SYARAH
SYEIKH BESTARI
Menurut Kalam Hikmah ke 30 Imam Ibnu
Athaillah Askandary:
Maksudnya : “Sewajarnya orang yang memiliki kelapangan harta
membelanjakan harta bendanya lantaran mereka adalah golongan yang telah sampai
kepada keredhaan Allah.Sebaliknya sesiapa yang dibataskan rezekinya adalah golongan
yang sedang berjalan menuju keredhaan Allah”
Terdapat dua golongan manusia yang bergelar hamba-hamba
Allah dalam konteks kalam hikmah ini.
Golongan yang telah sampai kepada keredhaan Allah.Kreiteria
utama golongan ini adalah al-Ithar atau kesanggupan melakukan pengorbanan
sebagaimana yang digambarkan oleh al-Quran tentang golongan Muhajirin dan
Ansar.Segala kebaikan dan kebaktian yang dilaksanakan semata-mata kerana Allah
dan bebas daripada segala bentuk syirik termasuk syirik khafi atau yang
tersembunyi seperti sifat riya`,’ujub dan kibr.
Firman Allah SWT :
Maksudnya : Dan
orang-orang ( Ansar ) yang mendiami
negeri ( Madinah ) serta beriman sebelum mereka,mereka mengasihi orang-orang
yang berhijrah ke negeri mereka,dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan
berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah
itu,dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada
diri mereka sendiri,sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat
berhajat.Dan ( ingatlah ) sesiapa yang memelihara dirinya daripada dipengaruhi
oleh tabiat bakhilnya,maka merekalah orang-orang yang berjaya.Surah al-Hasyr
ayat 9.
Golongan yang sedang menjalani jalan untuk mencapai
keredhaan Allah .Sebagai orang yang berada di jalan Allah mereka perlu memiliki
kesabaran yang tinggi untuk menempuh pelbagai rintangan yang menghalang
perjalanannya.Imam al-Ghazali didalam Minhaj al-‘Abidinnya telah mengemukakan
cabaran al-‘awa`iq ( rintangan ) yang terdiri daripada cabaran dunia,cabaran
makhluk,cabaran hawa nafsu dan cabaran godaan syaitan.Manakala Fathi Yakan
telah memetik sabda Rasulullah SAW ( yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin
Hanbal ) yang mengemukakan lima cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan yang
menjalani jalan da’wah iaitu cabaran kedengkian orang Islam,cabaran kebencian
golongan munafiq,cabaran diperangi oleh orang-orang kafir,cabaran syaitan dan
cabaran hawa nafsu.
Apabila kita meyakini bahawa semua kurniaan Allah itu
merupakan pinjaman dan bersifat sementara maka kita tidak wajar bersifat bakhil
untuk membelanjakan kurniaan Allah berupa harta,ilmu
pengetahuan,kemahiran,pengalaman dan tenaga kepada orang lain.
Justeru itu Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Talaq
ayat 7 :
Maksudnya : Hendaklah
orang yang mampu memberi nafqah menurut kemampuannya,dan sesiapa yang
disempitkan rezekinya,membelanjakan daripada apa yang dikurniakan Allah
kepadanya.Allah tidak membebankan seseorang melainkan dalam kadar keupayaannya
yang dianugerahkan Allah kepadanya.( Orang yang dalam kesempitan hendaklah
ingat bahawa ) Allah akan mengurniakamn kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan