Catatan Popular

Isnin, 24 September 2012

HIJAB YA ALLAH (4) …..SIAPA HIJAB DERIA, KHAYAL & AKAL PALSU

Mereka ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu;
  • Pertamannya, orang yang gelapnya itu berpunca dari deria (pancaindera);
  • Kedua,  gelapnya berpunca dari khayalan;
  • Ketiga, gelapnya berpunca dari logik akal yang palsu.
Pertama: Terhijab oleh gelap deria.
 
Mereka ini ialah orang-orang yang telah melangkah sempadan mempertuhankan diri sendiri, yang mana itu adalah sifat orang-orang yang dalam golongan pertama yang telah tersebut dahulu kerana mereka mempertuhankan kepada sesuatu yang di luar diri mereka,  dan ada sedikit keinginan untuk mengetahui Tuhan.
  • Peringkat pertama terdiri daripada mereka yang menyembah berhala.
  • Peringkat akhir terdiri daripada mereka yang menduakan Tuhan.
  • Antara kedua-kedua peringkat tersebut, ada  peringkat-peringkat lain lagi.
        Orang-orang dalam peringkat pertama (penyembah-penyembah berhala) itu sedar pada umumnya yang mereka ada tuhan dan tidak mempertuhankan diri mereka sendiri.  Mereka percaya bahawa Tuhan mereka itu lebih  besar dan lebih berkuasa dari apa-apa yang lain;  tetapi gelap deria menghijabkan mereka daripada pengetahuan bahawa;  mereka mestilah melampaui Alam Deria dalam perkara ini.  Oleh itu,  mereka ambil logam-logam yang bernilai seperti emas,  perak,  permata dan lain-lain untuk dijadikan patung-patung sebagai Tuhan.  Orang-orang ini terhijab oleh cahaya Kekayaan dan Keindahan dari sifat-sifat Allah dan CahayaNya.  Mereka lekatkan sifat-sifat ini(kaya dan indah) kepada benda-benda yang dilihat oleh deria;  yang mana deria itu telah menyekat cahaya Allah.  Ini adalah kerana deria itu adalah gelap dari segi Alam Keruhanian,  sebagaimana yang telah kita terangkan dahulu.
        Kelas kedua ialah puak-puak bangsa Turki yang liar yang tidak mempunyai masyarakat keagamaan yang tersusun dan tidak ada undang-undang agama yang tertentu.  Mereka percaya bahawa mereka ada Tuhan dan tuhan itu ialah sesuatu benda yang jinak.  Jika mereka  berjumpa seorang manusia atau sepohon pokok atau seekor kuda dan lain-lain yang luar biasa cantiknya,  maka mereka akan menyembah benda itu dan dikatakan itu tuhan mereka.  Mereka ini terhijab oleh cahaya keindahan bercampur dengan gelap deria.  Mereka masuk lebih jauh daripada penyembah-penyembah berhala ke dalam cahaya,  kerana mereka adalah penyembah-penyembah Keindahan secara mutlak bukan kepada individu,  dan mereka tidak hadkan atau bataskan khusus kepada satu individu sahaja dan membuang yang lain.  Keindahan yang mereka sembah itu ialah keindahan Tabie ciptaan Tuhan,  dan bukan ciptaan mereka sendiri.  Inilah yang membezakan mereka dari golongan penyembah berhala.
       
Kelas atau golongan yang ketiga berkata;
"Tuhan kami mestilah cahaya pada zatnya.  Ia maha mulia dan maha agung,  maha gagah dan tidak bertolak ansur;  tetapi ia mestilah boleh dilihat;  kerana jika tidak kelihatan tentulah tidak bererti apa-apa".
Oleh kerana mereka dapati api itu ada sifat-sifat yang tersebut tadi,  maka mereka sangka api itulah tuhan dan mereka sembah api itu.  Mereka inilah orang-orang yang terhijab oleh Kekuasaan dan Kekuatan yang mana kedua itu adalah dua daripada cahaya Allah.
        Kelas atau golongan yang keempat pula memikirkan iaitu oleh kerana api itu boleh dikawal,  boleh dinyala dan dipadamkan bila dikehendaki,  maka api itu bukanlah tuhan sebenar.  Tuhan adalah hanya apa yang mempunyai sifat kekuasaan dan kekuatan dan manusia ini berada di bawah kawalannya dan ia mestilah berada di tempat tinggi.  Orang-orang golongan ini mengagung-agungkan Ilmu Nujum(Astrologi).  Mereka berkata bintang-bintang itu ada pengaruhnya masing-masing terhadap manusia.  Oleh itu,  ada antara mereka yang menyembah bintang-bintang seperti Jupiter dan lain-lain.   Ada pula yang menyembah sekumpulan falaniah-falaniah menurut banyaknya pengaruh yang mereka percaya ada pada falaniah-falaniah itu.  Mereka ini pula terhijab oleh cahaya-cahaya yang suci,  yang terang,  dan yang kuat;  yang mana ketiga-tiga tersebut itu adalah cahaya Allah.
        Golongan atau kelas yang kelima pula menyokong golongan keempat dan idea asas mereka itu tetapi orang-orang dalam kelas ini tidak setuju bahawa tuhan mereka itu boleh dikatakan kecil atau besar di kalangan benda-benda yang memberi cahaya itu.  Tentulah yang paling besar itu patut dipertuhankan.  Oleh yang demikian,  mereka menyembah matahari yang mereka anggap sebagai yang paling besar.  Orang-orang ini terhijab oleh cahaya kebesaran,  di samping cahaya-cahaya tadi;  tetapi mereka masih dibutakan oleh gelap deria.
        Golongan keenam lebih maju selangkah lagi.  Mereka berkata;  Matahari itu bukanlah menguasai semua cahaya.  Lain-lain benda pun ada cahayanya.  Sebagai tuhan,  tentulah ianya tidak bersyarikat atau bersekutu dalam perkara cahaya ini.  Mereka pun menyembah cahaya mutlak,  yang meliputi semua cahaya dan mereka anggap inilah cahaya.  Tuhan ini mestilah mempunyai sifat-sifat yang terbaik dan tidak tercela.  Tetapi dalam Alam Wujud ini ada kejahatan-kejahatan.  Kejahatan-kejahatan ini tentulah bukan dari tuhan kerana tuhan itu tidak bersifat jahat dan keji.  Lalu mereka sangkakan ada satu perjuangan antara tuhan yang gelap dan kedua-dua ini mereka namakan "Yazdan" dan "Ahriiman".  Pada sangkaan saya(Imam Ghazali),  inilah orang-orang yang menduakan Tuhan.
Cukuplah setakat ini contoh-contoh bahagian ini.  Kelas-kelas ini lebih banyak lagi dari yang saya sebutkan itu.

Kedua,  orang yang terhijab oleh cahaya yang bercampur dengan gelap dari khayalan.
 
Mereka ini melangkah dari sempadan deria kerana mereka sedar adanya sesuatu di sebalik objek-objek deria.  Tetapi golongan ini tidak dapat melangkah lebih dari sempadan khayalan.  Oleh itu,  mereka sembah sesuatu yang benar-benar duduk di atas kursi singgahsana.
    Peringkat yang paling bawah daripada kelas ini ialah mereka yang memperbadankan Tuhan;  kemudian itu ialah golongan "Karramitah".  Tidak perlu kita bincangkan tulisan dan pendapat mereka itu di sini kerana tidak ada gunanya di sini.
    Yang paling tinggi darjatnya dalam golongan itu ialah mereka yang menafikan Allah itu berbadan dan segala yang berkenaan dengannya, kecuali satu - iaitu arah(direction),  dan itu ialah arah ke atas.  Kata mereka itu,  apa yang tidak ada arah,  tidak di dalam atau di luar alam,  maka itu tidaklah wujudnya kerana tidak termasuk pada akal khayalan.  Malangnya mereka gagal memandang bahawa darjat pertama sebenarnya bagi budi bicara akal membawa kita bersih dan bebas dari semua rujukan apa sahaja, arah atau pun ukuran.

Ketiga,  orang-orang yang terhijab oleh cahaya Ketuhanan yang bercampur dengan gelap logik akal yang palsu.
 
Mereka ini menyembah tuhan "yang mendengar,  melihat, dan berilmu,  berkuasa,  berkehendak dan hidup",  dan melampaui semua arah termasuk arah ke atas.  Tetapi konsep mereka tentang sifat-sifat ini diserupakan dengan sifat-sifat mereka sendiri,  hingga ada mereka berpendapat bahawa perkataan (KALAM) Tuhan itu ialah berhuruf dan berbunyi,  seperti manusia juga.  Sementara yang lain pula lebih maju lagi ke depan.  Kata mereka;  "Sebenarnya seperti kalam fikiran kita,  iaitu tidak berbunyi dan tidak berhuruf".  Oleh itu,  apabila mereka dicabar untuk menunjukkan bahawa Allah itu benar-benar "mendengar,  melihat,  hidup dan lain-lain",  maka penjelasan mereka seolah-olah memperbadankan tuhan itu sebagai manusia,  meskipun mereka menafikannya.
Ini adalah kerana mereka tidak dapat memahami apakah sebenarnya maksud idea-idea tentang Sifat Allah itu.  Mereka berkata bahawa berkenaan dengan Iradat  atau Kehendak Allah itu,  adalah ianya bergantung atau berkaitan,  seperti kehendak atau iradat manusia juga,  berkehendak kepada sesuatu dan bertujuan.  Semua pendapat-pendapat ini sudah terkena; dan termasyhur dan kita tidak perlu panjang-lebarkan bicara berkenaan hal ini.  Mereka ini terhijab oleh beberapa cahaya Ketuhanan dan bercampur dengan kegelapan logik akal palsu.  Semua yang tersebut itu adalah kelas-kelas bagi bahgian kedua yang terdiri daripada hijab gelap bercampur cahaya.

Tiada ulasan: