Syeikh Abdul
Qadir Jailani
ZIKIR
Allah Yang Maha Tinggi menunjukkan jalan
kepada para pencari supaya mengingati-Nya: Dan hendaklah kamu sebut Dia
sebagaimana Dia pimpin kamu. (Surah Baqaraah, ayat 198).
Ini bermakna Pencipta kamu telah
membawa kamu ke peringkat kesedaran dan keyakinan yang tertentu dan kamu hanya
boleh mengingati-Nya menurut kadar keupayaan tersebut. Nabi s.a.w bersabda,
Ucapan zikir yang paling baik adalah yang aku dan sekalian nabi-nabi bawa,
itulah kalimah La ilaha illa llah. Terdapat berbagai- bagai peringkat zikir dan
masing-masing ada cara yang berlainan. Ada yang diucap dengan lidah secara kuat
dan ada pula yang diucapkan secara senyap, dari lubuk hati. Pada peringkat
permulaan seseorang perlu menyebutkan ucapan zikirnya dengan lidahnya secara
berbunyi. Kemudian peringkat demi peringkat zikir mengalir ke dalam diri, turun
kepada hati, naik kepada roh dan seterusnya pergi semakin jauh iaitu kepada
bahagian rahasia-rahasia, pergi lagi kepada yang lebih jauh iaitu bahagian yang
tersembunyi sehinggalah kepada yang paling tersembunyi daripada yang
tersembunyi. Sejauh mana zikir masuk ke dalam, peringkat yang dicapainya,
bergantung kepada sejauh mana Allah dengan kemurahan-Nya membimbing seseorang.
Zikir yang diucapkan dengan perkataan menjadi kenyataan bahawa hati tidak lupa
kepada Allah. Zikir secara senyap di dalam hati adalah pergerakan perasaan.
Zikir hati adalah dengan cara merasakan di dalam hati tentang kenyataan tentang
keperkasaan dan keelokan Allah. Zikir adalah melalui pancaran cahaya suci yang
dipancarkan oleh keperkasaan dan keelokan Allah. Zikir pada tahap rahasia ialah
melalui keghairahan (zauk) yang diterima daripada pemerhatian rahasia suci itu.
Zikir pada bahagian tersembunyi membawa seseorang kepada: Di tempat duduk yang
hak, di sisi Raja Agung yang sangat berkuasa. (Surah Qamar, ayat 55).
Zikir peringkat terakhir yang
dipanggil khafi al-khafi “yang paling tersembunyi daripada yang tersembunyi
“membawa seseorang kepada suasana fana diri sendiri dan penyatuan dengana yang
hak. Dalam kenyataannya tiada sesiapa kecuali Allah yang mengetahui keadaan
orang yang telah masuk ke dalam alam yang mengandungi semua
pengetahuan,kesudahan kepada semua dan segala perkara.
Dia mengetahui rahasia dan yang lebih
tersembunyi. (Surah Ta Ha, ayat 7).
Bila seseorang telah melepasi
tahap zikir-zikir tersebut suasana jiwa yang berlainan seolah-olah roh lain
lahir dalam diri seseorang. Roh ini
lebih tulen dan seni daripada roh-roh yang lain. Ia adalah bayi kepada hati,
bayi kepada hakikat. Ketika dalam bentuk benih bayi ini mengajak dan menarik
orang lain untuk mencari dan menemui yang hak. Setelah ia lahir bayi ini
menggesa orang lain supaya mendapatkaan Zat Allah Yang Maha Tinggi. Roh baharu
ini yang dinamakan bayi kepada hati dan juga benih serta keupayaannya tidak
terdapat pada semua orang. Ia hanya terdapat pada orang mukmin yang tulen.
Dia jualah yang
tinggi darjat-Nya, yang memiliki arasy. Dia kirim roh dari perintah-Nya kepada
sesiapa yang Dia kehendaki:. (Surah Mukmin, ayat 15).
Roh khusus ini dihantar daripada makam Yang Maha Perkasa dan diletakkan di
dalam alam maya yang nyata di mana sifat-sifat Pencipta menyata pada
penciptaan, tetapi roh ini adalah kepunyaan alam yang hak. Ia tidak berminat
dan tidak memperdulikan apa sahaja melainkan Zat Allah. Nabi s.a.w bersabda,
Dunia ini tidak disukai dan tidak dihajati oleh orang yang inginkan akhirat.
Akhirat pula tidak dihajati oleh orang yang inginkan dunia, dan ia tidak akan
diberi kepada mereka. Tetapi bagi roh yang mencari Zat Allah dunia dan akhirat
tidak menarik perhatiannya. Roh untuk yang hak. Orang yang memilikinya akan
mencari, menemui dan bersama Tuhannya. Apa sahaja yang kamu buat di sini zahir
kamu mestilah menurut jalan yang lurus. Ia hanya mungkin dengan mengikuti dan
mematuhi serta memelihara peraturan dan hukum agama. Untuk berbuat demikian
seseorang haruslah menyedari, mengingati Allah malam dan siang, zahir dan
batin, berterusan.
Bagi
mereka yang menyaksikan yang hak mengingati Allah adalah wajib sebagaimana
perintah-Nya: Maka hendaklah kamu ingat kepada Allah sambil berdiri dan sambil
duduk dan sambil (berbaring) atas rusuk-rusuk kamu. (Surah Nisaa', ayat 103).
Yang
mengingati Allah sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring dan
memikirkan tentang kejadian langit- langit dan bumi (sambil berkata), Wahai
Tuhan kami, Engkau tidak jadikan (semua) ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau.
(Surah Imraan, ayat 191).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan