Catatan Popular

Sabtu, 6 Oktober 2012

TOKOH SUFI ABDULLAH AL MUBARAK 11: MULIANYA HATI SI MAJUSI

Tahun itu, ramai sekali umat Islam yang datang menunaikan ibadah haji. Salah seorangnya, lelaki alim dan terkenal dengan sifat waraknya, Abdullah bin Al-Mubarak. Dia tidak pernah ketinggalan bersama jemaah yang lain setiap kali tiba panggilan haji. Selesai bersolat, Abdullah tertidur berdekatan dengan Hijir Ismail.

Dalam tidurnya dia bermimpi bertemu dengan insan mulia, Rasulullah SAW. Baginda datang dengan wajah dan pakaian yang berseri-seri. Dengan senyuman yang ramah, baginda berkata kepada Abdullah.

“Wahai Abdullah, kembali saja engkau ke Baghdad, temuilah olehmu Bahramal Majusi (pemimpin agama Majusi). Sampaikan salamku kepadanya dan katakan Allah SWT telah redha kepadanya.”

Seketika kemudian, Abdullah terjaga. Dia terpinga-pinga dan menganggap mimpi itu datang daripada syaitan. Namun sepanjang mengerjakan haji, mimpi yang sama datang tiga kali berturut-turut. Setelah itu, barulah Abdullah yakin memang mimpi itu benar. Dia juga sedia maklum, syaitan itu tidak dapat menyerupai Rasulullah SAW walau di dalam mimpi.

Selesai mengerjakan haji, Abdullah pun pulang ke negeri asalnya, Baghdad dan terus mencari Bahramal Majusi. Pesan dalam mimpi itu akan disampaikan tetapi dia ingin sekali tahu apakah keistimewaan si Majusi sehingga Rasulullah berkirim salam padanya.

Setelah puas bertanya ke sana ke mari, akhirnya bersualah Abdullah dengan lelaki yang dimaksudkan.

“Wahai Bahramal Majusi, boleh aku tahu apa kebaikan yang pernah engkau lakukan?” tanya Abdullah.

"Baru sebentar tadi aku pinjamkan wang kepada orang dengan faedah yang sedikit."

"Itu haram hukumnya, ada yang lain?"

"Ya, aku ada empat anak lelaki dan empat anak perempuan. Maka aku telah mengahwinkan sesama mereka dan sebagai tanda kesyukuran, aku raikan mereka itu dalam satu majlis yang besar.”

"Itu juga haram, ada yang lain?"

"Ya, aku ada seorang anak perempuan yang cantik dan tiada tandingannya di daerah ini. Itulah sebabnya aku sendiri yang bernikah dengannya dan memberi belanja kahwin yang besar. Lebih seribu orang Majusi menghadirinya."

"Demi Allah,itu juga haram! Apakah ada lagi kebaikan yang pernah kau lakukan wahai Majusi?" tanya Abdullah hampir berputus asa.

"Oh ya, baru aku teringat. Seminggu lepas, sewaktu aku sedang tidur bersama anakku pada waktu malam, datang seorang wanita yang sama agamanya dengan kamu. Dia datang dan pergi beberapa kali. Aku syak dia seorang pencuri. Maka aku cuba mengekorinya dari belakang. Sampai di rumah wanita tersebut, kelihatan empat anak perempuannya yang masih kecil sedang kelaparan. Mereka bertanya," Ibu, adakah makanan untuk kami malam ini?"

Ibunya lalu menjawab, " Aku malu untuk meminta kepada selain Allah. Tambahan pula kepada musuh Allah, orang Majusi itu."

Wanita tersebut sedih hingga mengalirkan air mata. Aku tidak tergamak melihat keadaan mereka. Alangkah malangnya nasib mereka sedangkan aku bersenang lenang dengan kekayaanku. Lantas aku pulang dan membawa makanan yang banyak. Semua makanan itu aku serahkan kepada wanita malang itu. Anak-anaknya makan dengan berselera sekali. Mereka sangat gembira dan aku rasa puas hati," cerita Bahramal Majusi itu.

"Wahai Majusi, tahukah engkau inilah kebaikan yang telah kau lakukan hingga aku bermimpi bertemu Rasulullah. Rasulullah sudah berpesan kepadaku agar menyampaikan salam kepadamu. Dia juga memberitahu bahawa Allah telah redha kepadamu,” beritahu Abdullah. Di dalam hatinya sendiri, dia memuji kebaikan dan kemuliaan hati Majusi. Cuma persoalannya, bolehkah Majusi ini mendapat keredhaan Allah sedangkan dia bukan seorang Islam?

Mendengar itu, si Majusi merasa terkejut yang amat sangat. Baginya, mimpi itu satu kemuliaan kerana Rasulullah, insan yang sangat terkenal, dihormati, dikagumi kawan dan lawan. Dengan izin Allah SWT, ketua pemimpin Majusi itu melafazkan kalimah syahadah di hadapan Abdullah Mubarak. Terbuka hatinya untuk memeluk Islam dan setelah mengucap, Bahramal itu tersungkur dan terus meninggal dunia sebagai muslim yang diredhai.

 

Tiada ulasan: