Syeikh Abdul
Qadir Jailani
TIRAI CAHAYA DAN KEGELAPAN
Allah berfirman:
Sesiapa yang buta
di dunia buta juga di akhirat. (Surah Bani Israil, ayat 72).
Bukan buta mata
yang di kepala tetapi buta mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada
melihat cahaya hari akhirat. Firman Allah: Bukan matanya yang buta tetapi
hatinya yang di dalam dada. (Surah Hajj, ayat 46).
Hati menjadi buta disebabkan oleh kelalaian, yang membuat seseorang lupa
kepada Allah dan lupa kepada kewajipan mereka, tujuan mereka, ikrar mereka
dengan Allah, ketika mereka masih berada di dalam dunia. Sebab utama kelalaian
adalah kejahilam terhadap hakikat (kebenaran) undang- undang dan peraturan
Tuhan. Apa yang menyebabkan seseorang itu berterusan di dalam kejahilam ialah
kegelapan yang menyeluruh menutupi seseorang dari luar dan sepenuhnya menguasai
batinnya. Sebahagian daripada nilai-nilai itu yang mendatangkan kegelapan ialah
sifat-sifat angkuh, sombong, megah, dengki, bakhil, dendam, bohong, mengumpat,
fitnah dan lain-lain sifat keji. Sifat-sifat yang keji itulah yang merendahkan
ciptaan Tuhan yang sangat baik sehingga jatuh kepada tahap yang paling rendah.
Untuk membebaskan seseorang daripada kejahatan itu dia perlu menyucikan dan
menyinarkan cermin hatinya. Penyucian ini dilakukan dengan mendapatkan
pengetahuan, dengan beramal menurut pengetahuan itu, dengan usaha dan
keberanian, melawan ego diri, menghapuskan yang banyak pada diri, mencapai
keesaan. Perjuangan ini berterusan sehingga hati menjadi hidup dengan cahaya
keesaan dan dengan cahaya keesaan itu mata bagi hati yang suci akan melihat
hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan pada dirinya. Hanya selepas itu
baharu kamu ingat akan kediaman kamu yang sebenar yang darinya kamu datang.
Kemudian kamu akan ada rasa kerinduan dan keinginan untuk kembali kepada rumah
kediaman yang sebenar, dengan pertolongan Yang Maha Mengasihani roh suci pada
diri kamu akan menyatu dengan-Nya.
Bila sifat-sifat kegelapan terangkat cahaya mengambil alih tempatnya dan
orang yang memiliki mata rohani akan melihat. Dia mengenali apa yang dia lihat
dengan cahaya nama-nama sifat Ilahiah. Kemudian dirinya dibanjiri oleh cahaya
dan bertukar menjadi cahaya. Cahaya ini masih lagi hijab menutupi cahaya suci
Zat, tetapi masanya akan sampai bila ini juga akan terangkat, yang tinggal
hanya cahaya suci Zat itu sendiri.
Hati mempunyai dua mata, satu yang sempat dan satu lagi yang luas. Dengan
mata yang sempat seseorang boleh melihat kenyataan sifat-sifat dan nama-nama
Allah. Penglihatan ini berterusan sepanjang perkembangan kerohaniannya. Mata
yang luas melihat hanya kepada apa yang dijadikan kelihatan oleh cahaya keesaan
dan yang esa. Hanya bila seseorang sampai kepada daerah kehampiran dengan Allah
dia akan melihat, di dalam alam penghabisan bagi kenyataan Zat Allah, Yang Esa
dan Mutlak. Bagi mencapai makam-makam ini ketika masih di dalam dunia, di dalam
kehidupan ini kamu mestilah membersihkan diri kamu daripada sifat-sifat
keduniaan, yang ego dan keegoan. Jarak yang kamu mengembara di dalam kenaikan
kamu ke arah makam-makam tersebut bergantung kepada sejauh mana kamu
mengasingkan diri daripada hawa nafsu yang rendah dan ego diri kamu.
Pencapaian kamu kepada matlamat yang kamu inginkan bukanlah seperti barang
kebendaan sampai ke tempat kebendaan. Ia juga bukan ilmu yang membawa seseorang
kepada sesuatu yang menjadi diketahui (daripada tidak tahu), juga bukan
pertimbangan yang memperolehi apa yang difikirkan, bukan juga khayalan yang
menyatu dengan apa yang dikhayalkan. Matlamat yang kamu ingin capai ialah
kesedaran tentang ketiadaan (kekosongan) kamu daripada segala sesuatu kecuali
Zat Allah. Pencapaian ini adalah perubahan suasana yang terjadi, bukan
perubahan pada sesuatu yang nyata. Di sana tiada jarak, tiada dekat atau jauh,
tiada kesampaian, tiada ukuran, tiada arah, tiada ruang.
Dia Maha Besar, segala puji untuk-Nya. Dia Maha Pengampun. Dia menjadi
nyata dalam apa yang Dia sembunyikan daripada kamu. Dia menyatakan Diri-Nya
sebagaimana Dia melabuhkan tirai di antara Dia dengan kamu. Pengenalan tentang
Diri-Nya tersembunyi di dalam ketidakupayaan mengenali-Nya.
Jika ada di antara kamu yang sampai kepada cahaya yang diterangkan dalam
buku ini ketika kamu masih lagi berada di dalam dunia, buatlah muhasabah
(hisab) terhadap diri kamu, buku catatan kamu tentang amalan kamu. Hanya di
bawah cahaya kamu boleh melihat apa yang kamu sudah buat dan sedang buat; buat
kiraan kamu, seimbangkannya. Kamu akan membaca buku catatan kamu di hadapan
Tuhan kamu pada hari pembalasan. Itu adalah muktamad. Kamu tidak ada peluang
mengimbanginya di sana . Jika kamu lakukan di sini ketika kamu masih ada masa,
kamu akan termasuk ke dalam golongan yang diselamatkan. Jika tidak azab dan
seksa menjadi bahagian kamu di akhirat. Hidup ini akan berakhir. Di sana ada
azab di dalam kubur, ada hari pembalasan, ada neraka yang menimbang sehingga
kepada dosa yang paling kecil dan kebaikan yang paling kecil. Kemudian ada
jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang,
penghujungnya ialah taman, sementara di bawahnya ialah neraka yang penuh dengan
kecelakaan, penderitaan, semuanya adalah berkekalan apabila kehidupan yang
singkat ini berakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan