Catatan Popular

Khamis, 22 Oktober 2015

KISAH ABDULLAH IBNU ABBAS MERANTAI HAMBA SAHAYANYA (SIRI 10)



Ikrimah r.a ialah hamba sahaya kepada Abdullah ibnu Abbas r.a. Ikrimah r.a juga merupakan seorang alim yang masyhur. Beliau berkata, "Tuan saya iaitu Sayyidina Abdullah ibnu Abbas r.a akan merantaikan kaki saya untuk mengajarkan kepada saya Al-Quran, hadits dan hukum-hukum syara' supaya saya tidak ke mana-mana. Beliaulah yang mengajarkan kepada saya Al-Quran dan hadits-hadits."

Sememangnya itulah cara yang boleh digunakan untuk belajar agama. Mereka yang suka berjalan-jalan dan bersiar-siar di kedai-kedai semasa tempoh pembelajaran ialah tidak berguna dan mensia-siakan umur mereka.

Kesan daripada itulah yang telah mengubah kedudukan Ikrimah r.a daripada seorang hamba kepada Ikrimah r.a yang diingati dengan gelaran "Bahrul Ummah" dan "Hibrul Ummah". Qatadah r.a berkata, "Terdapat 4 orang yang sangat alim dalam kalangan tabi'en dan Ikrimah r.a ialah salah seorang daripada mereka.


Nasihat Abdullah ibnu Abbas

Wahab ibnu Munabbih rahimahullah berkata, "Pada suatu ketika setelah penglihatan Abdullah ibnu Abbas r.a hilang, saya telah membawa beliau ke Masjidil Haram. Setiba di sana kedengaran suara sekumpulan orang sedang bergaduh. Beliau berkata, "Bawalah aku ke tempat kumpulan itu."

Saya telah membawa beliau ke situ. Apabila tiba di sana, beliau memberi salam. Mereka telah mempersilakan beliau duduk tetapi beliau enggan dan berkata, "Tidakkah kamu mengetahui tentang kumpulan hamba Allah yang istimewa? Sifat takutkan Allah telah menyebabkan mereka berdiam diri. Sedangkan mereka itu bukanlah bodoh dan tidak juga bisu. Namun demikian, kerana ingatan kepada Allah menguasai akal mereka, hati mereka menjadi lembut dan lidah mereka menjadi kelu. Apabila mereka telah tetap teguh dalam keadaan itu, mereka akan bersegera ke arah kebaikan. Ke manakah kamu telah terpesong daripada jalan mereka?" Wahab ibnu Munabbih berkata, "Selepas peristiwa itu, aku tidak lagi melihat orang berkumpul di situ walaupun 2 orang."

Ketakutan Abdullah ibnu Abbas kepada Allah S.w.t begitu hebat sekali sehingga air mata yang sentiasa mengalir di wajahnya meninggalkan kesan aliran yang kekal. Dalam kisah di atas, Abdullah ibnu Abbas telah memberikan satu petua yang mudah supaya kita dapat mengambil berat amal-amal kebaikan iaitu dengan memikirkan kebesaran dan kehebatan Allah S.w.t. Setelah itu, semua jenis amal baik akan menjadi mudah dan amal itu pasti akan penuh dengan keikhlasan. Apalah susahnya untuk melapangkan sedikit masa daripada  24 jam sehari semalam untuk merenungkan perkara ini.

 
Meninggal dunia

Abdullah ibnu Abbas, wafat di Thaif ketika berusia 71 tahun pada tahun 68H. Di antara yang mensolati beliau adalah seorang ulama tabi'in iaitu Muhammad ibnu Ali ibnu Abu Thalib yang dikenali dengan gelaran Ibnul Hanafiyah (w. 80 H).

Tiada ulasan: