SYARAH
TO’ FAKIR AN NASIRIN
Menurut
Kalam Hikmah ke 30 Imam Ibnu Athaillah Askandary:
“ HENDAKLAH BERBELANJA AKAN KEKAYAANNYA BAGI MEREKA YANG TELAH
SAMPAI KEPADA ALLAH S.W.T DAN MENURUT KADAR KEMAMPUANNYA BAGI YANG SEDANG
BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T”
Hikmat 30 di atas mengemukakan ujian kepada hati sejauh
mana kekuatannya beriman, berserah diri dan yakin dengan janji Allah s.w.t. Ia
juga menjadi pengukur pada tahap mana seseorang yang berjalan pada jalan
kerohanian itu berada. Hikmat di atas menjurus khusus kepada harta kekayaan.
Harta merupakan sesuatu yang sangat diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan
harta untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji
dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta. Sedekah juga memerlukan
harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan
lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan harta kepada
kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia berkisar pada soal
harta atau ekonomi. Pendidikan dan kemahiran disalurkan ke arah ekonomi.
Kejayaan atau kegagalan dinilai melalui faktor ekonomi. Perhatian manusia
sentiasa tertuju kepada soal ekonomi atau harta dalam membuat sesuatu
keputusan.
Apabila harta
sudah bertapak dalam jiwa seseorang manusia akan menjual maruah dirinya kerana
harta. Orang miskin sanggup diperkudakan oleh orang kaya kerana harta. Orang
kaya sanggup melakukan rasuah dan penganiayaan kerana harta. Harta menjadi raja
menguasai jiwa raga manusia. Segala sesuatu dinilai dengan harta. Persahabatan
harus dibeli dengan harta. Kesetiaan juga perlu dibayar dengan harta.
Hikmat di atas menarik perhatian orang yang sedang
berjalan pada jalan kerohanian agar memerhatikan hatinya, bagaimanakah hubungan
hatinya dengan harta. Ia menyatakan bahawa orang yang telah sampai kepada Allah
s.w.t dan memperolehi makrifat-Nya tidak seharusnya menyimpan harta, hendaklah
dia membelanjakan ke jalan Allah s.w.t dan yakin dengan janji Allah s.w.t
tentang rezekinya. Orang yang masih dalam perjalanan pula hendaklah membelanjakan
ke jalan Allah s.w.t menurut kesanggupannya. Sejarah banyak menceritakan
tentang sikap hamba-hamba pilihan Allah s.w.t terhadap harta.
Saidina Abu Bakar
as-Siddik r.a menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak
ada satu dirham pun disimpannya. Bila Rasulullah s.a.w bertanyakan kepadanya
mengapakah tidak ditinggalkan sedikit buat menguruskan keperluannya, beliau r.a
menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku”.
Abdul Rahman bin
Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan
dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah s.w.t. Salman al-Farisi
ketika memegang jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau
menganyam daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya
dijualnya dan apa yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu
bahagian sebagai modal pusingan, satu bahagian buat belanja ahli rumahnya dan
satu bahagian lagi disedekahkan kepada golongan miskin.
Imam as-Syafi’e
r.a sekembalinya ke Makkah dari Yaman telah dihadiahkan puluhan ribu wang emas.
Sebelum memasuki kota Makkah beliau telah mendirikan sebuah khemah di luar
kota. Dikumpulkan golongan fakir dan miskin dan disedekahkan kesemua wang yang
diterimanya sebagai hadiah itu. Setelah kesemua wang itu habis disedekahkan
baharulah beliau masuk ke kota Makkah.
Rabiatul Adawiah hanya menyimpan sehelai tikar yang usang
sebagai sejadah dan sebiji kendi buat mengisi air untuk wuduknya. Beliau tidak
menyimpan makanan untuk petangnya. Banyak lagi kisah aulia Allah s.w.t yang
menggambarkan bahawa tidak sebesar zarah pun hati mereka terikat dengan harta.
Mereka melihat pengidupan dunia ini hanyalah persinggahan sebentar, tidak perlu
mengambil bekalan.
Bagi orang yang masih dalam perjuangan dan belum lagi
sampai kepada Allah s.w.t, mereka tidak sanggup berbuat sebagaimana yang
dilakukan oleh aulia Allah s.w.t. Sungguhpun begitu jika dibiarkan harta
melekat pada hati akan membahayakan hati itu sendiri. Oleh itu biasakanlah
berpisah daripada harta yang disayangi agar rohani akan menjadi lebih kuat
dalam perjalanan menuju Allah s.w.t. Allah s.w.t berfirman:
Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut
kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi
nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah
tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah
kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah
akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. ( Ayat 7 : Surah
at-Talaaq )
Oleh kerana bidang ekonomi merupakan salah satu fardu
kifayah yang perlu diuruskan demi kesejahteraan dan kekuatan kaum muslimin,
maka Allah s.w.t memilih dari kalangan kaum muslimin orang-orang tertentu yang
dipermudahkan bagi mereka mengembangkan ekonomi mereka. Allah s.w.t bukakan
bagi mereka pintu-pintu rezeki. Allah s.w.t kurniakan kepada mereka rezeki yang
melimpah-ruah. Mereka seolah-olah berada dalam keadaan menadah bekas dan rezeki
dicurahkan ke dalam bekas mereka.
Orang yang
menyedari harta kekayaannya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka harta kekayaan
itu menjadi ujian baginya. Orang yang tidak menyedarinya pula, maka harta
kekayaan itu menjadi alat istidraj yang akan menghempapnya kelak. Baik ujian
mahu pun istidraj, orang yang memikul harta sebenarnya memikul beban yang
sangat berat. Golongan yang menghadapi hisab yang paling halus di akhirat kelak
adalah mereka yang di dunia memikul harta.
Walaupun memikul
harta merupakan beban yang berat tetapi sebahagian kaum muslimin perlu
mengambil tugas tersebut sebagaimana sebahagian kaum muslimin yang mengambil
bidang jihad fi-sabilillah dan mati syahid di medan perang. Dari kalangan
nabi-nabi juga ada yang memikul tugas yang berhubung dengan harta, misalnya
Nabi Yusuf a.s, Nabi Sulaiman a.s dan Nabi Daud a.s. Al-Quran menceritakan
tentang Nabi Yusuf a.s:
Dia (Yusuf) berkata: “Jadikanlah daku pengurus
perbendaharaan hasil bumi (Mesir); kerana sesungguhnya aku sedia menjaganya
dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”. ( Ayat 55 : Surah
Yusuf )
Nabi Yusuf a.s mengetahui sifat dirinya dan kebolehan
yang ada dengannya. Beliau a.s telah menjalani kehidupan yang membuatkan harta
tidak sedikit pun menguasai hatinya. Beliau a.s juga mengetahui kebolehan menguruskan
harta yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Demi kebaikan orang ramai Nabi
Yusuf a.s menawarkan dirinya kepada raja untuk memegang jawatan pengurus harta
kekayaan kerajaan Mesir. Raja bersetuju dengan permintaan Nabi Yusuf a.s itu
dan beliau a.s membuktikan kewibawaan dan kebijaksanaan beliau a.s dalam bidang
tersebut.
Nabi Sulaiman a.s
juga menguruskan kekayaan dan kekuasaan. Beliau a.s mempunyai sifat-sifat yang
terpuji. Allah s.w.t memanggil hamba-Nya, Sulaiman a.s, sebagai sebaik-baik
hamba. Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s menguruskan kekayaan dan kekuasaan
atas dasar kehambaan kepada Allah s.w.t.
Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak
bernama) Sulaiman; ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat beribadat), lagi
sentiasa rujuk kembali (bertaubat). ( Ayat 30 : Surah Saad )
Nabi Sulaiman a.s
bermohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan kepada beliau a.s kerajaan
yang besar. Kedua-dua mereka, Nabi Yusuf a.s dan Nabi Sulaiman a.s, meminta
untuk menguruskan bidang berkenaan. Ternyata bahawa orang yang boleh
menguruskan dengan adil bidang berkenaan adalah orang yang benar-benar
mengenali dirinya, mempunyai keyakinan yang teguh, hati yang bulat dan sifat
kehambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah s.w.t.
Dia (Sulaiman) berkata: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah
kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya
dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya
Engkaulah yang sentiasa Melimpah Kurnia-Nya”. ( Ayat 35 : Surah Saad )
Sesiapa yang
ditakdirkan menguruskan bidang kekayaan dan kekuasaan perlulah menjalankan
amanah Allah s.w.t itu atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan