walhal Tuhanmu menuntutmu sentiasa beristiqamah.Sebenarya berada di sisi hak Tuhanmu adalah lebih baik daripada mengutamakan hak keuntungan dirimu sendiri.

          Sehubungan ini Allah berfirman :

Maksudnya : Oleh itu,hendaklah kamu ( Ya Muhammad ) sentiasa istiqamah di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu,dan hendaklah sesiapa yang bertaubat yang bersama denganmu kembali kepada kebenaran mengikutimu berbuat demikian,dan jangalah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah,sesungguhnya Allah amat melihat akan apa yang kamu kerjakan.( Surah Hud ayat 112 )

          Firman Allah lagi dalam soal istiqamah ini :

Mafhumnya : Dan bahawa sesungguhnya ! andainya mereka ( manusia dan jin ) itu istiqamah di atas jalan Islam,sudah tentu Kami ( Allah ) akan menurunkan hujan lebat kepada mereka ( nisbah kepada kesenangan dan kenikmatan ).Anugerah yang demikian itu adalah sebagai ujian Kami ke atas mereka dalam menikmati apa yang telah Kami kurniakan.Dan ingatlah ! sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya,nescaya Tuhannya akan akan mencampakkannya ke dalam azab yang amat memuncak dahsyatnya.( Surah al-Jin ayat 16 dan 17 )

          Sehubungan ini, Imam al-Ghazali menyarankan langkah-langkah berikut :

1          Seseorang itu perlu berguru dengan guru yang mursyid yang dapat membimbing para penuntutnya untuk mengatasi masalah-masalah dalaman mereka,
2          bergaul dengan orang-orang yang sholeh,
3          sentiasa mengambil iktibar dan pengajaran daripada keaiban dan penyakit yang menimpa orang lain agar kita dapat menghindarinya,
4          ambil faedah dan hikmah daripada sesiapa sahaja dalam pergaulan kita seharian.Yang baik dijadikan tauladan dan yang jahat dijadikan sempadan.

Akhir kalam Ibn ‘Athaillah menegaskan barangsiapa yang tiada mengenal ia akan hakikat dirinya dan segala aibnya nescaya tiadalah sampai ia kepada ma’rifah dan adalah ia dibelakang hijab.

Tiada ulasan: