Catatan Popular

Sabtu, 29 Ogos 2015

RISALAH DARQAWI BAHAGIAN 1

Ar Rasail al Darqawiyah OLEH MAULAY AL ARABI AD DARQAWI


(BAHAGIAN 1)

Transliterasi Kitab ar-Rasail ad-Darqawiyah - Surat-surat Maulay al-‘Arabi ad-Darqawiy yang diterjemah dan diberi syarah oleh al-Faqir-ilallah Muhamad bin ‘Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy as-Sulaimani al-Fathoni tsumma al-Taranqanuwi tsumma al-Kelantani

(Transliterasi dari tulisan Jawi kepada tulisan Rumi beserta dengan tambahan pada notakaki oleh: hamba yang faqir lagi haqir Abu Zahrah Abdullah Thahir al-Qedahi.


Sedutan daripada surat-surat as-Syeikh al-Arabi ad-Darqawi asy-Syadzali al-Maliki

رضي الله عنه:

Jikalau engkau menghendaki perjalananmu dipendekkan supaya segera engkau sampai kepada tahqiq atau mencapai kesedaran ruhaniah, maka hendaklah engkau berpegang teguh kepada faraidh yakni segala amalan yang fardhu [didalam teks asal disebut – waajibaat yakni perkara-perkara yang diwajibkan. الله أعلم] dan kepada segala nawafil yakni segala amalan yang sunat. Pelajari ilmu dzahir setakat yang tidak dapat tidak (yakni fardhu ain) untuk beribadat, tetapi jangan berlengah-lengah menghabiskan waktu padanya, kerana engkau tiada dikehendaki mempelajarinya secara mendalam(1), apa yang perlu bagimu ialah bahawa engkau memperdalami ilmu bathin (yakni ilmu selok-beluk hati atau ilmu jalan ke akhirat atau ilmu tasawwuf). Lawanlah nafsumu, nescaya engkau akan melihat pelbagai keajaiban.-الخلق الكريم - (yakni “budi pekerti yang mulia”) tiada lainnya melainkan tasawuf kaum shufi, sebagaimana ianya agama bagi orang yang berpegang kepada agama. ولعنة الله على الكاذبين (Semoga laknat Allah lah atas orang-orang yang berdusta)(2)

Demikian pula, sentiasalah jauhi daripada terikat kepada keseronokan atau kelazatan yang datang melalui saluran pancaindera, kerana ia adalah lawan daripada pengalaman ruhaniah atau kehidupan secara ruhaniah, dan dua yang berlawanan ini tak mungkin bertemu, yakni tak mungkin dihimpunkan sekali. Tiap-tiap engkau memperkuatkan pancaindera (yakni dengan menumpukan perhatian kepada keinginan-keinginan jasmani) maka engkau memperlemahkan ruh, demikanlah ‘akasnya [sebaliknya].

Dengarlah apa yang berlaku pada shaikh kami رضي الله عنه pada permulaan perjalanan ruhaniyahnya. Ia baharu sahaja memukul tiga takaran gandum lalu diberitahunya kepada shaikhnya bahawa ia telah perbuat demikan. Maulay al-‘Arabi bin ‘Abdullah berkata kepadanya: “Kian engkau tertumpu kepada pengalaman atau kelazatan-kelazatan pancaindera (yakni syahwat jasmaniah), maka kian berkuranglah engkau dalam pengalaman atau kelazatan ruhaniah, maka kian engkau tertumpu pada kepada pengalaman atau kelazatan ruhaniah, maka kian engkau berkuranglah engkau tertumpu atau terikat kepada pengalaman dan kelazatan pancaindera.(3)

Ini jelas kerana selagi engkau bersahabat dengan ahli dunia, masakan dapat engkau mencium keharuman ruhaniah pada mereka, kau hanya akan dapat mencium bau peluh mereka, lantaran mereka telah diper’abdikan oleh pengalaman keseronokan-keseronokan pancaindera, syahwat jamaniah menguasai hati meraka dan segala anggota mereka, mereka melihat untung laba mereka hanya pada perkara-perkara yang berkaitan dengan nafsu, maka mereka bercakap tentang itu, mereka menyibukkan diri dengan itu, mereka bersukaria dengan itu sahaja dan tidak dapat membebaskan diri mereka daripada diperbudakkan nafsu.

Namun demikian, ramai pula orang yang telah membebaskan diri daripada perbudakan nafsu untuk terjun kedalam samudera ilmu ruhani sepeninggalan umur mereka yang masih ada. (semoga Allah redha dengan mereka dan semoga kita memperoleh manfaat daripada berkat mereka, آمين, آمين, آمين.) Seolah-olah seperti Allah Ta’ala tiada mengurniakan ruh kepada ahli dunia, pada hal setiap orang daripada mereka adalah daripada ‘alim ruhani, sebagaimana segala ombak adalah sebahagian daripada lautan. Kalaulah mereka menginsafi perkara ini nescaya mereka tiada akan membiarkan diri mereka diseleweng oleh pengalaman dan kelazatan pancaindera, daripada menumpukan perhatian kepada ruh (yakni kepada pengalaman dan nikmat-nikmat ruhani), kalaulah mereka menginsafi ini, nescaya mereka akan mendapati di dalam diri mereka pelbagai lautan samudera yang tidak terbatas, -والله على ما نقول وكيل- dan Allah adalah saksi atas apa yang kami ucapkan – [surah al-Qasas:28]

____________________________________

Notakaki:-

(1) Berkata asy-Syeikh Abdullah bin Ahmad al-Maaliki: أقلل من علم فإنه يقسي القلب Artinya: Sedikitkanlah daripada ilmu dzahir (yakni ilmu usuluddin, ilmu fiqh dan seumpamanya – ambillah sekadar menyempurnakan fardhu ain) kerana bahwasanya iaitu mengeraskan hati. Disebut oleh Ibn Farhun didalam kitab: الديباج المذهب في معرفة أعيان علماءالمذهب.
***Menurut guru kami, yang dimaksudkan disini [secara ringkasnya], ianya adalah untuk para salik dari kalangan orang yang awam. Adapun bagi penuntut ilmu maka ianya hendaklah mempelajarinya sedalam yang termampu. Bahkan ianya merupakan tuntutan fadhu kifayah dan perlu dalam menyelesaikan permasalahan ummah dan menjadi benteng dari fahaman-fahaman yang terkeluar dari ahlus sunnah wal jamaah. Dan hendaklah bersihkan niatnya dari belajar untuk bermujadalah dengan ulama’ atau menunjuk-nunjuk akan kealimannya pada orang jahil atau untuk mendapat habuan-habuan keduniaan. ***

(2) Ini mengingatkan kita kepada firman Allah dalam surah ‘ali ‘Imran:61 yang berakhir dengan (فنجعل لعنة الله على الكذبين) yang bererti “ … dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.

(3) الحس : Pancaindera disini sebagaimana juga didalam kitab Iqazul Himam fi Syarh al-Hikam oleh Ibn ‘Ajibah; Yang dimaksudkan ialah terikatnya seseorang itu kepada pengalaman atau kelazatan yang datang melaui indera yang lima atau dimaksudkan keinginan-keinginan jasmaniah.


Tiada ulasan: