Catatan Popular

Sabtu, 27 Januari 2018

KU HIDUPKAN KITAB KASHF AL MAHJUB (AL HUJWIRI) : BAB 9 KALANGAN AHLU AL SUFFAH

OLEH IMAM Al-HUJWIRI

BAB 9 KALANGAN AHLU AL-SUFFAH TELADAN KESUFIAN

Salah satu istilah yang dikaitkan dengan tasawuf ialah `Al-Suffah`, bermaksud `Anjung`, ya`ni anjung Masjid Madinah atau Masjid Nabawi. Pada peringkat permulaan Hijratul Rasul dari Makkah ke Madinah, tumpuan Rasulullah ialah mendirikan masjid, khususnya Masjid  Nabawi yang menjadi pusat ibadat, pentadbiran dan kegiatan kemasyarakatan. Pada peringkat permulaan Hijrah ini, ramai dari para sahabat yang datang tanpa harta dan persediaan bagi menetap pada tempat perpindahan baru. Mereka datang atas nama jihad dan kerana Allah.

Pada peringkat permulaan ini, mereka tidak mempunyai tempat tinggal atau sebarang tempat perlindungan. Tumpuan mereka  pada peringkat permulaan ialah berlindung di Masjid Madinah yang agak terhad keluasannya. Jumlah mereka sebagaimana disebut oleh Al-Sarraj dalam Al-Luma` dalam lingkungan 300 (tiga ratus) orang (al-Luma`, 1380H./1960M. 183). Mereka adalah disifatkan sebagai fuqara` yang hidup sehelai sepinggang. Tumpuan mereka adalah beribadat dan mendekati diri mereka kepada Allah. Dengan sifat Ahlu al-Suffah yang faqir, kuat ibadat dan mendekati Allah ini benar-benar melambangkan jiwa kesufian dan istilah `al-suffah` mempunyai kaiatan dengan istilah tasawuf.
Kedudukan mereka yang agak ramai dan merimaskan serta dengan bau tidak menyenangkan, membuat setengah pihak rasa tidak senang dengan mereka. Namun Allah berfirman berhubung dengan mereka, ayat yang bermaksud:
``Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdo`a kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka kehendaki keredhaan semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab  sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hubungan ilmu, maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari golongan orang-orang yang zalim.`` (Al-An`am: 52).

Adalah Rasulullah s.a.w. bermesra dengan mereka, bahkan duduk bersama mereka dan makan bersama mereka,  menggalakkan orang ramai memuliakan mereka  dan mengenali kelebihan mereka itu.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa katanya, ``Aku melihat tujuh puluh orang daripada Ahlu al-Suffah, mereka bersolat dengan baju yang tidak sampai melitupi dua lutut mereka, apabila ruku` salah seorang daripada mereka  memegang dengan dua tangannya takut terbuka auratnya.
Berkata Abu Musa al-Ash`ari r.a. ``Adalah menyerupai bau kita seperti bau biri-biri yang memakai selubung.``

Dan berkata `Abdullah bin Talhah, ``Kami bersahabat dengan jama`ah Ahli al-Suffah, pada suatu hari berkata kami, ``Wahai Rasulullah, terbakar perut kami dengan buah tamar, dan haram ke atas kami bangkai, maka kata-kata ini didengar oleh Rasulullah s.a.w, maka Baginda menaiki mimbar dan bersabda, ``Mengapa ada antara kaum yang mengatakan, terbakar perut kami oleh tamar, adakah dia tidak   mengetahui bahawa dengan tamar inilah,bahawa dia adalah makanan penduduk Madinah, sesungguhnya dia memberi kelawasan baginya dan bagi kita dari kelawasannya.

Demi diri Muhammad di tanganNya bahawa sejak sebulan atau dua bulan tidak berasap daripada dapur rumah Rasulullah, bagi memasak roti dan tidak ada bagi mereka  itu kecuali dua perkara hanya tamar dan air.``

Bermaksud Rasulullah membela kalangan Ahlu al-Suffah dan apa yang dialami oleh kalangan Ahlu al-Suffah ini adalah pengalaman yang pernah dilalui oleh Rasulullah s.a.w., bahkan Rasulullah s.a.w. adalah menghormati mereka.

Adalah dikatakan apabila berada di dalam majlis mereka itu, Baginda tidak akan bangun dari majlisnya apabila Ahlu al-Suffah duduk mengelilingi Baginda sehingga mereka bangun dan apabila Baginda berjabat tangan dengan mereka itu, Baginda tidak menarik tangan sebelum mereka menarik tangan.

Suasana digambarkan tentang Ahlu al-Suffah adalah pada peringkat permulaan Hijrah, namun  selepas itu, Ahlu al-Suffah yang berjumlah lebih kurang tiga ratus orang ini adalah merupakan sebahagian dari kalangan Muhajirin yang dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. bersama dengan kaum Ansar (Aus dan Khazraj) dan mereka ini merupakan sahabat-sahabat setia dan mempunyai peranan dan terkenal di dalam berbagai bidang. Misalnya Bilal bin Rabah menjadi Tukang Bang Rasulullah, Salman al-Farisi Pakar strategi Perang terkenal Pakar Peperangan Khandak. Abu `Ubaidah Ibn al-Jarrah terkenal sebagai Pemegang Amanah Rasulullah dan juga Pemimpin Perang,, Ammar bin Yasir digelar Rasulullah sebagai Penghulu Penghuni di syurga, `Abdullah bin Mas`ud sebagai `ulama` dan Perawi Hadith, `Abdullah bin `Umar sebagai `ulama`, Abu Hurairah Perawi Hadith terkenal, Huzaifah al-Yamani pernah dilantik sebagai Wali Kota Mada`in di Parsi, Abu Dzarr al-Ghifari tokoh harakah dan contoh orang zuhud.

Anatara yang lain ialah:  `Utbah bin Mas`ud (saudara `Abdullah bi Mas`ud), Miqdad bin al-Aswa, Khabbab bin al-Irth, Shuhaib bin Sinan, `Utbah bin Ghazwan, Zayd bin al-Ghaththah, Abu Khaira, Abu al-Marthad Kinanah bin al-Husain al-`Adawi, Salim (sahabat Al-Hudzaifah al-Yamani), `Ukashah bin Mihshan, Mas`ud bin Rabi` al-Farisi,  Safwan bin Baidah, Abu Lubabah bin `Abd al-Mundzir, `Abdullah bin al-Badr al-Juhani, Mithah bin `Uthathah bin `Abbad, Thauban, Mu`adz bin al-Harith, Sa`id bin Khallad, Thabit bin Wadi`at, Abu `Isa `Uwaym bin Sa`idah, Salim bin `Umayr bin Thabit, Abu Yasar Ka`b bin `Amr, Wahab bin Ma`qal, `Abdullah bin `Unais dan Hajjaj bin `Umar al-Aslami

Mereka adalah kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. Antaranya disifatkan oleh Al-Qur`an bermaksud:
``Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat). Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang benar.`` (Al-Taubah: 100).

Ahlu al-Suffah sesungguhnya menjadi contoh teladan kesufian dan menjadi tulang belakang kekuatan Islam.

Tiada ulasan: