SYARAH OLEH TO’FAKIR AN NASIRIN
Menurut Kalam Hikmah
ke 29, Imam Ibnu Athaillah Askandary
BERBEZA ANTARA ORANG YANG
MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T DENGAN ORANG YANG MENGAMBIL DALIL ATAS-NYA.
ORANG YANG MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH S.W.T ITULAH YANG MENGENAL HAQ DAN
MELETAKKANNYA PADA TEMPATNYA DAN MENETAPKAN TERJADINYA SESUATU DARI ASAL
MULANYA. MENGAMBIL DALIL ATAS ALLAH S.W.T ADALAH KERANA TIDAK SAMPAI KEPADA-NYA.
MAKA BILAKAH ALLAH S.W.T ITU GHAIB SEHINGGA MEMERLUKAN DALIL UNTUK
MENYATAKAN-NYA DAN BILAKAN ALLAH S.W.T ITU JAUH SEHINGGA MEMERLUKAN ALAM UNTUK
SAMPAI KEPADA-NYA.
Nur Ilahi yang menyinari hati memperlihatkan Allah
s.w.t terlebih dahulu sebelum yang selain-Nya kelihatan. Akal pula melihat
anasir alam dan kejadian-kejadian yang berlaku terlebih dahulu sebelum sampai
kepada Tuhan yang mengatur segala urusan. Orang-orang hati melihat Wujud Allah
s.w.t mengwujudkan alam dan apa yang berlaku di dalamnya dan orang-orang akal
pula melihat wujud alam menjadi dalil kepada Wujud Allah s.w.t.
Orang yang sampai kepada Allah s.w.t melihat bahawa
Wujud Allah s.w.t adalah Wujud Hakiki dan Wujud Allah s.w.t menerangi wujud
makhluk sehingga makhluk menjadi nyata. Orang yang pada peringkat mencari pula
melihat Allah s.w.t itu ghaib dan jauh, dan jalan untuk mengenal Allah s.w.t
adalah dengan cara mengenal ciptaan-Nya. Wujud makhluk menjadi bukti kepadanya
tentang Wujud Allah s.w.t, kerana makhluk tidak terjadi dengan sendirinya.
Perbincangan
Hikmat 8 menyentuh golongan mencari dan golongan yang dicari. Orang yang
mencari menempuh jalan yang sukar-sukar sebelum bertemu dengan yang dicarinya.
Contoh terbaik orang yang mencari ialah Salman al-Farisi yang mendapat jolokan
Pencari Kebenaran. Beliau r.a berasal dari Isfahan. Bapanya seorang kenamaan
yang kaya-raya dan kuat berpegang kuat pada agama Majusi. Salman bertugas
menjaga api dan bertanggungjawab mempastikan api itu tidak padam. Satu hari
beliau lalu berhampiran gereja Nasrani. Beliau tertarik melihat cara orang
Nasrani bersembahyang. Setelah bertukar-tukar fikiran dengan mereka dan
mempelajari tentang agama Nasrani beliau berpendapat agama Nasrani lebih benar
daripada agama Majusi, lalu beliau memeluk agama Nasrani Beliau kemudiannya
pergi ke Syria untuk mendalami pengajiannya tentang agama Nasrani. Beliau
tinggal dengan seorang pendeta dan beliau menjadi pelayan kepada pendeta
tersebut sambil beliau belajar Setelah pendeta itu meninggal dunia Salman pergi
ke Mosul, untuk memenuhi kehendak wasiat pendeta tersebut. Di sana beliau
tinggal dan berkhidmat kepada seorang pendeta juga. Apabila hampir ajalnya
pendeta kedua ini mewasiatkan kepada Salman supaya pergi ke Nasibin dan
berkhidmat kepada seorang salih yang tinggal di sana. Salman kemudiannya berpindah ke Nasibin.
Pendeta di Nasibin kemudiannya mewasiatkan kepada Salman agar beliau pergi ke
Amuria dan berkhidmat kepada seorang salih di sana. Salman berpindah pula ke
Amuria. Ketika pendeta di Amuria itu hampir menemui ajalnya beliau memberi
amanat kepada Salman bahawa sudah hampir masanya kebangkitan seorang nabi yang
mengikuti agama Nabi Ibrahim a.s secara murni. Nabi yang baharu muncul itu
nanti akan berhijrah ke satu tempat yang banyak ditumbuhi pokok kurma dan terletak
di antara dua bidang tanah berbatu-batu hitam. Tanda-tanda yang jelas tentang
kenabiannya ialah dia tidak mahu makan sedekah tetapi menerima hadiah. Di
bahunya ada cap kenabian yang bila dilihatnya segera dikenali akan kenabiannya.
Setelah pendeta yang memberi amanat itu meninggal dunia berangkatlah Salman
mengikuti rombongan Arab dengan menyerahkan kepada mereka lembu-lembu dan
kambing-kambingnya. Sampai di Wadi Qura, Salman dianiayai dan dijual kepada
orang Yahudi. Kemudian, Salman dijual kepada orang Yahudi yang lain. Tuannya
yang baharu itu membawanya ke Yasrib. Sebaik sahaja Salman melihat negeri itu
yakinlah dia bahawa itulah negeri yang diceritakan oleh pendeta yang menjaganya
dahulu. Apabila Rasulullah s.a.w berhijrah ke Yasrib, Salman datang menemui
baginda s.a.w di Quba dan memberikan makanan sebagai sedekah kepada baginda
s.a.w dan sahabat baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w menyuruh mereka makan tetapi
baginda s.a.w tidak menjamah makanan tersebut. Keesokan harinya Salman datang
lagi membawa makanan sebagai hadiah. Rasulullah s.a.w makan bersama-sama
sahabat baginda s.a.w. Semasa Rasulullah s.a.w berada di Baqi’, Salman pergi
lagi menemui baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w ketika itu memakai dua helai kain
lebar, satu sebagai sarung dan satu lagi sebagai baju. Salman menjenguk dan
mengintai untuk melihat belakang baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w mengerti akan
maksud Salman lalu baginda s.a.w menyingkap kain burdah dari leher baginda
s.a.w hingga kelihatanlah cap kenabian yang dicari oleh Salman. Melihatnya
Salman terus menangis dan menciumnya. Akhirnya beliau temui kebenaran yang
beliau telah cari di merata-rata tempat.
Kisah Salman
memberi gambaran betapa sukarnya jalan yang ditempuhi oleh orang yang mencari
Allah s.w.t. Di samping mengharungi kehidupan yang sukar mereka juga menuntut
ilmu, berguru ke sana ke mari, mencari dalil-dalil dan pembuktian bagi
menambahkan pengetahuan tentang Tuhan. Mereka melihat alam dan kejadian di
dalam alam sebagai bukti yang menunjukkan Wujud Allah s.w.t, dan mereka mengkaji
alam untuk memahami tentang keesaan Allah s.w.t. Setelah mereka sampai kepada
Allah s.w.t mereka melepaskan dalil-dalil lalu berpegang kepada makrifat yang
diperolehi.
Golongan yang
dicari menempuh jalan yang berbeza. Contoh orang yang dicari ialah Saidina Umar
al-Khattab r.a. Pada awal perkembangan Islam di Makkah umat Islam menghadapi
tentangan yang hebat dari puak Quraisy.
Rasulullah s.a.w telah berdoa agar Islam diperkuatkan dengan salah satu
Umar, iaitu Umar bin Hisyam (Abu Jahal) atau Umar al-Khattab. Umar al-Khattab
ketika itu sangat keras menentang dan menyeksa golongan Islam, terutamanya yang
lemah. Rasa bencinya terhadap agama baharu yang merombak adat dan kepercayaan
datuk neneknya itu meluap-luap di hatinya. Apabila rasa kebencian itu memuncak
beliau mengambil keputusan mahu membunuh Rasulullah s.a.w. Umar mencabut
pedangnya sambil menuju ke tempat di mana Rasulullah s.a.w berada. Di tengah
jalan Umar diberitahu bahawa adiknya sendiri telah pun memeluk Islam. Dia
memikirkan bahawa lebih baik jika dia menguruskan masalah dalamannya dahulu
sebelum membunuh Rasulullah s.a.w. Mendengar berita itu dia pun membelok ke
rumah adiknya. Keadaannya seperti singa bengis. Ditendangnya pintu rumah
adiknya. Pada ketika itu adiknya sedang memegang lembaran yang ditulis dengan
ayat al-Quran. Umar memukul adiknya dan merampas lembaran tersebut. Umar adalah
seorang cendekiawan yang tahu membaca, dan arif tentang sastera puisi. Sebaik
sahaja Umar membaca wahyu Allah s.w.t, tubuhnya menggeletar dan keluarlah ucapan
dari mulutnya,” Ini bukan syair yang ditulis oleh penyair yang handal. Ini
bukan karya manusia. Tidak ada yang dapat menciptakannya kecuali Tuhan
sendiri”. Lalu Umar al-Khattab pergi menghadap Rasulullah s.a.w dan menyatakan
keislamannya.
Umar al-Khattab
membaca ayat al-Quran, Kalam Allah s.w.t dan serta-merta dia melihat
kebenarannya. Umar tidak memerlukan kepada alam dan makhluk sekaliannya sebagai
dalil dan bukti. Kebenaran itu sendiri menjadi dalil baginya. Kalam Allah s.w.t
sendiri yang menyampaikan Umar kepada-Nya. Allah s.w.t yang menerangi hati Umar
dengan makrifat-Nya. Makrifatullah yang menerangi makrifat alam sehingga alam
itu dikenali melalui sumber iaitu Allah s.w.t sendiri. Orang yang mencari
menyusur dari ranting ke dahan, turun ke batang lalu pergi kepada umbi sebelum
menemui benih yang melahirkan pokoknya. Orang yang telah dibawa kepada Tuhan
melihat dari asal mulanya, melihat benih yang darinya muncul pokok yang cukup
lengkap.
Perbezaan
arah memandang menyebabkan terjadi perbezaan daya nilai dan daya rasa. Orang
akal lebih cenderung kepada fahaman falsafah yang berdiri di atas kemanusiaan
sejagat iaitu fitrah manusia. Keberkesanan hukum sebab-akibat membentuk
formula-formula yang seterusnya melahirkan hukum logik yang dipegang oleh akal.
Sukar bagi akal untuk melihat bahawa Allah s.w.t yang meletakkan dan menetapkan
keberkesanan hukum sebab-akibat itu. Orang akal memerlukan masa untuk berfikir
dan menimbang sehingga mereka melihat dan mengakui kerapian serta kesempurnaan
hukum yang mereka pegang itu. Setelah sampai kepada pengakuan yang demikian
baharulah mereka beralih memerhatikan apa yang datang dari Tuhan.
Orang hati
pula terus menyaksikan ketuhanan pada apa yang disaksikan. Mereka melihat
perjalanan sebab dan akibat sebagai tadbir Allah s.w.t. Mereka juga mengambil
sebab dalam melakukan sesuatu tetapi ketika mengambil sebab itu hati memandang
kepada Allah s.w.t, meletakkan pergantungan kepada-Nya yang mentadbir sebab
musabab itu, bukan bersandar kepada sebab semata-mata. Jika sebab gagal
menghasilkan akibat menurut hukum logik, orang hati melihat kekuasaan Allah
s.w.t mengatasi segala sebab. Orang akal yang berhadapan dengan keadaan yang
demikian sering diganggu oleh kekeliruan dan mereka mencari formula baharu
untuk mengembangkan logik.
Walaupun
terdapat perbezaan cara memandang tetapi tidak seharusnya berlaku berselisihan
di antara dua golongan tersebut. Satu golongan harus menghormati daya nilai dan
daya rasa golongan yang satu lagi. Walau bagaimana pun orang akal harus sedar
bahawa mereka sedang bergerak ke arah daerah orang hati kerana iman, ikhlas,
berserah diri, takwa dan lain-lain nilai baik dalam agama adalah nilai hati
yang mengeluarkan niat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan