Kata Sheikh Ibni Athoillah As-Kandary
yang bermaksud;
"Penglihatan kepada yang tersembunyi
dalam dirimu daripada segala Aib-aib itu terlebih baik daripada melihat kepada
yang didinding daripadamu daripada segala yang Ghaib-ghaib".
Penglihatan kepada yang
tersembunyi dalam dirimu daripada segala yang aib-aib itu (iaitu dari)
sifat-sifat kecelaan dirimu dalam segala perangai dan segala afaal(perbuatan)
dan segala adab yang menuntut akan dikau daripada jalan Istiqamah dan ikhlas
terlebih baik bagimu daripada melihat kepada yang didinding daripadamu daripada
segala (yang) Ghaib iaitu AsroR(rahsia) yang datang ia atasmu kemudian daripada
terangkat hijab dirimu(dan)Ghaib yang tersembunyi
itu ialah segala penyakit hati kerana sukar melihat dalamnya dan sukar
mengubati dia dan yang zhohir itu mudah untuk menghilangkannya.
Keterangan suluk.
Aib-aib yang tersembunyi
yang dimaksudkan oleh Tok Pulau Manis ialah kejahatan yang terdiri daripada;
1. Perangai atau sifat-sifat
hati yang diselaputi oleh syahwat yang tersembunyi seperti syirik khofi, riya,
ujub, suma'ah, takabbur, hasad, dengki, khianat, ghodhob(pemarah),cintakan
dunia, kasihkan pangkat serta kedudukan(termasuk maqam-maqam keruhanian),
disanjung oleh manusia, mendapat keberkatan dalam amalan(seperti kebolehan
untuk mengubat penyakit-penyakit yang ganjil[jadi bomoh], inginkan
keramat-keramat yang mencarik adat, dan apa sahaja maksud-maksud sampingan
dalam beribadat.
2. Afaal(perbuatan) yang
tercela seperti suka merungut-rungut, menyebarkan keaiban manusia yang tidak
diharuskan oleh syarak, mengumpat, pemarah, berlagak tawaduk, bermegah dengan
amalan yang dikerjakan, bermuka-muka di hadapan manusia, memungkiri janji,
bercakap dengan kasar, berbicara dengan suara yang tinggi dan semua kelakuan
yang dicela oleh syarak.
3. Melanggari adab-adab sama
ada adab-adab dalam melakukan ibadat, adab-adab thoriqat dan adab Ketuhanan. Di
dalam Kitab Ad-Durul Nafs ada ditegaskan antara perkara-perkara yang merosakkan
adab Salik itu yang mana jika ianya akan membatalkan suluk(tohriq ibadat).
Antaranya ialah seperti;
• Kaslun ertinya segan melakukan ibadat sedangkan kuasa ia
mengerjakannya'
• Futur ertinya lemah dalam mendirikan ibadat sebab bimbang dengan
dunia
• Malal ertinya jemu dan puas melakukan ibadat kerana ianya
berulang-ulang pada hal belum lagi hasil yang dikehendakinya.
Adalah sebab yang demikian
itu kerana kurang Iman dan Dhoif Yakin dan buta mata hati dan mengikutkan nafsu
akan hawanya.(Ad-Durul-Nafs:3)
Berkata lagi Tok Pulau Manis;
Maka barangsiapa [yang]
berdiri[mengerjakan] pada Ubudiyah dan Muamalah dengan syarat adab, nescaya
tiada terhijab segala [yang]Ghaib daripadanya dan hanyasanya hijab segala
[yang]Ghaib itu [adalah kerana]wujud segala Aib (maka) sucikan olehmu daripada
Aib[pada dirimu], maka terbukalah bagimu [segala]pintu ghaib.
(Dan) bahawasanya
[Alam]Malakut Allah Taala itu tiada diizinkan masuk dalamnya melainkan bagi
orang yang telah suci daripada segala Afatul Basyariah(Penyakit Kemanusian)
dengan berperangai dengan segala perangai Allah Taala dan diperolehnya fanalah
barang yang lain daripada Allah Taala.
(Dan) Tahqiq Ubudiyah itu
dengan mengikut bagi segala suruh Allah Taala dan Istislam(menyerah
diri/tunduk) bagi segala hukum Allah Taala. Maka jikalau engkau sampai kepada
demikian itu , maka terbukalah segala[pintu Alam]Ghaib bagimnu.
Kata Sheikh(Ibni Athoillah)
dalam [kitabnya yang bernama] Asul Ma'qud barangsiapa tiada mengenal ia akan
hakikat dirinya dan segala aibnya nescaya tiadalah sampai ia kepada makrifat
dan adalah ia di belakang hijab[dinding].
Keterangan suluk.
Pengarang telah cuba
menghuraikan bagaimana pintu-pintu Alam Ghaib dapat terbuka dengan sendirinya
sekiranya seorang hamba mengerjakan perkara-perkara seperti berikut;
1. menunaikan hak Ubudiyah
dan Muamalah mengikut adab-adabnya. Antara adab-adab tersebut ialah seperti;
o ADAB AL-SYARIAT
o ADAB-AL-HIKMAT
o ADAB-AL-HAQ.
2. menyucikan diri dan jiwa
daripada kurungan keperluan basyariah seperti berlazat-lazat dan berlebih-lebih
dalam makan, minum, tidur, berpakaian, bersenggama dan sebagainya yang
melemahkan/menghalang ibadat kepada Allah Taala.
3. bersifat dengan
sifat-sifat yang terpuji mengikut kelakuan para Nabi dan Rasul, Aulia Allah dan
para Ahli Sufi yang sentiasa tenggelam dalam lautan musyahadah dan fana dengan
Allah Taala.
4. mengenal sifat-sifat
kecelaan dan keaiban diri yang tersembunyi seperti syirik khofi dengan
memperdalami ilmu yang berkaitan dengan hal-ahwal perjalanan Sufi.
Berkata lagi Tok Pulau Manis;
Dan hendaklah diperbuat oleh
segala orang yang Salik itu "Birrahu"(kebajikan/ibadat} sunyi[yang
bersih] daripada segala sifat yang mazmumah [dengan] didahulukan daripada
bersifat dengan segala [sifat] mahmudah kerana bahawasnya mengetahui pada
segala [yang] Aib itu iaitu Haq- Al-Adab serta Tuhanmu dan zhohirlah[wujud/ada]
atas segala [yang] Aib itu iaitu mengkuatkan bagi syahwatmu dan hawamu.
Dan lagi pula bahawasanya
menuntut segala [yang] Ghaib dengan tiada menghilangkan segala Aib itu
mendatangkan bagi sesuatu daripada bukan jalannya kerana tiada hijab segala
[yang] Ghaib itu melainkan wujud segala [yang] aib. Maka bersuci daripada
segala yang aib itu [akan] dibukakan bagimu pintu [yang] Ghaib.
Keterangan suluk.
Pada keterangan di atas,
kita akan dapat satu peringatan yang besar dan sangat penting yang cuba
disampaikan oleh Aulia Allah ini. Ini adalah kerana semenjak dulu hingga kini,
terdapat banyak golongan manusia yang sesat yang menggunakan jalan ini untuk
mencapai sesuatu keajaiban dan keistimewaan. Golongan ini menggelarkan diri
mereka ahli tasauf tulen yang banyak mempunyai keistimewaan-keistimewaan
tertentu serta mendakwa mereka dapat berhubungan dengan makhluq-makhluq lain di
alam Ghaib.
Pengakuan mereka ini adalah
berdasarkan dakwaan semata-mata kerana jika diperhatikan syariat dan jiwa
mereka masih lagi dibaluti oleh berbagai-bagai kecelaan dan keaiban. Mereka
mengamalkan beberapa ayat-ayat atau amalan-amalan yang tertentu untuk
mendapatkan sesuatu keistimewaan. Dengan limpah kurniaNya, Allah akan berikan
kepada mereka keinginan mereka itu. Mereka gunakan keistimewaan itu untuk
menipu atau mempengaruhi orang lain supaya menjadi pengikutnya. Mereka boleh
mengubati beberapa penyakit yang ganjil yang tidak boleh diubati dengan
perubatan moden yang ada. Sebenarnya mereka telah mengikuti jalan yang salah
dan akan menyesatkan pula orang yang mengikutinya. Banyak sebenarnya
kisah-kisah manusia yang telah disesatkan lantaran kejahilan mereka dengan
liku-liku alam ghaib. Mereka tidak sedar bahawa mereka telah ditipu oleh iblis
laknatullah. Sebagai contohnya ikutilah bagaimana seorang daripada murid Sheikh Junaid
Al-Bagdadi RA. hampir-hampir menjadi mangsa penipuan dan penyesatan iblis.
Dari itulah, kita harus
memahami dengan sebenar-benarnya tiada jalan yang mudah untuk dibukakan pintu
Alam Ghaib kecuali dengan mensucikan diri sebersih-bersihnya daripada sebarang
keaiban diri, keaiban syariat, keaiban makrifat dengan melaksanakan amal ibadat
mengikut kaifiat dan adab-adab yang telah digariskan oleh Ilmu Fekah, Ilmu
Thoriqat dan Ilmu Hakikat.
Berkata lagi Tok Pulau Manis;
Dan kerana yang demikian
itulah, kata setengah mereka itu(kaum sufiah) jadikanlah olehmu akan menuntut
Istiqamah dan jangan engkau minta jadikan menuntut keramat kerana itu dituntut
oleh nafsu dan Istiqamah itu dituntut oleh Tuhan;
dan bahawa engkau menjadikan
pada Haq Tuhanmu itu terlebih baik daripada engkau menjadikan pada bahagian
nafsumu.
{Dan Riwayat} daripada Wahab
bin Munabbih RA.
Seorang lelaki daripada Bani
Israil telah berpuasa ia selama 70 tahun lamanya. Dalam tiap-tiap tahun, lelaki
berkenaan hanya akan berbuka pada dua hari raya dan tiga hari tasyrik.
Maka memohon ia kepada Allah
Taala supaya diperlihatkannya bagaimana derhaka dan tipu dayanya terhadap
manusia. Maka setelah lama sekali berpanjangan masa hajat dan niatnya untuk
melihat syaitan itu, namun tiada diperkenankan pintanya.
Maka kata lelaki tersebut;
"Maka jikalau aku minta
nyatakan atas kesalahanku dan dosaku antaraku dan Tuhanku, nescaya adalah
terlebih baik daripada pekerjaannya(hajatku) untuk melihat syaitan".
Mendengar kata-kata itu,
Allah Taala telah memerintah seorang malaikat kepada lelaki tersebut. Maka
berkata malaikat kepadanya;
"Bahawasanya Allah
'Azzawajalla telah menyuruh ia akan daku kepadamu supaya menyampaikan firmanNya
kepadamu yang bermaksud;
"Kata-kata mu itu(untuk
melihat kesalahan dan dosa) itu terlebih baik kepada Allah daripada yang telah
lalu daripada segala ibadatmu. Maka telah dibukakan Allah Taala akan
penglihatanmu untuk melihat syaitan. Maka lihatlah olehmu akan
dia(syaitan)".
Maka dilihat oleh lelaki
tersebut berduyun-duyun beberapa tentera malaun (syaitan) dalam bumi ini dan
tiadalah seseorang daripada manusia melainkan syaitan berada di sekelilingnya
seperti keadaannya beberapa lalat (yang menggerumumi bangkai). Maka kata lelaki
tersebut;
"Hai
Tuhanku....bagaimana bisa selamat orang daripada keadaan ini?". Maka
firman Allah Taala
"Warak".
Maka apabila telah masuk
engkau kepada Hadirat Allah Taala dengan Shodiq dan ikhlas[dalam amal dan
ibadat], maka sampailah engkau kepada kesudahan-kesudahan yakin dan terbukalah
bagimu daripada Wujud Al-Haq, maka engkau pandanglah akan dia(Allah) dengan Nur
Iman; tiada dengan mata.
Pembersihan diri dan jiwa
yang sebenarnya ialah dengan Shodiq dan mengikhlaskan keseluruhan amal dan
hal-ahwal kita semata-mata kerana Allah. Benarlah kata-kata Ahli Sufiah bahawa
takrif tasauf itu ialah meninggalkan dakwa dan memfanakan diri dengan Allah.
Selagi kita merasai kita yang melakukan sesuatu dan selagi kita melakukan
sesuatu itu untuk mencapai maksud bagi kepentingan diri kita waima berhajatkan
kepada balasan pahala, kemulian, maqam-maqam atau syurga; maka sebenarnya diri
kita masih lagi bergelumbang dengan aib-aib yang menegahkan terbukanya pintu
Alam Ghaib. Bila pintu Alam Ghaib atau Alam Malakut ini masih belum terbuka,
maka perhatikan diri anda, selama-lamanya kita akan terkeliru dengan kehidupan
ini.
Mulakan perjalanan anda ke
Alam ini dengan menguasai Ilmu Syariat(fekah)terlebih dahulu agar anda bisa
tahu bagaimana rupa keaiban pada zhohir anda. Perdalamilah Syariat ini dengan
mengikut Thoriq Aulia Allah, agar anda mampu untuk berakhlak dengan peribadi
yang mulia. Selebihnya ilmu-ilmu yang lain seperti makrifat dan hakikat akan
terbuka dengan sendirinya untuk anda. Perhatikan kata-kata hikmah ini semoga
anda mendapat petunjukNya;
"Hakikat tidak akan
muncul sewajarnya jika syariat dan thorikat belum betul lagi kedudukannya.
Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul
keadaannya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan