Apakah maksud hadis ini,
"Allah mempunyai 70 000 hijab cahaya
dan gelap; sekiranya Dia membuka hijab itu, maka Keagungan wajahNya
nescaya akan menelan tiap-tiap orang yang menelannya dengan
pandangannya"
(Setengah
mengatakan "70 000" hijab, dan ada pula yang mengatakan
"700" hijab).
Maka saya(Imam Ghazali) terangkan
demikian. Allah itu sendiri memang Agung dan Mulia. Hijab atau
tirai itu adalah berkaitan kepada mereka yang terdinding dengan Zat Yang Agung
itu. Ada tiga jenis hijab yang ada pada manusia iaitu; - Gelap
sebenarnya,
- Campuran
gelap dengan cahaya,
- Cahaya
sebenarnya.
Pecahan kepada ketiga-tiga jenis itu adalah banyak. Setakat itu sahaja yang dapat
kita petikkan. Boleh juga dibanyakkan atau dibilang-bilangkan
pecahan-pecahan ini kepada yang lain, tetapi tidak berapa yakin dengan
hasil bilangan dan penentuannya itu. Tidak ada siapapun yang tahu sama
ada ianya benar-benar boleh dipastikan atau tidak. Perkara menentukan
bilangan itu sebanyak "700" atau "70 000" adalah perkara
yang hanya kuasa Kenabian sahaja yang boleh mengetahuinya. Pada pendapat
saya(Imam Ghazali) bilangan-bilangan ini bukanlah perkara yang tetap kerana
selalu juga bilangan-bilangan disebut tanpa bermaksud untuk membatas atau
menghadkan bilangan itu, tetapi hanya bermaksud untuk menyebut "banyak"
sahaja. Allah lebih mengetahuinya.
Oleh itu perkara bilangan
tersebut adalah di luar keupayaan kita untuk menentukannya. Maka sekarang
saya akan terangkan tiga bahagian atau pecahan yang utama dan beberapa
pecahan-pecahan selanjutnya daripada tiga itu. 1. Mereka Yang Terhijab Oleh Yang Sebenarnya.
Bahagian pertama ialah mereka yang terhijab atau terdinding oleh gelap yang sebenarnya. Mereka ini ialah orang "Atheis" tidak percaya dengan Allah dan hari kemudian. Inilah orang "yang kasih kepada kehidupan dunia ini lebih daripada kehidupan akhirat"- (Al-Quran); kerana mereka tidak percaya dengan apa yang akan datang kemudian.
Mereka ini pula terbahagi kepada beberapa pecahan.
Pertama, mereka yang hendak mencari sebab terhadap kehidupan di dunia ini dan mereka jadikan Alam Tabie ini sebagai sebab. Tetapi Alam Tabie ini ialah satu sifat yang ada pada benda-benda. Ianya pula adalah gelap kerana ia;
- tidak
ada ilmu pengetahuan,
- tidak
ada pandangan,
- tidak ada kesedaran terhadap diri
sendiri,
- tidak ada kesedaran terhadap yang
lain,
- tidak ada cahaya pandangan melalui
perantaraan mata.
Kedua, mereka yang dipengaruhi oleh kepentingan diri sendiri dan tidak mahu mengetahui tujuan hidup ini. Mereka hidup sebagai kehidupan binatang. Hijab ini ialah diri mereka sendiri (self-centered ego) dan hawa nafsu gelap mereka itu. Tidak ada gelap yang lebih gelap daripada penghambaan kepada dorongan diri sendiri dan cinta diri sendiri.
Firman Allah yang bermaksud; "Tidakkah engkau orang yang mempertuhankan diri?"-(Al-Quran); dan sabda Nabi Muhammmad SAW.; "Mempertuhankan yang lain dari Allah, yang paling dibenci ialah mempertuhankan diri sendiri".
Bahagian yang kedua ini boleh dibahagi-bahagikan lagi kepada beberapa pecahan.
- Satu daripadanya ialah manusia yang menganggap dan berkeyakinan bahawa
matlamat atau tujuan akhir hidup di dunia ini ialah untuk memuaskan hawa
nafsu kebinatangan mereka sahaja, sama ada berkenaan dengan
jantina(sex), atau makan-minum atau pun pakaian. Inilah
hamba nafsu. Hawa nafsu itulah Tuhan mereka. Mereka
percaya bahawa dengan memuaskan nafsu itu, mereka akan mendapat
kebahagiaan. Inilah manusia yang merendahkan martabat mereka lebih
rendah daripada martabat binatang. Adakah sesuatu yang lebih
gelap daripada in????. Inilah orang yang dihijab sebenarnya.
- Satu lagi ialah
golongan manusia yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah menakluk
dan menguasai, seperti mengambil orang-orang tawanan, membunuh dan
merampas. Demikian itulah anggapan orang-orang Arab,
orang-orang Kurdi yang tertentu dan kebanyakan orang-orang yang
jahil. Hijab pada mereka ialah sifat-sifat ganas dan garang.
Sifat-sifat ini menguasai mereka. Mereka berasa senang hati dengan
sifat-sifat mereka itu. Inilah orang-orang yang bersifat
binatang. Mereka merendahkan martabat
kemanusian mereka itu lebih rendah lagi daripada binatang.
- Satu golongan manusia ialah yang menganggap matlamat akhir hidup
ini ialah kekayaan harta benda kerana kekayaan ini adalah alat untuk
memuaskan tiap-tiap nafsu syahwat mereka. Mereka
menghabiskan masa muda dan tenaga mereka dengan memperbanyakkan dan mengumpul
harta kekayaan -wang ringgit, emas dan perak,
tanah dan rumah yang indah, gedung-gedung besar dan lain-lain
lagi. Mereka mengumpul dan menyimpan wang ringgit
sebanyak-banyaknya. Mereka bertungkus lumus siang dan malam di mana
sahaja untuk memperbanyakkan harta dengan puas-puasnya. Apa yang ada
itu nampak sedikit dan mereka terus mencari lagi tanpa berhenti dan
berpuas hati. Inilah orang-orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah "orang
malang, hamba orang!!!, orang malang, hamba emas!!". Adakah
gelap yang lebih gelap daripada ini?" Mereka telah
dibutakan oleh emas dan perak. Mereka tidak sedar bahawa emas dan
perak itu adalah jenis logam yang tidak berguna jika semata-mata untuknya
sahaja. Logam yang tidak lebih daripada batu-batu atau logam
lainnya. Emas dan perak hanya bernilai jika ia dijadikan alat untuk
mencapai tujuan-tujuan yang berfaedah dan dibelanjakan untuk tujuan-tujuan
yang berguna.
- Golongan keempat
ialah yang lebih buruk lagi. Mereka ialah manusia-manusia yang
menganggap bahawa kebahagiaan itu ialah dengan mencapai kemasyhuran
diri, mencari "nama" dan memperluaskan pengaruh sampai
ramai orang yang menjadi pengikutnya serta menyanjungnya. Mereka
sentiasa berlagak dan melihat bayangan dirinya dalam cermin. Ada
yang mencurahkan wang ringgitnya membeli pakaiannya yang indah-indah
sampai bagus dipandang orang dan disaksikan kecantikkannya itu,
meskipun ia menderita kekurangan dan dapur tidak berasap di rumahnya.
Banyak lagi jenis-jenisnya yang terhijab ini. Semua mereka itu terhijab dari Allah dengan hijab yang
paling gelap dan mereka sendiri pun gelap. Cukuplah dengan beberapa
jenis dan misalan yang saya beri itu. Tidak perlulah diterangkan
tiap-tiap semua jenis itu lagi. Satu daripada jenis yang patut kita
terangkan di sini ialah orang-orang yang mengucap dengan lidah mereka
kalimah "Syahadah" kerana disebabkan oleh ketakutan atau
bertujuan untuk mengemis daripada orang-orang Islam atau untuk bermuka-muka
dengan orang-orang Islam, atau hendakkan pertolongan kewangan dari
orang-orang Islam atau hendak menyokong pendapat nenek-moyang mereka secara
fanatik.
Jika kalimah syahadah itu tidak boleh merevolusikan atau mengubahkan
perangai seseorang itu supaya berbuat amal kebaikan, maka itu bererti
mereka belum lagi keluar dari gelap dan masuk ke dalam lingkungan cahaya.
Begitu juga wali-wali iblis yang membawa mereka keluar dari cahaya masuk ke
dalam lingkungan gelap. Tetapi bagi orang yang telah dipengaruhi
sebenar-benarnya kalimah itu dan ia beramal sholeh dan meninggalkan dosa maksiat,
maka inilah orang keluar dari dalam gelap meskipun mungkin ia masih ada dosa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan