Syeikh
Abdul Qadir Jailani
DARWIS (SUFI)
Ada satu golongan yang dikenali sebagai sufi.
Empat tafsiran diberikan kepada istilah sufi.
Ada yang melihatnya pada keadaan zahir mereka memakai baju bulu yang kasar.
Bulu dalam bahasa Arab ialah suf. Dari perkataan ini mereka dipanggil sufi.
Yang lain melihat kepada kehidupan mereka yang bebas daripada kekacauan dunia
ini serta kedamaian dan ketenteraman mereka, keadaan yang sesuai dengan bahasa
Arab safa. Daripada perkataan safa itu timbul istilah sufi. Yang lain pula
memandang lebih mendalam, kepada hati mereka yang suci murni dan bebas daripada
apa sahaja kecuali Zat Allah.
Dalam bahasa Arab safi bererti kesucian hati dan dari perkataan itu
dikatakan timbul istilah sufi. Yang lain memanggil mereka sufi kerana mereka
hampir dengan Allah dan akan berdiri di barisan pertama di hadapan Allah pada
hari kiamat. Safi dalam bahasa Arab bermakna barisan.
Terdapat empat alam , empat dunia . Pertama ialah alam atau dunia jirim -
tanah, air, api dan angin merupakan jirim dalam alam ini. Kedua ialah alam
makhluk rohani - malaikat, jin, mimpi dan kematian , ganjaran Allah - delapan
syurga dan keadilan Allah - tujuh neraka. Ketiga ialah alam huruf, nama-nama
indah bagi sifat-sifat Allah, dan Loh Tersembunyi (Loh Mahfuz) yang menjadi
sumber kepada perintah-perintah Allah . Keempat ialah alam Zat Allah Yang Maha
Suci, alam yang tidak boleh digambarkan atau diuraikan karena pada alam ini
atau tahap ini tidak ada perkataan, nama-nama, sifat-sifat atau persamaan. Tiada
siapa kecuali Allah mengetahuinya.
Terdapat pula empat jenis ilmu. Pertama ilmu
tentang peraturan-peraturan Allah, dan berhubung dengan aspek lahir kehidupan
dunia ini. Kedua ialah ilmu kerohanian, pengetahuan batin tentang sebab dan
akibat. Ketiga ialah ilmu tentang jiwa, roh, mengenal diri dan melaluinya
pengetahuan tentang ketuhanan diperolehi. Akhirnya ilmu tentang kebenaran atau
hakikat.
Roh
juga ada empat jenis, roh kebendaan, roh yang arif, roh yang memerintah (roh sultan) dan roh kudus (roh suci).
Yang zahir, kenyataan bagi Pencipta, juga ada empat
jenis. Pertama ialah kenyataan di dalam rupa, bentuk,
warna, seumpama gubahan-Nya. Kedua ialah kenyataan perbuatan dan tindak balas dalam perkara yang berlaku. Ketiga ialah kenyataan
dalam sifat-sifat,
bakat-bakat, perangai-perangai sesuatu. Akhirnya kenyataan bagi zat-Nya. Akal atau daya menimbang juga ada empat jenis: akal yang
menguruskan soal-soal kehidupan duniawi, akal yang menimbang dan
memikirkan soal-soal akhirat, akal bagi roh yang bertugas dalam
bidang makrifat dan akhirnya akal yang meliputi.
Perkara yang dibincangkan juga ada empat jenis.
Empat jenis ilmu, empat jenis roh, empat jenis penzahiran (kenyataan) dan empat
jenis akal. Ada orang yang berada pada tahap pertama
ilmu, roh, kenyataan dan akal. Mereka adalah penghuni
syurga pertama yang dipanggil syurga yang menjadi tempat
kembali yang mensejahterakan, iaitu syurga keduniaan. Mereka
yang berada pada tahap kedua ilmu, roh, kenyataan dan akal tergolong ke dalam syurga yang lebih tinggi, taman kesukaan dan
kesenangan kurniaan Allah kepada makhluk-Nya, syurga di dalam
alam malaikat.. Sebahagian manusia yang mencapai tahap
ketiga ilmu, roh, kenyataan dan akal (makrifat) berada di
dalam syurga peringkat ketiga, syurga langit-langit,
syurga nama-nama dan sifat-sifat Ilahi dalam alam keesaan.
Namun, mereka yang mencari dan terikat dengan ganjaran Allah, walaupun syurga, tidak dapat melihat hakikat sebenar dalam diri mereka
dan dalam benda-benda di sekeliling mereka. Mereka yang
arif, yang mencari hakikat, mereka yang mencapai suasana
sebenar sufi, suasana keinginan menyeluruh - tidak
inginkan sesuatu apa pun kecuali Allah, berhajat kepada Allah
sahaja - meninggalkan segala-galanya dan tidak mencari apa-apa kecuali yang hak. Mereka temui apa yang mereka cari dan masuk ke dalam
alam yang hak, dan kehampiran dengan Allah, dan hidup
semata-mata kerana Zat Allah, tidak kerana yang lain. Ini
sesuai dengan perintah Allah, "Carilah keselamatan
dengan Allah" dan ikut nasihat Nabi s.a.w, "Kedua- dua dunia dan akhirat terlarang bagi orang yang mencintai Allah"
.
Nabi s.a.w tidak memaksudkan kedua-dua
dunia dan akhirat dihukumkan haram. Apa yang baginda
maksudkan ialah orang yang berkehendak menemui Allah
menyekat keinginan hawa nafsunya, egonya, kasih sayang dan cita- citanya kepada dunia dan akhirat.
Pencari yang hak memberi alasan: Dunia ini adalah
ciptaan dan kita juga ciptaan. Semua yang dicipta berhajat kepada Pencipta. Bagaimana
mungkin yang berhajat meminta kepada yang berhajat juga.
Apa lagi jalan bagi yang diciptakan kecuali mencari
Pencipta.
Allah berfirman melalui Rasul-Nya,
"Kecintaan-Ku, Wujud-Ku, adalah kecintaan mereka kepada-Ku".
Nabi s.a.w bersabda,
"Keadaanku yang sangat
berhajat, kemiskinanku, adalah kemegahanku" .
Keadaan yang sangat berhajat dan kecintaan kepada
Allah menjadi
asas kepada pencarian sufi. Keadaan kemiskinan yang menjadi kebanggaan Nabi s.a.w bukanlah kekurangan sesuatu berbentuk keduniaan
atau kebendaan. Ia adalah pelepasan segala-galanya kecuali
keinginan kepada Zat Allah. Ia adalah segala sesuatu-
bukan sahaja yang di dalam dunia ini, malah yang
dijanjikan di akhirat juga-dan lantaran itu suasana berhajat
sepenuhnya untuk dipersembahkan kepada Allah.
Inilah keadaan yang membawa seseorang kepada
kekosongan atau ketiadaan diri, lenyap di dalam zat Allah. Ia adalah mengosongkan
diri seseorang daripada apa sahaja kecuali cinta Allah.
Kemudian hati menjadi bernilai atau layak untuk menerima janji
Allah,
"Aku tidak dapat ditanggung oleh langit dan bumi tetapi layak ditanggung oleh
hati hamba-hamba-Ku yang beriman".
Hamba yang beriman adalah yang melepaskan apa
sahaja kecuali Yang Esa dari hatinya. Bila hati sudah disucikan, Allah
melapangkannya dan memuatkan Diri-Nya ke dalamnya.
Bayazid Bustami menggambarkan keluasan hatinya dengan
katanya
"Jika segala yang maujud di dalam dan di sekeliling arasy, keluasan
semua ciptaan Allah, diletakkan di penjuru hati manusia
sempurna dia tidak akan merasai beratnya".
Begitulah keadaan kekasih Allah. Kasihilah mereka
dan sentiasalah bersama mereka kerana yang mencintai akan bersama-sama yang
dicintai pada hari akhirat nanti. Tanda kecintaan itu
ialah mencari kehadiran bersama-sama mereka, berkehendak
mendengar perkataan mereka, dan dengan pandangan serta
perkataan mereka, dapat merasakan kerinduan terhadap Allah Yang Maha Tinggi.
Allah berfirman melalui Nabi-Nya,
"Aku merasai kerinduan para hamba-Ku yang beriman, yang baik-baik, hamba yang sejati, terhadap
Diri-Ku dan Aku juga merindui mereka".
Kekasih Allah kelihatan berbeza daripada
orang lain,
kelakuan dan tindakan mereka juga berbeza. Pada peringkat permulaan, ketika masih baharu, tindakan mereka kelihatan seimbang
antara aik dengan buruk. Bila mereka maju lagi dan sampai kepada peringkat
pertengahan, perbuatan mereka penuh dengan manfaat. Dalam semua hal kebaikan
yang keluar melalui mereka bukan sahaja dalam ketaatan mereka mematuhi perintah
Allah dan peraturan agama, tetapi juga dalam perbuatan yang mengandungi puncak
kebahagiaan dan bersinar dengan cahaya kepada maksud bagi yang zahir.
Mereka seolah-olah dipakaikan dengan pakaian
daripada cahaya yang berwarna warni yang memancar daripada mereka menurut makam
mereka. Apabila mereka dapat mengalahkan ego mereka dan kejahatan nafsu yang
rendah dengan berkat kalimah tauhid "La ilaha illa Llah" dan sampai
kepada kewujudan yang boleh membezakan antara yang hak dengan yang batil, yang
benar dengan yang salah, cahaya biru langit memancar keluar daripada mereka.
Bila dalam peringkat tersebut, dengan pertolongan dan ilham dari Allah, mereka
berpindah sepenuhnya ke dalam kebaikan dan meninggalkan kejahatan
keseluruhannya, cahaya merah membungkus atau membaluti mereka. Dengan berkata
nama Allah - HU - nama itu tiada yang lain kecuali yang hak dapat
menceritakannya, mereka sampai kepada peringkat dipersucikan daripada segala
sifat-sifat keji dan perbuatan jahat dan menemui suasana tenang dan aman,
kemudian cahaya hijau keluar daripada mereka.
Bila semua ego dan keinginan, bila semua kehendak
diri sendiri dihapuskan melalui berkat HAQ, yang sebenarnya, dan bila mereka
menyerahkan kehendak mereka kepada kehendak Allah dan reda dengan apa juga yang
datang daripada-Nya, warna mereka berubah menjadi cahaya putih.
Inilah gambaran orang-orang sufi daripada
peringkat permulaan mereka di dalam perjalanan sampailah kepada peringkat
pertengahan. Tetapi seseorang yang sampai kepada perbatasan peringkat ini tidak
mempunyai bentuk atau warna. Dia menjadi seolah-olah sinaran cahaya matahari.
Cahaya matahari tidak berwarna. Sufi yang sampai kepada makam yang paling
tinggi tidak mempunyai kewujudan untuk membalikkan cahaya atau warna. Jika ada,
warnanya ialah hitam, yang menyerap semua warna. Inilah tanda keadaan fana
Orang ramai yang melihat kepadanya, keadaan yang tiada warna ini, kelihatan
gelap, menjadi tabir menutupi cahaya makrifat yang dia miliki, seperti malam
menutupi sinaran matahari.
Allah berfirman:
"Dan Kami jadikan malam itu (sebagai) pakaian. Dan Kami jadikan siang
itu tempat penghidupan". (Surah Nabaa, ayat 10 & 11).
Bagi mereka yang sampai kepada hakikat atau
intipati akal dan ilmu, ada tanda dalam ayat di atas. Mereka yang sampai kepada
kebenaran (hakikat) ketika di dalam dunia ini merasakan
seolah-olah di penjarakan di sini di dalam bilik kurungan
di bawah tanah yang gelap. Mereka menghabiskan hayat
mereka di dalam kesusahan dan kesengsaraan. Mereka menanggung kesusahan yang besar, tekanan-tekanan keadaan, di dalam dunia yang
gelap sepenuhnya.
Nabi
s.a.w bersabda,
"Dunia ini adalah
penjara bagi orang beriman" .
Seperti
yang baginda s.a.w khabarkan percubaan yang paling besar menimpa para nabi, kemudian yang hampir dengan
Allah, kemudian dengan kadar menurun mengikut kadar
seseorang itu mahu menghampiri Allah. Jadi, adalah sesuai
bagi sufi memakai pakaian hitam dan mengikat serban hitam
di kepalanya, kerana ia adalah pakaian orang yang bersedia menempuh kesusahan dan kesakitan di dalam perjalanan ini.
Di
dalam kenyataan, hitam adalah pakaian paling sesuai bagi mereka yang berkabung kerana kehilangan kemanusiaan dan
kewujudan diri mereka. Ramai manusia yang kehilangan
anugerah yang berharga kerana kecuaian, sesuai hanya
untuk kemanusiaan, bagi mereka yang sadar, bagi yang boleh melihat kebenaran, enggan itu membunuh kehidupan abadi dengan tangan
mereka sendiri. Membuang kasih Ilahi yang kerinduan di dalam
hati mereka, memisahkan diri mereka enggan roh suci,
mereka hilang kesempatan untuk kembali kepada asal
mereka, kepada penyebab. Walaupun mereka tidak
mengetahuinya, merekalah yang menderita bala yang paling
besar. Jika mereka sedar yang mereka sudah kehilangan segala nikmat akhirat, kehidupan abadi, mereka tentunya memakai pakaian
hitam, pakaian berkabung. Janda yang kematian suami berkabung selama
empat bulan
sepuluh hari. Ini adalah berkabung kerana kehilangan sesuatu di dalam dunia. Orang yang kehilangan kebaikan hidup yang abadi
seharusnya berkabung secara abadi juga.
Nabi
s.a.w bersabda,
"Mereka yang ikhlas sentiasa berada di tepi
bahaya besar" .
Betapa tepat gambaran ini mengenai orang yang
terpaksa berjalan berjingkit-jingkit dengan penuh kewaspadaan! Tetapi inilah suasana
sufi yang meninggalkan kewujudan dirinya dan berada di
dalam alam fana. Kefakirannya terhadap dunia ini yang
ditinggalkannya dan hajatnya yang penuh kepada Allah
sangat besar, dan dia melepasi kemanusiaan sebagai keindahan
yang bersangatan. Mereka yang memperolehi penyaksian kepada yang hak, setelah menyaksikan keindahan kebenaran itu, tidak ingin
melihat yang lain lagi. Mereka tidak boleh melihat kecintaan dan
kerinduan kepada apa sahaja. Bagi mereka, Allah jualah yang menjadi yang
dikasihi, hanya Dia yang wujud. Begitulah keadaan mereka di dalam kedua-dua
alam. Itulah satu-satunya matlamat mereka. Akhirnya mereka menjadi insan, dan
Allah ciptakan insan supaya mengenali-Nya, supaya mencapai Zat-Nya.
Menjadi kewajipan bagi setiap orang untuk mencari dan mengenali atau
mengetahui tujuan dia diciptakan dan menghayati maksud tujuan tersebut,
kewajipan yang mereka tanggung di dalam dunia ini dan di akhirat, supaya mereka
tidak habiskan usia mereka di dalam kerugian, agar mereka tidak menyesal
selama-lamanya di akhirat - dibungkus, lemas di dalam kerinduan yang akan
mereka sedari akhirnya di dalam penyesalan yang abadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan