Catatan Popular

Sabtu, 27 Januari 2018

KU HIDUPKAN KITAB KASHF AL MAHJUB (AL HUJWIRI) : BAB 10 EMPAT SUFI KALANGAN TABIIN

OLEH IMAM Al-HUJWIRI

BAB 10 EMPAT SUFI KALANGAN TABIIN

Jika bilangan sahabat begitu ramai dan tidak diketahui jumlah mereka secara  tepat, maka jumlah tabi`in tentulah lebih ramai lagi. Dari jumlah ini pun sukar untuk dipastikan berapa ramai  sufi dari kalangan  tabi`in. Pada  peringkat awal tidak dipastikan tentang konsep kesufian , kerana ilmu ini belum lahir pada peringkat permulaan. Ianya tumbuh danberkembang selepas abad ke 2 H.  Ini tidak bereerti tidak ada sufi, sebenarnya  lebih ramai lagi pada peringkat tabi`in. Mereka tentulah tidak sukar untuk dikenalpasti, tapi Al-Hujwiri ,
memilih empat saja sebagai mewakili peringkat tabi`in. Mereka ialah `Uwais al-Qarni, Harim bin Hayyan, Hasan Basri dan Sa`id al-Musayyib.

Mereka ini dapat dikatakan mencapai peringkat wali.

1)       `Uwais al-Qarni

`Uwais al-Qarni dapat dikatakan watak mistri. Beliau dikatakan hidup pada zaman Rasulullah s..a.w. tetapi tidak bertemu dengan Rasulullah. Beliau dapat dikatakan sebagai `terasing dari dunia luar` oleh kerana konsentrasi diri dengan ibadat dan kerohanian dan juga tumpuan kepada menjaga ibunya yang telah tua.
Beliau dikenali lantaran Rasulullah s.a.w. memberitahu sahabat Baginda dan menyebut namanya seorang yang tinggal di Qaran, namanya `Uwais yang pada hari kiamat kelak dapat sama memberi shafaat. Rasulullah s.a.w.   bersabda kepaada Sayyiduna `Umar dan `Ali bahawa mereka  akan melihatnya, bahawa dia seorang  yang faqir, tapi kuat beribadat. Sesudah   wafatnya Rasulullah, Sayyiduna `Umar  dan `Ali ke Makkah dan mencari orang yang bernama `Uwais berkenaan di Qaran di kawasan Najd. Di tempatnya dia dikenali sebagai seorang gila. `Umar dan `Ali menemuinya sedang dia bersolat.   `Umar dan `Ali diberitahu oleh `Uwais, bahawa kita perlu bersolat  untuk bersiap  diri bagi perpindahan ke akhirat. Bila diketahui Rasulullah s,a,w. memuji `Uwais ramai yang datang untuk menziarahinya di Qaran.
  Tetapi  kemudian  didapati dia telah berpindah ke Kufah. Pernah sekali dia diketemui di sana. Dia berjuang di sana bagi membela Sayyiduna `Ali dalam peperangan di Siffin dan gugur syahid.

2)       Harim Bin Hayyan

Juga berwatak mistri dan rohani. Dia mempunyai kaiatan peristiwa dengan `Uwais al-Qarni. Dia tertarik dengan watak dan cerita yang berhubung dengan Uwais yang diceritakan oleh Rasulullah s.a.w. Dia berusaha pergi ke Qaran tempat asal `Uwais, tetapi setibanya di Qaran, dia diberitahu bahawa `Uwais telah berpindah. Dia kembali ke Makkah dan dia diberitahu, bahawa `Uwais telah berpindah ke Kufah, lalu dia  ke Kufah dan tidak diketemui, kemudian ia ke Basrah, ditakdirkan dia bertemu di jalanan dilihat  dia berbaju bulu dan berkesempatan  dilihat  dia sedang berwudhu` di Sungai Furat.  Harim terkejut apabila dia ditegur `Uwais dengan namanya dan dia bertanya bagaimana dia mengetahui namanya, katanya, Rohku mengenali rohmu.``
Ada dua prinsip `Uwais mengenai hati,
Iaitu menjaga hati dengan taat kepada Allah dan mengawasi dari nafsu. Dan kedua , peliharakan hatimu, kerana dia adalah jalan bagimu mendekati Ilahi. Selepas itu dia tidak diketemui lagi.

3)       Hasan Basri

Nama sebenarnya Abu `Ali  juga dikenali sebagai Abu Muhammad dan juga Abu Said. Dianggap mewarisi kerohanian dari Rasulullah yang mana dia dari turunan orang suruhan Rasulullah yang setia dan patuh. Hasan Basri dianggap tokoh yang mempertahankan aliran Sunni yang sengit ditentang oleh pendukung Qadariyyah-Jabariyyah-Mu`tazilkah yang dikaitkan dengan tokoh Wasil bin `Ata`.
Hasan Basri terkenal sebagai seorang yang wara` dan dia disanjung oleh golongan sufi dengan ciri-ciri kerohaniannya yang tinggi.
Hasan Basri juga memperkatakan tentang sabar.
Menurutnya sabar ada dua aspek:
Sabar biasa seperti sabar dari kesempitan hidup, sabar kerana mengalami kemalangan dan musibah yang mengajar manusia supaya berwaspada dalam hidup dan menjadi panduan di dalam kehidupan.
Sabar kedua ialah sabar terhadap suruhan Allah dan laranganNya, iaitu seperti sabar dari melakukan perkara-perkara yang haram seperti memakan perkara yang haram yang merosakkan kebersihan diri dan  juga hati. Dengan menjaga diri dari perkara-perkara haram, memudahkan diri mentaati perintah Allah. Mematuhi perintah Allah, tidak lain dari melakukan perkara-perkara yang baik, maka dengan demikian melatih dan melazimkan diri dengan perkara yang  menjadikan diri baik. Kebaikan memberi kesan kepada kehidupan keluarga dan memberi kebaikan dalam hubungan dengan masyarakat.
Pendek kata Hasan Basri berprinsip, bahawa bergaul dengan orang yang baik menatijahkan kebaikan dan sebaliknya bergaul dengan orang yang jahat menatijahkan kejahatan.

4)       Sa`id al-Musayyib

Dia adalah seorang salih dan beramanah, turut sama  meriwayat dan menjadi rawi bagi Hadith Rasulullah s.a.w.  Sa`id al-Musayyib mengingatkan diri kita agar berwaspada dari sifat tamak. Beliau berkata,
Biarlah sedikit dari habuan dunia, asalkan diri selamat, sebaliknya janganlah jadi tamak dengan dunia hingga menghilangkan agama.
Sa`id al-Musayyab ketika di Makkah telah ditanya seseorang untuk memeberitahu sesuatu yang halal yang tidak ada sama sekali di dalamnya haram. Beliau menjawab, ialah tahmid atau memuji Tuhan yang di dalamnya sama sekali tidak ada yang haram, sebaliknya memuji dan memuja yang lain dari Tuhan boleh membawa kepada syirik kepada Tuhan. Katanya, ``Keselamatanmu berada pada yang pertama (Tuhan)  dan tidak ada pada yang lain``.


Tiada ulasan: