Catatan Popular

Ahad, 16 September 2012

TOKOH SUFI ABDULLAH AL MUBARAK 10: ABDULLAH AL MUBARAK MEWARISI IBNU MAS’UD


Tetapi Allah S.W.T. telah memberi hidayah kepada Abdullah bin Al-Mubarak (meninggal pada 181H) untuk mentajdidkan kembali kehangatan nadi umat Islam.
Abdullah bin Al-Mubarak Rahimahullah adalah seorang ahli hadis yang thiqah. Ini terbukti dengan adanya hadis-­hadis beliau yang termaktub di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim, kitab-kitab sunan dan kitab-kitab musnad. Lebih dari itu, beliau adalah antara fuqahak yang bijak dan mempunyai harta yang banyak. Kekayaannya telah dibelanjakan untuk membiayai ahli ilmu di semua kota-kota besar Islam. Beliau juga mempunyai koleksi puisi-puisi iman yang indah.
Bukan itu saja, bahkan beliau juga adalah seorang da’i dan mujahid. Setiap tahun beliau menghadiri perang ke negara Rom Timur dan menjadikan Tarsus yang terletak di selatan Turki sebagai tempat tinggalnya. Sifat-sifat inilah yang menjadikan beliau pemimpin ahli hadis dalam generasinya.
Kata-kata yang dipetik di dalam bukunya dari Abdullah bin Mas’ud itu telah menggegarkannya lalu dijadikan sebagai pelita panduan dalam hidupnya. Beliau memainkan peranan  Ibnu Mas’ud yang kedua. Hinggakan kita dapat lihat beliau membantah sikap sahabatnya, seorang abid zahid yang thiqah iaitu al-Fudhail bin Iyadh r.a (meninggal pada 187H) kerana meninggalkan jihad di medan dan mengasingkan diri di Mekah untuk beribadat.
Al-Fudhail juga merupakan seorang ahli hadis yang thiqah. Ini terbukti melalui hadis-hadisnya yang terdapat di dalam kitab sahih al-Bukhari dan Muslim. Dalam sejarah Islam, beliau dianggap sebagai abid dan zahid yang termasyhur dan paling baik perkataannya. Tetapi Abdullah bin Al-Mubarak tidak menganggap keistimewaan itu sebagai alasan untuk meninggalkan jihad dan memerangi musuh Islam. Ibnu al-Mubarak pun mengeluarkan ‘kata-kata berat’ kepada al-Fudhail dan menyifatkan sahabatnya itu sebagai ahli abid yang bermain-main dengan ibadatnya. Tegurannya itu dikirimkan kepada al-Fudhail dari Tarsus setelah selesai satu peperangan, semasa belum pun sempat debu di badannya hilang. Beliau mengirimkan rangkap-rangkap puisi yang tersangat indah, yang boleh dijadikan hujah bagi setiap da’i selepas beliau.
Puisinya mengandungi rangkap-rangkap yang sungguh mengkagumkan, isinya yang sangat benar dan mesejnya sangat tepat dan mantap.
Bukalah hati kalian, rungkaikanlah belenggu dan bebaskanlah hati kalian dari ikatan, supaya ia dapat terbang dan melayang tinggi bersama rangkap­-rangkap puisi Ibnu al-Mubarak:
Wahai abid dua tanah haram, jika kamu melihat kami,
nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu.
Orang yang membasahi lehernya dengan air mata,    sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah,
Dia memenatkan kudanya di dalam sia-sia, sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan,
Kamu berbau harum dengan minyak wangi, sedangkan minyak wangi kami adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan,
Telah datang sabda Nabi kita kepada kita, kata yang benar, tepat dan bukan dusta,
“Tidak akan bertemu debu kuda pada hidung seseorang, dengan asap neraka yang menyala”
Kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa, “orang yang mati syahid itu tidak mati” ini bukan satu dusta

Ungkapan Abdullah bin al-Mubarak ini ditujukan kepada seseorang yang berada di tanah haram Makah al-Mukarramah untuk beribadah. Al-Fudhail digelar ”abid dua tanah haram” (Mekah dan Madinah). Beliau terkenal dengan banyak menangis. Kerana itulah Abdullah bin al-Mubarak menyindirnya dengan menyebut air mata. Seperti kebanyakan orang yang bersolat, al-Fudhail memakai haruman mawar dan lain-lain wangian sebagai mengikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu, Abdullah bin Al-Mubarak menyindirnya dengan mengatakan ianya hanya satu haruman sahaja dan terlalu mudah, padahal Rasulullah S.A.W. dan pewaris baginda dari kalangan ulama’ mujahidin berlumuran dengan bauan debu di medan di samping haruman mawar dan kasturi.
Apakah yang patut kita katakan kepada orang yang pada hari ini meninggalkan jihad dan dakwah, tidak melakukan amar makruf dan nahi mungkar, bukan kerana banyak beribadat, tetapi adalah kerana untuk berehat, bermewah, mengumpul-ngumpulkan harta atau hanya ingin memuaskan hati isteri atau suami?
Apakah tidak patut kita katakan kepada ahli zuhud hari ini apa yang telah di katakan oleh Abdullah bin Al-Mubarak:
“Wahai ahli ibadah, jika kamu melihat bagaimana da’i Islam bertarung dengan pendukung kekafiran (jahiliyyah) dan puak-puak yang sesat di zaman moden ini, barulah kamu perasan bahawa kamu hanyalah bermain-main dalam ibadatmu.”
Jika orang yang banyak beribadah pada hari ini merasa bengkok belakangnya kerana terlalu banyak melakukan solat, kering tekak mereka kerana terus-menerus berpuasa, maka para da’i pula bengkok belakang mereka kerana setelah menunaikan solat fardhu dan sunat, mereka terpaksa ke sana ke mari pula membincangkan dan merencanakan pelbagai urusan dan maslahah umat Islam. Tekak mereka pula kering kerana banyak bekerja dan bergerak. Mereka mengorbankan darah mereka hinggakan jasad-jasad mereka kemudiannya  terkulai di tali gantung.

Tiada ulasan: