Dalam Kalam Hikmah ke 9
Imam Ibnu Athaillah Askandary menyatakan:
BERBAGAI-BAGAI JENIS AMAL ADALAH KERANA BERBAGAI-BAGAI AHWAL
(HAL-HAL)
VERSI TO’FAKIR AN NASIRIN
Hikmat 9 di atas
ringkas tetapi padat. Hikmat ini merupakan lanjutan kepada Hikmat 8 yang
dihuraikan sebelum ini. Hikmat yang ke lapan menjelaskan setakat perhentian di
hadapan pintu gerbang dan belum menyentuh makrifat. Hikmat ke sembilan ini
memberi gambaran tentang makrifat tetapi tidak dikatakan makrifat dan tidak
dihuraikan secara terus terang sebaliknya diperkatakan sebagai ahwal. Ahwal
adalah jamak bagi perkataan hal. Hikmat ini membawa erti hal membentuk keadaan
amal. Amal adalah perbuatan atau kelakuan lahiriah dan hal adalah suasana atau
kelakuan hati. Amal berkaitan dengan lahiriah manakala hal berkaitan dengan
batiniah. Oleh kerana hati menguasai sekalian anggota maka kelakuan hati iaitu
hal menentukan bentuk amal iaitu perbuatan lahiriah.
Dalam pandangan tasauf, hal diertikan sebagai pengalaman rohani dalam
proses mencapai hakikat dan makrifat. Hal merupakan zauk atau rasa yang
berkaitan dengan hakikat ketuhanan yang melahirkan makrifatullah (pengenalan
tentang Allah s.w.t). Oleh itu, tanpa hal tidak ada hakikat dan tidak
diperolehi makrifat. Ahli ilmu membina makrifat melalui dalil ilmiah tetapi
ahli tasauf bermakrifat melalui pengalaman tentang hakikat.
Sebelum memperolehi pengalaman hakikat, ahli kerohanian terlebih dahulu
memperolehi kasyaf iaitu terbuka keghaiban kepadanya. Ada orang mencari kasyaf
yang dapat melihat makhluk ghaib seperti jin. Dalam proses mencapai hakikat
ketuhanan kasyaf yang demikian tidak penting. Kasyaf yang penting adalah yang
dapat mengenali tipu daya syaitan yang bersembunyi dalam berbagai-bagai bentuk
dan suasana dunia ini. Kasyaf yang menerima hakikat sesuatu, walau apa jua rupa
yang dihadapi, penting bagi pengembara kerohanian. Rasulullah s.a.w sendiri
sebagai ahli kasyaf yang paling unggul hanya melihat Jibrail a.s dalam rupanya
yang asli dua kali sahaja, walaupun pada setiap kali Jibrail a.s menemui
Rasulullah s.a.w dengan rupa yang berbeza-beza, Rasulullah s.a.w tetap
mengenalinya sebagai Jibrail a.s. Kasyaf yang seperti inilah yang diperlukan
agar seseorang itu tidak tertipu dengan tipu daya syaitan yang menjelma dalam
berbagai-bagai rupa yang hebat dan menawan sekalipun, seperti rupa seorang yang
kelihatan alim dan warak.
Bila seseorang ahli kerohanian memperolehi kasyaf maka dia telah bersedia
untuk menerima kedatangan hal atau zauk iaitu pengalaman kerohanian tentang
hakikat ketuhanan. Hal tidak mungkin diperolehi dengan beramal dan menuntut
ilmu. Sebelum ini pernah dinyatakan bahawa tidak ada jalan untuk masuk ke dalam
gerbang makrifat. Seseorang hanya mampu beramal dan menuntut ilmu untuk sampai
hampir dengan pintu gerbangnya. Apabila sampai di situ seseorang hanya menanti
kurniaan Allah s.w.t, semata-mata kurniaan Allah s.w.t yang membawa makrifat
kepada hamba-hamba-Nya. Kurniaan Allah s.w.t yang mengandungi makrifat itu
dinamakan hal. Allah s.w.t memancarkan Nur-Nya ke dalam hati hamba-Nya dan
akibat dari pancaran itu hati akan mendapat sesuatu pengalaman atau terbentuk
satu suasana di dalam hati. Misalnya, pancaran Nur Ilahi membuat hati mengalami
hal bahawa Allah Maha Perkasa. Apa yang terbentuk di dalam hati itu tidak dapat
digambarkan tetapi kesannya dapat dilihat pada tubuhnya yang menggigil hingga
dia jatuh pengsan. Pancaran Nur Ilahi membuat hati mengalami hal atau zauk atau
merasai keperkasaan Allah s.w.t dan pengalaman ini dinamakan hakikat, iaitu
hati mengalami hakikat keperkasaan Allah s.w.t. Pengalaman hati tersebut
membuatnya berpengetahuan tentang maksud Allah Maha Perkasa. Jadi, pengalaman
yang diperolehi daripada zauk hakikat melahirkan pengetahuan tentang Tuhan.
Pengetahuan itu dinamakan makrifat. Orang yang berkenaan dikatakan bermakrifat
terhadap keperkasaan Allah s.w.t. Oleh itu untuk mencapai makrifat seseorang
itu haruslah mengalami hakikat. Inilah jenis makrifat yang tertinggi. Makrifat
tanpa pengalaman hati adalah makrifat secara ilmu. Makrifat secara ilmu boleh
didapati dengan belajar, sementara secara zauk didapati tanpa belajar. Ahli
tasauf tidak berhenti setakat makrifat secara ilmu malah mereka mempersiapkan
hati mereka agar sesuai menerima kedatangan makrifat secara zauk.
Ada orang yang memperolehi hal sekali sahaja dan dikuasai oleh hal dalam
tempuh yang tertentu sahaja dan ada juga yang berkekalan di dalam hal. Hal yang
berterusan atau berkekalan dinamakan wisal iaitu penyerapan hal secara
berterusan, kekal atau baqa. Orang yang mencapai wisal akan terus hidup
dengan cara hal yang berkenaan. Hal-hal (ahwal) dan wisal boleh dibahagikan
kepada lima jenis:
1
: Abid:
Abid adalah orang yang dikuasai oleh
hal atau zauk yang membuat dia merasakan secara bersangatan bahawa dirinya
hanyalah seorang hamba yang tidak memiliki apa-apa dan tidak mempunyai sebarang
daya dan upaya untuk melakukan sesuatu. Kekuatan, keupayaan, bakat-bakat dan
apa sahaja yang ada dengannya adalah daya dan upaya yang daripada Allah s.w.t.
Semuanya itu adalah kurniaan-Nya semata-mata. Allah s.w.t sebagai Pemilik yang
sebenar, apabila Dia memberi, maka Dia berhak mengambil kembali pada bila-bila
masa yang Dia kehendaki. Seorang abid benar-benar bersandar kepada Allah s.w.t
hinggakan sekiranya dia melepaskan sandaran itu dia akan jatuh, tidak bermaya,
tidak boleh bergerak, kerana dia benar-benar melihat dirinya kehilangan apa
yang datangnya dari Allah s.w.t. Hal atau suasana yang menguasai hati abid itu
akan melahirkan amal atau kelakuan sangat kuat beribadat, tidak memperdulikan
dunia dan isinya, tidak mengambil bahagian dalam urusan orang lain, sangat
takut berjauhan dari Allah s.w.t dan gemar bersendirian. Dia merasakan apa
sahaja yang selain Allah s.w.t akan menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t.
2 : Asyikin:
Asyikin ialah orang yang mendapat asyik dengan sifat Keindahan Allah s.w.t.
Rupa, bentuk, warna dan ukuran tidak menjadi soal kepadanya kerana apa sahaja
yang dilihatnya menjadi cermin yang dia melihat Keindahan serta Keelokan Allah
s.w.t di dalamnya. Amal atau kelakuan asyikin ialah gemar merenung alam maya
dan memuji Keindahan Allah s.w.t pada apa yang disaksikannya. Dia boleh duduk
menikmati keindahan alam beberapa jam tanpa berasa jemu. Kilauan ombak dan
titikan hujan memukau pandangan hatinya. Semua yang kelihatan adalah warna
Keindahan dan Keelokan Allah s.w.t. Orang yang menjadi asyikin tidak
memperdulikan lagi adab dan peraturan masyarakat. Kesedarannya bukan lagi pada alam
ini. Dia mempunyai alamnya sendiri yang di dalamnya hanyalah Keindahan Allah
s.w.t.
3 : Muttakhaliq:
Muttakhaliq adalah orang yang mencapai yang Haq dan bertukar sifatnya.
Hatinya dikuasai oleh suasana Qurbi Faraidh atau Qurbi Nawafil. Dalam Qurbi Faraidh,
muttakhaliq merasakan dirinya adalah alat dan Allah s.w.t menjadi Pengguna
alat. Dia melihat perbuatan atau kelakuan dirinya terjadi tanpa dia merancang
dan campur tangan, bahkan dia tidak mampu mengubah apa yang mahu terjadi pada
kelakuan dan perbuatannya. Dia menjadi orang yang berpisah daripada dirinya
sendiri. Dia melihat dirinya melakukan sesuatu perbuatan seperti dia melihat
orang lain yang melakukannya, yang dia tidak berdaya mengawal atau
mempengaruhinya. Hal Qurbi Faraidh adalah dia melihat bahawa Allah s.w.t
melakukan apa yang Dia kehendaki. Perbuatan dia sendiri adalah gerakan Allah
s.w.t, dan diamnya juga adalah gerakan Allah s.w.t. Orang ini tidak mempunyai
kehendak sendiri, tidak ada ikhtiar dan tadbir. Apa yang mengenai dirinya,
seperti perkataan dan perbuatan, berlaku secara spontan. Kelakuan atau amal
Qurbi Faraidh ialah bercampur-campur di antara logik dengan tidak logik,
mengikut adat dengan merombak adat, kelakuan alim dengan jahil. Dalam banyak
perkara penjelasan yang boleh diberikannya ialah, “Tidak tahu! Allah s.w.t
berbuat apa yang Dia kehendaki”.
Dalam suasana Qurbi Nawafil pula muttakhaliq melihat dengan mata hatinya
sifat-sifat Allah s.w.t yang menguasai bakat dan keupayaan pada sekalian
anggotanya dan dia menjadi pelaku atau pengguna sifat-sifat tersebut, iaitu dia
menjadi khalifah dirinya sendiri. Hal Qurbi Nawafil ialah berbuat dengan izin
Allah s.w.t kerana Allah s.w.t mengurniakan kepadanya kebolehan untuk berbuat
sesuatu. Contoh Qurbi Nawafil adalah kelakuan Nabi Isa a.s yang membentuk rupa
burung dari tanah liat lalu menyuruh burung itu terbang dengan izin Allah
s.w.t, juga kelakuan beliau a.s menyeru orang mati supaya bangkit dari
kuburnya. Nabi Isa a.s melihat sifat-sifat Allah s.w.t yang diizinkan menjadi
bakat dan keupayaan beliau a.s, sebab itu beliau a.s tidak ragu-ragu untuk
menggunakan bakat tersebut menjadikan burung dan menghidupkan orang mati dengan
izin Allah s.w.t.
4 : Muwahhid:
Muwahhid fana dalam zat, zatnya lenyap dan Zat Mutlak yang menguasainya.
Hal bagi muwahhid ialah dirinya tidak ada, yang ada hanya Allah s.w.t. Orang
ini telah putus hubungannya dengan kesedaran basyariah dan sekalian maujud.
Kelakuan atau amalnya tidak lagi seperti manusia biasa kerana dia telah
terlepas dari sifat-sifat kemanusiaan dan kemakhlukan. Misalkan dia bernama
Abdullah, dan jika ditanya kepadanya di manakah Abdullah, maka dia akan
menjawab Abdullah tidak ada, yang ada hanyalah Allah! Dia benar-benar
telah lenyap dari ke‘Abdullah-an’ dan benar-benar dikuasai oleh ke‘Allah-an’. Ketika dia dikuasai
oleh hal dia terlepas daripada beban hukum syarak. Dia mungkin melaungkan,
“Akulah Allah! Maha Suci Aku! Sembahlah Aku!” Dia telah fana dari ‘aku’ dirinya
dan dikuasai oleh kewujudan ‘Aku Hakiki’. Walau bagaimana pun sikap dan kelakuannya
dia tetap dalam keredaan Allah s.w.t. Apabila dia tidak dikuasai oleh hal,
kesedarannya kembali dan dia menjadi ahli syariat yang taat. Perlu diketahui
bahawa hal tidak boleh dibuat-buat dan orang yang dikuasai oleh hal tidak
berupaya menahannya. Ahli hal karam dalam lakuan Allah s.w.t. Bila dia
melaungkan , “Akulah Allah!” bukan bermakna dia mengaku telah menjadi Tuhan,
tetapi dirinya telah fana, apa yang terucap melalui lidahnya sebenarnya adalah
dari Allah s.w.t. Allah s.w.t yang mengatakan Dia adalah Tuhan dengan
menggunakan lidah muwahhid yang sedang fana itu.
Berbeza pula golongan mulhid. Si mulhid tidak dikuasai oleh hal, tidak ada
zauk, tetapi berkelakuan dan bercakap seperti orang yang di dalam zauk. Orang
ini dikuasai oleh ilmu tentang hakikat bukan mengalami hakikat secara zauk. Si
mulhid membuang syariat serta beriman berdasarkan ilmu semata-mata. Dia
berpuas hati bercakap tentang iman dan tauhid tanpa beramal menurut tuntutan
syariat. Orang ini bercakap sebagai Tuhan sedangkan dia di dalam kesedaran
kemanusiaan, masih gelojoh dengan keinginan hawa nafsu. Orang-orang sufi
bersepakat mengatakan bahawa sesiapa yang mengatakan, “Ana al-Haq!” sedangkan
dia masih sedar tentang dirinya maka orang berkenaan adalah sesat dan kufur!
5
: Mutahaqqiq:
Mutahaqqiq ialah orang yang setelah
fana dalam zat turun kembali kepada kesedaran sifat, seperti yang terjadi
kepada nabi-nabi dan wali-wali demi melaksanakan amanat sebagai khalifah Allah
di atas muka bumi dan kehidupan dunia yang wajib diuruskan. Dalam kesedaran zat
seseorang tidak keluar dari khalwatnya dengan Allah s.w.t dan tidak peduli
tentang keruntuhan rumah tangga dan kehancuran dunia seluruhnya. Sebab itu
orang yang demikian tidak boleh dijadikan pemimpin. Dia mesti turun kepada
kesedaran sifat baharulah dia boleh memimpin orang lain. Orang yang telah
mengalami kefanaan dalam zat kemudian disedarkan dalam sifat adalah benar-benar
pemimpin yang dilantik oleh Allah s.w.t menjadi Khalifah-Nya untuk memakmurkan
makhluk Allah s.w.t dan memimpin umat manusia menuju jalan yang diredai Allah
s.w.t. Orang inilah yang menjadi ahli makrifat yang sejati, ahli hakikat yang
sejati, ahli tarekat yang sejati dan ahli syariat yang sejati, berkumpul
padanya dalam satu kesatuan yang menjadikannya Insan Rabbani. Insan Rabbani
peringkat tertinggi ialah para nabi-nabi dan Allah s.w.t kurniakan kepada
mereka maksum, sementara yang tidak menjadi nabi dilantik sebagai wali-Nya yang
diberi perlindungan dan pemeliharaan.
Ahwal (hal-hal) yang menguasai hati
nurani berbeza-beza, dengan itu akan mencetuskan kelakuan amal yang
berbeza-beza. Ahwal mesti difahami dengan sebenar-benarnya oleh orang yang
memasuki latihan tarekat kerohanian, supaya dia mengetahui, dalam amal yang
bagaimanakah dia mendapat kedamaian dan mencapai maksud dan tujuan, apakah
dengan sembahyang, zikir atau puasa. Dia mesti berpegang sungguh-sungguh kepada
amal yang dicetuskan oleh hal tadi, agar dia cepat dan selamat sampai ke
puncak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan