BAB 7 KONSEP IMAM DARI KALANGAN SAHABAT BEREMPAT
OLEH IMAM Al-HUJWIRI
Selepas membicarakan konsep ilmu, kefaqiran, kesucian, maksud tasawuf dan
pencelaan, Al-Hujwiri membicarakan tentang tokoh-tokoh dan model-model
kesufian. Ini pernah dibicarakan dengan panjang lebar antaranya oleh
Al-Qushairy di dalam Al-Risalat al-Q!ushairiyyat. Cuma Al-Hujwiri
menkategorikan tentang tokoh-tokoh, misalnya tentang sahabat-sahabat utama yang
empat (Khulafa` al-Rashidin) yang disebut imam, Imam dari Ahl al-Bayt, Ahlu
al-Suffah, imam dari kalangan tabi`in dan seterusnya.
Mengingatkan Al-Qushairy mengarang dalam bahasa Parsi dan dari wilayah di
bawah budaya Parsi (Ghaznawi), tanggapan kita, bila menyebut konsep imam
menyangka terbawa kepada Imam Shi`ah, tetapi sebagaimana telah disebut bahawa
Al-Hujwiri adalah pendukung Sunni bermazhab Hanafi, maka tiada kaitan
dengan faham Shi`ah. Imam di sini lebih bermaksud kepada pimpinan seperti
khalifah.
Al-Hujwiri sebagaimana pendekatan tasawuf yang lain menerima para
sahabat yang empat dari segi politik pimpinan sebagai pegangan Ahlu al-Sunnah.
Namun imam dimaksudkan di sini lebih kepada kepimpinan rohani dan aspek
yang ditonjokan dari kepimpinan sahabat yang empat ini pun sebahagian kecil
dari aspek yang ada hubungan dengan kerohanian.
Sebagai contoh Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq dia dikatakan Imam
Mushahadat yang pembuktian dengan penyaksian, tidak banyak dikaitkan Hadith dengan
Abu Bakar. Dia nerwatak berani dan teguh dari segi ibadat. Dia membaca
Al-Qur`an dengan lembut yang masuk ke hati pendengar-pendengar. Abu Nakar
dikatakan berkata, ``Sibuk dengan yang sementara, buta terhadap yang kekal`` .
Al-Hujwiri membawa perbezaan pendapat, mana yang lebih baik kefaqiran terpaksa
dari kefaqiran ikhlas. Sementara ada yang berpendapat kefaqiran terpaksa lebih
baik, tapi banyak berpendapat kefaqiran ikhlas terlebih baik, termasuklah Abu
Bakar dikategorikan di bawah kefaqiran ikhlas.
Contoh yang ditonjolkan tentang Abu Bakar - tidak bertujuan untuk
menerangkan kedudukannya dalam sejarah, tetapi dari aspek ketasawufan sendiri
tidak lengkap dan tidak memadai. Misalnya boleh diolah konsep siddiq beliau –
membenarkan apa yang disampaikan oleh Rasulullah, kesetiaan Abu Bakar semasa
berhijrah ke Madinah dan ketulusan perjuangan beliau yang sanggup menginfaqkan
seluruh hartanya untuk jihad keislaman dan memerangi orang murtad. Beliau
menerima kekhalifahan, bukan keinginan tapi keikhlasan di atas kehendak Tuhan.
Keadaan sedemikian juga mengenai konsep imam Sayyiduna ~Umar ibn
al-Khattab. Yang ditonjolkan ialah `Umar yang gagah, bijaksana dan tegas.
Rasulullah bersabda tentang `Umar, ``Kebenaran bicara melalui lidah
`Umar``, juga , bahawa ujar Rasulullah, pada zaman dahulu banyak yang
menerima Ilham dan jika ada di zaman ini adalah `Umar. ``
Umar dikatakan mengungkapkan kata-kata, ``Tempat tinggal yang
dibina atas penderitaan adalah sentiasa dalam penderitaan. Beliau dikatakan
teladan bagi sufi lantaran memakai jubah muraqqa` (bertampal). Beliau adalah
teladan kesufian, khususnya dari segi kezuhudan.
Sebagaimana Abu Bakar demikian `Umar penampilan aspek kesufian juga
bersifat pinggiran dari watak beliau yang lebih besar misalnya berhubung dengan
keadilan. `Umar sanggup keluar malam menyiasat masalah rakyat dan menyampaikan
bantun kepada ibu dan anak dalam kelaparan. Tidak menggunakan harta baitul mal
lebih dari keperluan, Jihad beliau memperluaskan dan membuka negara-negara
Islam, diplomasi beliau di dalam mendepani orang-orang Kristian di Baitul
Maqdis.
Berhubung dengan Sayyiduna `Uthman Ibn `Affan, fokos penampilan elemen
tasawuf ialah episod koflik yang dihadapi `Uthman pada akhir pemerintahan
Baginda berdasarkan riwayat `Abdullah bin Rabah dan Abu Qutaibah, bahawa ketika
rumahnya dikepung dan diserang oleh golongan pemberontak, ramai dari pihak
`Uthman yang mengambil senjata bagi mempertahankan `Uthman, manakala sebahagian
tidak bersenjata. `Uthman berkata, yang tidak mengambil senjata adalah merdeka.
Kata `Abdullah dan Qutaibah kemudian mereka berundur dari rumah
`Uthman dan bila keluar di jalanan mereka bertemu dengan Hasan bin `Ali
dan mereka kembali ke rumah `Uthman. Hasan minta `Uthman buat arahan
mempertahankan kedudukan, tapi `Uthman meminta Hasan kembali ke rumah dan
memintanya tunggu hingga Tuhan menentukan takdirnya. Pihak sufi membandingkan
`Uthman sebagai Nabi Ibrahim yang dihukum oleh Namrud mencampakkannya di dalam
api menyala, dan `Uthman juga menghadapi suasana yang gawat, tetapi Nabi
Ibrahim selamat dan `Uthman terbunuh. `Uthman sebagai Nabi Ibrahim Khalil
Allah, maka dsemikian `Uthman dibandingklan sebagai khullah Allah.
Sebenarnya ada elemen-elemen ketasawufan yang lain yang dapat
dikaitkan dengan `Uthman, misalnya sifat pemurahnya yang sanggup mengeluarkan
separuh daripada hartanya untuk jihad keislaman. Beliau membeli telaga di
Madinah dari orang Yahudi untuk diambil faedah oleh orang ramai dan juga
penting, usahanya menghimpun Al-Qur`an yang terkenal dengan Mushaf `Uthman dan
dia terbunuh semasa memegang dan membaca mushaf tersebut.
Adapun Sayyiduna `Ali k.w. ia disifatkan sebagai mempunyai darajat
ketasawufan yang tinggi, sebagaimana kata Al-Junayd,
```Ali adalah shaykh kita yang menegakkan prinsip-prinsip `Ketabahan Dam
Penderitaan`.
`Ali mengatakan, `Siapa yang bersahabat dengan Tuhan dia dinaungi dan
siapa yang memusuhiNya dia akan binasa.``
`Ali dilihat sebagai lambang tabah dalam menghadapi konflik, namun dia
tetap sabar dalam derita, episod sejarah kekhalifahannya dilihat sebagai
lambang bagi prinsip tasawuf, iaitu `Kefaqiran dan kesucian. Sesungguhnya
episod sejarah yang dilaluinya menjadi `Kelukaan Zaman, yang terus diratapi`.
Walau apapun dengan pendekatan yang dibuat oleh
Al-Hujwiri, bahawa kesemua khalifah empat terawal dalam, Islam itu diterima
sebagai kedudukan dalam sejarah dan tidak sebagaimana aliran Shi`ah yang meolak
sebahagian dari khalifah. Ini membuktikan sama, bahawa Al-Hujwiri adalah
pendukung Sunni
Tiada ulasan:
Catat Ulasan