Solat difardhukan kepada setiap orang Islam yang waras
akal dan cukup umur pada waktu-waktu yang khusus, lima kali sehari semalam.
Inilah perintah Allah s.w.t.Firman Allah:
"Peliharalah
segala solatmu dan solat wusto. Berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk."
(al-Baqarah:238).
Solat zahir ini ialah berdiri, membaca al-fatihah, rukuk,
sujud, duduk antara dua sujud dan seterusnya dan sebagainya. Pergerakan dan lakuan
solat ini melibatkan anggota-anggota badan. Inilahsolat diri jasmani atau diri
fizikal. Oleh kerana pergerakan atau lakuan badan dalam solat ini banyak dan
diulang-ulangi banyak kali dalam solat lima waktu itu, maka itulah sebabnya
ayat tadi menyebut solawati (segala solat) iaitu disebut plural atai lebih dari
satu. Bukan solat tetapi solawaati (solat-solat). Itulah bahagian pertama
tentang solat dalam ayat tersebut.
Bahagian kedua pula dalam ayat tersebut ialah tentang
solat wusto.
Solat ini bermaksud solat hati. Wusto itu boleh
dimaksudkan sebagai pertengahan atau tengah. Maka oleh kerana hati itu terletak
di tengah diri, maka itulah dikatakan solat wusto itu sebagai solat hati.
Tujuan solat ini ialah untuk mendapatkan hati yang damai
dan tenteram.
Hati itu terletak di tengah antara kiri dan kanan, antara
depan dan belakang, antara atas dan bawah dan antara baik dan jahat. Hati itu titik
tengah, point perimbangan, point neraca atau median. Pernah
Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Hati
anak Adam itu antara dua jari al-Rahman (iaitu Allah). Ia dibolak-balikkan kemana sahaja yang Allah
kehendaki."
Maksud dua jari al-Rahman itu ialah sifat Allah yang
bernama `Yang Menghukum dan Mengazab' dan sifat yang bernama `Yang Indah Yang
Kasih Sayang, Yang Lemah Lembut'.
Solat dan ibadat yang sebenar ialah solat dan ibadat
hati. Kalau hati lalai dan tidak khusyuk atau tidak konsentrasi dalam solat,
maka solat zahir iaitu solat badaniah akan berantakan dan kucar-kacir.
Apabila ini berlaku kedamaian diri jasmani atau badaniah
yang diharapkan itu melalui solat zahir tidak akan tercapai.
Itulah sebabnya Nabi s.a.w bersabda:
"Ibadat (solat) zahir itu hanya mampu di lakukan
dengan hati yang khusyuk."
Solat ialah doa si hamba kepada Tuhannya. Solat juga
ialah pertemuan antara hamba dengan Tuhan. Tempat pertemuan itu di dalam hati.
Jika hati itu tertutup, tidak endah dan tidak peduli ataupun mati, maka solatnya
tidak memberi sebarang manfaat kepadanya. Solat yang tidak khusyuk itu tidak
mendatangkan apa-apa faedah kepada diri jasmani, kerana hati itu adalah zat
bagi badan. Yang lain itu bergantung kepadanya.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w:
"Ada sekeping daging dalam badan manusia, apabila keadaannya
baik, seluruh diri jadi baik. Dan
apabila ia tidak baik, seluruh diri jadi tidak baik. Sedarlah, daging itu ialah
hati."
Solat zahir itu dilakukan pada waktu-waktu tertentu, lima
kali sehari semalam. Tempat paling baik melakukan solat ialah di masjid, berjemaah
dan menghadap kiblat. Dalam solat berjemaah, makmum mestilah menurut imam.
Solat batin tidak ada hujungnya dan tidak berwaktu-waktu.
Solat ini tidak tertakluk kepada tempat dan masa. Solat ini sentiasa dari dunia
hingga ke akhirat. Masjid solat ini terletak di hati. Jemaahnya ialah anggota-anggota
batin atau daya-daya ruhaniah yang berzikir dan membaca Asma-ul-Lah (nama-nama
Allah) dalam bahasa alam ruhaniah (alam batin). Imam dalam solat ini ialah
kemahuan atau keinginan (niat) yang kuat.
Kiblatnya ialah kehadirat Allah Keesaan Allah iaitu menurut al-Quran di mana
sahaja memandang di situ wajah-Nya Yang Maha Kekal dan Maha Indah.
Pendeknya kiblatnya ialah Allah.Solat demikian boleh
dilakukan oleh hati yang ikhlas, hati yang tidak tidur dan tidak mati. Hati dan
jiwa seumpama ini kekal dan sentiasa beribadat atau bersolat sama ada dalam
tidur atau dalam jaga. Ibadat hati ini ialah seluruh hayat dan seluruh hayat
ini adalah ibadat baginya. Di situ tidak ada lagi bacaan di mulut, tidak ada
lagi berdiri, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya.
Mursyid di sini ialah Nabi Muhammad s.a.w. Ia
berkata-kata dengan Allah:
"Hanya
Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan." (al-Fatihah: 5).
Firman Allah ini ditafsirkan sebagai tanda ketinggian
kesedaran Insan Kamil (Manusia Sempurna) iaitu mereka yang beberapa tingkat
alam rasa dan pengalaman ruhaniah dan tenggelam dalam tauhid atau keesaan Allah
dan bersatu dengan Allah.
Hati sebegini mendapat berkat dan rahmat dari Allah. Satu
daripada kelebihan hati yang sempurna ini ialah sebagaimana yang disabdakan oleh
Nabi Muhammad s.a.w:
"Para Nabi
dan kekasih-kekasih (para wali) Allah terus solat dalam kubur mereka sebagaimana mereka bersolat di
rumah mereka di dunia ini."
Dengan kata lain, hayat hati kekal terus bersolat kepada
Allah. Setelah ibadat (solat) zahir dengan solat batin berpadu, berharmoni dan
bersatu, maka sempurnalah solat seseorang itu dan ganjarannya amat besar. Hati
atau ruh yang demikian membawa seseorang itu hampir dan masuk ke hadirat Ilahi.
Hatinya bersatu dengan Allah dan badannya atau keduniaannya mencapai tingkat yang
tertinggi mungkin. Dalam alam nyata ini, ia jadi manusia atau hamba Allah yang
warak dan alim.
Dalam alam batin atau keruhanian, ia jadi ahli makrifat
yang telah sampai ke peringkat kesempurnaan mengenal Allah s.w.t.
Sekiranya ibadat zahir tidak bersatu dengan ibadat batin
maka itu belum sempurna dan belum permai. Ganjarannya ialah hanya maju
dalam peringkat dari segi pandangan
manusia sahaja. Ianya tidak membawa seseorang itu hampir kepada Allah dan
berpadu dengan-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan