Catatan Popular

Khamis, 22 Oktober 2015

ABDULLAH BIN ABBAS : IMAM PARA ULAMA TAFSIR SIRI SEMBILAN



Abdullah ibnu Abbas r.a ialah anak kepada bapa saudara Nabi S.a.w iaitu Abbas ibnu Abdul Muthalib. Beliau lahir 3 tahun sebelum Rasulullah S.a.w hijrah.

Dalam sesetengah riwayat disebutkan, beliau berbadan gempal, putih dan tinggi. Beliau juga seorang yang fasih berbicara.

Beliau adalah sahabat kelima yang paling banyak meriwayatkan hadits iaitu sebanyak 1,660 hadits.


Abdullah ibnu Abbas hafal Al-Quran sejak masih kecil


Abdullah ibnu Abbas r.a sendiri berkata; "Tanyalah saya tentang tafsir Al-Quran. Saya telah menghafal seluruh Al-Quran sejak kecil lagi." Dalam hadits lain beliau berkata, "Semasa berumur sepuluh tahun lagi saya telah menghafal bahagian terakhir dari Al-Quran."

Pengajian pada zaman itu tidaklah sama dengan pengajian kita pada zaman ini. Terutamanya untuk mereka yang tidak berbahasa Arab. Sebaliknya apa-apa yang mereka pelajari ialah bersama dengan tafsir. Oleh sebab itu, Abdullah ibnu Abbas r.a ialah seorang Imam dalam bidang tafsir Al-Quran. Tiada orang yang meriwayatkan hadits mengenai tafsir sebanyak yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Abbas.

Perkara yang dihafal ketika kanak-kanak biasanya akan kekal dalam ingatan. Abdullah ibnu Mas'ud r.a berkata, "Penafsir Al-Quran yang paling baik ialah Abdullah ibnu Abbas r.a."

Abu Abdur Rahman r.a berkata, "Para sahabat r.a yang mengajarkan kepada kami Al-Quran menerangkan bahawa para sahabat r.a akan belajar sepuluh ayat Al-Quran daripada Nabi S.a.w. Selepas itu mereka tidak akan belajar sepuluh ayat lain selagi ilmu dan amal belum selari dengan sepuluh ayat pertama."

Rasulullah S.a.w wafat ketika Abdullah ibnu Abbas r.a berumur 13 tahun. Tahap penguasaan ilmu Hadits dan Al-Quran yang beliau miliki dalam umur yang begitu muda sebenarnya satu karomah yang nyata dan patut dikagumi. Beliau ialah seorang Imam Tafsir.

Sahabat-sahabat besar pun akan bertanya kepadanya tentang tafsir. Ini ialah hasil daripada doa Nabi S.a.w.

Pada suatu masa, Rasulullah S.a.w telah pergi beristinja'. Apabila baginda S.a.w keluar, satu bekas air telah diletakkan di situ. Baginda S.a.w bertanya, "Siapakan yang telah meletakkan bekas ini di sini?" Baginda S.a.w diberitahu bahawa Abdullah ibnu Abbas lah yang telah meletakkan bekas itu. Rasulullah S.a.w begitu gembira dengan khidmatnya itu lalu baginda S.a.w berdoa supaya Allah mengurniakannya kefahaman agama dan pengertian Kitabullah.

Seterusnya, pada ketika yang lain Rasulullah S.a.w sedang solat sunat. Abdullah ibnu Abbas juga telah mengikut Baginda S.a.w dengan berdiri di belakang. Lalu Baginda S.a.w menarik beliau ke sisi Baginda S.a.w. Sekiranya hanya ada seorang ma'mum dalam solat berjama'ah, ma'mum itu hendaklah berdiri di sebelah Imam. Semasa Rasulullah S.a.w sibuk dalam solatnya beliau telah undur kembali ke belakang sedikit. Setelah selesai solat, Baginda S.a.w pun menyoalnya, lalu beliau menjawab, "Tuan ialah Rasul Allah, bagaimana mungkin saya berdiri bersama-sama tuan?" Oleh sebab itu Baginda S.a.w pun mendoakan pertambahan ilmu dan kefahaman kepadanya."

Tiada ulasan: