Catatan Popular

Jumaat, 13 Oktober 2017

HIKAM ATHAILLAH KE 33 SYEIKH BESTARI : INSAN MENJADI TABIR YANG MENUTUPI KEBENARAN





SYEIKH BESTARI


Menurut Kalam Hikmah ke 33 Al-Arifbillah Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah As kandary:
 
Mafhumnya :

"Hak Allah Yang Maha Benar itu tidak pernah terdinding.Pada hakikatnya yang yang menakbir daripada memandang kepada hak kebenaranNya ialah diri anda sendiri. Seandainya hak Allah itu ditutupi nescaya sesuatu yang menutupiNya lebih daripada zatNya Yang Maha Agung.

Malah seandainya Dia dilitupi nescaya sesuatu yang lain meliputiNya. Walhal setiap yang melitupi itu adalah lebih berkuasa ke atas sesuatu.Sehubungan ini Dia lah ( Allah SWT ) Maha Berkuasa ke atas segala hambaNya".

       Hakikat hijab ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya :
Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah ( berkuasa ) mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan ( pekerjaan ) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan. ( Surah Al-Anfal ayat 24 )

Hijab itu pula terbahagi kepada dua
i.      Hijab al-Basar iaitu tabir penglihatan mata yang lahiriah.Penglihatan yang zahir tidak berupaya menembusi alam akhirat dan alam metafizika.Sebagaimana firman Allah SWT :
 Dia tidak dapat dilihat dan diputi oleh penglihatan mata,sedangkan Dia dapat melihat ( dan mengetahui hakikat ) segala penglihatan ( mata ),dan Dia  lah yang amat halus ( melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan ),. Lagi amat mendalam pengetahuanNya. ( Surah al-An’am ayat 103 )
 ii.      Hijab al-Basirah iaitu dinding yang menutup mata hati .Hijab-hijab ini ialah keaiban hati dengan sifat-sifat mazmumah yang menghalang seseorang itu daripada mencapai kebenaran.Sehubungan ini Zun Nun al-Misri menyatakan hijab yang paling halus dan bersangatan pengaruhnya ke atas penglihatan mata hati ialah :
Mafhumnya : melihat diri dan mengaturnya.
Al-basirah atau kekuatan pandangan matahati menurut Syeikh Ismail al-Harawi  dalam kitabnya Manazil al-Sairin ialah yang melepaskan dan membebaskan diri seseorang daripada kebutaan dan kejahilan tentang Allah,akhirat dan syariatNya.Sehubungan ini Allah SWT berfirman :
 
Katakanlah ( wahai Muhammad ) : “ Inilah jalanku,aku dan orang-oang yang menurutku,menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata ( yang dipandang dengan mata hati ).( Surah Yusuf ayat 108 ).

       Kalam hikmah ini menegaskan bahawa Allah SWT sahaja yang menguasai segala makhlukNya dan bukan sebaliknya.Justeru itu Allah SWT menegaskan :
Andainya Allah menimpakan kemudaratan atau bala` keatas kamu tiadalah yang dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan andainya Dia mendatangkan kebaikan ke atas kamu,maka Dia berkuasa atas segala sesuatu.Dia yang berkuasa atas segala hambaNya.Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.( Surah al-An’am ayat 17 dan 18 )

Tiada ulasan: