Catatan Popular

Khamis, 22 Oktober 2015

ABDULLAH IBN ABBAS BERTUTUR KISAH MENDAPATKAN ILMU DARI PARA SAHABAT ANSAR (SIRI 15)



Abdullah ibnu Abbas berkata, "Selepas kewafatan Rasulullah S.a.w saya telah berkata kepada seorang sahabat Ansar, "Rasulullah S.a.w telah wafat. Sekarang ini masih ada jemaah yang besar daripada kalangan para sahabat r.a. Marilah kita bertanya kepada mereka masalah-masalah agama dan kita hafalkan masalah-masalah itu."

Sahabat itu berkata, "Adakah orang-orang akan datang kepadamu menanyakan masalah agama sedangkan sebilangan besar para sahabat r.a masih ada?" Ringkasnya beliau tidak berani pun mencuba.

Saya mula mencari masalah-masalah agama. Apabila saya mendapat tahu bahawa ada orang yang mendengar suatu hadits terus dari Nabi S.a.w sendiri maka saya akan pergi bertemu dengannya untuk mendapatkan kepastian. Saya telah dapat menghimpun masalah-masalah agama dalam jumlah yang besar menerusi para sahabat Ansar. Apabila saya pergi bertemu setengah orang, saya diberitahu yang mereka sedang tidur, lalu saya akan membentangkan kain di hadapan pintu rumah mereka dan akan duduk menunggu mereka. Sungguh pun mulut dan badan saya disaluti debu akibat tiupan angin namun saya tetap duduk menunggu mereka di situ. Apabila beliau bangun barulah saya bertanyakan perkara yang saya ingin tahu. Beliau akan berkata, "Kenapa kamu menyusahkan diri sedangkan kamu ialah sepupu Rasulullah? Panggilkan saja aku."

Saya akan berkata, "Saya yang ingin menuntut ilmu maka saya lah yang perlu datang." Sesetengah mereka bertanya, "Sejak bila engkau duduk di sini?" Kata saya, "Sudah agak lama." Saya berkata, "Kamu sudah melakukan sesuatu yang tidak betul. Sepatutnya kamu panggil saya."

Kata saya, "Hati saya tidak rela kamu datang kepada saya semata-mata untuk keperluan saya sebelum menyelesaikan keperluan-keperluanmu sendiri." Begitulah berlalu sehingga suatu masa ramai orang mula berkumpul di sisi saya semata-mata untuk menuntut ilmu. Sahabat Ansari itu mula menyesal dan berkata, "Nampaknya budak ini lebih bijak daripada kita."



Tiada ulasan: