Termasuk dalam
kemurnian tauhid adalah keyakinan sepenuhnya bahawa tidak ada yang akan dapat
membawa manfaat atau menolak mudarat melainkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Firman Allah:
Dan jika Allah mengenakan (menimpakan)
engkau dengan bahaya bencana,
maka tidak ada sesiapa pun yang dapat
menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan)
engkau dengan kebaikan,
maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian
hamba-Nya (dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat
Mendalam Pengetahuan-Nya.
[al-An‘aam 6:17-18]
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai
Muhammad) bertanya
kepada mereka (yang musyrik) itu:
“Siapakah yang mencipta langit dan bumi ?”
Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”.
Katakanlah (kepada mereka):
“Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu
tentang yang kamu sembah
yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak
menimpakan daku dengan
sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan
atau menghapuskan
bahaya-Nya itu; atau jika Allah hendak
memberi rahmat kepadaku,
dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu ?”
Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah
(yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang
yang mahu berserah diri”. [az-Zumar 39:38]
Di kalangan
masyarakat kita ada yang menggunakan sesuatu benda dengan keyakinan ia dapat
memberikan manfaat atau menolak mudarat. Benda itu ialah tangkal dan azimat.
Penggunaan tangkal mencemari kemurnian tauhid kerana benda tersebut dianggap
sejajar dengan kekuasaan Allah, malah mengambil alih kekuasaan Allah dalam
menentukan apa yang dapat membawa manfaat dan menolak mudarat.
Oleh kerana itulah
apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berhadapan dengan orang
yang memakai tangkal, baginda bersikap tegas terhadapnya. Baginda terus
melarang tanpa bertanya terlebih dahulu apakah tujuan seseorang itu memakai
tangkal atau adakah tangkal tersebut dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an.
Dalam satu
riwayat, sepuluh orang telah datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam untuk berbai‘ah kepada baginda (memeluk Islam). Baginda menerima
bai’ah mereka kecuali seorang. Lalu ditanya kepada Rasulullah, kenapa tidak diterima
bai’ah orang tersebut. Rasulullah menjawab:
Sesungguhnya
padanya terdapat tangkal.
Kemudian orang
tersebut memasukkan tangannya (ke dalam baju) dan melepaskannya. Maka
Rasulullah menerima bai‘ahnya seraya bersabda:
Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah
(berbuat) syirik.
Tangkal
tidak akan mendekatkan manfaat atau menjauhkan mudarat bagi orang yang
memakainya. Bahkan ia menjauhkan manfaat dan mendekatkan mudarat. Ini kerana
mendekatkan manfaat atau menjauhkan mudarat dapat diperoleh dengan merujuk
terus kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Menggunakan tangkal sebagai
“jalan tengah” tidak akan memberi apa-apa faedah. Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam bersabda berkenaan penggunaan tangkal:
Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak
akan menyempurnakan baginya (hajatnya) dan sesiapa menggantung cengkerang siput
maka Allah tidak akan mententeramkan baginya (dengan siput tersebut).
Dalam satu riwayat lain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat
seorang lelaki yang ada ikatan di tangannya, lalu baginda bertanya: “Apakah
ini?” Lelaki itu menjawab: “Aku menjadikannya sebagai pelindung
daripada al-Wahinah.”]
Lalu Rasulullah bersabda:
Tiadalah ia menambah bagi
kamu kecuali kelemahan.
Lemparkan ia daripadamu,
kerana sesungguhnya jika kamu mati
dan ia berada di atasmu,
tidaklah ia akan membantu kamu
selama-lamanya (yakni di
Hari Akhirat).
Tangkal juga dilarang penggunaannya ke atas
binatang sebagaimana perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
Janganlah
dibiarkan di leher unta kalung (yang diperbuat) daripada tali atau
(apa-apa
jenis) kalung kecuali dilepaskan.
Berkata Malik (bin
Anas), yang sedemikian (memakaikan kalung) adalah untuk menjauhkan dari
penyakit ‘Ain.[
Ada pendapat yang
membolehkan penggunaan tangkal apabila ia dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an
atau zikir-zikir kepada Allah. Antara yang berpendapat sedemikian ialah Ibn
Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) yang berkata:
Semua ini (hadis-hadis yang melarang tangkal) adalah pada
menggantung tangkal dan yang selainnya daripada apa yang tidak diperbuat
(dijampikan) dari (ayat-ayat) al-Qur’an atau yang seumpama. Adapun apa yang
diperbuat dengan (jampian) zikrullah maka tidaklah ia dilarang padanya,
kerana sesungguhnya ia hanya dilakukan sebagai tabarruk (mencari
keberkatan) dengannya, perlindungan dengan nama-nama-Nya dan zikir kepada-Nya
Ibn Hajar
berpendapat sedemikian berdasarkan beberapa hadis yang menerangkan Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam yang telah menjampi dirinya dan telah juga
mengajar jampi kepada ahli keluarga dan para sahabat yang terdiri daripada
kalimah-kalimah zikir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Pandangan ini
perlu dianalisa semula seperti berikut:
Hadis-hadis yang melarang penggunaan tangkal adalah umum tanpa mengambil
kira sama ada ia dijampi dengan al-Qur’an atau tidak.
1. Sama-sama
diketahui bahawa penggunaan tangkal adalah sangat lazim pada zaman Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam. Seandainya penggunaan tangkal dibolehkan jika ia dijampi
dengan ayat al-Qur’an atau zikir, nescaya baginda akan mengajarnya kepada para
sahabat dan ini akan sampai kepada kita melalui hadis-hadis yang sahih.
Memandangkan baginda tidak melakukan sedemikian, bererti ia sememangnya tidak
dibolehkan oleh baginda.
2. Terdapat
perbezaan yang besar antara pengamalan jampi-jampian dan penggunaan tangkal sekalipun
kedua-duanya terdiri daripada kalimah-kalimah Allah. Jampi-jampian adalah
memohon terus kepada Allah manakala tangkal berperanan sebagai “jalan tengah”
antara seorang hamba dengan Allah. Seandainya seorang pengguna tangkal mendakwa
bahawa yang sebenarnya memberi pengaruh adalah Allah dan bukannya tangkal, maka
bukankah pertolongan Allah itu dapat diperolehi secara terus, tanpa melalui
“jalan tengah”?
Allah Subhanahu wa Ta‘ala
berfirman:
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku
maka (beritahu kepada mereka):
sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);
Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa
kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku
(dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman
kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.
[al-Baqarah 2:186]
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku
perkenankan doa permohonan kamu.”
[al-Mu’min 40:60]
4 Seorang yang menggunakan tangkal dengan dakwaan bahawa
yang sebenarnya memberi pengaruh adalah Allah, lambat-laun akan terperangkap
juga dengan “pengaruh” daripada tangkal tersebut. Iaitu apabila dia sudah biasa
menggunakan tangkal lalu di satu hari dia terlupa memakainya, maka hatinya akan
menjadi gusar lagi resah, tidak lagi yakin untuk menempuh harinya itu melainkan
dengan penuh ketakutan, kebimbangan dan was-was. Berbagai-bagai imaginasi yang
buruk sentiasa tergambar di dalam fikirannya, diikuti dengan berbagai-bagai
bisikan negatif dalam sanubari. Inilah yang penulis maksudkan dengan:
“lambat-laun akan terperangkap juga dengan ‘pengaruh’ daripada tangkal
tersebut”. Ahmad bin Hanbal rahimahullah (241H) pernah ditanya
tentang penggunaan tangkal, beliau menjawab: “Sesiapa
yang menggunakan tangkal (lambat laun) akan bergantung kepadanya."
5 Perlindungan sebenar dari ayat-ayat al-Qur’an dan
zikrullah adalah pada kefahaman dan keyakinan kepada yang diseru dalam kalimah-kalimah
tersebut sebagai pelindung, yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Menggantungnya tidak membawa sebarang faedah kecuali salah guna dan penghinaan.
Maka berdasarkan
analisa di atas, dapat dirumuskan bahawa pendapat yang lebih selamat ialah
penggunaan tangkal tetap dilarang sekalipun ianya dijampi dengan ayat-ayat
al-Qur’an atau zikir-zikir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan