Catatan Popular

Rabu, 5 September 2012

APA ITU TAUHID DAN ANASIR PENCEMARANNYA.. TUAN-TUAN & PUAN-PUAN...

Apabila ditanya tentang maksud kalimah tauhid “La ila ha illaLlah”, yang difahami oleh kebanyakan kita ialah “tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”. Ini
adalah benar, namun ruang lingkup tauhid tidaklah terhad dalam konteks sembahan sahaja. Ia adalah lebih luas meliputi apa yang dapat dikatakan sebagai “tiada yang
dapat dianggap melakukan kerja-kerja tuhan melainkan Allah” atau “tiada yang mampu berperanan sebagai tuhan melainkan Allah”.

Dimaksudkan dengan “kerja-kerja atau peranan tuhan” ialah sesuatu yang dinilai oleh manusia sebagai kononnya mampu mencipta dari tiada kepada ada,
mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syari‘at dan sebagainya. Oleh itu apabila kita bersaksi dengan kalimah tauhid “La ila ha illaLlah”, kita sebenarnya bersaksi bahawa tiada Tuhan atau apa-apa jua kecuali Allah yang mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syari‘at dan sebagainya. Setelah membaca penjelasan di atas, saya yakin para  sekalian akan menyatakan bahawa itulah tauhid yang disaksikan selama ini. Akan tetapi sedar atau tidak, ada beberapa perkara yang jika kita meyakininya atau melakukannya, akan mencemari kemurnian tauhid tersebut.


Kenapa Disebut “Pencemaran Kemurnian Tauhid”?

Tauhid yang murni adalah apabila keesaan Allah tidak disekutui dengan sesuatu apa jua. Firman Allah:
Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. [al-Nisa’ 4:36]

Namun ramai di kalangan kita orang-orang yang beriman, di samping mentauhidkan Allah, tetap mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan hakikat ini:
Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukan-Nya juga
dengan yang lain. [Yusuf 12:106]

Tindakan seperti inilah yang dimaksudkan sebagai pencemaran kemurnian tauhid, iaitu mencampur adukkan keimanan kepada tauhid yang murni dengan syirik. Firman Allah:

Orang-orang yang beriman dan tidakmencampur adukkan iman mereka dengankezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orangyang mendapat hidayah petunjuk. [al-An’aam 6:82]

“Kezaliman” yang dimaksudkan dalam ayat 82 surah al-An’aam di atas adalah syirik, sepertimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui lisan
Luqman:
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” [Luqman 31:13]


Ke Arah Tauhid Yang Benar-Benar Murni.

Berdasarkan ayat-ayat di atas, maka tujuan tulisan ini adalah mengajak para pembaca sekalian ke arah tauhid yang benar-benar murni. Ajakan ini adalah supaya kita
menepati perintah Allah yang bermaksud: “…dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua.” [al-Nisa’ 4:36] Apabila kita menepati perintah ini,
maka kita termasuk dalam golongan: “…mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah
petunjuk.” [al-An’aam 6:82]

Terlebih penting adalah supaya kita semua terpelihara daripada dosa syirik, iaitu satu-satunya dosa yang tidak diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan
dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. [al-Nisa 4:48]

Dalam mengajak para pembaca yang budiman sekalian ke arah tauhid yang benar-benar murni, saya telah memilih tiga belas perkara yang paling lazim berlaku
di kalangan masyarakat kita yang mencemari kemurnian tersebut. Di luar sana mungkin wujud pencemaran tauhid yang lain, akan tetapi demi menjaga ketebalan buku dan kesesuaiannya kepada para pembaca umum, saya mencukupkannya kepada apa yang paling lazim berlaku sahaja

 Orang yang meyakini atau melakukan sesuatu yang mencemari kemurnian tauhid tidaklah dihukum sebagai orang musyrik secara serta merta. Manhaj Ahl al-Sunnah
wa al-Jama'ah adalah menghukum pada perbuatan, tidak pada pembuatnya. Ini kerana orang yang membuatnya mungkin:

1. Tidak tahu bahawa ia adalah satu kesalahan.
2. Terkeliru antara betul dan salah.
3. Terpaksa melakukannya.

Sebagai contoh, orang yang memakai tangkal tidak boleh dihukum sebagai orang musyrik secara serta merta. Ini kerana mungkin dia tidak tahu memakai tangkal adalah satu kesalahan, atau dia terikut-ikut dengan amalan orang ramai yang membolehkan memakai tangkal atau dia disuruh oleh ibubapanya untuk memakai tangkal. Maka tanggungjawab kita ialah menerangkan kepada dia bahawa memakai tangkal adalah salah satu perkara yang mencemari kemurnian tauhid tanpa menghukum dia sebagai orang yang musyrik. Dengan itu ingin digariskan bahawa buku ini tidak bertujuan menghukum sesiapa sebagai orang musyrik.
Tujuannya adalah menerangkan perbuatan yang mencemari kemurnian tauhid tanpa menghukum sesiapa sebagai orang musyrik. Catatan ini adalah penting kerana ramai di kalangan umat Islam yang tidak mampu membezakan antara perbuatan dan pembuatnya, sehingga menganggap kedua-duanya adalah sama. Perkara ini juga berlaku kepada urusan yang lain. Contohnya, apabila melihat seseorang minum arak, tidak boleh menghukumnya sebagai orang kafir. Ini kerana mungkin dia tidak tahu bahawa minum arak adalah satu larangan agama, atau dia tidak sedar bahawa apa yang sedang diminumnya adalah arak atau dia dalam suasana amat dahaga sehingga terpaksa minum apa jua yang ditemuinya. Maka tanggungjawab kita ialah menerangkan kepadanya bahawa minum arak adalah larangan agama tanpa menghukumnya sebagai orang kafir.

Contoh kedua, apabila mendapati sebuah syarikat yang tidak mengamalkan syari‘at Islam dalam pengurusan mereka, tidak boleh menghukum pihak pengurus dan warga kerjanya sebagai kafir. Ini kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa syari‘at Islam turut meliputi cara pengurusan syarikat, atau mereka terkeliru dalam cara penerapan syari‘at Islam, atau mereka dihalang oleh para pemegang saham daripada melaksanakan syari‘at Islam dalam pengurusan syarikat. Maka tanggungjawab kita ialah menerangkan kepada mereka, termasuk para
pemegang saham, bahawa syari‘at Islam meliputi cara pengurusan syarikat tanpa menghukum mereka sebagai orang kafir.

Contoh lain, apabila mendapati seorang yang sedang berpuasa sunat bulan Rejab, tidak boleh menghukumnya sebagai ahli bid‘ah yang bakal menduduki
neraka. Ini kerana mungkin dia tidak tahu bahawa semua hadis fadilat Rejab adalah dha‘if, atau dia terkeliru dengan pendapat orang ramai bahawa konon boleh mengamalkan hadis dha‘if tanpa diperhatikan syarat-syaratnya. Maka tanggungjawab kita ialah menerangkan kepadanya bahawa puasa sunat bulan Rejab adalah bid‘ah tanpa menghukum dia sebagai ahli bid‘ah.

Demikian beberapa contoh bagi membezakan antara perbuatan dan pembuatnya. Sekali lagi diulangi bahawa manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jam 'ah dalam hal ini
adalah menghukum perbuatan manakala hukum bagi pembuatnya ditangguhkan sehingga diperhatikan faktorfaktor yang melatar belakangi pembuat tersebut.

Tiada ulasan: