Catatan Popular

Sabtu, 27 Januari 2018

KU HIDUPKAN KITAB KASHF AL MAHJUB (AL HUJWIRI) : BAB 12 SUFI-SUFI TERKEMUKA - 1] ANEKDOT HABIB AL-`AJAMI

OLEH IMAM Al-HUJWIRI

BAB 12 SUFI-SUFI TERKEMUKA

1 ANEKDOT HABIB AL-`AJAMI

Telah kita sebut berulang kali bahawa tasawuf mempunyai hubungan yang rapat dengan seni. Pegalaman tasawuf antaranya melalui jalur seni. Seni  juga digunakan bagi menyampaikan mesej tasawuf. Ini ialah kerana pengalaman dan jiwa seni sedikit sebanyak ada dalam jiwa seseorang.  Lantaran itu penggunaan medium seni menjadi salah satu cara berkesan bagi penyampaian aspek-aspek kesufian yang dapat diterima. Elimen seni ini  sama ada menggunakan puisi dan kehalusan bahasa yang lain.
Dalam menceritakan tentang tokoh-tokoh, Al-Hujwiri tidak seperti Al-Qushairy  menampilkan tokoh dan persoalan dengan ayat Al-Qur`an, Al-Hadith dan pendapat-pendapat tokoh-tokoh sufi mengenai sesuatu topik, tapi Al-Hujwiri selain menggunakan info biasa, dia menggunakan kaedah cerita, iaitu cerita ringkas yang dikenali dengan anekdot.
Bagi menggunakan kaedah anekdot ada beberapa keperluan. Antaranya:
1)      Ada cerita.
2)      Ada tema
3)      Ada watak
4)      Ada  konflik
5)      Ada peleraian
6)      Ada perutusan
7)      Ada pengajaran

Sebagai contoh tokoh pertama bagi `Imam Selepas Generasi Tabi`in, iaitu: Habib al-`Ajam.
Cerita Habib al-`Ajam (al-`ajam orang bukan `Arab)  ialah seorang jahat yang melakukan berbagai kejahatan dan juga seorang pemakan riba. Dengan kejahatannya meyebabkannya dipenjara. Insaf di atas kesalahannya dia bertaubat dan melakukan suruhan Allah termasuk bersolat. Taubatnya adalah merupakan taubat nasuha.
Pada satu hari Hasan Basri, tokoh `ulama` dan sufi melintasi gerobok  yang dihuni oleh Habib al-`Ajam, ketika itu dia sedang solat. Habib sebagai seorang bekas banduan menyebabkan Hasan  tidak berminat untuk bersolat dengannya.  Ertinya ada pandangan rendah terhadap banduan yang benar-benar insaf itu.
Pada malamnya Hasan Basri bermimpi yang dia memohon keredhaan dari Allah di atas segala amalnya.  Dalam mimpinya itu, dia diperingatkan, bahawa dia memang mendapat keredhaan Allah, tapi sekiranya dia tidak bersikap  dengan memandang rendah terhadap Habib al-`Ajam, tingkat keredhaannya lebih tinggi.
Banduan yang telah insaf dan bertaubat nasuha lebih murni dan bersih di sisi Allah, ironinya sebagai puncak dari penceritaan, bahawa Hasan Basri suatu hari telah diburu oleh pegawai-pegawai Hajjaj bin Yusof seorang governor yang terkenal kejam pada zaman Kerajaan Umayyah, dikatakan untuk menyelamatkan diri dia menyelinap masuk ke dalam gerobok yang dihuni oleh Habib, apabila pegawai-pegawai Hajjaj datang mencarinya, mereka bertanya Habib tentang Hasan Basri, Habib memberitahu yang dia di dalam biliknya, tetapi apabila pegawai-pegawai itu memeriksa di dalamnya, tidak diketemui Hasan, akibatnya Habib dipukul oleh pegawai-pegawai Hajjaj, kerana dianggap bercakap dusta. Tetapi selepas mereka berlalu, mereka tidak berpuashati dan datang semula menggelidah bilik bagi mencari Hasan Basri, tetapi mereka tidak menemui Hasan. Selepas mereka pergi, Hasan mengatakan kepada Habib, bahawa pegawai-pegawai tidak nampak diri, kerana barakah Habib. Tetapi Habib menjawab,
``Ianya bukan barakah dari dirinya, tetapi mereka tidak melihat Guru, kerana Allah tidak memberi mereka melihat  !``
Apabila ditanya, apa yang menyebabkan dirinya terlindung ?, maka katanya, `Kerana mereka tidak bersifat munafik ! Dan redha dengan ketentuan Allah.
Di dalam anekdot di atas ada terdapat cerita yang berlegar  tentang Habib al-`Ajam, sebagai watak jahat yang telah insaf, patuh  kepada Allah dan penuh penyerahan kepadaNya.
Di alam cerita ada tema yang boleh disebut sebagai `Taubat Nasuha, atau Allah Menolong Orang Yang Benar, Karamat Sufi dan sebagainya selagi sesuai.
Di dalam cerita di atas watak utama ialah Habib al-A`jam, ianya menjadi judul anekdot dan watak kedua ialah Hasan Basri. Mereka adalah watak-watak baik. Terdapat watak jahat yang disebut secara sepintas lalu ialah Hajjaj bin Yusof dan pegawai-pengawai.
Konflik yang menjadi permasalahan, bahawa Hasan Basri yang mau ditangkap hilang dari penglihatan. Ianya mejadi tanda tanya. Akibatnya Habib menjadi mangsa dipukul.
Peleraian cerita, mereka selamat kerana benar dan tidak munafik dan Allah berpihak kepada pihak yang benar.
Perutusan dan pengajaran yang dapat diambil;
Jangan memandang rendah terhadap bekas orang jahat yang telah benar-benar insaf. Jiwanya mungkin lebih murni dari orang biasa.
Peyerahan sepenuhnya kepada Allah mendapat pertolongan dari Allah.
Allah berpihak kepada orang yang baik dan ikhlas.
Kejahatan yang dilakukan orang (Hajjaj) kekal dalam sejarah dan ingatan sebagai pengajaran.
 Jangan dusta dan munafik.
Ada barakah pada orang-orang `alim dan sufi.

Dan pengajaran-pengajaran lain yang dapat diambil iktibar dan kesimpulan.

Tiada ulasan: