Syeikh Abdul Qadir Jailani
TAUBAT DAN PENGAJARAN MELALUI PERKATAAN
Tahap-tahap dan peringkat-peringkat perubahan kerohanian telah pun disebut.
Perlu ditegaskan bahawa setiap peringkat dicapai terutamanya dengan taubat.
Bolehlah dipelajari cara bertaubat dengan orang yang mengetahui cara berbuat
demikian dan yang telah sendirinya bertaubat. Taubat yang sebenar dan
menyeluruh merupakan langkah pertama di dalam perjalanan. (Ingatlah) tatkala
orang-orang kafir itu adakan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan
jahiliah.
Lalu Allah
turunkan ketenteraman atas rasul-Nya dan atas mukmin. Dan Dia wajibkan mereka
(ucapkan) perkataan menjaga keselamatan (taubat) kerana mereka lebih berhak
dengan itu, dan memang (mereka) ahlinya, dan adalah Allah mengetahui tiap
sesuatu. (Surah Fath, ayat 26).
Keadaan takutkan Allah mempunyai maksud yang sama dengan kalimah La ilaha
illa Llah “tiada Tuhan, tiada apa-apa, kecuali Allah. Bagi orang yang
mengetahui ini akan ada perasaan takut kehilangan-Nya, kehilangan
perhatian-Nya, cinta-Nya, keampunan-Nya; dia takut dan malu melakukan kesalahan
sedangkan Dia melihat, dan takutkan azab-Nya. Jika seseorang itu tidak
berkeadaan demikian dia perlu mendapatkaan orang yang takutkan Allah dan
menerima keadaan takutkan Allah itu daripada orang berkenaan
Sumber dari mana perkataan itu diterima mestilah
bersih dan suci daripada segala-galanya kecuali Allah, dan sesiapa yang menerimanya
mestilah ada kebolehan untuk membezakan antara perkataan
orang yang suci hatinya dengan perkataan orang awam.
Penerimanya mestilah sedar cara perkataan itu diucapkan,
kerana perkataan yang bunyinya sama mungkin mempunyai maksud
yang jauh berbeza. Tidak mungkin perkataan yang datangnya daripada sumber yang asli sama dengan perkataan yang datangnya
daripada sumber lain. Hatinya menjadi hidup bila dia
menerima benih tauhid daripada hati yang hidup kerana
benih yang demikian sangat subur, itulah benih kehidupan.
Tidak ada yang tumbuh daripada benih yang kering lagi tiada
kehidupan.
Kalimah suci La ilaha illa lah disebut dua kali di dalam Quran menjadi bukti. (Kerana) apabila
dikata kepada mereka Tiada Tuhan melainkan Allah mereka
menyombong. Dan mereka berkata, Apakah kami mesti
tinggalkan tuhan-tuhan kami buat (mengikut) seorang ahli syair dan gila? (Surah Shaaffaat. Ayat 35 & 36).
Ini adalah keadaan orang awam yang baginya rupa luar
termasuk kewujudan zahirnya
adalah tuhan-tuhan. Oleh itu Ketahuilah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Dan mintalah perlindungan bagi buah amal kamu, dan
bagi mukmin dan mukminat, dan Allah mengetahui tempat usaha kamu
(di siang hari) dan tempat kembali kamu (pada malam
hari). (Surah Muhammad, ayat 19).
Firman Allah ini menjadi panduan kepada
orang-orang beriman yang tulen yang takutkan Allah. Saidina Ali r.a meminta Rasulullah
s.a.w mengajarkan kepadanya cara yang mudah, paling bernilai,
paling cepat kepada keselamatan. Baginda s.a.w menanti
Jibrail memberikan jawapannya daripada sumber Ilahi.
Jibrail datang dan mengajarkan baginda s.a.w mengucapkan
La ilaha sambil memusingkan mukanya yang diberkati ke kanan,
dan mengucapkan illa lah sambil memusingkan mukanya ke kiri, ke arah hati sucinya yang diberkati. Jibrail mengulanginya tiga kali;
Nabi s.a.w mengulanginya tiga kali dan
mengajarkan yang demikian kepada Saidina Ali r.a dengan
mengulanginya tiga kali juga. Kemudian baginda s.a.w mengajarkan
yang demikian kepada sahabat-sahabat baginda. Saidina Ali r.a merupakan orang yang pertama bertanya dan menjadi orang yang pertama
diajarkan. Kemudian satu hari selepas kembali daripada
peperangan, Nabi s.a.w berkata kepada pengikut-pengikut baginda,
Kita baharu kembali daripada peperangan yang kecil untuk
menghadapi peperangan yang besar
Baginda s.a.w merujukkan kepada perjuangan dengan
ego diri sendiri, keinginan yang rendah yang menjadi musuh kepada penyaksian kalimah
tauhid. Baginda s.a.w bersabda, Musuh kamu yang paling besar ada
di bawah rusuk kamu Cinta Ilahi tidak akan hidup
sehinggalah musuhnya, hawa nafsu badaniah kamu, mati dan
meninggalkan kamu. Mula-mulanya kamu mesti bebas daripada
ego kamu yang mengheret kamu kepada kejahatan. Kemudian kamu
akan mula memiliki suara hati yang belum penuh, walaupun kamu masih belum bebas sepenuhnya daripada dosa. Kamu akan memiliki perasaan mengkritik diri sendiri “tetapi ia belum mencukupi. Kamu
mesti melepasi tahap tersebut kepada peringkat di mana
hakikat yang sebenarnya dibukakan kepada kamu, kebenaran
tentang benar dan salah. Kemudian kamu akan berhenti
melakukan kesalahan dan akan hanya melakukan kebaikan.
Dengan demikian diri kamu akan menjadi bersih. Di
dalam menentang
hawa nafsu dan tarikan badan kamu, kamu mestilah melawan nafsu
kehaiwanan “kerakusan, terlalu banyak tidur, pekerjaan yang sia-sia dan menentang sifat-sifat haiwan liar di dalam diri kamu kekejian, marah, kasar
dan berkelahi. Kemudian kamu mesti usahakan membuang perangai- perangai ego yang jahat, takabur, sombong, dengki, dendam, tamak dan
lain-lain penyakit tubuh dan hati kamu. Cuma orang yang berbuat demikian yang
benar-benar bertaubat dan menjadi bersih, suci murni dan tulen. Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang bertaubat dan memelihara
kesuciannya. (Surah Baqarah, ayat 222).
Dalam melakukan
taubat seseorang itu mestilah mengambil perhatian supaya
penyesalannya tidak samar-samar dan tidak juga secara umum agar dia tidak jatuh ke dalam ancaman Allah: Tidak kira berapa banyak
mereka bertaubat mereka tidak sebenarnya menyesal. Taubat
mereka tidak diterima. Ini ditujukan kepada mereka yang
hanya mengucapkan kata-kata taubat tetapi tidak tahu
sejauh mana dosa mereka, malah tidak mengambil tindakan pembaikan
dan pencegahan. Itulah taubat yang biasa, taubat zahir yang tidak menusuk kepada punca dosa. Ia adalah umpama orang yang cuba menghapuskan rumput dengan memotong bahagian di atas tanah tetapi
tidak mencabut akarnya yang di dalam bumi. Tindakan yang
demikian membantu rumput untuk tumbuh dengan lebih segar.
Orang yang bertaubat dengan mengetahui kesalahannya dan
punca kesalahan itu berazam tidak mengulanginya dan
membebaskan dirinya daripada kesalahan itu, mencabut akar pokok yang merosakkan
itu. Cangkul yang digunakan untuk menggali akarnya, punca
kepada dosa-dosa, ialah pengajaran kerohanian daripada guru
yang benar. Tanah mestilah dibersihkan sebelum ditanam pokok orkid.
Dan Kami bawakan
perumpamaan kepada manusia supaya mereka memikirkannya. (Surah Hasyr, ayat 21).
Dia jualah
Penerima taubat hamba-hamba-Nya dan mengampunkan dosa, dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Syura, ayat 25).
Kecuali orang
yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan kerana
adalah Allah itu Pengampun, Penyayang. (Surah Furqaan, ayat 70).
Ketahuilah taubat
yang diterima tandanya ialah seseorang itu tidak lagi jatuh ke dalam dosa tersebut. Ada dua jenis taubat , taubat orang dan taubat mukmin sejati . Orang awam
berharap meninggalkan kejahatan dan masuk kepada kebaikan
dengan cara mengingati Allah dan mengambil langkah usaha
bersungguh-sungguh, meninggalkan hawa nafsunya dan kesenangan badannya dan menekankan egonya. Dia mesti meninggalkan keegoannya
yang ingkar terhadap peraturan Allah dan masuk kepada taat.
Itulah taubatnya yang menyelamatkannya dari neraka dan
memasukkannya ke dalam syurga.
Orang mukmin sejati, hamba Allah yang tulen,
berada di dalam suasana yang jauh berbeza. Mereka berada pada makam makrifat yang
jauh lebih tinggi daripada makam orang awam yang paling
baik. Sebenarnya bagi mereka tidak ada lagi anak tangga
untuk dipanjat; mereka telah sampai kepada kehampiran
dengan Allah. Mereka telah meninggalkan kesenangan dan
nikmat dunia ini dan menikmati kelazatan alam kerohanian “rasa kehampiran dengan Allah, nikmat menyaksikan Zat-Nya dengan mata
keyakinan.
Perhatian orang awam tertuju kepada dunia ini dan
kesenangan mereka adalah merasai nikmat kebendaan dan kewujudan kebendaannya. Malah,
jika kewujudan kebendaan manusia dan dunia merupakan satu
kesilapan begitu jugalah nikmat dan kecacatan yang paling
baik daripadanya.
Kata- kata yang diucapkan oleh orang arif, Kewujudan dirimu
merupakan dosa, menyebabkan segala dosa menjadi kecil
jika dibandingkan dengannya. Orang arif selalu mengatakan
bahawa kebaikan yang dilakukan oleh orang baik-baik tidak
mencapai kehampiran dengan Allah tidak lebih daripada kesalahan
orang yang hampir dengan-Nya. Jadi, bagi mengajar kita memohon keampunan
terhadap kesalahan yang tersembunyi yang kita sangkakan
kebaikan, Nabi s.a.w yang tidak pernah berdosa memohon keampunan
daripada Allah sebanyak seratus kali sehari. Allah Yang Maha Tinggi mengajarkan kepada rasul-Nya:
Pintalah perlindungan bagi buah amal kamu dan bagi mukmin dan mukminat.
(Surah Muhamamd, ayat 19).
Dia jadikan rasul-Nya yang suci murni sebagai teladan
tentang cara bertaubat dengan merayu kepada Allah supaya
menghilangkan ego seseorang, sifat-sifatnya dan dirinya,
semuanya pada diri seseorang, mencabut kewujudan diri
seseorang. Inilah taubat yang sebenarnya. Taubat yang
demikian meninggalkan segala-galanya kecuali Zat Allah, dan berazam untuk kembali kepada-Nya, kembali kepada kehampiran-Nya
untuk melihat Wajah Ilahi. Nabi s.a.w menjelaskan taubat yang
demikian dengan sabda baginda s.a.w, Ada sebahagian
hamba-hamba Allah yang tulen yang tubuh mereka berada di
sini tetapi hati mereka berada di sana , di bawah arasy.
Hati mereka berada pada langit kesembilan, di bawah arasy Allah kerana penyaksian suci terhadap Zat-Nya tidak mungkin berlaku
pada alam bawah. Di sini hanya kenyataan atau penzahiran
sifat-sifat suci-Nya yang dapat disaksikan, memancar ke
atas cermin yang bersih kepunyaan hati yang suci. Saidina
Umar r.a berkata, Hatiku melihat Tuhanku dengan cahaya
Tuhanku. Hati yang suci adalah cermin di mana keindahan, kemuliaan
dan kesempurnaan Allah memancar. Nama lain yang diberi kepada
suasana ini ialah pembukaan (kasyaf), menyaksikan sifat-sifat Ilahi yang suci.
Bagi
memperolehi suasana tersebut, untuk membersihkan dan menyinarkan hati, perlulah kepada guru
yang matang, yang di dalam keesaan dengan Allah, yang
disanjung dan dimuliakan oleh semua, dahulu dan sekarang. Guru berkenaan mestilah telah sampai kepada makam kehampiran dengan
Allah dan dihantar balik ke alam rendah oleh Allah untuk
membimbing dan menyempurnakan mereka yang layak tetapi
masih mempunyai kecacatan. Di dalam penurunan mereka
untuk melakukan tugas tersebut wali-wali Allah mestilah
berjalan Sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w dengan mengikuti
teladan baginda s.a.w, tetapi tugas mereka berlainan dengan tugas rasul. Rasul diutuskan untuk menyelamatkan orang ramai dan juga orang-
orang yang beriman. Guru-guru tadi pula tidak dihantar untuk
mengajar semua orang tetapi hanyalah sebilangan yang
dipilih sahaja. Rasul-rasul diberi kebebasan dalam
menjalankan tugas mereka, sementara wali-wali yang mengambil tugas
sebagai guru mesti mengikuti jalan rasul-rasul dan nabi-nabi.
Guru kerohanian yang mengaku diri mereka merdeka, menyamakan dirinya dengan
nabi, jatuh kepada kesesatan dan kekufuran. Bila Nabi s.a.w mengatakan
sahabat-sahabat baginda yang arif adalah umpama nabi-nabi Bani Israil, baginda
memaksudkan lain daripada ini kerana nabi-nabi yang datang selepas Musa a.s
semuanya mengikuti prinsip agama yang dibawa oleh Musa a.s. Mereka tidak
membawa peraturan baharu. Mereka mengikuti undang-undang yang sama. Seperti
mereka juga orang-orang arif dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w yang
bertugas membimbing sebahagian daripada orang-orang suci yang dipilih,
mengikuti kebijaksanaan Nabi s.a.w, tetapi menyampaikan perintah dan larangan
dengan cara baharu yang berbeza, terbuka dan jelas, menunjukkan kepada
murid-murid mereka dengan perbuatan yang mereka kerjakan pada masa dan keadaan
yang berlainan. Mereka memberi dorongan kepada murid-murid mereka dengan
menunjukkan kelebihan dan keindahan prinsip-prinsip agama. Tujuan mereka ialah
membantu pengikut-pengikut mereka menyucikan hati yang menjadi tapak untuk
membena tugu makrifat.
Dalam semua itu mereka mengikut teladan daripada pengikut-pengikut
Rasulullah s.a.w yang terkenal sebagai golongan yang memakai baju bulu' yang
telah meninggalkan semua aktiviti keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah
s.a.w dan berada hampir dengan baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana
mereka menerimanya secara langsung daripada mulut Rasulullah s.a.w. Dalam
kehampiran mereka dengan Rasulullah s.a.w mereka telah sampai kepada peringkat
di mana mereka boleh bercakap tentang rahasia israk dan mikraj Rasulullah s.a.w
sebelum baginda membuka rahasia tersebut kepada sahabat-sahabat baginda. Wali-
wali yang menjadi guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi s.a.w dengan
Tuhannya. Amanah dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa
dianugerahkan kepada mereka. Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada
kenabian, dan diri batin mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w.
Tidak semua orang yang memiliki ilmu berada di dalam keadaan tersebut.
Mereka yang sampai ke situ adalah yang lebih hampir kepada Rasulullah s.a.w
daripada anak-anak dan keluarga mereka sendiri dan mereka adalah umpama
anak-anak kerohanian Rasulullah s.a.w yang hubungannya lebih erat
daripada hubungan darah. Mereka adalah pewaris sebenar kepada Nabi s.a.w. Anak yang sejati memiliki zat dan rahasia bapanya pada rupa
zahirnya dan juga pada batinnya. Nabi s.a.w menjelaskan
rahasia ini, Ilmu khusus adalah umpama khazanah rahasia
yang hanya mereka yang mengenali Zat Allah boleh
mendapatkannya. Namun bila rahasia itu dibukakan orang yang mempunyai kesedaran dan ikhlas tidak menafikannya.
Ilmu tersebut dimasukkan kepada Nabi s.a.w pada
malam baginda s.a.w mikraj kepada Tuhannya. Rahasia itu tersembunyi di dalam diri baginda
di sebalik tiga ribu tabir hijab. Baginda s.a.w tidak
membuka rahasianya melainkan kepada sebahagian pengikut
baginda yang sangat hampir dengan baginda. Melalui
penyebaran dan keberkatan rahasia inilah Islam akan terus memerintah sehingga ke hari kiamat. Pengetahuan
batin tentang yang tersembunyi membawa seseorang kepada
rahasia tersebut. Sains, kesenian dan kemahiran keduniaan adalah umpama kerangka kepada pengetahuan
batin. Mereka yang memiliki pengetahuan kerangka itu bolehlah
mengharapkan satu hari nanti mereka diberi kesempatan untuk
memiliki apa yang di dalam kerangka. Sebahagian daripada
mereka yang berilmu memiliki apa yang patut dimiliki oleh
seorang manusia secara umumnya sementara sebahagian yang
lain menjadi ahli dan memelihara ilmu tersebut daripada
hilang. Ada golongan yang menyeru kepada Allah
dengan nasihat yang baik. Sebahagian daripada mereka
mengikuti sunnah Nabi s.a.w dan dipimpin oleh Saidina Ali
r.a. yang menjadi pintu kepada gedung ilmu yang melaluinya
masuklah mereka yang menerima undangan dari Allah.
Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan nasihat dan bantahlah mereka
dengan cara yang lebih baik. (Surah Nahl, ayat 125).
Maksud dan
perkataan mereka adalah sama. Perbezaan pada zahirnya hanyalah
pada perkara-perkara terperinci dan cara pelaksanaannya. Sebenarnya
ada tiga makna yang kelihatan sebagai tiga jenis ilmu yang berbeza dilakukan secara berbeza, tetapi menjurus kepada yang satu
Sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w.
Ilmu dibahagikan
kepada tiga yang tidak ada seorang manusia boleh
menanggung keseluruhan beban ilmu itu juga tidak berupaya
mengamalkan dengan sekaliannya. Bahagian pertama ayat di atas
Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana (hikmah), Sesuai dengan makrifat, zat dan permulaan kepada segala sesuatu, pemiliknya mestilah
sebagaimana Nabi s.a.w beramal Sesuai dengannya. Ia hanya dikurniakan kepada lelaki sejati yang
berani, tentera kerohanian yang akan mempertahankan kedudukannya dan
menyelamatkan ilmu tersebut
Nabi s.a.w bersabda,
Kekuatan semangat lelaki sejati mampu menggoncang gunung. Gunung di sini menunjukkan
keberatan hati sesetengah manusia. Doa lelaki sejati yang
menjadi tentera kerohanian dimakbulkan.
Bila mereka menciptakan sesuatu ia berlaku, bila
mereka mahukan sesuatu hilang maka ia pun hilang. Dia
kurniakan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan
Barangsiapa dikurniakan hikmah maka sesungguhnya dia telah diberi kebajikan yang banyak. (Surah Baqarah, ayat 269).
Jenis kedua ialah ilmu zahir yang disebut Quran
sebagai seruan yang baik, Ia menjadi kulit kepada hikmah kebijaksanaan rohani. Mereka
yang memilikinya menyeru kepada kebaikan, mengajar
manusia berbuat baik dan meninggalkan larangan-Nya. Nabi
s.a.w memuji mereka. Orang yang berilmu menyeru dengan
lemah lembut dan baik hati, sementara yang jahil menyeru
dengan kasar dan kemarahan. Jenis ketiga ialah ilmu yang menyentuh
kehidupan manusia di dalam dunia. Ia disebut sebagai ilmu agama (syariat) yang menjadi sarang kepada hikmah kebijaksanaan
(makrifat). Ia adalah ilmu yang diperuntukkan kepada mereka yang
menjadi pemerintah manusia; menjalankan keadilan ke atas
sesama manusia; pentadbiran manusia ke atas sesama
manusia. Bahagian terakhir ayat Quran yang di atas tadi
menceritakan tugas mereka “dan berbincanglah dengan mereka
dengan cara yang lebih baik. Mereka ini menjadi kenyataan kepada sifat Allah al-Qahhar Yang Maha Keras. Mereka berkewajipan menjaga
peraturan di kalangan manusia selaras dengan hukum Tuhan,
seumpama sabut melindungi tempurung dan tempurung
melindungi isi. Nabi s.a.w menasihatkan, Biasakan dirimu
berada di dalam majlis orang-orang arif, taatlah kepada
pemimpin kamu yang adil. Allah Yang Maha Tinggi menghidupkan
hati dengan hikmah seperti Dia jadikan bumi yang mati hidup
dengan tumbuh-tumbuhan dengan menurunkan hujan. Baginda s.a.w juga bersabda, Hikmah adalah harta yang hilang bagi orang yang
beriman, dikutipnya di mana sahaja ditemuinya.
Malah perkataan yang diucapkan oleh manusia biasa
datangnya daripada Loh Terpelihara menurut hukum Allah terhadap segala perkara daripada
awal hingga akhir. Loh itu disimpan pada alam tinggi pada akal
asbab tetapi perkataan diucapkan menurut makam seseorang.
Perkataan mereka yang telah mencapai makam makrifat
adalah secara langsung daripada alam tersebut, makam
kehampiran dengan Allah. Di sana tidak ada perantaraan Ketahuilah bahawa
semua akan kembali kepada asal mereka. Hati, zat, mesti dikejutkan; jadikan
ianya hidup untuk mencari jalan kembali kepada asalnya yang suci murni. Ia
mesti mendengar seruan. Seseorang mesti mencari orang yang orang yang
daripadanya seruan itu muncul, melaluinya zahir seruan. Itulah guru yang sebenar.
Ini merupakan kewajipan bagi kita.
Nabi s.a.w bersabda, Menuntut ilmu wajib bagi setiap orang Islam lelaki dan perempuan
Ilmu tersebut merupakan peringkat terakhir semua ilmu, itulah ilmu
makrifat, ilmu yang akan membimbing seseorang kepada asalnya, yang sebenar
(hakikat). Ilmu yang lain perlu menurut sekadar mana keperluannya. Allah
menyukai mereka yang meninggalkan cita-cita dan angan-angan kepada dunia,
kemuliaan dan kebesarannya, kerana kepentingan duniawi ini menghalang seseorang
kepada Allah.
Katakanlah:
Aku tidak meminta kepadamu upah atas (menyampaikan)nya, kecuali percintaan
(kepadaku) lantaran kerabat. (Surah Syura, ayat 23).
Ditafsirkan maksud perkataan apa yang hampir dengan kamu ialah datang
hampir dengan kebenaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan