VERSI TO’ FAKIR
Hikmat
10 ini menghubungkan amal dengan ikhlas.
Hikmat 9 yang lalu telah menghubungkan amal dengan hal. Kedua-dua Kalam
Hikmat ini membina jambatan yang menghubungkan hal dengan ikhlas, kedua-duanya
ada kaitan dengan hati, atau lebih tepat jika dikatakan ikhlas sebagai suasana
hati dan hal sebagai Nur Ilahi yang menyinari hati yang ikhlas. Ikhlas menjadi persediaan yang penting bagi hati
menyambut kedatangan sinaran Nur Ilahi. Apabila Allah s.w.t berkehendak
memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya maka dipancarkan Nur-Nya kepada hati
hamba tersebut. Nur yang dipancar kepada hati ini dinamakan Nur Sir atau Nur
Rahsia Allah s.w.t. Hati yang diterangi oleh nur akan merasai hal ketuhanan
atau mendapat tanda-tanda tentang Tuhan. Setelah mendapat pertandaan dari Tuhan
maka hati pun mengenal Tuhan. Hati yang memiliki ciri atau sifat begini
dikatakan hati yang mempunyai ikhlas tingkat tertinggi. Tuhan berfirman bagi
menggambarkan ikhlas dan hubungannya dengan makrifat:
Dan sebenarnya perempuan itu telah
berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya
kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang
kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami), untuk menjauhkan dari
Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan yang keji, kerana
sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. ( Ayat
24 : Surah Yusuf )
Nabi
Yusuf a.s adalah hamba Allah s.w.t yang ikhlas. Hamba yang ikhlas berada dalam
pemeliharaan Allah s.w.t. Apabila dia dirangsang untuk melakukan kejahatan dan
kekotoran, Nur Rahsia Allah s.w.t akan memancar di dalam hatinya sehingga dia
menyaksikan dengan jelas akan tanda-tanda Allah s.w.t dan sekaligus meleburkan
rangsangan jahat tadi. Inilah tingkat ikhlas yang tertinggi yang dimiliki oleh
orang arif dan hampir dengan Allah s.w.t. Mata hatinya sentiasa memandang
kepada Allah s.w.t, tidak pada dirinya dan perbuatannya. Orang yang berada di
dalam makam ikhlas yang tertinggi ini sentiasa dalam keredaan Allah s.w.t baik
semasa beramal ataupun semasa diam. Allah s.w.t sendiri yang memeliharanya.
Allah s.w.t mengajarkan agar hamba-Nya berhubung dengan-Nya dalam keadaan
ikhlas.
Dia Yang Tetap Hidup; tidak ada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan
mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata. Segala puji tertentu bagi
Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam. ( Ayat 65 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t jua Yang Hidup. Dia yang memiliki
segala kehidupan. Dia jualah Tuhan sekalian alam. Apa sahaja yang ada dalam
alam ini adalah ciptaan-Nya. Apa sahaja yang hidup adalah diperhidupkan
oleh-Nya. Jalan dari Allah s.w.t adalah nikmat dan kurniaan sementara jalan
dari hamba kepada-Nya pula adalah ikhlas. Hamba dituntut supaya mengikhlaskan
segala aspek kehidupan untuk-Nya. Dalam
melaksanakan tuntutan mengikhlaskan kehidupan untuk Allah s.w.t ini hamba tidak
boleh berasa takut dan gentar kepada sesama makhluk.
Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah
dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya (dan menjauhi bawaan syirik),
sekalipun orang-orang kafir tidak
menyukai (amalan yang demikian). ( Ayat 14 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t telah menetapkan kod etika
kehidupan yang perlu dijunjung, dihayati, diamalkan, disebarkan dan
diperjuangkan oleh kaum muslimin dengan sepenuh jiwa raga dalam keadaan ikhlas
kerana Allah s.w.t, meskipun ada orang-orang yang tidak suka, orang-orang yang
menghina, orang-orang yang membangkang dan mengadakan perlawanan. Keikhlasan
yang diperjuangkan dalam kehidupan dunia ini akan dibawa bersama apabila
menemui Tuhan kelak.
Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil
(pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu
(kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan
beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kepada-Nya semata-mata; (kerana)
sebagaimana Ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan
kembali (kepada-Nya)”. ( Ayat 29 : Surah al-A’raaf )
Sekali
pun sukar mencapai peringkat ikhlas yang tertinggi namun, haruslah diusahakan
agar diperolehi keadaan hati yang ikhlas dalam segala perbuatan sama ada yang
lahir mahu pun yang batin. Orang yang telah tumbuh di dalam hatinya rasa
kasihkan Allah s.w.t akan berusaha membentuk hati yang ikhlas. Mata hatinya
melihat bahawa Allah jualah Tuhan Yang Maha Agung dan dirinya hanyalah hamba
yang hina. Hamba berkewajipan tunduk, patuh dan taat kepada Tuhannya. Orang
yang di dalam makam ini beramal kerana Allah s.w.t: kerana Allah s.w.t yang
memerintahkan supaya beramal, kerana Allah s.w.t berhak ditaati, kerana
perintah Allah s.w.t wajib dilaksana, semuanya kerana Allah s.w.t tidak kerana
sesuatu yang lain. Golongan ini sudah dapat menawan hawa nafsu yang rendah dan
pesona dunia tetapi dia masih melihat dirinya di samping Allah s.w.t. Dia masih
melihat dirinya yang melakukan amal. Dia gembira kerana menjadi hamba Allah
s.w.t yang beramal kerana Allah s.w.t. Sifat kemanusiaan biasa masih
mempengaruhi hatinya.
Setelah kerohaniannya meningkat hatinya
dikuasai sepenuhnya oleh lakuan Allah s.w.t, menjadi orang arif yang tidak lagi
melihat kepada dirinya dan amalnya tetapi melihat Allah s.w.t, Sifat-sifat-Nya
dan perbuatan-Nya. Apa sahaja yang ada dengannya adalah anugerah Allah s.w.t.
Sabar, reda, tawakal dan ikhlas yang ada dengannya semuanya merupakan anugerah
Allah s.w.t, bukan amal yang lahir dari kekuatan dirinya.
Tingkat ikhlas yang paling rendah ialah
apabila amal perbuatan bersih daripada riak yang jelas dan samar tetapi masih
terikat dengan keinginan kepada pahala yang dijanjikan Allah s.w.t. Ikhlas
seperti ini dimiliki oleh orang yang masih kuat bersandar kepada amal, iaitu
hamba yang mentaati Tuannya kerana
mengharapkan upah daripada Tuannya itu.
Di
bawah daripada tingkatan ini tidak
dinamakan ikhlas lagi. Tanpa ikhlas seseorang beramal kerana sesuatu muslihat
keduniaan, mahu dipuji, mahu menutup kejahatannya agar orang percaya kepadanya
dan bermacam-macam lagi muslihat yang rendah. Orang dari golongan ini walaupun
banyak melakukan amalan namun, amalan mereka adalah umpama tubuh yang tidak
bernyawa, tidak dapat menolong tuannya dan di hadapan Tuhan nanti akan menjadi
debu yang tidak mensyafaatkan orang yang melakukannya. Setiap orang yang
beriman kepada Allah s.w.t mestilah mengusahakan ikhlas pada amalannya kerana
tanpa ikhlas syiriklah yang menyertai amalan tersebut, sebanyak ketiadaan
ikhlas itu.
(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus
ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan-Nya. (Ayat
31 : Surah al-Hajj )
“Serta (diwajibkan kepadaku): ‘Hadapkanlah
seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) agama dengan
betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang musyrik’”. Dan
janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah,
yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan tidak juga dapat
mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang
demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku
zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). ( Ayat 105 & 106
: Surah Yunus )
Daging dan darah binatang korban atau hadiah
itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya
ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. (Ayat 37 : Surah
al-Hajj )
Allah s.w.t menyeru sekaligus supaya berbuat
ikhlas dan tidak berbuat syirik. Ikhlas adalah lawan kepada
syirik. Jika sesuatu amal itu dilakukan dengan anggapan bahawa ada makhluk yang
berkuasa mendatangkan manfaat atau mudarat, maka tidak ada ikhlas pada amal
tersebut. Bila tidak ada ikhlas akan adalah syirik iaitu sesuatu atau seseorang
yang kepadanya amal itu ditujukan. Orang yang beramal tanpa ikhlas itu
dipanggil orang yang zalim, walaupun pada zahirnya dia tidak menzalimi sesiapa.
Intisari kepada ikhlas adalah melakukan sesuatu kerana Allah s.w.t
semata-mata, tidak ada kepentingan lain. Kepentingan diri sendiri merupakan
musuh ikhlas yang paling utama. Kepentingan diri lahir daripada nafsu. Nafsu
inginkan kemewahan, keseronokan, kedudukan, kemuliaan, puji-pujian dan
sebagainya. Apa yang lahir daripada nafsu itulah yang sering menghalang atau
merosakkan ikhlas.
Sufi, Tasawwuf, Tauhid, Hakikat, Iman, Ihsan, Tariqat, Waliyullah, Makrifat, Maqam, Hal, Iblis, Risalah Sufi, Aql, Qalbu, Ruh, Nafs, Kematian, Ajaran sufi, Tokoh sufi, Tokoh Tariqat, Malaikat, Para sahabat, Dialog Rohani, Kitab Hikam, Hadis Arbain, Kasyaf, Hijab, Nur Muhammad, Wahdatul Wujud, Makrifat, Akhlak Rasulullah, Metafizik, Kitab Taswwuf, Akhir Zaman , Novel Hakikat, Basmalah, Syahadatain, Tafsir Al Quran, Buku Tasawwuf, Adab Sufi, Karamah, Qadha dan Qadar,
Catatan Popular
-
Pada umumnya orang hanya mengetahui manusia itu hanya terdiri dari jasad dan ruh. Mereka tidak memahami sesungguhnya manusia terdiri da...
-
Ada pun makrifat itu rahsianya ialah mengenal Zat Allah dan Zat Rasulullah,oleh kerana itulah makrifat dimulakan:- 1. Makrifat diri yang...
-
MEMPERSEMBAHKAN KITAB RAHSIA TO’ KU PALOH Bismillah Hirrohman Nir Rohim. ~ Adapun syariat itu ...
-
Adapun kemudian daripada itu, yakni daripada memuji Allah dan mengucapkan shalawat kepada Rasulullah SAW, maka inilah suatu kitab yang sud...
-
ILMU DAN MAKRIFAT TOK GURU PERAMU. Manuskrip yang disebut itu tiada dicatitkan siapa pengarangnya tetapi ada disebutkan sebagai ILMU D...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan